Sunday, February 20, 2011

SOALAN & JAWAPAN SEJARAH TINGKATAN 6:TAMADUN ISLAM


Soalan 1

Bincangkan kerajaan-kerajaan Arab Utara dari sudut politik dan ekonomi serta hubungan mereka dengan Empayar Rom dan Farsi sebelum kedatangan Islam.

Soalan 2

Nabi Muhammad s.a.w. adalah pemimpin ummah. Terangkan sifat-sifat kepimpinan baginda berdasarkan riwayat hidup baginda sewaktu berada di Kota Madinah.

Soalan 3

Sultan Iskandar Thani merupakan salah seorang pemerintah Acheh yang sangat mengambil berat soal perkembangan agama Islam. Jelaskan pernyataan ini.

Soalan 4

Orang Arab Jahiliah merupakan bangsa yang bertamadun. Bincangkan.

Soalan 5

Sungguhpun negeri-negeri di Semenanjung Arab sebelum turunnya al-Quran masih mundur namun mereka tidaklah terpisah dari tamadun dunia. Bincangkan faktor-faktor yang menghubungkan mereka dengan tamadun dunia.

Soalan 6

Galurkan pertembungan awal di antara orang-orang Islam dengan negeri China dalam bidang politik, ketenteraan dan perdagangan.

Soalan 7

Jelaskan secara kritikal kesan-kesan pertemuan antara Tamadun Islam dengan Tamadun Hindu yang berlaku dalam zaman Kesultanan Islam Delhi.

Soalan 8

Jelaskan faktor-faktor yang membawa kepada berlakunya Perang Salib dan analisakan akibat-akibat peperangan tersebut ke atas orang-orang Islam dan Kristian.

Soalan 9

Bincangkan faktor-faktor yang membawa kepada perkembangan sosio-ekonomi dalam masa pemerintahan Abbasiyah I.

Soalan 10

Kaji faktor-faktor yang menyebabkan Khalifah Umar bin Abdul Aziz dianggap sebagai Khalifah yang teragung selepas Khulafa al-Rasyidin.
1) Bincangkan kerajaan-kerajaan Arab Utara dari sudut politik dan ekonomi serta hubungan mereka dengan Empayar Rom dan Farsi sebelum kedatangan Islam.

Pendahuluan
·                         Kawasan Arab Utara adalah dari sempadan wilayah Hijaz hingga    ke sempadan Utara Syria, iaitu merangkumi wilayah Hijaz, Arud, Tihamah dan Naid.
·                         Kedudukan Rom dan Farsi dan kepentingannya di kawasan Utara     Semenanjung Tanah Arab.
·                         Kerajaan-kerajaan Arab Utara iaitu Anbat, Tadmur, Hirah dan     Ghassan.

Kerajaan Anbat
Kerajaan Anbat ditubuhkan pada tahun 169 SM. Pemerintah-pemerintah kerajaan ini terdiri daripada keturunan Arab Badwi yang tinggal di kawasan Timur Jordan. Dalam bidang politik banyak dipengaruhi oleh struktur pemerintahan ala-Rom. Raja Anbat yang termasyhur pada zaman kegemilangannya ialah al-Harith III (85-60 SM) dan Obudas II (28-9 SM). Pemerintah Anbat telah mengadakan hubungan diplomatik dengan Empayar Rom menjadikan Anbat sebagai buffer state dalam menghadapi kuasa Farsi pada abad pertama Masihi. Pada 40 M, kerajaan Rom menyerang Anbat dan menghancurkan bandar al-Batra serta menggabungkan Anbat ke dalam empayarnya.

Kerajaan Anbat maju dari segi ekonomi kerana terletak di kawasan lalu-lintas perdagangan Utara-Selatan. Kedudukan yang strategik ini telah menyebabkan ekonominya berkembang maju.

Kerajaan Tadmur
Kerajaan Tadmur terletak di Timur Laut kota Damsyik. Kerajaan ini dikatakan sezaman dengan Kerajaan Sabak dan Nabi Sulaiman a.s.. Ibu negerinya ialah Palmyra. Sistem politik dan pemerintahannya sama sebagaimana Kerajaan Anbat kerana banyak dipengaruhi oleh unsur-unsur Rom. Kerajaan Tadmur menjadi naungan Rom semasa pemerintahan Hadrian (117-138 M). Pada kurun ke-3 M pula, ia menjadi wilayah takluk Rom. Hal ini kerana pada kurun ke-3 M, Tadmur menjadi sebuah kerajaan yang makmur dan menjadi rebutan di antara Empayar Rom dengan Empayar Farsi.

Dari sudut ekonomi, Kerajaan Tadmur aktif dalam bidang perdagangan sebagaimana Kerajaan Anbat. Kedudukannya yang terletak di pertengahan jalan perdagangan Timur-Barat antara Sungai al-Furat di Iraq dan kota Damsyik. Orang Tadmur juga dikatakan memainkan peranan penting dalam perdagangan antarabangsa termasuk berdagang hingga ke China serta menguasai jalan darat dari Utara ke Selatan. Mereka juga menggunakan wang logam yang dicipta untuk melancarkan aktiviti ekonominya.

Kerajaan Hirah
Kerajaan ini ditubuhkan sekitar tahun 240 M. Kerajaan ini diasaskan oleh Amru Bin Adi daripada keturunan Lakhm. Pemerintahannya dijalankan secara monarki dan terdapat seramai 25 orang raja. Kerajaan Hirah mencapai puncak kegemilangannya pada masa pemerintahan al-Mundhir Bin Ma' al-Sama. Apabila berjaya menewaskan Kabilah Kindah dan menguasai hampir seluruh kawasan tengah dan Utara Semenanjung Tanah Arab. Sebagaimana tujuan penubuhannya bagi melindungi keselamatan Empayar Farsi daripada serangan kaum Arab Badwi dan tentera Rom, akhirnya Hirah hanya dijadikan sebagai Kerajaan Boneka Farsi.

Dari segi ekonomi, Hirah merupakan pusat perdagangan yang boleh menghubungkan kawasan Semenanjung Tanah Arab termasuklah Yaman, Makkah, Yamamah dan Syam.

Kerajaan Ghassan
Kerajaan Ghassan ditubuhkan berikutan kejatuhan Kerajaan Tadmur pada 273 M. Motif penubuhan Kerajaan Ghassan sama seperti mana penubuhan Kerajaan Hirah, iaitu sebagai boneka kuasa Rom. Puak Arab Jafnah dengan bantuan Empayar Rom telah mendirikan Kerajaan Ghassan. Pusat pentadbirannya terletak di Jabiyah dan kemudian ke Jawlan di Syria, sebelah Timur Damsyik. Dalam bidang politik dan pemerintahannya banyak dipengaruhi oleh unsur-unsur politik Rom. Jafnah Bin Amru dilantik sebagai Raja Ghassan yang pertama oleh Kaisart Rom pada tahun 490 M. Kejatuhan Jerusalem dan Samsyik (613-14 M) ke tangan Khusraw Parwiz daripada Kerajaan Parsi telah meruntuhkan sama sekali Kerajaan Ghassan.

Kedudukan Ghassan yang strategik dari segi perdagangan telah menjadikan ekonominya berkembang maju. Rom menjadikan Ghassan sebagai pusat perdagangan di rantau itu sekaligus dapat menghubungkan aktiviti perdagangan Timur-Barat. Hal ini kerana Rom inginkan pengaruh dan kuasa ekonomi bagi mengendalikan aktiviti perdagangan di Semenanjung Tanah Arab.

Kesimpulan
Huraian di atas jelas menunjukkan keempat-empat kerajaan Arab di Utara mempunyai hubungan secara langsung dengan kedua-dua kuasa besar, iaitu Empayar Rom dan Empayar Farsi. Penglibatan Empayar Rom dalam politik dan ekonomi Kerajaan Anbat dan Tadmur lebih aktif berbanding dengan Empayar Farsi. Manakala di Ghassan dan Hirah pula setiap empayar mempunyai penguasaan secara langsung iaitu Empayar Rom di Ghassan dan Empayar Farsi di Hirah. Kesan yang jelas daripada hubungan tersebut ialah berlakunya pencaturan politik dan ekonomi di antara Kerajaan Rom dan Parsi ke arah penguasaan ke atas kerajaan Arab Utara. Pencaturan berlanjutan sehingga kemunculan agama Islam.

2) Nabi Muhammad s.a.w. adalah pemimpin ummah. Terangkan sifat-sifat kepimpinan baginda berdasarkan riwayat hidup baginda sewaktu berada di Kota Madinah.

Pendahuluan
·                         Nabi Muhammad s.a.w. adalah seorang Nabi, Rasul dan pemimpin    ummah. Sejarah perjuangan baginda melalui 2 tahap atau zaman.   Zaman Mekah (13 tahun) dan Zaman Madinah (10 tahun). Sewaktu    di Mekah, tumpuannya adalah kepada soal-soal aqidah dan     akhlak, sementara di Madinah, skop perjuangan adalah lebih    luas lagi merangkumi aspek-aspek aqidah, akhlak, perundangan,     politik, ekonomi, sosial dan ketenteraan. Oleh itu, era    Madinah adalah era mencabar.
·                         Latar belakang masyarakat Madinah.
·                         Konsep ummah adalah konteks masyarakat Madinah.

Sifat-sifat Kepimpinan Nabi Muhammad di Madinah
·                         Bidang keagamaan: Baginda bersifat toleransi dan berdakwah      secara hikmah serta menunjuk ajar tentang Istam secara     teratur lagi bijaksana. Masjid dijadikan sebagai institusi utama di dalam Islam. Dengan sebab itu, baginda segera      mendirikan masjid Quba' dan Nabawi di Madinah.
·                         Bidang sosial: Baginda menunjukkan sifat-sifat keadilan dan     penyamaan taraf di antara sesama manusia iaitu satu dari hak asasi manusia yang diperjuangkan oleh Islam. Ikatan    persaudaraan di antara Muhajirin dan Ansar adalah contoh utama yang ditunjukkan oleh baginda.
·                         Bidang ekonomi: Baginda telah menunjukkan contoh yang baik      sebagai seorang peniaga dan pengembala yang tekun dan gigih      sewaktu di Mekah. Sifat-sifat ini diikuti sahabat-sahabat baginda sewaktu mereka berada di Madinah. Saiyidina Uthman     dan Abdul Rahman Bin  Auf' terkenal sebagai hartawan dan saudagar besar.
·                         Bidang politik: Baginda memang terkenal sebagai negarawan yang pintar. Baginda telah mengendalikan urusan perjanjian Aqabah dengan bijaksana sehingga terlaksana sebuah Kerajaan    Islam yang kukuh di Madinah. Dalam pada itu, baginda berjaya     mendamaikan puak-puak yang bersengketa iaitu di antara Kaum     Yahudi, Aus dan Khazraj. Baginda juga berjaya mengatasi    masalah Kaum Munafiq yang selalu menimbulkan fitnah.
·                         Bidang ketenteraan: Baginda telah menunjukkan sifat keperwiraannya dan tabah di dalam perjuangan ketika menentang    musuh. Baginda sentiasa bersifat adil dan bertimbang rasa,     dengan sebab itu baginda dihormati dan disegani oleh pihak    kawan dan lawan.
·                         Bidang kehakiman: Selain dari memimpin tentera, mengurus hal    ehwal negara, baginda juga bertindak sebagai seorang hakim     yang bertanggungjawab menyelesaikan segala bentuk masalah      yang dihadapi oleh umat Islam berdasarkan kepada wahyu yang diturunkan kepadanya ataupun berdasarkan ijtihad baginda sendiri.
·                         Sifat peribadi: Baginda adalah contoh yang terbaik (uswah hasanah) untuk diikuti dan diteladani. Baginda sangat pemaaf,      penyabar, pemalu, bergaul dengan sesiapa sahaja dengan baik   dan lain-lain lagi.

3) Sultan Iskandar Thani merupakan salah seorang pemerintah Acheh yang sangat mengambil berat soal perkembangan agama Islam. Jelaskan pernyataan ini.

Pendahuluan
·                         Pemerintahan Acheh sebelum Iskandar Thani.
·                         Riwayat hidup Iskandar Thani - putera Sultan Ahmad Shah dari    Pahang - ditawan dan dibawa ke Acheh pada tahun 1618 - anak angkat dan menantu Iskandar Muda Mahkota Alam - memerintah      dari tahun 1636 sehingga 1641 - kurang mengambil berat soal     ketenteraan - lebih menumpukan perhatian kepada perkembangan ilmu dan agama Islam.

Isi
Menghentikan Aktiviti Ketenteraan dan Perluasan Wilayah
Hal ini adalah untuk memudahkan beliau menumpukan perhatian kepada kegiatan dakwah dan penyebaran ilmu pengetahuan Islam. Dalam suasana yang aman ini, para cendekiawan boleh bergiat cergas tanpa rasa cemas.

Menumpukan Kegiatan Ilmu dalam Semua Bidang
Semua bidang ilmu pengetahuan Islam diberikan perhatian yang sama termasuklah tauhid, fekah, tasauf sastera dan lain-lain. Golongan ulamak dan penulis yang bergiat pada zaman sebelumnya tetap meneruskan kegiatan mereka.

Menjemput Ulamak dari Luar
Ramai ulamak dari luar dibawa masuk ke Acheh bagi membantu meningkatkan kegiatan ilmu. Mereka diminta mengajar di pusat-pusat pengajian tinggi. Ulamak-ulamak tersebut dibawa dari India, Mesir, Turki, Mekah dan sebagainya. Ulamak terkenal di zamannya ialah Nurudin al-Raniri dari Randhir India.

Menumpukan Lebih Perhatian kepada Institusi Pendidikan
Sistem pendidikan yang telah sedia ada iaitu bermula dari peringkat rendah / munasah, menengah / rangkang dan Jamiah / universiti telah diperkemaskan lagi. Pada zaman ini, sudah wujud Jamiah Bait al-Rahman yang sangat terkenal dan setanding dengan universiti di Coedova, Mesir, Moroko dan sebagainya.

Membantu Ulamak dan Mubaligh
Beliau sangat mengambil berat terhadap kebajikan golongan ini supaya mereka dapat melaksanakan tugas-tugas dakwah dengan sempurna. Sikap ini menyebabkan golongan ulamak tertumpu ke Acheh. Beliau selalu berbincang masalah agama dan pentadbiran dengan mereka.

Menjalinkan Hubungan Diplomatik dengan Negara Islam
Beliau sentiasa memastikan hubungan dengan negara-negara Islam yang lain seperti Arab, India dan Turki sentiasa di dalam keadaan baik. Hal ini akan memudahkan beliau mendapatkan bantuan ketenteraan dan intelektual khususnya bagi menghadapi ancaman kuasa Kristian.

Menjadikan Acheh sebagai Pusat Kebudayaan
Beliau berusaha menjadikan Acheh sebagai pusat kebudayaan dan ilmu Islam di Nusantara. Hasilnya, ramai tokoh Islam telah muncul di Acheh dengan menghasilkan karya yang banyak dan bermutu. Nurudin al-Raniri sahaja telah berjaya menghasilkan sebanyak 29 buah buku agama.

Meningkatkan Kegiatan Dakwah
Dakwah secara lisan dan penulisan telah ditingkatkan lagi bukan sahaja di dalam malah di luar Acheh. Ulamak-ulamak dari Acheh di hantar ke merata tempat. Mereka dikatakan telah berdakwah hingga ke Filipina dan Tanah Melayu.

Mengembangkan Pelbagai Aliran Terikat
Beliau menggalakkan perkembangan pelbagai aliran terikat di Acheh. Di antara aliran tersebut termasuklah aliran satariah, gadariah dan naqsyabandiah dan sebagainya.

Membantera Ajaran Wahdatul Wujud
Untuk menjaga kesucian ajaran tasawuf Islam beliau terpaksa menghapuskan fahaman-fahaman yang dikatakan bertentangan dengan akidah termasuklah fahaman Wahdatul Wujud yang didokong oleh Hamzah Fansuri dan Shamsudin al-Sumaterani.

Kesimpulan
Berdasarkan fakta diatas, jelas menunjukkan beliau adalah seorang pemerintah yang sangat mengambil berat tentang perkembangan Islam. Melalui usaha tersebut, beliau telah berjaya mengekalkan kedudukan Acheh sebagai Serambi Mekah.

4) Orang Arab Jahiliah merupakan bangsa yang bertamadun. Bincangkan.

Pendahuluan
·                         Tamadun hendaklah diertikan sebagai pembangunan duniawi yang    terbatas kepada aspek fizikal semata-mata seperti politik,   ekonomi dan seumpamanya.
·                         Jahiliah hendaklah diertikan sebagai bodoh atau kebodohan hanya berkaitan dengan soal keagamaan semata, iaitu kebodohan orang Arab zaman itu dari aspek aqidah kepercayaan, hukum-    hukum dan akhlak. Oleh itu, kebodohan meerka tidaklah bererti    bahawa mereka itu tidak bertamadun dan berkamajuan dalam     aspek duniawi.

Aspek-aspek Tamadun Orang Arab Jahiliah

Aspek Kebudayaan
·                         Orang Arab Jahiliah telah mencapai kemajuan yang tinggi dalam   bahasa. Di kalangan mereka dapat penyair-penyair yang    terkenal hingga ke hari ini. Di antaranya seperti Umar al-    Qais, Antarah, Shear, Naqabat dan lain-lainnya. Mereka telah menghasilkan karya-karya sastera yang amat tinggi mutunya,     idea-idea yang terdapat di dalamnya mengandungi pemikiran dan   unsur-unsur falsafah.
·                         Orang-orang Arab Jahiliah mempunyai kemahiran di dalam seni     bina seperti Empangan Maa'rib.
·                         Orang-orang Arab Jahiliah mempunyai kemahiran dalam bidang      membuat barangan seperti bertenun pakaian dan membuat alat- alat dan perabut.

Aspek Ekonomi
·                         Orang Arab Jahiliah telah mencapai kemajuan ekonomi dalam bidang perdagangan. (a) Kota Mekah telah menjadi pusat     perdagangan yang terkenal pada zaman itu; (b) Orang-orang     Quraisy telah menjadi pedagang-pedagang yang terkenal. Pada      musim sejuk, mereka berdagang ke Yaman dan di musim panas ke     Syam. Mereka juga telah mengadakan perdagangan dengan      pelbagai negeri luar seperti India, Parsi, Mesir dan     sebagainya.
·                         Orang Arab Jahiliah juga telah mencapai kemajuan ekonomi   dalam bidang pertanian. Empangan Maa'rib bukan sahaja dapat      mencegah banjir tetapi juga dapat mengairkan ladang.
    
Aspek Politik
·                         Orang Arab Jahiliah telah mewujudkan pemerintahan yang     berbentuk kerajaan yang lengkap seperti Kerajaan Main dan     Himyar di sebelah Selatan, Kerajaan Hirah, Tadmur, Nabat dan   Ghassan di Utara.
·                         Di kota Mekah sendiri mempunyai satu sistem pentadbiran yang    teratur yang dikuasai oleh kaum Quraisy.

Aspek Ekonomi
Dalam aspek sosial orang Arab Jahiliah telah menunjukkan ciri-ciri kemajuan yang bernilai tinggi dalam susunan masyarakat mereka yang berkabilah itu terdapat di dalamnya nilai-nilai baik dan peraturan yang berkesan.

5) Sungguhpun negeri-negeri di Semenanjung Arab sebelum turunnya al-Quran masih mundur namun mereka tidaklah terpisah dari tamadun dunia. Bincangkan faktor-faktor yang menghubungkan mereka dengan tamadun dunia.

Pendahuluan
Semenanjung Arab terbahagi kepada dua kawasan: tengah dan pinggir. Kawasan tengah diliputi padang pasir dan hampir terbiar dan tidak terdedah kepada pengaruh asing. Tetapi kawasan pinggir laut adalah sebaliknya. Ia terdedah kepada pengaruh asing. Dari kawasan pinggir inilah verlaku perhubungan di antara orang Arab dengan bangsa-bangsa asing termasuk Greek, India, Rom, Parsi dan sebagainya. Kawasan pinggir laut pula boleh dibahagikan kepada dua: Selatan dan Utara. Di sebelah Utara terdapat beberapa buah kerajaan: Anbat (Nabatean), Tadmur (Palmyra), Ghassan dan Hirah. Sementara di sebelah Selatan pula ialah Kerajaan Ma'in, Saba' dan Himyar. Kerajaan-kerajaan tersebut juga boleh dibahagikan kepada dua kategori: yang dipengaruhi secara langsung oleh bangsa asing, yang dipengaruhi secara tidak langsung oleh bangsa-bangsa asing seperti Kerajaan Ma'in, Qataban dan Saba' di Selatan, Anbat dan Tadmur di Utara. Sementara yang dipengaruhi secara langsung oleh bangsa asing ialah Kerajaan Ghassan dan Hirah di Utara, Himyar di Selatan.

Faktor-faktor

Geografi
Semenanjung Arab terletak di pertengahan jalan perdagangan antara Barat dan Timur.
 
Perdagangan
Semenanjung Arab, khususnya bahagian pantai, mempunyai eksport seperti rempah, bau-bauan, kulit binatang dan lain-lain. Di situ juga terdapat beberapa pelabuhan penting seperti Adna dan Siraf di Selatan, Ubullah dan Syu'aibah di Utara bagi mengendalikan pertukaran barangan, import dan eksport. Di sinilah berlakunya perhubungan di antara orang-orang Arab dengan saudagar-saudagar yang datang dari negeri India, China, Parsi dan sebagainya. Negara Habshah dikatakan mempunyai hubungan rapat dengan Hijaz. Orang-orang daripada negara itu pada zaman Kerajaan Ma'in, Saba' dan Himyar sering berulang alik ke Hijaz kerana ingin memonopoli perniagaan rempah di sana.
 
Hubungan Diplomatik
Negara-negara Arab tersebut mengadakan hubungan diplomatik dengan negara-negara asing termasuk Greek, Rom, Parsi dan India. Malah ada antaranya yang mengikat perjanjian dan bernaung di bawah kuasa-kuasa asing, iaitu Ghassan di bawah Rom, Hirah di bawah Parsi. Manakala Himyar jatuh ke tangan Habshah untuk beberapa tahun setelah itu.
 
Ketenteraan
Empayar Rom dan Parsi sering berperang untuk mendapatkan kuasa di Semenanjung Arab. Justeru itu, negera-negara Arab di kawasan pantai telah meniru sistem pentadbiran tentera Rom dan Parsi.
 
Agama
Bangsa-bangsa asing telah membawa agama masing-masing ke Semenanjung Arab. Orang-orang Rom dan Habshah membawa agama Kristian. Orang-orang PArsi membawa agama Majusi. Sementara pedagang-pedangan dan pelarian Yahudi membawa agama Yahudi dan fahaman monoteisme. Agama Kristian tersebar di Najran, agama Yahudi di Yathrib, Wadi al-Qura sementara agama Majusi di Yaman dan Hirah.
 
Ilmu Pengetahuan
Dengan kedatangan bangsa-bangsa asing itu, bidang-bidang ilmu pengetahuan seperti kejuruteraan, senibina, pertanian, kebudayaan dan politik tersebar di kawasan pinggir Semenanjung Arab.
 
Menerusi Parsi dan Habshah, pengaruh bahasa turut juga berlaku, sementara orang-orang Yahudi pula turut mempengaruhi penduduk Hijaz dalam kegiatan pertanian, perdagangan dan pertukangan.

6) Galurkan pertembungan awal di antara orang-orang Islam dengan negeri China dalam bidang politik, ketenteraan dan perdagangan.

Pendahuluan
Hubungan di antara negeri China dengan orang Arab sudah terjalin beberapa abad sebelum kelahiran Islam, setidak-tidaknya sejak abad ke-4 Masihi. Pada ketika itu, hubungan mereka boleh dikatakan hanya terbatas dalam bidang perniagaan/perdagangan sahaja. Tetapi setelah kelahiran Islam, hubungan tersebut menjadi semakin luas, bukan sahaja yang berkaitan dengan aspek politik dan ketenteraan malah dalam bidang lain yang berkaitan dengan sosio-budaya.

Isi-isi
·                         Pada tahun 651M, Maharaja China, Yong Hui telah mengirim   tentera bantuan kepada Maharaja Parsi, Yesdegrid III bagi     memerangi tentera Islam di Merv (Khurassan), tetapi telah     ditewaskan oleh gabenornya, Atnaf bin Qays al-Tamimi. Peristiwa ini berlaku pada zaman Khalifah Uthman bin Affan      ra.
·                         Setelah itu, Khalifah Uthman menghantar wakilnya ke negeri      China dengan memberi amaran keras terhadap Maharaja China itu yang pada ketika itu memerintah Dinasti Tang (618-907).
·                         Kerajaan Tang seterusnya mengikuti perkembangan tentera Islam   serta mencatatkan kegagalan Muawiyah menawan kota   Konstantinople pada tahun 675M.
·                         Pada zaman Khalifah al-Walid bin Abdul Malik (705-715) suatu    ekspedisi pimpinan Qutaibah bin Muslim al-Bahili telah dihantar ke kawasan Asia Tengah. Dalam ekspedisi ini, tentera Qutaibah telah bertempur dengan tentera dari India yang    disokong oleh tentera dari negeri China, tetapi kemenangan    adalah di pihak Qutaibah.
·                         Pada tahun 713M, Qutaibah telah menghantar perutusannya    seramai 6 orang ke negeri China bagi menyatakan hasratnya     untuk menawan negeri tersebut setelah berjaya menundukkan   beberapa buah negeri di kawasan Asia Tengah yang bersempadan   dengan negeri China termasuk Bukhara dan Samarkand.
·                         Pada tahun 726M, Khalifah Hisyam telah menghantar    wakil/dutanya ke negeri China untuk menemui Maharaja Hsuan     Tsung.
·                         Di akhir-akhir pemerintahan Bani Umayyah, sekumpulan puak Syiah Zaidiah telah berhijrah dari Khurassan ke negeri China     kerana takut diperangi tentera Bani Umayyah (Nur al-Din   Muhamad al-Qufi, Kitab Jami al-Hikayut, Manuskrip British Museum, fol. 368 - dipetik oleh M. Broomhall dalam bukunya,    Islam in China, h. 20).
·                         Hubungan perdagangan antara negeri China dengan orang Arab      sudah bermula sejak abad ke-4M lagi. Hubungan ini dilakukan    menerusi dalan laut di antara pantai Semenanjung Arab di kawasan Teluk Parsi dengan kawasan pantai negeri China di    sebelah Selatan, khususnya Canton.
·                         Menurut JC Van Leur dalam bukunya, Indonesian Trade and    Society, 1960, h. 9, sekitar abad ke-4M sudah terdapat     perkampungan Arab di Canton (Kwang Chow). Mereka itu bergiat     dalam bidang perdagangan.
·                         Pada tahun 618M dan 626M, perkampungan Arab Islam masih    disebut-sebut oleh para penulis sejarah Islam di negeri     China. Menurut H. Ibrahim Tien Ying Ma dalam bukunya,   Perkembangan Islam di Tiongkok, Penerbit Bulan Bintang,      Jakarta, 1979, h. 31, menjelang berakhirnya Dinasti Tang    terdapat seramai 120,000 orang penghijrah di Tiongkok (China)   dan 80% daripadanya adalah keturunan Arab yang bergiat dalam     bidang perdagangan.
·                         Kaum perniaga Arab yang berada di negeri China telah diislamkan oleh mubaligh yang terkenal iaitu Sa'd bin Lubaid al-Hasbyi dan rakannya bernama Yusuf. Mereka berdua tiba di negeri China di sekitar tahun 9H-14H.
·                         Setelah itu ramai orang Islam datang berniaga di China,    terutama di Canton, San Gan You dan Yunnan. Barang-barang      yang diperniagakan (dari negeri China) ialah kertas, kain, teh, sutera, porselin, ubat-ubatan, (dari negeri Arab) ialah bau-bauan, permata, kulit binatang, mutiara, batu permata dan      sebagainya.
7) Jelaskan secara kritikal kesan-kesan pertemuan antara Tamadun Islam dengan Tamadun Hindu yang berlaku dalam zaman Kesultanan Islam Delhi.

Pendahuluan
Kesultanan Delhi ialah satu rangkaian dari beberapa pemerintahan Islam yang berpusat di Delhi. Zaman kekuasaan Kesultanan Delhi ialah selama 320 tahun, bermula dari tahun 1206 hingga 1526 Masihi. Dinamakan Kesultanan Delhi kerana para pemerintahnya menggunakan gelaran Sultan dan pusat pemerintahannya ialah di Delhi.

Kesan-kesan
Di antara kesan pertemuan Tamadun Islam dengan Tamadun Hindu yang berlaku di bawah pemerintahan kesultanan Delhi ialah :
 
Dalam ilmu pengetahuan
·                         Ajaran falsafah Islam telah membawa perubahan dalam bidang      ilmu mistik Hindu dan ajaran mistik Hindu pula mempengaruhi     kewibawaan sesetengah aliran tasawuf dalam Islam.
·                         Para intelek Islam banyak yang menyelidik falsafah Hindu, ilmu perubatan dan ilmu astrologi Hindu. Pakar-pakar    astronomi Hindu pula banyak meminjam istilah-istilah     astronomi Islam dan menerima teori dan pendapat pakar-pakar     astronomi Islam.
·                         Penyair-penyair Islam telah memperkenalkan suatu bentuk    karangan puisi kepada sastera Hindu.

Dalam kesenian
·                         Tamadun Islam banyak mempengaruhi Tamadun Hindu khususnya dalam semi bina dan seni reka bentuk bangunan.
·                         Lebih jelas lagi dengan adanya percampuran antara orang-orang   Islam dengan orang-orang Hindu telah melahirkan suatu bahasa     baru yang terkenal sebagai bahasa Urdu.

Kesimpulan
Dijelaskan serba ringkas tentang adanya penyerapan Tamadun Islam dalam perkembangan Tamadun Hindu dan adanya pengaruh Tamadun Hindu di dalam perkembangan pemikiran Tamadun Islam.

8) Jelaskan faktor-faktor yang membawa kepada berlakunya Perang Salib dan analisakan akibat-akibat peperangan tersebut ke atas orang-orang Islam dan Kristian.

Pendahuluan
Perang Salib ialah beberapa siri peperangan yang berlaku di antara orang-orang Islam dengan orang-orang Kristian. Perang ini berpunca dari kalangan orang-orang Kristian menguasai Baitul Mukadis. Perang ini merupakan kemuncak ketegangan hubungan antara orang-orang Kristian dengan orang-orang Islam yang berlaku sejak berjayanya orang-orang Islam meluaskan kekuasaan mereka di Barat dan di Selatan dan telah berjaya menumpaskan kekuatan Kristian Rom. Perang ini bermula apabila Paul menyeru orang-orang Kristian bersatu semula untuk menundukkan orang-orang Islam dan menguasai daerah-daerah yang dikuasai oleh mereka terutama Baitul Mukadis yang dianggap sebagai kota suci Kristian. Perang Salib berlaku selama hampir 200 tahun, iaitu bermula dari tahun 1096 Masihi hingga 1291 Masihi dan berakhir dengan kemenangan pihak orang-orang Islam.

Faktor-faktor yang membawa kepada Perang Salib
Faktor-faktor yang membawa kepada Perang Salib boleh dilihat dari 2 bahagian iaitu faktor umum jangka panjang dan faktor khusus jangka pendek.

Faktor umum jangka panjang
·                         Soal keagamaan
·                         Soal-soal ekonomi dan perdagangan
·                         Soal-soal politik dan kekuasaan

Faktor umum jangka pendek
·                         Padri besar Christendom bercita-cita menyatukan seluruh orang   Krsitian yang berpecah belah di bawah Gereja Yunan dan Gereja     Rom. Perang Salib dijadikan sebagai alat untuk penyatuan ini.
·                         Paus Urben II yang menyeru orang-orang Kristian supaya     bersatu menentang orang-orang Islam telah mendapat perhatian    dari pembesar dan pegawai-pegawai Kristian atas semangat   perjuangan agama penentang Islam.
·                         Masyarakat Kristian Eropah menghadapi banyak masalah runtuhan   dan kehancuran maka raja-raja dan pembesar menyokong dan     mendokong Perang Salib sebagai satu jalan keluar supaya    rakyat mereka melupakan masalah yang dihadapi di dalam   negara.
·                         Raja-raja dan pembesar Eropah ingin meluaskan kuasa kiranya     angkatan Perang Salib berjaya maka kedudukan mereka bertambah     teguh dan dihormati.

Akibat Perang Salib
·                         Perang Salib telah membawa banyak kerugian kepada orang-orang   Islam di mana pembangunan dan kemajuan negara telah terjejas      kerana penumpuan perhatian diberikan kepada masalah peperangan, keadaan ini menyebabkan kemerosotan ekonomi dan pembangunan negara.
·                         Walaupun orang-orang Kristian telah tewas dalam Perang Salib    tetapi mereka berjaya mengembangkan pengaruh mereka dan    menyebarkan ajaran agama mereka.
·                         Perang Salib telah memberikan kesedaran kepada orang-orang      Islam tentang perlunya perpaduan.
·                         Perang Salib telah menanamkan dendam permusuhan yang semakin    menyala di antara orang-orang Kristian dengan orang-orang      Islam yang membawa kepada tindakan-tindakan permusuhan hingga      ke hari ini.
·                         Dengan Perang Salib Kerajaan Rom di Timur dan di Barat telah    menjadi lemah.
·                         Golongan Feudal Kristian yang banyak membiayai Perang Salib     telah rugi dan kecewa.

Kesimpulan
Kesimpulan ini mesti mengandungi beberapa ajaran yang diterima daripada Perang Salib.

9) Bincangkan faktor-faktor yang membawa kepada perkembangan sosio-ekonomi dalam masa pemerintahan Abbasiyah I.

Pendahuluan
·                         Dinasti Abbasiyah I muncul selepas kejatuhan Bani Umayyah pimpinan Khalifah Marwan bin Muhammad pada tahun 132H.
·                         Bermula dari Khalifah al-Saffah hingga al-Wathiq.
·                         Keseluruhan pemerintahan berwibawa dan cekap kecuali al-Amin    yang banyak kelemahan terutama politik.
·                         Terdapat beberapa pergolakan dalam negeri tetapi perkembangan   pentadbiran, sosioekonomi, keilmuan dan kebebasan berfikir begitu memuncak bahkan dikira sebagai abad keemasan keilmuan      Islam.

Faktor perkembangan ekonomi
·                         Asas propaganda Dinasti Abbasiyah ialah reformasi sosial, ekonomi dan jaminan keadilan serta penghapusan semua corak      kezaliman yang terjadi pada peringkat akhir Dinasti Umayyah.
·                         Pemerintah Abbasiyah mengatasi masalah dan konflik ekonomi di   kawasan-kawasan penting seperti Khurasan, Asfihan dan lain- lain dengan mengurangkan cukai.
·                         Ketegasan Khalifah al-Mansur mengenai ekonomi dengan pengawasan rapi ke atas pegawai cukai dan zakat. Mana-mana yang terlibat dalam penyelewengan segera dipecat. Pentadbiran   Kharaj negara dikemaskinikan.
·                         Khalifah al-Mahdi memperkenalkan cukai berasaskan kadar hasil   tanaman bukan kepada keluasan tanah lading seperti yang lalu.    Cukai buah-buahan berdasarkan jauh dekat dengan kota. Negara    mempunyai kemasukan tetap. Petani dapat elakkan kejatuhan mengejut.
·                         Zaman al-Rasyid cukai-cukai di Iraq dikurangkan. Menambah projek tali air, empangan dan kerajaan menyediakan jurutera    dari peruntukan Bait al-Mal. Beban ekonomi rakyat bertambah      ringan.
·                         Di bidang industri kerajaan menggalakkan perpindahan ahli pertukangan dan kemahiran dari desa ke kota. Integrasi   kemahiran antara Muslim dengan non-Muslim begitu meningkat dan maju.
·                         Pengeluaran bahan galian seperti emas, perak, besi, tembaga     di Mesir Timur, Asfihan, Bukhara, Kirman, Kabul, Sicily      mengukuhkan sector industri negara.
·                         Zaman al-Rasyid pasaran bertaraf antarabangsa meluas. Import    eksport begitu aktif dengan Mesir, Syam, Moroko, Andalusia,      India, China dan Eropah menyebabkan sektor perdagangan    memuncak.
·                         Perdagangan melalui darat dan laut; pusat-pusat penting,   Baghdad, Hamadan, Rayy, Naisabur, Tus, Bukhara, Samarkand terus ke China begitu juga ke Riqqah, Ramlah, Kahirah,    Iskandariah terus ke Eropah.

Pembangunan sosial
·                         Sebahagiannya kesan dari pertumbuhan ekonomi yang pesat    mewujudkan golongan kapitalis terutama elit kenamaan dan berada.
·                         Kemewahan jelas dari taraf hidup terutama pembangunan rumah-    rumah mewah, makan minum, pakaian dan sebagainya.
·                         Perkembangan Islam ke kawasan yang dikuasai oleh kedaulatan     Abbasiyah banyak mengubah nilai sosial terutama di Khurasan   selepas ramai bangsa Iran memeluk Islam.
·                         Kejayaan seruan Abbasiyah di negeri belakang sungai (Oxus)      disebabkan ramai bangsa Turki memeluk Islam.
·                         Islamisasi dan Arabisasi digerakkan secara serentak menyebabkan budaya Islam begitu aktif di kawasan-kawasan baru    Islam. Ini ternyata bila abad ke-3H kutipan jizyah dari non-   Muslim amat berkurangan dalam khazanah negara kerana ramai sudah memeluk Islam.
·                         Penglibatan langsung Khalifah dalam program penyebaran Islam    termasuk cara mempengaruhi non-Mislim dengan dialog oleh     golongan Mutakallimin, cara teladan oleh ulama' dan fuqaha',    cara menimbulkan tasawaf dari golongan sufi.
·                         Aliran kahwin campur di antara Arab dengan bangsa tempatan      atau sebaliknya, akhirnya melahirkan generasi Islam dengan    keistimewaan tersendiri: sifat, mentality dan kepakaran.

Kesimpulan
Perkembangan sosioekonomi kerajaan Abbasiyah I begitu ketara baik di peringkat kota mahupun desa iaitu dari kesan peningkatan taraf hidup sama ada dalam aspek kebendaan mahupun kerohanian, dengan aktiviti penyebaran Islam terutama ke kawasan baru sehingga melahirkan sosial yang berbudaya Islam.

10) Kaji faktor-faktor yang menyebabkan Khalifah Umar bin Abdul Aziz dianggap sebagai Khalifah yang teragung selepas Khulafa al-Rasyidin.

Pendahuluan
Latar belakang Khalifah Umar bin Abdul Aziz:
·                         Khalifah Dinasti Umayyah yang ke-8. Dilantik menjadi Khalifah   selepas Sulaiman bin Abdul Malik.
·                         Pentadbirannya di Madinah lebih menekankan aspek keselamatan    dan kemakmuran rakyat, pembangunan wilayah dan kebajikan     rakyat.
·                         Menjadi gabenor Madinah pada zaman al-Walid bin Abdul Malik     tahun 87H.
·                         Mendampingi para ulamak dan fuqaha'. Meletakkan mereka     sebagai penasihat pentadbirannya. Mereka seperti Urwah bin      al-Zubair, Abu Bakar bin Abdul Rahman, Sulaiman bin Yassar   dan lain-lain.
·                         Perwatakan yang aneh sebelum menjawat jawatan; ia seorang lelaki yang suka keindahan dan berseronok, suka berlebihan.

Faktor keagungan Umar bin Abdul Aziz
Reformasi politik
·                         Praktik keadilan dan kesederhanaan hidup ke atas diri dan anggota keluarga sebelum rakyat. Terbukti dari tindakan awal   ke atas kekayaan isteri sendiri.
·                         Menghapuskan tradisi feudal yang mewarisi sistem politik di     akhir-akhir dinasti Umayyah yang memiliki kekayaan secara tidak sihat.
·                         Melonggarkan peraturan pejabat Khalifah bagi membolehkan   semua lapisan rakyat menyampaikan rayuan atau aduan.
·                         Memecat pegawai yang menindas rakyat seperti di Mesir,     Khurasan, Iraq dan Afrika. Mengetatkan peraturan kepada para pegawai supaya lebih bertanggungjawab tetapi dinaikkan gaji   dan sara hidup; sebagai imbangan dan bagi mengelakkan berlaku      penyalahgunaan kuasa.
·                         Membatalkan tugas pengepongan ke atas kota Konstantinople sekian lama kerana dikira kurang adil terhadap golongan   tentera.
·                         Menghapuskan cukai jizyah ke atas orang bukan Islam yang   memeluk agama Islam.
·                         Menghentikan tindakan keras ke atas penentang seperti      Khawarij sebaliknya menggunakan dialog.
·                         Politik sihat menyebabkan ramai ulama' dan ahli fikir seperti   Hasan al-Basri, al-Syaabi, Abu Bakar Abdul Rahman dan lain-  lain tampil semula melibatkan diri dalam pentadbiran.

Reformasi sosial
·                         Mengembalikan elit masyarakat ke taraf yang sesuai.
·                         Memperbanyakkan sumber bantuan kepada fakir miskin, orang cacat dan sakit, orang buta diberi peruntukan khas termasuk    pemandu-pemandu ketika diperlukan.
·                         Biasiswa dan sara hidup kepada para pelajar dan lain-lain kemudahan pelajaran.
·                         Ubahsuai layanan kepada para banduan iaitu pasungan yang   selesa dan tidak menghalang bersembahyang dan tidur.      Memperbaiki taraf kesihatan mereka.
·                         Menyediakan kemudahan percuma kepada pelancung dan menubuhkan   Dar al-Dhiafah (istana tamu).
·                         Memperbanyakkan tempat ibadat seperti masjid tetapi tidak utamakan hiasan dan keindahan.
·                         Memperkemaskinikan system jual beli di pasaran dan   membasmikan buruh paksa.
·                         Mengumpul, menyusun dan membukukan Hadis Nabi kali pertama      dalam sejarah.
·                         Memperluaskan perkhidmatan sistem pos tidak hanya kepada   urusan rasmi negara tetapi Malayan semua lapisan masyarakat.

Reformasi ekonomi
·                         Ekonomi rakyat meningkat, kemiskinan awam dapat dibasmi pada    zamannya sebab keadilan pemerintahan dan konsep jimat cermat      keluarga Khalifah sendiri jadi teladan tanpa disuruh.
·                         Sistem pungutan cukai dikemaskinikan dan projek-projek yang     utama ditingkatkan termasuk pembukaan ladang-ladang baru,      tanah pertanian, memperbanyakkan tali air, terusan serta membina jalan-jalan raya bagi kemudahan pengangkutan dan    perhubungan.
·                         Peralatan dan perhiasan upacara rasmi negara yang dianggap      mewah dihapuskan dan peruntukkannya dimasukkan ke Bait al-Mal bagi kemudahan rakyat jelata.
·                         Harta-harta rakyat yang telah dimiliknegarakan dipulangkan.     Semangat kerja rakyat kembali pulih, hasil bertambah. Dengan      itu, pungutan cukai juga meningkat.

Kesimpulan
Keadilan pentadbiran yang berjalan selaras dengan ajaran Islam dalam pemerintahan Umar bin Abdul Aziz terutama keadilan sosial, ekonomi dan politik menyebabkan negara dan rakyat hidup makmur dan bahagia seperti zaman-zaman Khulafa al-Rasyidin.

No comments: