ABSTRAK
Makalah ini akan memperincikan tentang isu Bahasa Melayu dalam milenium ini yang akan terus menjadi wacana pelbagai pihak dalam menghadapi cabaran politik, ekonomi dan sosial pada era globalisasi. Malah ramai di kalangan masyarakat berasa bahawa Bahasa Melayu semakin terpinggir dan ramai yang mula risau akan pencapaian Bahasa Melayu dalam pelbagai bidang seperti ekonomi dan pendidikan. Sekiranya perkara ini terus berlaku maka Bahasa Melayu akan layu dalam perkembangan ledakan informasi yang sedang melanda dunia akibat daripada kemajuan teknologi komunikasi. Oleh itu, saya melaksanakan penyelidikan ini dan mengkaji sejauh manakah akan pencapaian Bahasa Melayu dalam bidang pendidikan.
Kajian bagi penyelidikan ini lebih tertumpu kepada kajian dalam beberapa buku, Jurnal, Kertas Seminar dan Artikel hasil keluaran Dewan Bahasa dan Pustaka yang merupakan sebuah badan berkanun yang diberi autonomi untuk menggubal dasarnya yang khusus iaitu menyusun program pembinaan dan pengembangan bahasa dan sastera, dan menjalankan kegiatan penerbitan dan perniagaan buku secara kompetatif menurut prinsip dan amalan perusahaan dan profesion penerbitan yang sentiasa dinamik.
Hasil utama yang telah dipertemukan melalui penyelidikan ini adalah perkembangan era globalisasi dunia pada ke-21 ini, yang mana telah dipercepatkan oleh perkembangan tekonologi maklumat dan komunikasi ( ICT ), berdaya untuk meneruskan proses evolusi Bahasa Melayu ke peringkat maya yang sudah pasti akan memberi cabaran-cabaran baru kepada bidang pendidikan.
Secara kesimpulannya, pengupasan dan penghuraian yang dibuat ini merupakan satu bentuk pandangan dan tinjauan secara umum kepada masyarakat tentang isu dan cabaran asas Bahasa Melayu dalam perspektif pendidikan. Bahasa Melayu dapat memupuk jati diri masyarakat bahasanya lebih-lebih lagi dalam arus pemodenan dan penyejagatan dunia. Jangan biarkan bahasa Melayu menyerantau di raung siber tanpa dipedulikan oleh masyarakat bahasanya sendiri dan akhirnya pupus di mata dunia.
DASAR BAHASA
Bahasa Melayu yang dijadikan sebagai Bahasa Kebangsaan dan Bahasa Rasmi negara Malaysia, mempunyai sejarah silam (historicity), daya hidup (vitality), serta autonomi (autonomy) dan kelompok masyarakatnya (Ethnicity) yang tersendiri. Bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu telah tumbuh dan berkembang pesat seiring dengan kepesatan pembangunan negara khususnya dalam bidang pendidikan. Bahasa melayu juga sebagai bahasa penghantar utama dalam sistem pendidikan negara dapat dipertahankan dan diperkembangkan berdasarkan pelbagai akta dan laporan bermula daripada Penyata Razak (1959), Laporan Rahman Talib (1960), Akta Pelajaran (1961), Akta Bahasa Kebangsaan (1963 serta pindaan 1967) dan (1990), Laporan Jawatan Kuasa Kabinet Mengkaji Dasar Pelajaran (1979), dan Akta Pendidikan (1966). (Zainal Abidin Abdul Wahid, 2002).
Melalui bidang pendidikan Bahasa Melayu mampu merentangi segala cabaran untuk dinobatkan sebagai bahasa yang dapat diterima dan digunakan di peringkat dunia. Walau bagaimanapun, sebelum bahasa Melayu mampu dinobatkan sebagai bahasa yang diterima dan dipraktik oleh masyarakat maka pelaksanaan Aspirasi Bahasa Melayu mestilah bermula di peringkat ASEAN terlebih dahulu. Bagi mencapai hasrat dan matlamat ini usaha-usaha kearah menglobalisasikan Bahasa Melayu perlu dipergiatkan lagi. Ketika inilah waktu yang paling tepat kerana seluruh dunia sedang diambang oleh abad ke-21. Alaf baru adalah detik mula kebangkitan Bahasa Melayu dalam melayari globalisasi dan modenisasi.
Bahasa Melayu telah lama menjadi bahasa pengantar di sekolah, maktab, politeknik dan universiti. Penubuhan Universiti Kebangsaan Malaysia merupakan kemuncak bagi menentukan Bahasa Melayu digunakan sepenuhnya sebagai bahasa penghantar ilmu pengetahuan. Sehingga kini, universiti itu telah melahirkan ratusan ribu siswazah yang menerima pendidikan dalam Bahasa Melayu. Ratusan tesis dan disertasi pada peringkat ijazah sarjana dan kedoktoran ditulis dalam Bahasa Melayu, dan ratusan professor telah menyampaikan syarahan perdana tentang pelbagai ilmu dalam Bahasa Melayu. Ini membuktikan tidak syak lagi bahawa Bahasa Melayu telah membuktikan kejayaan dan keupayaan sebagai bahasa ilmu serta bahasa bagi wahana ilmu pengetahuan dalam pelbagai bidang.
KE MANAKAH HALA TUJU BAHASA MELAYU?
Sejak 47 tahun kemerdekaan Malaysia, banyak cabaran yang ditempuh oleh Bahasa Malayu dalam sistem pendidikan. Antaranya ialah persaingannya dengan Bahasa Inggeris, penggunaannya dalam pencetusan teknologi maklumat, peranannya menjelang abad ke-21 iaitu dalam era globalisasi dan sebagainya. Banyak tanda-tanda negatif yang dapat dikesan terhadap Bahasa Melayu. Antaranya ialah ragam dan gaya penggunaan bahasa yang tidak teratur, kalimat yang tidak gramatis, mencampuradukkan Bahasa Melayu dengan Bahasa Inggeris, penggunaan kata-kata asing secara sewenang-wenangnya, dan sebagainya. (Farid M.Onn, 1992).
Ada pandangan yang tercetus bahawa bagi menjadi sebuah negara yang maju, kita perlu menguasai Bahasa Inggeris dengan lebih baik kerana Bahasa Melayu dianggap sebagai tidak dapat mewujudkan negara yang maju menjelang tahun 2020. Selain itu, ada pendapat yang mencadangkan agar Bahasa Inggeris digunakan sebagai bahasa penghantar atau pengantara untuk beberapa kursus sains dan teknologi yang tertentu di Universiti-Universiti Awam atau Institusi Pendidikan Tinggi Awam seperti Universiti Malaya, Universiti Kebangsaan Malaysia, Universiti Sains Malaysia, dan lain-lain. Hakikatnya ialah meskipun usaha-usaha yang mendesak rakyat Malaysia untuk menguasai Bahasa Inggeris amat pesat, termasuklah menjadikan Bahasa Inggeris sebagai bahasa penghantar bagi mata pelajaran sains dan matematik di semua peringkat pengajian, hal ini tidak bererti bahawa Bahasa Melayu tidak lagi mempunyai peranan pada abad ini. Seseorang pelajar yang telah mengikuti sekolah rendah dan sekolah menengah melalui sistem pendidikan kebangsaan dijangka telah menerima pendidikan Bahasa Inggeris selama 11 tahun dan sepatutnya telah menguasai Bahasa Inggeris dengan baik dan sempurna. Maka di sini tidak lagi timbul isu kelemahan pelajar mengusai Bahasa Inggeris merupakan faktor kepada rombakan dalam sistem pendidkan negara yang kini berteraskan kepada pengajaran bilingual.
Bagi memartabatkan peranan bahasa Melayu dalam sistem pendidikan, beberapa langkah yang drastik harus disegerakan. Antaranya ialah melaksanakan Dasar Bahasa Kebangsaan yang tegas supaya nilai ekonomi Bahasa Melayu akan lebih terjamin. Intitusi Pengajian Tinggi Swasta harus menyediakan satu rancangan rasmi yang memaparkan usahanya untuk meMalaysiakan Institusi berkenaan sebelum pengiktirafan sesebuah Intitusi Pengajian Tinggi Swasta dilaksanakan. Selain itu, kerajaan harus memperbaiki kaedah pengajaran Bahasa Inggeris daripada menerapkan terus Bahasa Inggeris dalam pengajaran mata pelajaran sains dan matematik. Kerajaan juga harus menjalinkan hubungan kerjasama yang lebih erat dengan negara Indonesia dan Brunei untuk memperkembangkan Bahasa Melayu, serta beberapa langkah lain yang efektif yang boleh digagaskan secara bersepadu. (Zainal Abidin Abdul Wahid, 2002).
PERSAINGAN BAHASA MELAYU DENGAN BAHASA INGGERIS
Perkembangan Globalisasi dan Industrialisasi di pentas antarabangsa sangat ketara dan kepesatannya tidak boleh dibayangkan lagi. Fenomena ini menyebabkan Kementerian Pendidikan Malaysia telah mengambil dasar baru dalam pelaksanaan pengajaran dan penilaian bagi semua mata pelajaran Sains dan Matematik di peringkat sekolah termasuk peperiksaan Ujian Penilaian Sekolah Rendah, Penilaian Menengah Rendah, dan Sijil Peperiksaan Malaysia bagi supaya diajar dalam Bahasa Inggeris. Bertitik tolak daripada perkara ini, Persatuan Sains Matematik Malaysia (PERSAMA) dalam mesyuaratnya pada 29 Jun 2002 di Universiti Kebangsaan Malaysia telah melahirkan keperihatinan serta bantahan rasmi terhadap dasar yang telah diutarakan oleh Kementerian Pendidikan Malaysia.
Walaupun PERSAMA menyedari akan kepentingan Bahasa Inggeris di arena antarabangsa, namun mereka berpandangan bahawa sesuatu dasar baru yang ingin dilaksanakan haruslah melalui perancangan dan penyelidikan yang jelas matlamatnya, berhemah serta cermat terutama apabila memperlihatkan nasib anak bangsa yang akan mewarisi kepimpinan negara di semua peringkat di kemudian hari.
Terdapat banyak perkara atau usul yang boleh dikaji, dikemukakan dan diatasi berhubung dengan dasar pelaksanaan pembelajaran dan pengajaran yang melibatkan pengajaran dan penilaian Bahasa Inggeris dalam matapelajaran Sains dan Matematik. Dengan kelemahan yang amat ketara berhubung dengan kefasihan dan penguasaan Bahasa Inggeris di kalangan guru dan pelajar sekolah ketika ini, adalah amat sukar untuk memungkinkan dasar pengajaran mata pelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris menemui kejayaan seperti yang diimpikan oleh Kementerian Pendidikan Malaysia.
Selama ini usaha-usaha dalam pembinaan pangkalan data istilah, penulisan buku-buku teks serta pengajaran dan pembelajaran dalam Bahasa Kebangsaan di semua peringkat pendidikan prasekolah, sekolah rendah, sekolah menengah rendah, sekolah menengah tinggi dan sekolah tinggi telahpun berjalan dengan lancar sejak lebih 20 hingga 30 tahun lalu. Jika Bahasa Inggeris diutarakan, penggunaan istilah Bahasa Inggeris untuk mata pelajaran Sains dan Matematik adalah terlalu khusus dan seringkali membawa maksud yang berbeza dengan kegunaannya dalam pertuturan dan penulisan harian. Maka, PERSAMA berpendapat bahawa pengajaran dan pembelajaran Bahasa Inggeris dalam matapelajaran Sains dan Matematik bukanlah cara terbaik untuk mempertingkatkan lagi keupayaan serta penguasaan pelajar Bahasa Inggeris.
Misalnya, penyingkiran terus penggunaan Bahasa Melayu terhadap mata pelajaran Sains dan Matematik bermakna kita telah menafikan keupayaan Bahasa Melayu dalam mata pelajaran tersebut. Bagi meningkatkan penguasaan dalam Bahasa Inggeris, beliau telah menyarankan bahawa mata pelajaran yang khusus seperti English for Specific Purpose, English for Science and Technology atau Technical Writing lebih sesuai diadakan daripada menyingkirkan Bahasa Melayu daripada mata pelajaran Sains dan Matematik.
Pada masa kini, bilangan guru yang berkemampuan untuk mengajar subjek-subjek Sains dan Matematik serta yang memiliki kefasihan berbahasa Inggeris tidak mencukupi. Memendangkan guru-guru yang terdidik dan dididik di maktab-maktab serta universiti-universiti, yang mana kelulusan Bahasa Inggeris mereka adalah pada tahap minimal. Ini akan memberikan tekanan baru kepada para guru untuk menyampaikan bahan mereka dengan baik. Seterusnya ini akan menyebabkan kekeliruan serta kekusutan dalam pengajaran dan pemahaman pendidikan Sains, Teknologi dan Matematik di kalangan pelajar negara ini.
Mata pelajaran berteraskan Sains, khususnya Matematik bukanlah matapelajaran yang mudah dipelajari, diajar serta dihayati oleh guru dan murid. Lebih-lebih lagi Pelajar miskin dan pelajar di luar bandar amat lemah dalam penguasaan Bahasa Inggeris kerana tahap penggunaannya amatlah sedikit, iaitu hanya di sekitar bilik darjah ketika mata pelajaran tersebut diajar. Malah guru-guru di kawasan luar bandar tidak diperlukan menguasai Bahasa Inggeris kerana faktor persekitaran dan tahap pencapaian murid yang mereka ajar amat berbeza berbanding dengan pelajar di kawasan bandar. Justeru itu, jika dasar pengajaran serta penilaian mata pelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris ini diteruskan, maka jurang pencapaian dalam matapelajaran Matematik bagi semua peringkat peperiksaan UPSR, PMR dan SPM di antara pelajar miskin atau di luar bandar dengan yang berpendapatan sederhana/ tinggi dan yang tinggal di bandar akan menjadi bertambah luas. Majoriti ibu bapa miskin atau yang tinggal di luar bandar tidak mampu menghantar anak-anak mereka ke kelas-kelas tuisyen bagi memperbaiki keadaan ini memandangkan sumber kewangan yang terhad. Anak-anak mereka akan terus menghadapi masalah penguasaan dan kefahaman Bahasa Inggeris ditambah pula kesukaran mereka untuk memahami konsep atau istilah Matematik dan Sains. Akhirnya, mereka sukar dan gagal bersaing di peringkat lebih tinggi serta tidak ramai di kalangan mereka berpeluang melanjutkan pelajaran di peringkat yang lebih tinggi atas sebab dasar yang telah dibuat tanpa mengambil kira persekitaran dan suasana hidup yang mereka hadapi serta tiadanya usaha untuk membantu mereka mencapai cita-cita ini. (Awang Sariyan, 1991).
Berdasarkan kajian yang telah dilakukan terhadap pencapaian prestasi akademik bagi salah satu matapelajaran Sains iaitu Kimia dalam SPM tahun 1996-1998, hanya sejumlah 3.5% , 3.8% dan 4.2% pelajar bumiputera mendapat A1 dan A2 masing-masing pada tahun 1996, 1997, dan 1998. Ini menunjukkan peratus peningkatan pencapaian pelajar adalah amat kecil, meskipun soalan yang dikemukakan adalah dalam Bahasa Melayu. (Kamal Shukri Abdullah Sani, 2002).
Dalam era Globalisasi tanpa sempadan ini, semua warga kota bersetuju tentang peri pentingnya kemahiran serta penguasaan Bahasa Inggeris di kalangan penduduk Malaysia berbilang agama, bangsa, keturunan dan pendapatan. Tetapi dasar memperInggeriskan ( mengajar dan menilai dalam Bahasa Inggeris ) mata pelajaran Sains dan Matematik dalam sistem pendidikan Malaysia bukanlah jalan penyelesaiannya yang mutlak. Sebaliknya, Kementerian Pendidikan Malaysia yang memiliki professionalisme serta pakar-pakar dalam bidang pendidikan, pengajaran serta pembelajaran perlulah mengemukakan alternatif lain yang terbaik dan berpandangan jauh demi menjamin cita-cita yang dimaktubkan dalam Wawasan 2020.
SEJARAH BAHASA MELAYU MENJADI BAHASA KEBANGSAAN
Kesedaran orang melayu terhadap identiti dan Bahasa Melayu menyebabkan mereka bertindak memajukan pengajaran Bahasa Melayu dan memperjuangkan kedudukan bahasa tersebut dalam masyarakat. Malah, beberapa golongan telah merintis jalan dengan memperjuangkan kedaulatan Bahasa Melayu selaras dengan profesion masing-masing. Para guru memperjuangkan Bahasa Melayu sebagai bahasa penghantar yang tunggal di negara ini. Tuntutan ini datang daripada golongan masyarakat Melayu yang berpendidikan Arab dan sebahagiannya yang berpendidikan Inggeris. Persatuan-persatuan guru juga turut memainkan peranan penting dalam usaha mengangkat martabat Bahasa Melayu. Manakala, guru-guru lain turut memberi pengakuan tentang betapa mustahaknya Bahasa Melayu diberi status yang sewajarnya. Akhirnya Bahasa Melayu dapat diterima sebagai Bahasa Rasmi dan Bahasa Kebangsaan yang tunggal di Tanah Melayu.
PERKEMBANGAN BAHASA MELAYU
Perkembangan Bahasa Melayu agak pesat dan peranan serta fungsinya amat luas sama ada dilihat dari perspektif pendidikan mahupun dalam urusan rasmi dan tidak rasmi di Malaysia. Bahasa Melayu telah menjadi bahasa penghantar di sekolah-sekolah kebangsaan dan jenis kebangsaan. Kini Bahasa Melayu merupakan salah satu daripada matapelajaran wajib yang diajar dan dipelajari di sekolah rendah, menengah, tinggi dan maktab perguruan; misalnya kursus Pengajian Melayu yang ditawarkan di Universiti Malaya pada peringkat lepasan ijazah mengiktiraf akan kepentingan Bahasa Melayu. Penubuhan Dewan Bahasa dan Pustaka yang diberi tanggungjawab melaksanakan Bahasa Melayu dalam pendidikan khususnya yang berhubung dengan penerbitan dan perkembangan bahasa dan sastera. Selain itu, penubuhan Institusi Bahasa yang bertujuan untuk melatih dan menghasilkan guru-guru yang berwibawa dalam pengajaran Bahasa Melayu dan menjalankan penyelidikan dalam pelbagai aspek tentang bahasa khasnya Bahasa Melayu. Bahasa Melayu dianggap penting dan kelulusan wajib diperlukan dalam peperiksaan awam bagi memenuhi syarat persijilan. Secara beransur-ansur Bahasa Melayu telah diterima sebagai salah satu syarat bagi kelulusan peperiksaan awam. Malah universiti-universiti tempatan telah menggunakan Bahasa Melayu sebagai bahasa penghantar pengajian. Jelaslah bahawa Bahasa Melayu yang dianggap sebagai bahasa kampungan oleh penjajah barat dan hanya untuk dipertuturkan oleh kelas bawahan dalam tahap sosial Malaysia seperti golongan petani, buruh dan nelayan tidak benar sama sekali memandangkan kini Bahasa Melayu semakin menunjukkan kemampuannya untuk kental bersaing sehingga berjaya melahirkan para cerdik pandai atau ilmuwan yang menggunakan media Bahasa Melayu sebagai perantara.
BAHASA MELAYU DALAM PENDIDIKAN TEKNOLOGI MAKLUMAT
Teknologi Maklumat dan Komunikasi ( ICT ) yang merupakan tempias atau kesan lansung daripada perkembangan dan kemajuan yang pesat dalam bidang mikroelektronik sehingga menghasilkan pelbagai kemudahan teknologi maklumat seperti komputer peribadi, telekomunikasi multimedia dan sebagainya. Seterusnya kemunculan internet telah meluaskan penggunaan ICT dengan jaringan informasi bersepadu sehingga membolehkan diaplikasikan sebagai media komunikasi yang melibatkan teks, bunyi, grafik dan video. Fenomena ini secara langsung mempengaruhi dan mencabar kewibawaan dan kedudukan Bahasa Melayu di rantau Nusantara ini.
Institusi pendidikan adalah medium penting untuk mengukuhkan lagi nilai dan keperluan Bahasa Melayu di kalangan generasi muda bangsa Melayu melalui sistem pendidikan yang mengambil kira penyerapan dan penyebatian kemajuan dan perkembangan ICT. Misalnya, generasi muda akan mempunyai peluang untuk menghalusi Bahasa Melayu ke dalam jiwa mereka melalui kegiatan dan aktiviti bercorak Bahasa Melayu dengan menggunakan teknologi maya yang diasaskan oleh kemudahan internet. Adalah disedari umum akan dominasi Bahasa Inggeris dalam internet yang menjadi pencetus teknologi dan ilmu pengetahuan pelbagai bidang yang diinginkan oleh masyarakat dunia. Dalam hal ini, masyarakat mestilah tegas dalam menentukan kedudukan Bahasa Melayu dan peranan bahasa yang dipelajari dalam sistem pendidikan mereka. Jika bahasa asing yang dipelajari memerlukan makmal dan program khusus dalam menguasainya maka tidak perlu diketepikan juga kepentingan penyediaan prasarana dan program yang sedemikian rupa kepada Bahasa Melayu dalam sistem pendidikan.
Penggunaan Bahasa Melayu dalam kegiatan teknologi maklumat masih belum mencapai tahap yang memuaskan. Perkara ini dapat dilihat dalam kegiatan bercorak pendidikan seperti persidangan teknologi maklumat di mana tahap penggunaan Bahasa Melayu amat sedikit dan kurang mendapat sambutan daripada orang ramai. Ini disebabkan oleh sebilangan anggota masyarakat berasa lebih selesa dan lebih maju jika menggunakan medium Bahasa Inggeris. Sementelahan, penggunaan Bahasa Melayu dalam kegiatan teknologi maklumat dianggap tidak bertaraf antarabangsa kerana penggunaan Bahasa Inggeris dianggap mempunyai nilai ekonomi dan sosial yang lebih tinggi berbanding dengan Bahasa Melayu.
Suatu kajian telah dilaksanakan untuk menganalisis terhadap jenis bahasa yang kerap digunakan dalam web organisasi di Malaysia. Kategori yang telah dianalisis dalam kajian ini ialah Organisasi Perniagaan, Organisasi Kerajaan, Kerajaan Negeri dan Badan-Badan Berkanun. Bagi Organisasi Kerajaan misalnya, daripada 214 laman web yang dilawati kira-kira 35% laman web menggunakan Bahasa Melayu manakala 29% lagi menggunakan Bahasa Inggeris. Kesimpulan daripada kajian ini mendapati, tahap penggunaan Bahasa Melayu dalam laman web adalah memuaskan. Tetapi perisian pendidikan dalam versi Bahasa Melayu masih lagi ketinggalan. (Aziz Deraman, 2001).
Penggunaan Bahasa Melayu sebagai bahasa teknologi maklumat dan komunikasi yang wujud kini mengambil beberapa bentuk. Salah satu daripadanya ialah penggubalan istilah Bahasa Melayu untuk mengungkap konsep dan gagasan tertentu dalam kedua-dua teknologi ini.
Antaranya ialah :-
e-mel (electronic mail)
e-pendidikan (electronic education)
k-masyarakat (knowledge society)
e-dagang (electronic commerce)
k-ekonomi (knowledge economy)
- k-pekerja (knowledge worker)
Ungkapan atau istilah yang berbentuk “e-pendidikan”, “k-pekerja”, dan sebagainya yang mengambil acuan “e…..” dan “k…..” sebenarnya telah melanggar hukum D-M.(Diterangkan-Menerangkan) Dengan terciptanya ungkapan/istilah sebegini, kita sebenarnya membenarkan sesuatu yang menyalahi dan tidak dibenarkan dalam Bahasa Melayu. Misalnya e-mel yang membawa erti elektronik mel dan k-pekerja yang membawa erti knowledge pekerja. Ungkapan/istilah yang bermula dengan “k-“ itu tidak sahaja melanggar hukum D-M, tetapi juga membenarkan kemasukan sejenis gabungan baru yang mengekalkan unsur Bahasa Inggeris dalam bentuk asalnya ke dalam sistem Bahasa Melayu. Hal ini merupakan satu perkembangan baru dalam morfologi Bahasa Melayu khasnya, dan dalam Bahasa Melayu amnya. Walaubagaimanapun Bahasa Melayu harus turut dilibatkan dalam skop yang lebih luas daripada yang wujud kini.
Beberapa usaha telah diutarakan untuk memajukan penggunaan Bahasa Melayu dalam teknologi maklumat. Antaranya ialah memberi pengiktirafan dalam bentuk skim ganjaran atau anugerah kepada sesiapa yang berjuang dalam memartabatkan Bahasa Melayu. Selain itu, Dewan Bahasa dan Pustaka haruslah mencari istilah dan bahasa dalam teknologi maklumat bagi semua golongan pengguna Bahasa Melayu secara percuma dan ini boleh diperhebatkan melalui gerbang web bahasa Dewan Bahasa dan Pustaka yang sedia ada. Di samping itu, Dewan Bahasa dan Pustaka harus menyediakan prasarana yang lebih dinamik dalam usaha untuk mengembangkan istilah dan bahasa dalam gerbang web yang sedia ada. Sikap permuafakatan dan kerjasama perlu terjalin dalam usaha memantapkan lagi teknologi maklumat berbahasa Melayu dan harus pertingkatkan pada peringkat negara serantau. Sementelahan, pihak National IT Council (NITC), Perbadanan Pembangunan Multimedia (MDC), dan IPTA boleh melonggokkan perisian aplikasi generic berbahasa Melayu yang murah dan mudah diperolehi di pasaran negara.
Di peringkat dunia, penutur Bahasa Melayu adalah seramai lebih 250 juta orang. Ini meletakkan kedudukan status Bahasa Melayu di tempat keempat teramai penuturnya selepas bahasa Mandarin, Sepanyol dan Inggeris. Jadi tidaklah mustahil jika Bahasa Melayu menjadi bahasa komunikasi dan dipelajari di seluruh dunia melalui teknologi maya jika masyarakat kepada bahasanya mengambil kesempatan dari pembentukan dunia sejagat tanpa sempadan dan sekatan yang menjadi fenomena sekarang ini.
BAHASA MELAYU DALAM ERA GLOBALISASI
Dalam konteks pergolakan bahasa yang sedang berlaku pada masa kini, ramai yang tertanya-tanya akan kedudukan Bahasa Melayu pada masa akan datang. Hakikatnya, persoalan pokok ialah tentang peranan Bahasa Melayu pada abad ke-21 kerana abad ke-21 ialah abad Globalisasi, abad kemajuan sains dan teknologi dan abad kejayaan teknologi maklumat. Bahasa Melayu yang telah berperanan sebagai bahasa lingua-franca sejak dahulu lagi. Ini membuktikan bahawa Bahasa Melayu sudah mampu memainkan peranannya sebelum zaman moden dan maju lagi. Maka adalah mustahil jika kemajuan, kesanggupan dan kewibawaan Bahasa Melayu diragui dalam era Globalisasi. (A. Kadir Ahmad, 1995).
Peranan Bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu pengetahuan moden akan tetap kekal walaupun tidak dinafikan bahawa, Bahasa Inggeris turut berfungsi sebagai bahasa untuk menimba ilmu di negara ini. Keadaan ini tidak bercanggah kerana sudah menjadi dasar pendidikan negara untuk menghasilkan pelajar yang bersifat dwibahasa. Seseorang pegawai pertanian, misalnya, yang ingin menyampaikan taklimat tentang sistem perairan terkini yang baru dipelajarinya melalui kursus yang dianjurkan oleh pendengarnya yang merupakan petani biasa akan lebih selesa berbahasa Melayu.
Jelaslah bahawa bahasa Melayu tetap mempunyai peranan sebagai bahasa ilmu dalam dunia abad ke-21. Namun, kejayaan Bahasa Melayu dalam tugas ini amat bergantung kepada kesediaan pengamal Bahasa Melayu untuk menggunakan bahasa tersebut sebagai bahasa ilmu. Jika rasa megah terhadap Bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu tidak lagi wujud dan jika semua pihak lebih selesa menggunakan Bahasa Inggeris, maka lama-kelamaan fungsi Bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu akan merosot. Tetapi, orang Melayu optimistik sifatnya, berdasarkan kejayaan Bahasa Melayu dalam 30 tahun yang lalu, potensi yang ada bagi bahasa Melayu untuk kekal sebagai bahasa ilmu adalah amat cerah.
Satu lagi peranan yang dapat dimainkan oleh Bahasa Melayu pada abad ke-21 ialah sebagai pemangkin kepada proses pembinaan tamadun masyarakat Malaysia. Tanpa menafikan peranan Bahasa Inggeris, pembinaan bentuk masyarakat Malaysia abad ke-21 yang unggul dapat dicorakkan oleh Bahasa Melayu, iaitu berdasarkan pendapat yang mengatakan bahawa kita hendaklah maju dan berkembang mengikut acuan sendiri.
Peranan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) juga tidak harus diketepikan dalam perancangan Bahasa Melayu di Malaysia menjelang abad ke-21. Antara fungsi utamanya ialah menyertai usaha “Pembangunan Bahasa Melayu tinggi” di mana usaha ini akan dilakukan bersama dengan “Pembudayaan Ilmu Tinggi”. Selain itu, DBP juga perlu merancang penerbitan karya-karya bermutu dan berilmu pengetahuan yang tinggi seperti buku-buku sains dan kemasyarakatan. Ini akan meningkatkan pemikiran yang tinggi di kalangan masyarakat.
Usaha penterjemahan buku daripada bahasa asing ke dalam Bahasa Melayu perlu dilaksanakan supaya dapat membantu meningkatkan lagi pemahaman masyarakat Malaysia yang tidak fasih membaca dalam bahasa-bahasa lain. Usaha ini harus dilakukan dengan cepat, mudah, murah dan banyak supaya dapat dimanfaatkan oleh seluruh masyarakat. Pada masa kini, DBP sedang berusaha untuk menghasilkan sistem penterjemahan berkomputer yang dapat mempercepatkan lagi proses penerbitan buku-buku terjemahan. (Ismail bin Dahaman, 1991).
Terdapat beberapa fasa yang diusahakan oleh DBP dalam proses pembangunan Bahasa Melayu. Fasa pertama iaitu penerimaan bahasa oleh masyarakat Malaysia telah mencapai matlamatnya. Manakala, fasa yang kedua iaitu “pembinaan bahasa” yang juga dikenali sebagai fasa “pengintelektualan” bahasa merupakan fasa yang perlu ditingkatkan menjelang abad ke-21. Fasa yang ketiga ialah “penyempurnaan” bahasa dari segi kemantapan, keharmonian dan keefisienan, yang mana fasa ini harus dijadikan misi pendidikan Bahasa Melayu menjelang abad ke-21. Akhirnya, fasa keempat merupakan “pembudayaan” bahasa di mana fasa ini belum dilaksanakan lagi. Dalam pembudayaan penggunaan Bahasa Melayu, ia menitikberatkan penggunaan tatabahasa yang betul, penggunaan yang persis dan isi yang tepat. (Awang Had Salleh, 1991)
DEWAN BAHASA DAN PUSTAKA (DBP)
Dewan Bahasa Dan Pustaka atau singkatannya (DBP) Dewan Bahasa dan Pustaka, adalah sebuah badan berkanun yang diberi autonomi untuk menggubal dasarnya yang khusus iaitu menyusun program pembinaan dan pengembangan bahasa dan sastera, dan menjalankan kegiatan penerbitan dan perniagaan buku secara kompetatif menurut prinsip dan amalan perusahaan dan profesion penerbitan yang sentiasa dinamik. Institusi ini telah ditubuhkan pada Jun 1956 dan rancangan penubuhan institusi ini dirangka oleh Kerajaan Perikatan sebelum mencapai kemerdekaan sebagai salah satu alternatif untuk menjamin supaya Bahasa Melayu mencapai taraf perkembangan yang sesuai dengan kemajuan politik, Ilmu pengetahuan dan kemasyarakatan untuk menggantikan Bahasa Inggeris dalam masa sepuluh tahun selepas kemerdekaan. Selain daripada itu, Dewan Bahasa dan Pustaka mempunyai aktanya sendiri iaitu Akta DBP 1959 (semakan tahun 1978, pindaan dan perluasan 1995) yang selaras dengan tujuan penubuhan. Antara peruntukkan akta DBP yang mengikat dan memberikan kuasa adalah dalam hal-hal seperti membina dan memperkaya Bahasa Kebangsaan dalam semua bidang termasuk sains dan teknologi, mengembangkan bakat sastera, khususnya dalam Bahasa Kebangsaan dan juga membakukan ejaan dan sebutan serta membentuk istilah yang sesuai dalam Bahasa Kebangsaan. Selain daripada itu, peruntukkan akta DBP turut menerangkan tentang penggalakkan penggunaan Bahasa Kebangsaan yang betul dan juga menggalakkan penggunaan Bahasa Kebangsaan secara meluas bagi segala maksud mengikut undang-undang yang sedang berkuasa. Pembinaan negara bangsa di Malaysia telah dijadikan falsafah dalam asas perjuangan DBP. Dalam usaha menuju ke arah ini, DBP telah merangka beberapa strategi dalaman dan luaran, antaranya adalah mengembangkan Bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi supaya digunakan dalam semua urusan rasmi, nama jabatan, jawatan dan ciptaan semua dokumen rasmi dan undang-undang komunikasi sama ada lisan dan tulisan serta komunikasi jabatan kerajaan dengan pihak swasta. Selain daripada itu, DBP telah merangka supaya Bahasa Melayu digunakan dalam semua urusan perniagaan, nama syarikat, nama pertubuhan, nama produk, nama perkhidmatan dan nama bandar, nama jalan, nama taman perumahan dan sebagainya.
Dalam konteks luaran pula, ia membawa maksud perancangan strategi penyebaran dan peluasanBahasa Melayu di luar negara. DBP ingin mengembangkan Bahasa Melayu dan menyebarluaskannya di pentas antarabangsa dengan menubuhkan pusat-pusat pembelajaran Bahasa Melayu di luar negara. Ini dapat dilihat dan dibuktikan apabila DBP telah berusaha untuk menubuhkan Jabatan Bahasa Melayu di luar negara terutamanya di Asia antaranya ialah Tokyo University of Foreign Studies di Jepun dan juga Hankuk University di Korea. Selain daripada itu, DBP juga telah berusaha untuk menubuhkan Jabatan Bahasa Melayu di luar benua Asia seperti di School of Oriental and African Studies,London, di University of Moscow dan beberapa buah lagi pusat pengajian tinggi di luar negera seperti di Australia dan negara-negara lain.
Dewan Bahasa dan Pustaka juga telah berusaha untuk menimbulkan semangat ingin belajar dan menggunakan Bahasa Kebangsaan di kalangan orang ramai sehingga pengenalan Minggu Bahasa Kebangsaan. Program ini buat pertama kalinya telah dilancarkan pada tahun 1960 dan seterusnya menjadi program tahunan sehingga kemunculan Bulan Bahasa Kebangsaan. Sebagai pusat penyelenggaraan Minggu dan Bulan Bahasa Kebangsaan, DBP telah terkenal di seluruh pelusuk tanahair dan di luar negera. Melalui daya usaha DBP dengan kerjasama Maktab Penguruan Bahasa maka telah ditubuhkan Jawatankuasa Kursus Bahasa Kebangsaan untuk pegawai-pegawai kerajaan. Dengan kesungguhan yang ditunjukkan oleh DBP maka adalah tidak mustahil jika pada suatu hari nanti Bahasa Melayu akan menjadi sebuah bahasa yang mendapat pengiktirafan di peringkat antarabangsa seperti Bahasa Inggeris. Cuba kita bayangkan pada suatu masa nanti, masyarakat antarabangsa menggunakan Bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar dan digunakan dengan meluas seperti penggunaan Bahasa Inggeris pada hari ini. Impian ini mungkin akan tercapai sekiranya bukan sahaja DBP tetapi seluruh rakyat Malaysia memainkan peranan masing-masing dalam mengembangkan Bahasa Melayu.
KESIMPULAN
Pada abad ke-21 ini, Bahasa Melayu telah meniti cabaran yang getir untuk mencapai hasrat dan wawasan negara dalam usaha meletakkan Malaysia setanding dengan bahasa-bahasa lain di dunia ini. Bagi mencapai hasrat ini, pelbagai usaha telah diusahakan oleh pihak kerajaan. Salah satu daripadanya adalah kerajaan telah berjanji akan memberi keutamaan kepada Bahasa Melayu dalam penyediaan perisian Koridor Raya Multimedia (MSC). Perkara ini bukan sesuatu yang mustahil untuk dilaksanakan dengan wujudnya sekolah bestari di negara ini telah membuktikan bahawa Bahasa Melayu mampu bersaing dengan bahasa lain.
Peranan Bahasa Melayu sebagai pembina intelek masyarakat kian tercabar dan dicabar. Di abad ini kita seharusnya dapat memajukan dan memartabatkan Bahasa Melayu bukan sahaja di bumi Malaysia tetapi juga di persada antarabangsa. Buktinya, kita telah berjaya melahirkan para cerdik pandai dan ilmuwan yang menggunakan media Bahasa Melayu.
Dalam konteks Malaysia, persaingan dengan Bahasa Inggeris seharusnya menjadi asas yang kukuh untuk meningkatkan penggunaan dan pelaksanaan Bahasa Melayu dalam seluruh sistem pendidikan negara. Kita tidak seharusnya mewujudkan satu tembok penghalang antara Bahasa Melayu dengan Bahasa Inggeris. Bahasa Inggeris mempunyai sumbangannya tersendiri dalam mempertingkatkan Bahasa Melayu. Bahasa Inggeris mempunyai khazanah ilmunya tersendiri dan boleh dimanfaatkan untuk kepentingan negara terutamanya di dalam pendidikan dan ekonomi.
Sesungguhnya kita semua sebagai rakyat Malaysia yang hidup di dalam sebuah negara yang mempunyai pelbagai kaum seharusnya memainkan peranan masing-masing bagi memartabatkan dan meningkatkan Bahasa Melayu. Kita tidak mahu Bahasa Melayu ditindas oleh bahasa-bahasa yang lain kerana bahasa melambangkan sesebuah bangsa. Seperti kata Hang Tuah, “Takkan Melayu hilang di dunia” dan itulah sebenarnya kita semua inginkan.