Tuesday, April 8, 2008

ARTICLE 121(1A) FEDERAL CONSTITUTION

Sejauhmanakah Artikel 121(1A) Perlembagaan Persekutuan menyelesaikan konflik bidangkuasa di antara mahkamah sivil dan mahkamah syariah?



Artikel 121(1A) Perlembagaan Persekutuan Malaysia memainkan peranan yang penting dalam membezakan kedudukan antara mahkamah sivil dan syariah dari segi bidangkuasa. Pindaan artikel 121(1A) Perlembagaan Persekutuan yang mana mula berkuatkuasa pada 10hb Jun 1988 telah menyelesaikan konflik yang wujud berkenaan keputusan mahkamah syariah dan sivil; dalam hal perkara yang melibatkan bidangkuasa mahkamah syariah ( rujuk jadual 9, senarai 2 butiran 1 ) hanya boleh diputuskan oleh mahkamah syariah. Sekiranya hal perkara bidangkuasa mahkamah syariah di bawa ke hadapan mahkamah sivil maka adalah menjadi tanggungjawab mahkamah sivil untuk menolak perbicaraan kes yang dihadapkan kepadanya.

Persoalannya kini, adakah dengan pindaan artikel 121(1A), mahkamah syariah mempunyai kuasa mutlak berhubung dengan undang-undang islam? Dengan kata lain adakah pindaan artikel 121(1A) berjaya mengatasi konflik bidangkuasa/percanggahan keputusan hakim di antara mahkamah sivil dan syariah.

Adalah sesuatu yang membanggakan apabila kewujudan dan kewibawaan mahkamah syariah sebagai teras keadilan sejagat/universal diiktiraf oleh Perlembagaan Persekutuan Malaysia sendiri sepertimana artikel 3(1) Perlembagaan Persekutuan memartabatkan Islam sebagai agama rasmi persekutuan disamping jaminan akan hak kebebasan beragama bagi rakyat yang bukan beragama islam menerusi artikel 11 Perlembagaan Persekutuan dengan batas-batas yang ditentukan oleh undang-undang tertinggi negara Malaysia.

Tanggal 10hb Jun 1988 kuasa mutlak bagi bangkitan kes-kes yang melibatkan undang-undang islam dan orang-orang islam beralih sepenuhnya kepada bidangkuasa mahkamah syariah merangkumi kuasa budi bicara, mendengar dan memutus bagi hal perkara yang dipertikaikan. Ini bererti mahkamah sivil tidak boleh membicarakan sesuatu kes yang terletak di bawah bidangkuasa mahkamah syariah, sedangkan sebelum pindaan artikel 121(1A) Perlembagaan Persekutuan/10hb Jun 1988 kedua-dua mahkamah sivil dan syariah mempunyai bidangkuasa yang selari dalam aspek-aspek perbicaraan yang melibatkan undang-undang Islam serta apabila wujud percanggahan maka keputusan mahkamah sivil mengatasi mahkamah syariah dan diputuskan sebagai muktamad/terikat.

Kenyataan ini dapat dibuktikan melalui kajian kes-kes sebelum tahun 1988 iaitu sebelum pindaan artikel 121(1A) Perlembagaan Persekutuan yang jelas mencermin akan kepincangan sistem undang-undang malaysia yang berkonflik antara mahkamah sivil dan syariah dalam bidangkuasa masing-masing.

Menurut kes Myriam v Arif; mahkamah telah memutuskan bahawa hak penjagaan anak daripada keluarga Islam boleh diputuskan mengikut akta penjagaan kanak-kanak 1966 dan perintah berkaitan dengan akta tersebut boleh dibuat oleh mahkamah sivil.Keputusan ini adalah bertentangan dengan bidangkuasa mahkamah syariah untuk membicarakan kes-kes yang melibatkan penjagaan anak orang Islam. Hakim Abdul Hamid semasa penghakimannya telah memutuskan bahawa perintah yang dibuat oleh Kadhi di mahkamah syariah untuk memberikan hak penjagaan anak (hadanah) kepada si bapa tidak menghalang si ibu untuk membuat permohonan penjagaan anak di mahkamah tinggi. Rujukan telah dibuat kepada seksyen 245(b) enakmen pentadbiran undang-undang Islam 1952 yang memperuntukkan “ tiada apa-apa yang tedapat dalam enakmen ini akan menganggu bidangkuasa mahkamah sivil dan apabila terdapat perbezaaan atau percanggahan antara keputusan mahkamah syariah/seorang kadhi dengan mahkamah sivil yang bertindak dalam ruang lingkup bidangkuasanya, maka keputusan mahkamah sivil adalah mengatasi.

Dalam kes Ainan v Syed Abu Bakar; mahkamah tinggi telah memutuskan bahawa seorang anak muslim yang dilahirkan kurang 4 bulan selepas perkahwinan dengan seorang lelaki adalah dianggap sebagai sah taraf. Merujuk kepada seksyen 112 Enakmen Keterangan yang mana keputusan ini bertentangan dengan prinsip Islam iaitu anak yang lahir dalam tempoh masa yang kurang daripada 9 bulan selepas perkahwinan adalah anak luar nikah. Menurut penghakiman enakmen keterangan adalah statut umum dan semua penduduk persekutuan Malaysia adalah tertakluk dan terikat kepada peruntukkan ini tanpa mengira ras dan agama.

Nafsiah v Abdul Majid; plantif yang mengambil tindakan guaman bagi mendapatkan gantirugi atas kemungkiran janji untuk berkahwin dan telah terlanjur dalam hubungannya serta melahirkan seorang anak. Kes ini apabila dibicarakan di hadapan mahkamah kadi besar mengikut seksyen 149 enakmen pentadbiran undang-undang Islam Melaka 1959 telah menolak tuntutan gantirugi yang dikemukakan oleh plantif disebabkan oleh pihak-pihak yang terlibat dalam kes ini adalah beragama Islam dan janji untuk berkahwin hanyalah bersifat harus dan bukanlah wajib. Apabila plantif gagal dalam tuntutan mengikut undang-undang Islam maka tuntutan difailkan ke mahkamah tinggi. Hakim Sharma telah memutuskan bahawa mahkamah tinggi mempunyai bidangkuasa mendengar dan membicarakan kes ini memandangkan tidak terdapat apa-apa peruntukan dalam enakmen pentadbiran undang-undang Islam Melaka 1959 bahawa kadi besar mempunyai bidangkuasa eksklusif dalam semua hal berhubung dengan perkara-perkara yang timbul daripada perkahwinan dikalangan orang-orang Islam. Oleh itu, tuntutan plaintif berjaya dan gantirugi sebanyak RM 1,200.00 diberikan. Malah akta mahkamah kehakiman 1964 dengan nyata memberikan bidangkuasa kepada mahkamah tinggi untuk membicarakan kes ini. Selain seksyen 109 ordinan mahkamah 1948 yang tidak dimansuhkan oleh akta mahkamah kehakiman jelas memperuntukkan “ jika terdapat apa-apa perselisihan atau ketidakseimbangan antara peruntukan-peruntukan ordinan mahkamah 1948 dengan peruntukan mana-mana undang-undang bertulis pada tarikh berkuatkuasa ordinan mahkamah 1948, peruntukan ordinan hendaklah terpakai dan mengatasi peruntukan-peruntukan lain.

Penghakiman dalam kes Roberts v Umi Kalthom iaitu harta sepencarian adalah perkara yang berkaitan dengan undang-undang adat dan bukan bidangkuasa undang-undang Islam. Keputusan kes ini diikuti dalam kes Boto’ Bt Taha v Jaafar Bin Muhammad; harta sepencarian bukan bersandar kepada hukum Islam akan tetapi bersandar kepada adat melayu yang diamalkan oleh masyarakat melayu. Meskipun, keputusan ini diiktiraf melalui prinsip maxim perundangan Islam iaitu “adat mengambil tempat hukum” dengan syarat tiadak bercanggah dengan syarak. Walaubagaimanapun usaha tidak dibuat oleh mahkamah sivil untuk mancari asas kebenaran harta sepencarian itu yang terdapat dalam undang-undang Islam. Sebaliknya usaha seperti ini telah dibuat oleh mahkamah syariah.

Setelah pindaan artikel 121(1A) Perlembagaan Persekutuan Malaysia kuasa mahkamah syariah lebih jelas tanpa campurtangan mahkamah tinggi. Kesan pindaan ini telah diperkukuhkan lagi melalui keptusan-keputusan mahkamah agung dalam kes Mohd. Habibullah Bin Mahmood v Faridah Bt Dato’ Talib; pada 15 Disember 1992 telah memutuskan bahawa seorang isteri yang beragama Islam tidak boleh membawa tuntutan ke mahkamah sivil untuk mendapat gantirugi dan injunksi (tegahan) terhadap suaminya yang didakwanya melakukan serang sentuh dan gangguan terhadap dirinya. Bahkan permohonan tersebut hanya boleh di pohon di mahkamah syariah memandangkan ia tertakluk kepada bidangkuasa mahkamah syariah.

Walaubagaimanapun peruntukan 121 (1A) ini belum cukup untuk mengatasi pertindihan kuasa antara kedua-dua mahkamah secara sepenuhnya. Ini kerana masih terdapat lagi ruang yang membolehkan mahkamah sivil untuk membicarakan perkara-perkara yang tertakluk di bawah mahkamah bidangkuasa mahkamah syariah. Umpamanya kes Sukma Darmawan Susmadjataat v Ketua Pengarah Penjara Malaysia & SL; yang mana hakim memutuskan bahawa mahkamah sivil mempunyai bidangkuasa untuk membicarakan perayu yang dituduh melakukan seks luar tabii (liwat) di bawah kanun keseksaan walaupun terdapat akta jenayah syariah yang memperuntukkan hukuman bagi kesalahan yang sama.

Teoh Eng Huat v Kadhi Besar Pasir Mas; kes yang melibatkan pertikaian tentang hak penjagaan anak, diputuskan bahawa ia masih terletak di bawah bidangkuasa mahkamah sivil untuk memutuskanya jika anak masih di bawah umur. Meskipun pada ketika kes ini diputuskan artikel 121(1A) telahpun dipinda tetapi peruntukan ini tidak menghalang mahkamah sivil daripada menjalankan kuasanya apabila salah satu pihak yang terlibat dalam pertikaian dalam perbicaraan mahkamah syariah adalah bukan Islam. Oleh itu, bidangkuasa mahkamah syariah hanyalah terhad kepada penyelesaian kes di sesama orang Islam sahaja dan masyarakat yang bukan Islam masih tertakluk kepada bidangkuasa mahkamah sivil.

Rujuk kes-kes lain seperti Dalip Kaur v Pegawai polis Daerah (Balai Polis Bukit Mertajam) dan Shahamin Faizul Kung B. Abdullah v Asma’ Bt. Hj. Junus untuk mendapatkan gambaran yang lebih jelas tentang pertindihan kuasa yang amat ketara oleh mahkamah syariah dan sivil walaupun selepas pindaan artikel 121(1A) Perlembagaan Persekutuan.

Di samping, pertindihan kes-kes dan keputusan-keputusan antara mahkamah sivil dan syariah; terdapat juga beberapa statut yang boleh menyebabkan konflik bidangkuasa antara mahkamah sivil dan syariah. Meskipun, bagi tujuan merealisasikan kuasa mahkamah syariah sebagaimana dalam peruntukan perkara 121(1A) perlembagaan persekutuan, Kanun Tanah Negara telah dipinda dengan memasukkan satu seksyen baru iaitu seksyen 421A yang memberikan tafsiran perkataan mahkamah untuk maksud seksyen 417 dan 420 adalah termasuk mahkamah syariah.

Walaubagaimanapun terdapat beberapa statut lain yang perlu diselaraskan supaya memenuhi pindaan artikel 121(1A). Contohnya Akta mahkamah kehakiman 1964 yang mana seksyen 4 akta memperuntukan bahawa jika terdapat pertentangan atau percanggahan antara Akta mahkamah kehakiman 1964 dengan mana-mana undang-undang bertulis yang lain kecuali perlembagaan persekutuan yang berkuatkuasa pada tarikh kuatkuasa akta itu maka, peruntukan akta ini hendaklah mengatasi undang-undang itu. Seksyen ini seharusnya di mansuhkan memandangkan akta ini tidak mengiktiraf undang-undang bertulis yang lain termasuk undang-undang syariah yang jika bercanggah undang-undang sivil mengatasi peruntukan undang-undang syariah.

Mengikut seksyen 100 dan 112 Akta Keterangan 1950 yang masing-masing berkenaan dengan tafsiran wasiat dan kesahtarafan perlu dipinda serta tidak wajar dikenakan ke atas masyarakat Islam. Ini kerana mereka sudah mempunyai undang-undang Islam tentang hal-hal kekeluargaan yang termasuk pembahagian wasiat, kesahtarafan dan sebagainya.

Akta Penjagaan Kanak-Kanak 1961 ini hendaklah tidak terpakai di mana-mana negeri kerana peruntukan telah di buat untuk hak penjagaan kanak-kanak termasuk kanak-kanak Islam. Hak penjagaan kanak-kanak Islam sebenarnya di tadbirkan oleh kerajaan negeri masing-masing di Malaysia di bawah enakmen undang-undang keluarga Islam.

Akta pemegang Amanah 1949; perkataan wakaf hendaklah tidak termasuk dalam takrif ‘trust’ atau ‘amanah’ di bawah akta ini kerana seperti sedia maklum orang-orang Islam ditadbir oleh undang-undang Islam yang berlainan mengikut negeri masing-masing dan tidak wajar jika takrifan bagi sebarang peruntukan yang melibatkan orang-orang Islam akan mendorong Mahkamah sivil campurtangan dalam urusan hal ehwal tuntutan orang-orang Islam.

Jelaslah bahawa walaupun pindaan perlembagaan telah memberikan mahkamah syariah kuasa mutlak dalam perkara-perkara yang terletak di bawah bidang kuasanya; namun masih lagi boleh berlaku situasi yang mana orang Islam memohon kepada mahkamah tinggi melalui pengisytiharaan mahkamah yang menyatakan bahawa dia telah keluar daripada Islam, sedangkan kuasa menentukan murtad ataupun tidak oleh seseorang adalah dibawah bidangkuasa mahkamah syariah. Setelah diputuskan bahawa dia murtad, maka barulah pihak Majlis Agama Islam akan mengeluarkan Sijil Murtad kepada orang yang berkenaan. Hanya terdapat satu kemungkinan yang mana membolehkan mahkamah tinggi campurtangan dalam urusan mahkamah syariah iaitu apabila kuasa dan keputusan perbicaraan mahkamah syariah dipersoalkan oleh orang awam. Ini disebabkan mahkamah tinggi awam mempunyai bidangkuasa memeriksa semua keputusan yang melibatkan hak rakyat dalam negara. Pemeriksaan ini boleh dijalankan apabila tindakan yang dilakukan oleh sesuatu mahkamah itu bersifat ultra virus atau bercanggah dengan prinsip keadilan asasi.

Oleh yang demikian, ternyata sekali bahawa pindaan artikel 121(1A) Perlembagaan Persekutuan memang sesuatu yang dialu-alukan tetapi langkah susulan yang wajar dan lebih praktikel perlu diambil supaya undang-undang yang diaplikasikan memenuhi tuntutan orang awam/masyarakat. Di sini penyeragaman undang-undang Islam perlu bagi menyelaraskan undang-undang Islam yang terpisah mengikut sentimen kenegerian dan seterusnya, Akta Induk undang-undang Islam harus digubal dan diwartakan agar mana-mana undang-undang tidak bercanggah dengan statut dan perlembagaan disamping mencerminkan bidangkuasa mahkamah syariah dan sivil yang lebih jelas, nyata serta mantap.

No comments: