Sunday, February 20, 2011

NOTA SEJARAH TINGKATAN 6:TAMADUN DUNIA


Kandungan

Bil
Tajuk/Tema
Muka Surat
1
Tema 1
1 - 11
2
Tema 2
12 - 28
3
Tema 3
29 - 34
4
Tema 4
35 - 42
5
Tema 5
43 - 48
6
Tema 6
49 - 56
7
Tema 7
57 - 68
8
Tema 8
69 - 80

Tema 1: Manusia dan Masyarakat
Tajuk 1.2: Kemunculan Tamadun
Kawasan Kajian: Mesopotamia, Mesir, Hwang Ho, Mohenjo Daro dan Harapa, Arab, Yunani,Rom,Melayu dan Barat.
Tempat-tempat lahirnya tamadun awal ialah :
Lembah Tigris - Euphrates : Tamadun Mesopotamia atau Sumeria (3500 SM-2000 SM), Lembah Nil : Tamadun Mesir (310SM - 1075SM), Lembah Indus : Tamadun Indus ( 2500SM -1500SM), Lembah Huang Ho : Tamadun Shang (1800SM), Di Amerika Selatan : Tamadun Inca, Maya, Aztec, Di Yunani: Tamadun Crete, Di Tanah Arab : Tamadun Arab, Di Rom : Tamadun Rom, Di Tanah Melayu : Tamadun Melayu, Di Barat ( Eropah) : Tamadun Barat
1. Petempatan
Tamadun Mesopotamia
Tamadun Mesopotamia yang wujud antara tahun 3500 Sm hingga 2000 Sm itu terletak di antara Sungai Tigris dan Euphrates di negara Iraq. Nama Mesopotamia diberi oleh orang Greek purba, telah diasaskan oleh orang Sumeria, diteruskan oleh orang Babylonia dan diikuti oleh orang Assyria. Orang Sumeria dipercayai berasal dari dataran tinggi Asia Tengah. Lembah Sungai Tigris dan Euphrates membolehkan penduduknya mengusahakan pertanian secara besar-besaran.
Tamadun Mesir
Tamadun Mesir (3100SM - 1075SM) terletak di Lembah Sungai Nil, Negeri Mesir. Orang Mesir menganggap Mesir adalah ‘hadiah daripada Sungai Nil’. Ini adalah kerana lebih 90% daripada negara Mesir merupakan kawasan gurun yang tidak subur. Sungai yang mengalir sejauh 750 batu dari hulu ke muara membawa tanah hitam yang subur apabila airnya membanjiri kawasan tebing sungai. Tanah yang subur ini memboleh penanaman 2 atau 3 kali pada satu musim. Dengan tanah subur yang terhad itu orang Mesir mengusahan tanaman dan membuat sistem pengairan. Di sebelah utara negeri ini terbentang Laut Mediterranean.
Tamadun Indus
Tamadun yang wujud antara tahun 2500 SM hingga 1500SM ini terletak di Lembah Sungai Indus, negara India.. Seperti tamadun Mesopotamia dan Mesir, tamadun ini juga membawa penduduknya terlibat dalam bidang pertanian. Kegiatan pertanian telah dikesan di dataran lanar Sungai Indus sejak tahun 3000SM lagi.
Tamadun China
Tamadun ini wujud pada tahun 1500 SM yang dimulai oleh Tamadun Shang (1500SM - 1100SM). Ia bermula di kawasan munculnya kegiatan pertanian iaitu di lembah Sungai Kuning atau Sungai Hwang Ho di utara negara China. Dari China Utara ini pertanian berkembang, diikuti tamadun dan perluasan politik yang kemudian aspek-aspek ini berkembang ke selatan Tamadun China ini seterusnya tersebar luas ke Jepun, Korea dan ke Asia Tenggara.
Tamadun Yunani
Tamadun Crete ( 2000SM - 1400SM) mengambil sempena nama Pulau Crete yang merupakan salah sebuah pulau Greek merupakan tamadun terawal di Eropah. Tamadun ini tidak seperti tamadun-tamadun Mesopotamia, Mesir, Indus dan China yang kesemuanya wujud di kawasn lembah sungai yang subur. Tanah di kawasan Pulau Crete ini tidak subur untuk pertanian. Penduduknya bergantung kepada perdagangan. Hubungan lebih kepada laut. Dengan itu aktiviti mereka condong kepada pengembaraan, menjelajah, menerokai tanah-tanah baru di samping berniaga. Sebab itulah mereka membuat hubungan dengan tempat lain seperti dengan tamadun Nil, Parsi dan Sumeria.
Tamadun Rom
Rom terletak di atas sebuah bukit kecil di tepi Sungai Tiber, Itali. Di selatannya terbentang Laut Mediterranean.Tamadun ini dikembangkan oleh pendatang-pendatang seperti orang-orang Aryan/Latin ( pantai barat Itali), orang-orang Etruscan (sebelah utara dari kawasan kediaman orang Aryan) dan orang-orang Yunani ( di selatan Itali dan Pulau Sicily).
Tamadun Arab
Ia berkambang di negara Arab yang terletak di kawasan Timur Tengah. Konsep tamadun Arab ini berbeza antara sarjana Islam dan ahli sejarah Barat. Bagi sarjana Islam, negara Arab pasa Zaman Jahiliah hidup dalam kebodohan dan tidak teratur dalam semua bidang kerana ketiadaan Rasul dan kitab agama sebagai petunjuk dan panduan hidup. P.K.Hitti yang mewakili ahli sarjana Barat berpendapat, masyarakat Arab Zaman Jahiliah hanya jahil dari aspek agama dan moral sahaja tetapi bertamadun dalam aspek politik, ekonomi dan ilmu pengetahuan ( tamadun Sabak di Selatan Semenanjung Arab dan Mekah di kawasan Tengah Semenanjung Arab)
Tamadun Melayu
Tamadun ini berkembang di Kepulauan Melayu, di Asia Tenggara. Tamadun ini kemudiannya diresapi unsur-unsur Hindu, China dan agama Islam.
Tamadun Barat
Tamadun ini terletak di Eropah. Ia bermula menjelang tahun 1500 M dan dikenali sebagai Zaman Moden Awal Eropah selepas berakhirnya Zaman Gelap Eropah ( Zaman Gelap bermula selepas kejatuhan Rom) Benua Eropah mula menempun perubahan dan kemajuan dalam pelbagai ilmu pengetahuan. Bermula zaman inilah kuasa-kuasa Eropah menjelajah, meneroka dan berinteraksi dengan kuasa-kuasa lain di luar Eropah.
Tamadun-tamadun Mesopotamia, Mesir, Indus dan China lahir di lembah sungai. Kenapa?
    1. Di lembah-lembah sungai terdapat tanah-tanah yang subur dan amat sesuai untuk aktiviti pertanian dan penternakan. Kesuburan tanah membolehkan tanaman makanan diusahakan dengan banyak dan boleh menampung penduduk yang ramai.
    2. Sesuai untuk dijadikan kawasan petempatan kerana tidak berbukit bukau.
    3. Muka bumi yang landai dan datar serta rendah memudahkan manusia membuat kediaman yang selesa.
    4. Mudah dapat sumber makanan di sungai seperti ikan.
    5. Kemudahan belayar, pengangkutan dan perhubungan.
    6. Tanah liat yang ada di situ membolehkan manusia membuat alat-alat keperluan harian seperti belanga, pasu tempayan, bahan binaan membuat tempat kediaman.
 2. Perbandaran
Perbandaran wujud selepas kewujudan kawasan tempat tinggal. Dari hidup berkampung dengan bercucuk tanam misalnya akan berkembang menjadi bandar dan seterusnya kota. Inilah yang berlaku pada tamadun Mesopotamia. Selepas 2500 tahun orang Sumeria hidup berkampung dengan bercucuk tanam, kampung-kampung mereka telah berkembang menjadi bandar dan seterusnya menjadi kota. Di peringkat inilah orang Sumeria dikatakan memperoleh ciri-ciri bertamadun..Dikatakan bahawa masyarakat Sumerialah yang telah membina bandar-bandar yang terawal di dunia. Bandar-bandar di Sumer disebut kota dan negara kota kerana setiap bandar merupakan sebuah unit politik yang bebas dengan raja dan dewanya sendiri. Kota-kota itu sentiasa bermusuh-musuhan antara satu sama lain. Contoh bandar dalam tamadun ini ialah , bandar Ur dan Lagash ( negara kota yang terpenting), Uruk (Erish) dan Kish. Bandar-bandar Ur, Assur dan Nippur kategorikan sebagai bandar-bandar metropolis yang dibina secara terancang. Kota Sumeria terletak di tebing sebuah terusan atau sungai berhadapan dengan hutan yang mengandungi rumpun-rumpun pohon kurma, delima, fig dan anggur.Di sebalik hutan ini terdapat tanaman gandum dan barli dan seterusnya terdapat padang-padang rumput untuk binatang ternakan mereka. Setiap kota mempunyai peraturan dan undang-undang perairan yang rumit. Setiap kota mempunyai rumah-rumah yang dibina daripada batu bata dan juga sebuah ziggurat ( piramid dengan sebuah kuil). Kuil/zuggurat dibina untuk memuja dewa-dewa. Penduduk bandar membina benteng pertahanan atau kubu untuk melindungi mereka daripada serangan musuh.
Di Mesir, sebelum tahun 7000 SM telah berlaku revolusi pertanian yang pesat. Perkampungan telah membangun dengan pesat. Dari petempatan kecil telah berkembang menjadi bandar-bandar besar dan beberapa negara kota muncul seperti Kahirah dan Memphis. Bandar-bandar metropolis dirancang dan dibina. Contohnya, Karnak dan Luxor. Bagi tamadun di lembah Indus, terdapat sebanyak 60 buah bandar dan yang terbesar ialah Mohenjo Daro ( di Sind) dan Harappa (di Punjab). Kedua-dua bandar itu merupakan bandar yang dibina dan dirancang dengan teratur dan merupakan bandar terancang yang terawal dalam sejarah.. Perancangan bandar ini dibuat dengan sempurna dan mengikut grid. Umpamanya, dalam pembinaan sesuatu bangunan, piawai yang tertentu dikenakan supaya bangunan tersebut tahan lama. Di antara ciri-ciri istimewa bandar-bandar tersebut ialah mempunyai sistem parit yang tersusun, sistem jalan raya yang lurus dan mempunyai sistem saluran najis di bawah tanah ( sistem pembentungan).Longkang-longkang dan parit bawah tanah dibina dan dihubungkan dengan sungai-sungai. Kehidupan penduduk Mohenjo Daro dan Harappa sangat sistematik. Di dalam kota-kota itu terdapat kawasan perumahan berpetak-petak yang dipisahkan oleh jalan yang lurus. Tiap kota mempunyai sebuah kubu yang kuat untuk melindungi bandar daripada serangan musuh. D tengah-tengahnya bandar terdapat sebuah tempat mandi awam (untuk upacara keagamaan). Pembinaan kubu-kubu dan bangunan-bangunan besar menunjukkan ketinggian tamadun Indus.
Tamadun China di lembah Hwang Ho sama juga seperti tamadun lain iaitu daripada sebuah perkampungan, berkembang menjadi bandar-bandar metropolis seperti Shang, Anyang, Loyang dan Changgan kerana penduduk yang bertambah ramai. Anyang merupakan bandar yang besar di negara China. Di antara ciri-ciri bandar Anyang ialah merupakan bandar pertama di tebing Sungai Hwang Ho, muncul kira-kira pada tahun 1800SM, merupakan bandar tertua di negeri China dan menjadi ibu kota Dinasti Shang.
Tamadun Yunani yang terawal bermula di Pulau Crete yang terletak di Laut Aegean.Kewujudan bandar-bandar dalam tamadun ini didorong oleh perubahan corak kehidupan iaitu dari kehidupan nomad kepada kehidupan yang tetap (terikat kerana pertanian).Mereka telah menubuhkan suku kaum masing-masing. Suku-suku itu pula telah menetap di satu-satu kawasan yang kemudiannya telah membentuk kampung. Kampung-kampung ini kemudiannya telah berkembang menjadi bandar/ kota. Luas tiap-tiap kota adalah antara 80 hingga 800 km persegi dengan purata penduduk seramai 5000 orang. Setiap kota membawa kehidupan sendiri ( tiada perpaduan antara satu kota dengan kota yang lain). Ini berpunca dari keadaan geografi yang berbukit bukau, sistem kepercayaan yang berbeza dan keinginan tiap-tiap kota untuk memiliki kekayaan dan perdagangan masing-masing. Setiap kota mempunyai tentera dan undang-undang masing-masing. Ibu kota Crete ialah Knossus, merupakan kota yang pertama di Eropah. Penduduknya berjumlah 80000 orang. Satu ciri utama kota knossus ialah istananya yang dikelilingi oleh tempat tinggal golongan aristokrat. Golongan miskin tinggal di kawasan industri. Kota Knossus mempunyai jalan-jalan yang tersusun dan sistem pengairan yang lengkap. Tiap-tiap kota dibahagikan kepada 3 bahagian iaitu:
    1. Acropolis : merupakan sebuah kawasan yang mempunyai tembok-tembok pertahanan. Kuil yang dipanggil Parthenon dibina dipusatnya untuk memuja Dewi Athena.
    2. Kawasan di bawah Acropolis merupakan kawasan kediaman dan pasar-pasar.
    3. Kawasan di luar kawasan tempat kediaman.
Tamadun Rom bermula bermula daripada kampung-kampung kecil yang wujud di kawasan selatan Sungai Tiber di Itali. Penduduk yang mendiami kawasan tersebut ialah orang-orang Aryan atau dikenali sebagai orang Latin. Perkampungan mereka telah berkembang menjadi bandar besar dan seterusnya menjadi sebuah empayar. Di bahagian selatan Itali dan Pulau Sicily didiami oleh orang-orang Yunani. Mereka mendirikan bandar-bandar dan mengamalkan kebudayaan Yunani. Rom merupakan sebuah bandar terbesar di Itali. Bandar ini terletak di sebuah bukit kecil di tepi Sungai Tiber. Rom berkembang dan menjadi bandar penting yang akhirnya meliputi tujuh buah bukit di sekitarnya. Apabila Rom jatuh ke tangan orang-orang Etruscan pada abad ke-6 SM, Rom telah muncul sebagai sebuah bandar yang besar dan sebuah tembok dibina mengelilingi ketujuh-tujuh bukit tersebut. Banyak bangunan dibina oleh orang-orang Etruscan. Sebuah pelabuhan juga dibina di tebing Sungai Tiber untuk urusan perdagangan.
3. Organisasi Sosial
Tamadun Mesopotamia
Masyarakat Mesopotamia terbahagi kepada 3 kelas. Kelas yang tertinggi dikenali sebagai amelu atau kanun bangsawan. Kelas kedua ialah mushkinu (kelas pertengahan) dan yang di bawah sekali ialah hamba abdi. Kelas atasan terdiri daripada pegawai-pegawai kerajaan, golongan agama (pendeta, paderi atau rahib) dan tentera. Golongan yang paling berkuasa dalam tamadun Mesopotamia ialah golongan agama. Kelas pertengahan terdiri daripada pedagang-pedagang, guru, juruwang, ahli nujum, ahli sains, ahli silap mata, petani dan tukang. Kelas yang paling bawah merupakan kelas hamba abdi. Hamba abdi telah wujud di Mesopotamia sejak awal lagi tetapi tidaklah dipandang hina. Golongan hamba ini terdiri daripada orang tawanan perang, penjenayah, orang yang telah dijadikan hamba abdi sejak kanak-kanak lagi dan orang tempatan yang dijual beli. Sekiranya seorang hamba patuh dan setia kepada tuannya, dia boleh dibebaskan. Hamba abdi boleh berkahwin dengan orang biasa dan apabila ibu bapa mereka meninggal, anaknya akan dibebaskan. Mereka diberi keistimewaan tertentu dan boleh membuat rayuan kepada pihak yang berkuasa tetapi mereka tidak diberi peluang dalam pentadbiran. Orang dari kelas mushkinu diberi kebebasan dalam semua perkara dan tidak diwajibkan berkhidmat dalam tentera kecuali bila negeri menghadapi bahaya ancaman luar. Pergerakan dari satu kelas ke kelas lain adalah sukar. Orang perempuan tidak dianggap sebagai barang jualan tetapi dianggap sebagai seorang individu dan warganegara. Dia mempunyai hak ke atas wangnya sendiri, harta benda suaminya dan ayahnya ddn boleh menjalankan perniagaannya sendiri dan mempunyai hamba abdi sendiri. Jika dia menguruskan perniagaan suaminya semasa ketiadaan suaminya, dia berhak menerima sepertiga dari keuntungan yang diperolehi. Sebaliknya, seseorang yang berhutang boleh menyuruh isterinya menjadi hamba kepada orang yang memberi hutang tetapi hanya dalam jangka waktu 3 tahun sahaja.
Tamadun Mesir
Susun lapis masyarakat Mesir terbahagi kepada 3 kelas iaitu Kelas Atasan, Kelas Pertengahan dan Kelas Bawahan. Firaun diletakkan pada kedudukan tertinggi dalam hiraki masyarakat Mesir kerana beliau dianggap sebagai tuhan. Kelas atasan terdiri daripada pendeta dan golongan bangsawan. Golongan pendeta diberi kedudukan yang tinggi kerana agama merupakan unsur penting dalam kehidupan orang Mesir.Tugas pendeta ialah melakukan kerja-kerja sembahyang dan pengkebumian. Golongan bangsawan dianggap penting kerana mereka membantu Firaun dalam pentadbiran. Mereka memegang jawatan sebagai gabenor daerah, pemungut cukai dan pegawai istana. Kelas pertengahan terdiri daripada pedagang, artisan dan kumpulan profesional seperti guru, artis, doktor dan jurutulis. Kelas bawahan yang merupakan golongan terbesar terdiri daripada petani dan hamba abdi. Para petani menyerahkan sebahagian daripada hasil mereka kepada kerajaan sebagai cukai. Hamba abdi yang merupakan golongan terendah terdiri daripada tawanan perang dan orang yang dijual beli. Kebanyakan mereka bekerja di projek pengairan, kuari kerajaan dan kuil. Terdapat mobiliti sosial dalam masyarakat Mesir. Seseorang yang berbakat boleh bergerak dari peringkat bawah ke peringkat yang lebih tinggi. Kedudukan kaum wanita dalam masyarakat Mesir adalah tinggi/ penting kerana harta tanah diturunkan dari ibu kepada anak perempuan. Wanita juga boleh menaiki takhta kerajaan. Mereka juga mempunyai hak membeli dan menjual harta. Mereka juga dipandang mulia jika boleh melahirkan ramai anak.
Tamadun India
Tidak banyak catatan tentang organisasi sosial tamadun awal di Lembah Indus, India. Seperti tamadun Mesopotamia dan Mesir, tamadun India juga mempunyai 3 kelas masyarakat. Kelas Atasan terdiri daripada golongan pendeta, pendeta raja (golongan bangsawan) dan pemilik tanah yang menikmati kehidupan mewah. Kelas pertengahan terdiri daripada golongan artisann, pedagang, petani ( yang mengusahakan tanaman barli, padi, gandum dan kapas) dan penternak binatang (menternak kambing biri-biri, lembu, ayam dan khinzir). Kelas terendah sekali terdiri daripada hamba abdi.
Tamadun China
Susun lapis masyarakat China pada zaman pemerintahan Dinasti Shang terdiri daripada tiga lapisan (tidak termasuk raja). Raja mempunyai kedudukan yang paling tinggi dan berkuasa mutlak. Raja dibantu oleh golongan bangsawan. Golongan bangsawan menduduki hiraki yang tertinggi dalam sistem feudal yang diwujudkan oleh Dinasti Chou. Melalui sistem feudal, Dinasti Chou memberi kuasa kepada golongan bangsawan mentadbir sesatu wilayah secara mutlak. Golongan atasan menghabiskan masa lapang mereka dengan berburu, mengadakan jamuan besar dan mendengan muzik. Selepas golongan bangsawan ialah golongan petani. Golongan ini merupakan golongan terbesar dalam masyarakat Shang. Semasa pemerintahan Dinasti Chou, sebilangan petani yang bekerja di sawah-sawah kecil telah menjadi hamba berhutang kerana gagal mengeluarkan hasil yang mencukupi. Selepas golongan petani terdapat golongan artisan, peniaga dan askar. Kaum wanita dipandang rendah.
Tamadun Yunani
Masyarakat Sparta terdiri daripada 3 golongan iaitu Golongan Peer (yang terdiri daripada golongan pemerintah dan pemilik tanah), Golongan Perioeci ( orang bebas yang menjalankan kegiatan perdagangan dan perusahaan) dan Golongan Helot ( petani dan hamba abdi yang mengerjakan tanah golongan Peer). Golongan Peer diwajibkan mengikuti latihan ketenteraan kerana mereka sering menghadapi pemberontakan dari golongan Helot. Hanya bayi golongan Peer yang sihat sahaja dibenarkan hidup. Ibunya memelihara anaknya selama 7 tahun dan selepas itu kerajaan mengambilnya untuk diberi latihan ketenteraan. Setiap lelaki harus berkorban untuk negaranya. Anak perempuan diberilatihan gimnastik dan ditanamkan dengan fahaman bahawa mereka mesti berkhidmat untuk negara dengan menjadi isteri yang setia. Di Athens, masyrakatnya dibahagikan kepada 2 golongan iaitu golongan bangsawan dan golongan orang biasa ( terdiri daripada warganegara dan bukan warganegara). Golongan bangsawan memiliki kawasan tanah terbaik dan menguasai bidang politik. Golongan petani yang gagal membayar hutang golongan bangsawan telah menjadi hamba kepada golongan bangsawan. Masyarakat Athens lebih mementingkan kebebasan dan hak indiviidu.
Tamadun Rom
Masyarakat Rom dibahagikan kepada 3 kelas iaitu:
  1. Golongan Patrisian : golongan bangsawan yang merupakan pemilik tanah yang kaya, memonopoli jawatan Konsul dan keahlian Senet.
  2. Golongan Plebeian : rakyat jelata yang terdiri daripada petani kecil ( masyarakat Rom terbesar), artisan dan peniaga. Mereka dipaksa membayar cukai yang tinggi serta berkhidmat dalam angkatan tentera Rom. Dari segi politik, pada tahap awal mereka hanya dibenarkan menjadi ahli Perhimpunan Centuriate. Hinggatahun 445SM mereka dilarang berkahwin dengan golongan Patrisian.
  3. Golongan hamba :kebanyakan golongan ini terdiri dari orang tawanan. Mereka bekerja diladang, kilang atau pembantu rumah golongan atasan.
Kaum wanita Rom mempunyai status yang lebih baik daripada wanita Athens. Mereka membantu mengasuh anak-anak dan memberi nasihat dalam soal peribadi. Wanita kelas atasan Rom menerima pendidikan tinggi dan boleh memperoleh harta.
Tamadun Arab
Organisasi Sosial masyarakat Arab zaman sebelum kedatangan Ialam ( Zaman Arab Jahuliah) menampakkan pengamalan sistem kelas dan kasta. Di kawasan Arab Tengah atau Hijaz umpamanya, kelas tertinggi dipegang oleh golongan aristokrat keturunan Quraisy. Meeka merupakan kelas pemerintah, bukan sahaja kerana keturunan mereka bahkan juga kerana kekayaan mereka. Walau bagaimanapun terdapat juga di kalangan mereka yang tidak berada tetapi masih berpengaruh seperti Abu Talib, bapa saudara Nabi Muhammad. Selepas kaum Quraisy barulah diikuti oleh kabilah-kabilah lain yang tinggal berdekatan dengan Kaabah. Pada zaman Qusai bin Kilab menjadi pemerintah Mekah, martabat sesatu kabilah diukur berdasarkan jauh dekatnya kediaman mereka dari kaabah. Kabilah Bani Zohrah merupakan kabilah yang lebih mendekati kabilah Quraisy. Sebagai suatu sistem sosial ala feudalisme, terdapat kelas hamba abdi yang besar bilangannya. Mereka tidak mempunyai apa-apa hak hingga batang tubuh sendiri dapat dijual belikan. Kebanyakan mereka orang Arab juga tetapi sesetengahnya bukan berbangsa Arab. Tentang kedudukan kaum wanita, pada umumnya nilai mereka sangat rendah pada pandangan masyarakat Jahiliah. Mereka merasa malu apabila mendapat anak perempuan dan kerana itu telah menjadi kebiasaan mereka menanam hidup-hidup anak perempuan mereka. Kaum wanita hanya layak menjadi pemuas seks kaum lelaki. Walau bagaimanapun, kedudukan sosial yang berkelas-kelas dan memandang rendah kepada kaum wanita itu telah dihapuskan apabila agama Islam menyinari bumi Arab. Semua manusia dianggap satu ummah yang tidak dibeza-bezakan melalui pangkat, harta mahupun jantina di sisi Allah. Kayu ukur kemuliaan seseorang manusia itu dinilai dari segi ketakwaannya.
Tamadun Barat
Keruntuhan Empayar Rom pada sekitar abad ke-5 M telah memulakan zaman pertengahan Eropah( selama 1000 tahun). Peringkat awal zaman pertengahan itu dianggap sebagai zaman gelap kerana Eropah melalui satu peringkat yang kurang maju perpecahan politik, kemersotan ekonomi dan kongkongan agama Kristian terhadap masyarakatnya). Masyarakat Eropah masa itu terbahagi kepada 2 golongan iaitu pemimpin ( terdiri daripada raja dan bangsawan/ vassal) dan yang dipimpin ( rakyat biasa / serf ) Raja berada pada kedudukan tertinggi, diikuti lapisan kedua iaitu golongan bangsawan/vassal dan ahli agama. Golongan rakyat biasa itu terdiri daripada petani dan rakyat biasa. Mereka bukanlah hamba tetapi mereka tidak bebas sepenuhnya. Mereka bekerja untuk tuan mereka iaitu golongan pada lapisan kedua tadi. Mereka terikat kepada pemimpin atau tuan mereka dan tidak bebas bergerak atau berpindah dari satu tempat ke tempat lain. Kedudukan mereka adalah di antara hamba dengan orang bebas. Sistem begini dipanggil sistem feudal. Apabila zaman pertengahan itu berakhir, zaman moden Eropahpun bermula pada sekitar tahun 1500M. Organisasi sosial Eropah turut berubah dengan kemerosotan sistem feudal. Peningkatan pertanian dagangan, perkembangan bandar dan sektor perusahaan telah memberi peluang kepada golongan serf ini bebas dari belenggu tuan tanahnya. Ada di antara mereka yang melarikan diri ke bandar untuk menjadi buruh upahan.
Tamadun Melayu
Di Alam Melayu juga menampakkan organisasi sosial yang mementingkan kelas. Terdapat 2 kelas manusia. Kelas teratas mengandungi raja dan bangsawan. Kelas kedua pula terdiri daripada rakyat jelata yang menjadi hamba kepada golongan pertama tadi. Hiraki sosial yang membeza-bezakan taraf manusia ini sebenarnya adalah bertolak dari ajaran kasta Hindu. Di Srivijaya misalnya, terdapat dua kelas yang utama iaitu kepas pemerintah dan kelas diperintah. Kelas-kelas ini dibahagikan pula kepada 4 golongan ( golongan raja, bangsawan, orang merdeka dan hamba abdi). Kedudukan wanita di alam Melayu tidak dipandang rendah, malah ada di kalangan mereka berpeluang menjadi pemerintah seperti yang berlaku di Majapahit dan di Bali. Apabila Islam mula mengambil tempat di alam Melayu, perbezaan taraf manusia mula dikikis tetapi mengambil masa yang agak lama.
4. Kepercayaan dan Agama
4.1 : Kepercayaan
Antara ciri-ciri tamadun ialah adanya kepercayaan dan agama dalam kehidupan manusia. Nilai-nilai kepercayaan dan agama adalah satu ciri penting dalam kemunculan sesuatu tamadun seperti yang terdapat dalam tamadun Mesopotamia, Mesir, Lembah Indus dan Hwang Ho. Pemerintah menanggung perbenlanjaan yang tinggi untuk perkara-perkara keagamaan. Sejumlah besar kutipan cukai dikhaskan untuk keperluan agama dan untuk membina tempat-tempat ibadat seperti kuil dan sebagainya. Masyarakat tamadun awal mempercayai kewujudan banyak tuhan atau polytheistic. Unsur alam semula jadi dijadikan sesuatu untuk disembah bagi tujuan menjauhkan malapetaka. Kepercayaan terhadap unsur alam mempengaruhi setiap aspek kehidupan. Contohnya, dalam bidang pertanian, mereka memuja unsur alam untuk mendapatkan hasl yang banyak. Keadaan tersebut telah membawa kepada penyembahan berhala untuk mendapatkan perlindungan.
Tamadun Mesopotamia
Agama orang Sumeria bersifat politeisme. Mereka menyembah banyak tuhan atau dewa dewi yang mempunyai ciri-ciri bentuk manusia. Dewa dewi ini dipercayai mendatangkan kebaikan atau keburukan. Mereka tidak menyembah raja mereka tetapi menganggap raja sebagai wakil tuhan di dunia.Tuhan utama orang Sumeria ialah Anu (dewa/tuhan langit), Enlil (tuhan bumi),Enki (tuhan air). Menurut kepercayaan orang Sumeria, nasib negara, rakyat dan kejadian alam ditentukan oleh dewa-dewa. Contohnya, dewa Dumumi dan dewa Inanna menentukan musim bungaan danmusim salji. Orang Sumeria tidak percaya kepada kehidupan selepas mati. Menurut orang Sumeria, tuhan-tuhan mereka tidak pernah berkuasa ke atas kehidupan di akhirat. Penyembahnya berddoa meminta rahmat kebendaan dan dipanjangkan umur. Mereka percaya bahawa bencana alam seperti banjir dan kebuluran merupakan hukuman yang ditimpa ke atas mereka. Mereka juga percaya bahawa jika mayat tidak dikebumikan, si mati akan bangkit merayau-rayau di lorong-lorang untuk mencari makanan. Mereka sangat takut kepada hantu orang mati.Sebab itulah mereka sangat mengambil berat tentang pengkebumian orang mati. Mayat yang ditanam dibekalkan dengan makanan yang diisi dalam takar. Mayat lelaki dibekalkan dengan kail dan senjata, mayat perempuan pula dibekalkan cermin yang dibuat dari tembaga. Barang-barang lain yang dibekalkan ialah seperti kereta kuda, barang perhiasan dan barang-barang lain yang dimiliki olehnya temasuk orang gaji. Mereka mengkebumikan mayat di bawah lantai rumah supaya roh simati tidak berasa diketepikan dan dapat bersama dengan keluarganya ketika menyembah tuhan keluarga mereka. Orang Sumeria menyembah tuhan yang dipercayai turun ke bumi untuk melindungi negara kota mereka. Dengan itu mereka membina ziggurat ( kuil yang berbentuk piramid yang bertingkat-tingkat setinggi 6 atau 7 tingkat). Ziggurat ini berbentuk menara dan lebih tinggi dari bangunan-bangunan lain yang ada di dalam kota. Kuil ini biasanya dibina di atas bukit. Oleh kerana ziggurat itu tinggi, ia boleh kelihatan berbatu-batu jaraknya. Kuil merupakan bangunan yang paling penting di dalam sesebuah bandar. Pejabat-pejabat perniagaan dan pentadbiran dan gudang terletak di dalam perkarangan kuil. Tempat pemujaan merupakan tempat paling penting dalam kuil. Mereka menjalankan upacara pemujaan tuhan bagi mengelakkan malaa petaka yang dianggap sebagai hukuman tuhan. Ziggurat pertama telah dibina di kota Nippur untuk tuhan Enlil. Ketua sami juga merupakan ketua bandar. Ini kerana dasar pemerintahan Sumeria berbentuk teokrasi ( agama sebagai dasar pemerintahan). Setiap kota di Sumeria mempunyai sebuah kuil. Setiap negara kota mempunyai dewa penaung (patron deity).Mereka percaya, tuhan yang dipuja oleh sesebuah bandar menetap di menara kuil. Di antara upacara agama yang dijalankan ialah pemujaan dan pengorbanan. Upacara pemujaan dijalankan di dalam ziggurat. Pengorbanan dibuat hanya apabila raja-raja meninggal dunia. Apabila raja-raja meninggal dunia, pengiring-pengiringnya turut mengiringi kematian itu ( mati bersama/dibunuh). Dalam tugu-tugu diraja dijumpai bersama mayat itu ialah barang-barang hiasan seperti emas dan perak. Mayat raja/permaisuri dipakaikan pakaian yang lengkap dan serba indah, lengkap dengan barang kemas yang bertatahkan permata.
Tamadun Mesir
Di Mesir, masyarakatnya mempercyai bahawa alam dikuasi oleh tuhan-tuhan yang menetukan hidup atau mati segala benda yang wujud di muka bumi ini. Antara nama tuhan atau dewa orang Mesir ialah Amon-Re (tuhan matahari), seth, Isis (tuhan bulan), Osiris (tuhan Sungai Nil), Thoth, Horus, Bast, Anubis, Khnum, Nepthys, Nut (tuhan langit), Shu (tuhan udara) dan ptah. Mereka juga menyembah tuhan tanaman dan tuhan binatang.. Tuhan yang paling penting dan dianggung-agungkan oleh mereka ialah Amon re dan Osiri..Menurut kepercayaan mereka, seth ialah tuhan jahat yang selalu menyebabkan tanaman rosak. Firaun Amenhotep IV atau Akhenaton 9 kira-kira tahun 1375-1360SM) pernah cuba memperkenalkan idea satu tuhan tetapi ditentang oleh sami-sami. Akhirnya beliau terpaksa juga membenarkan pemujaan ramai tuhan. Orang Mesir juga percaya tentang kehidupan roh selepas mati. Oleh itu mereka mengawet mayat (mumia) untuk menghalangnya dari menjadi reput. Mereka percaya bahawa tuhan Osiris akan memberi kehidupan selepas seseorang itu mati. Mayat ditanam bersama-sama dengan makanan, pakaian, perkakas rumah dan barang kemas supaya hidup bahagia di akhirat. Selain dari itu, mayat juga dibekalkan dengan patung-patung kecil dan model-model kapal sebagai simbul kekayaan yang akan dimilki oleh si mati itu.dalam dunia akhirat kelak. Papyrus bergulung yang tertulis di atasnya mentera turut ditanam bersama dengan tujuan bagi mengelakkan rohnya menceritakan kejahatan seseorang di dunia semasa tuhan-tuhan mengadilinya. Kadang-kadang ilmu sihir, buku-buku nyanyian dan sajak juga ditanam bersama untuk menjadi hiburan kepada seseorang itu di akhirat kelak.. Mereka percaya bahawa tiap-tiap amalan baik atau jahat akan diadili di akhirat dengan berbagai-bagai ujian. Jantung orang mati akan ditimbang. Mereka yang lulus ujian itu akan masuk ke syurga, manakala yang gagal akan ditelan raksaksa. Orang Mesir menyediakan badan yang yang telah dimumiakan( awet) sebagai tempat roh bersemadi. Piramid dibina untuk menyimpan harta Firaun yang telah mati dan mayat yang telah dimumiakan. Piramid yang terkenal ialah piramid raja Khufu (Cheops) yang dibina oleh Giza.
Tamadun Lembah Indus
Masyarakat tamadun Lembah Indus juga percaya kepada banyak tuhan (politeisme).Mereka menyembah dewa dewi. Salah satu tuhan atau dewa yang mereka sembah ialah Tuhan Bermuka Tiga (Mother - Goddess). Ada ahli sejarah yang berpendapat bahawa Tuhan Bermuka Tiga itu adalah Siva. Bagi masyarakat Lembah Indus, dewi yang paling utama ialah Dewi Alam atau Tuhan Ibu. Bilangan patung yang banyak dijumpai menunjukkan bahawa penduduk di Lembah Indus menyembah binatang dan pokok. Kehadiran simbol swastika ( ) dan roda membuktikan orang Indus menyembah tuhan matahari. Terdapat juga tanda-tanda bahawa mereka memuja alat kemaluan lelaki sebagai pembawa benih atau zuriat yang dinamakan linga yang kemudian dikaitkan dengan Dewa Hindu Siva. Sebutir batu hitam yang menyerupai Sivalingam telah ditemui di Lembah Indus. Selepas kedatangan orang-orang Aryan pada tahun 1500 SM, mereka membawa kepercayaan menyembah pelbagai tuhan. Antaranya ialah tuhan Indra (tuhan perwira), Vayu, Agni ( tuhan api), Dyaus (tuhan langit) dan varuna (tuhan hujan). Orang Aryan percaya bahawa tuhan mereka akan melindungi daripada segala kejahatan dan menghukum sesiapa yang bersalah. Ahli-ahli arkeologi belum menemui kuil-kuil pemujaan. Ini menunjukkan upacara pemujaan dijalankan di rumah kediaman. Mereka menjalankan upacara mengorbankan binatang tetapi tidak termasuk lembu kerana lembu dianggap suci terutama lembu jantan. Sebab itulah lembu jantan disembah. Pemujaan terhadap batu bata, pokok dan sungai atau boleh jadi roh juga diamalkan. Kepercayaan animisme ini merupakan penyembahan terhadap Nages, Yaksoas yang dianggap penjelmaan roh. Bukti-bukti menunjukkan kepercayaan ini diamalkan di Mohenjo Daro. Masyarakat Indus juga menjalankan upacara pengkebumian dan pembakaran mayat. Orang yang mati akan ditanam bersama-sama dengan alat-alat tembikar dan barang-barang perhiasan. Air dianggap suci dan mandi adalah satu upacara yang penting. Di bandar besar terdapat tempat mandi awam untuk menjalankan upacara agama.
Tamadun China
Masyarakat tamadun awal China di Lembah Hwang Ho ( masyarakat Shang) percaya bahawa tuhan-tuhan mereka menguasai semua kehidupan manusia. Sebab itulah mereka menyembah banyak objek seperti bulan, matahari, bumi, sungai, angin dan juga arah iaitu timur, barat dan selatan. Tuhan utama adalah Shang Ti yang dianggap mempunyai kuasa ke atas seluruh alam.. Objek-objek itu dianggap sebagai tuhan. Mereka percaya bahawa objek-objek itu mempunyai kuasa yang boleh menyebabkan banjir, kemarau, wabak penyakit dan serangan belalang ke atas tanaman. Bagi mengelakkan mala petaka, mereka menjalankan upacara pengorbanan untuk tuhan-tuhan itu. Masyarakat Shang juga mengasaskan pemujaan nenek moyang yang telah lama mati (ancestral worship). Kepercayaan ini merupakan kepercayaan yang tertua di negeri China. Pemujaan ini dilakukan kerana mereka percaya nenek moyang mereka yang telah mati itu mempunyai pengaruh ke atas kehidupan sehari-hari. Pendeta China telah menggunakan tulang nujum (oracle bones) untuk mendapatkan nasihat atau ramalan daripada nenek moyang ataudewa dewi tentang sesuatu tindakan yang dicadangkan.. Caranya adalah dengan menulis beberapa soalan di atas tulang nujum itu, kemudian menghempaskannya sehingga retak atau memanaskannya hingga retak. Ahli nujum akan membuat ramalan berdasarkan retak-retak yang terdapat pada tulang tersebut. Masyarakat China mempercayai bahawa tuhan-tuhan tinggal di syurga dan dapat melindungi pemuja-pemujanya dari perkara-perkara yang buruk. Penyembahan dengan binatang yang dibunuh dilakukan untuk mencapai hajat tertentu. Bila raja meninggal dunia, orang gaji dan orang tawanannya akan dibunuh dan dikebumikan bersama-samanya. Barang-barang seperti kereta kuda, jed, sutera, bahan gangsa dan alat-alat muzik ditanam bersama.
Tamadun Yunani
Orang Yunani mempercayai tuhan-tuhan/ dewa dewi seperti Zeus, Apollo, Athena dan lain-lain lagi yang dipercayai menetap di Gunung Olympus. Di situlah mereka tinggal sebagai satu keluarga di bawah seorang dewa utama iaitu Zeus ( ‘bapa dewa-dewa dan manusia’). Mengikut kepercayaan mereka, Zeus menguasai guruh, kilat dan taufan dan membuat alam bergoncang apabila sahaja rambutnya bergerak. Dewa Poseidon digambarkan sebagai dewa yang berambut biru tua, menguasai laut dan dewa kepada kuda-kuda. Apollo pula berambut perang membawa lyre dan menjadi penaung segala muzik dan desa penyembuh. Ares merupakan dewa peperangan, bergerak pantas dan menakutkan. Athena bermata kelabu tetapi bersinar - dewi segala pertukangan dan kemahiran.Pendekata, bagi orang-orang Achaean setiap dewa dewi itu mempunyai gelarannya serta sifat-sifatnya yang tertentu dan menjalankan sesuatu tugas yang dikhaskan kepada mereka. Dewa dewi ini dipercayai serupa orang lelaki dan perempuan tetapi boleh hidup kekal abadi. Dewa dewi itu dianggap mempunyai cara berfikir dan hawa nafsu seperti manusia tetapi mempunyai kuasa lebih dari manusia. Orang-orang Achaean percaya bahawa dewa-dewa ini pada keseluruhannya mementingkan keadilan dan belas kesihan sungguhpun mereka tersinggung jika diketepikan. Mereka marah hanya kepada orang-orang yang mengeji penyembahan dan pemujaan dan mereka yang menyakitkan hati orang lemah dan tidak berdosa dan berbangga di atas kezalimannya itu. Mereka tidak sengaja hendak menurunkan bala ke atas manusia. Punca segala keburukan ialah terkandung dalam hati manusia sendiri. Upacara utama dalam dalam penyembahan mereka ialah pengorbanan lembu dan kambing biri-biri; satu upacara pembakaran yang indah dan penuh istiadat diiringi dengan bacaan doa oleh padri, nyanyian hymn dan tarian. Korban-korban ini dibuat bukanlah merupakan pemberian rasuah kepada dewa-dewa tetapi merupakan satu perhimpunan suci dan mesra dengan makan minum bersama dan dapat merapatkan lagi perhubungan manusia dengan dewa-dewa. Itu anggapan mereka. Kota-kota yang memuja tuhan-tuhan yang sama biasanya membentuk sebuah majlis agama. Majlis ini mewujudkan pertalian di antara negara-negara kota. Mereka juga percaya kepada orakel iaitu tempat atau perkara-perkara suci yang pada kepercayaan mereka tuhan-tuhan akan memberitahu manusia tentang masa depan.
Tamadun Rom
Seperti tamadun Yunani dan lain-lain tamadun, masyarakat Rom juga mempercayai dewa dewi terutama dewa pertanian. Mereka juga telah menerima tuhan-tuhan jiran-jiran mereka. Mereka percaya bahawa tuhan mereka tidak cemburu dan menganggap bukan satu penghinaan terhadap tuhan-tuhan mereka apabila mereka menerima tuhan-tuhan baru. Mereka melakukan pembaharuan dalam menerima tuhan-tuhan baru dari negara-negara jiran mereka kerana sebab-sebab tertentu. Contohnya, bila berlaku wabak hawar di negeri mereka, mereka pun mula menyembah tuhan penyembuh Greek. Meeka juga menyamakan tuhan-tuhan mereka dengan tuhan-tuhan orang Greek yang menjalankan tugas yang sama. Contohnya, dewi cinta Greek yang bernama Aphrodite disamakan dengan Venus orang Rom dan cara baru untuk menyembahnya diperkenalkan. Orang Rom menganggap tuhan adalah makhluk ghaib yang mereka takuti. Mereka tidak memikirkan mengenainya. Mereka tidak mempunyai pengetahuan tentang agama.
Tamadun Arab
Terdapat berbagai kepercayaan di Tanah Arab sebelum kedatangan Islam seperti kepercayaan kepada telahan nujum, animesme (penunggu), mengaitkan arah burung terbang dengan nasib perjalanan, pemakain cincin dan sebagainya.
Tamadun Melayu
Sebelum pengaruh Hindu berkembang di Alam Melayu, orang-orang Melayu berpegang kepada faham animesme. Malah apabila ajarah Hindu, Buddha dan Islam meresap ke dalam kehidupan orang-orang Melayu, kepercayaan animesme masih lagi diamalkan.
4.2: Agama
Tamadun Indus
Agama yang paling terkenal di India ialah agama Hindu. Hinduisme dianggap sebagai agama yang tertua di dunia. Ia berusia lebih dari 3000 tahun yang muncul pada Zaman Veda (2000SM hingga 1000SM) di India.Ia muncul hasil dari percampuran orang di Lembah Indus dengan orang-orang Aryan. Orang-orang Aryan dari Asia Tengah telah membawa bersama-sama kebudayaan dan kepercayaan mereka apabila mereka pergi ke India. Asimilasi antara orang-orang Aryan dan orang-orang di Lembah Indus itu telah mencetuskan agama Hindu ini. Agama ini tidak mempunyai pengasas dan kitab suci tetapi setengah-setengah penganut agama ini menganggap Bhagavadgita sebagai kitab suci mereka. Walau bagaimanapun buku yang tertua tentang agama Hindu ialah Veda ( yang bermaksud Buku Pengetahuan) yang ditulis sekitar tahun 1500 SM oleh orang-orang Aryan dalam bahasa sanskrit. Ia terdiri dari 4 kitab iaituSamhita/Rig Veda, Sama Veda, Yajur Veda dan Atharva Veda. Bandar suci penganut agama ini ialah Benares/ Varanasi, manakala sungai yang dianggap suci ialah Sungai Ganges. Hinduisme merupakan satu sistem kepercayaan dan upacara. Ia lebih berbentuk satu cara kehidupan dari agama. Penganut agama ini memuja 3 dewa iaitu Brahma ( Dewa Pencicpta), Vishnu (Dewa Pelindung) dan Siva (Dewa Pemusnah). Bentuk Hinduisme yang terawal ialah Brahmanisme yang diwujudkan oleh golongan Brahmin/sami. Hinduisme juga memberi peraturan-peraturan dan undang-undang tertentu sebagai petunjuk kepada tingkah laku penganut-penganutnya. Matlamat utama penganutnya ialah untuk mencapai Nirvana atau Moksha yang membolehkan mereka bersatu dengan tuhan/Dewa Brahma. Ia boleh dicapai melalui kehidupan yang sederhana. Sebab itulah mereka percaya kepada kelahiran semula. Sistem kasta atau varna adalah unsur yang dipentingkan dalam agama ini. Ia dibawa oleh orang Aryan. Melalui sistem ini manusia dibahagikan kepada kelas perwira atau aristokrasi ksyatriya), kelas sami (brahmin) dan kelas rakyat biasa (sudra). Kemudian kelas itu menjadi 4 pula iaitu ksyatriy, brahmin, Vaisya (pedagang) dan sudra. Kelas pariah adalah kelas yang terkeluar dari 4 kelas tersebut dan amat dipandang hina. Agama yang kedua yang dianut di India ialah agama Buddha yang lahir pada kurun ke-6 SM. Ia lahir di India. Pengasasnya ialah Siddhartha Gautama. Ia sebenarnya dilahirkan dalam kelas ksyatriya dan dibesarkan sebagai seorang Hindu tetapi apabila beliau melihat kematian, penyakit dan kehidupan seorang pendita,timbul satu kesedaran dalam diri beliau iaitu kebahagiaan boleh dicapai hanya melalui pertapaan dan agama. Beliau dikatakan memperoleh kebenaran setelah bertapa selama 45 hari di bawah pokok bodi di Beneres.Selepas itu beliau diberi gelaran Buddha ( yang bererti Pemberi Cahaya). Hari Wesak merupakan upacara penting agama ini. Beliau menyebarkan agama ini selama 45 tahun sebelum meninggal dunia.
Buddha telah memperkenalkan sangha (masyarakat biara). Sami-sama dalam sangha hidup dengan derma penganut-penganutnya. Ajaran ini tidak mementingkan kasta dalam kehidupan. Pengikut-pengikut Gautama telah meletakkan Gautama sebagai tuhan walaupun Gautama tidak pernah menganggap dirinya seperti itu. Pengikut-pengikutnya telah menyebarkan ajarannya selepas kematiannya. Ajarannya telah banyak diubahsuai hingga timbul beberapa aliran seperti Hinayana (lebih asli dan dipraktikkan oleh penganut di India) dan Mahayana (aliran yang disebarkan ke seberang laut).Menurut Buddha, seseorang itu perlu memahami 4 Kebenaran Mulia untuk memahami kehidupan iaitu:
    1. Kehidupan adalah berkenaan dengan kesengsaraan dan kesakitan.
    2. Kesakitan dan kesengsaraan adalah akibat daripada perasaan iri hati.
    3. Kesakitan dan kesengsaraan akan hilang jika manusia menghapuskan hawa nafsu mereka.
    4. menerangkan cara-cara untuk menghapuskan hawa nafsu iaitu dengan mengikuti 8 Bahagian dalam Jalan-Jalan Kesucian iaitu:
i.. Kepercayaan yang benar
ii. Usaha yang benar
iii. Ingatan yang benar
iv. Perbuatan yang benar
v. Ketekunan yang benar
vi. Fikiran yang benar
vii. Kehidupan yang benar
viii. Pertuturan yang benar
Agama ini juga percaya kepada kelahiran semula dan nirvana (peringkat yang paling bahagia) menjadi matlamat penganut-penganutnya. Buddha juga mengajar tentang ahimsa ( tidak boleh memusnahkan/merosakkan segala benda hidup. Asoka dari Empayar Maurya adalah raja India yang paling bertanggungjawab menyebarkan agama ini ke luar India iaitu ke Sri Lanka dan dari Sri Lanka disebarkan ke Asia Tenggara, Tibet, Jepun dan China.
Tamadun China
Agama Buddha merupakan satu daripada agama yang dianut oleh masyarakat China yang telah dibawa masuk ke China dari Sri Lanka Faham kedua yang tersebar luas di negara China ialah Confuciusnisme. Ia berdasarkan ajaran Confucius/Kung Fu Tze (551-479SM) yang hidup pada zaman Dinasti Chou. Ajaran Confucius terdapat dalam buku klasik berjodol Analekta yang ditulis oleh pengikut-pengikutnya. Ajaran Confucius memberi penekanan tentang harga diri dan perasaan kemanusiaan (ada 5 kebaikan di dunia iaitu amanah, rajin, bersifat mulia, berbudi bahasa dan bermurah hati). Rukun kemasyarakatan yang diajar Confucius ni kemudian telah menjadi falsafah rasmi negara China. Confucius juga menekankan 5 jenis hubungan yang baik iaitu hubungan pemerintah dengan rakyat, Ibu bapa dengan anak, suami dengan isteri, abang dengan adik dan kawan dengan kawan. Di negara China juga tersebar faham Taoisme. Ajaran ini diasaskan oleh Lao Tzu dan Chuang Tzu yang hidup dalam Dinasti Chou. Ia dapat diperolehi dalam buku Tao Te Ching dan Chuang Tzu. Tao bermaksud ‘cara’ atau ‘jalan’ untuk seseorang individu mencari kedamaian dan keharmonian dalam dunia. Ajaran ini menyarankan manusia supaya tidak mementingkan dunia. Taoisme mementingkan kesederhanaan, perdampingan dengan alam semula jadi dan amalan meditasi. Bagi ajaran ini, raja dan kerajaan tidak penting kerana manusia boleh menjalani kehidupan mengikut undang-undang alam. Ajaran ini tidak mendapat sambutan dari kalangan terpelajar. Ia berpengaruh di kalangan rakyat di luar bandar. Sumbangan penting ajaran ini ialah sami-saminya telah membuat banyak perjumpaan dalam bidang perubatan tradisional, mencipta ubat bedil, jarum magnetik dan herba-herba asli. Selain dari ajaran-ajaran tadi, tersebar juga faham Mohisme oleh Mo Ti atau Mo Tzu yang hidup sezaman dengan Confucius. Doktrin utama falsafahnya ialah kasih yang sempurna untuk setiap manusia. Satu lagi faham yang tersebar ialah Legalisme yang muncul serentak dengan Mohisme. Ia dipengaruhi oleh idea dan falsafah Hsun Tzu. Faham ini lebih mementingkan masyarakat dari individu. Falsafah ini menganggap semua individu adalah jahat. Faham ini amat berpengaruh pada zaman Dinasti Chin terutama pada masa pemerintahan Shih Huang Ti.
Tamadun Yunani
Agama Kristian telah tersebar di Yunani oleh pengikut Nabi Isa bernama Paul. Perkataan Kristian berasal dari perkataan Greek, ‘Christos’ yang bermaksud ‘penyelamat’. Pengikut agama ini mengangap Nabi Isa sebagai penyelamat untuk membela orang Kristian. Ajaran ini sebenarnya diasaskan di Asia Barat (Baitul Laham, Palestin). Nabi Isa telah diutus oleh Allah untuk menyebarkan ajaran kepercayaan kepada Tuhan yang satu melalui kitab Injil.Ajaran ini telah berkembang sejak lebih 2000 tahun yang lalu. 
Tamadun Rom
Rom juga menerima ajaran Kristian melalui pengikut Nabi Isa yang bernama Paul. Orang Rom mudah menerima agama ini kerana ia mudah difahami berbanding dengan kepercayaan yang mereka anuti selama ini iaitu banyak tuhan yang amat mengelirukan.Zaman Pax Romana telah membenarkan agama ini disebarkan. Keadaan yang aman membolehkan mubaligh-mubalighnya menyebarkan agama ini ke tempat-tempat lain. Jalan-jalan yang dibina oleh Empayar Rom membolehkan agama ini berkembang ke tanah-tanah jajahannya..Terdapat juga Maharaja Rom yang menindas penganut agama ini. Peter yang menjadi pengikut Nabi Isa telah dibunuh oleh Maharaja Rom tahun 65M. Walau bagaimanapun ketakwaan dan ketabahan mereka menggagalkan usaha maharaja tersebut untuk menyekat penyebaran agama ini. Persidangan Bishop yang dijalankan mulai kurun ke-3 membolehkan penyebaran agama ini terus berjalan lancar. Pada tahun 800M Charlemagne telah dilantik menjadi Maharaja Holy Roman Empire. Beliau telah menggalakkan pertumbuhan gereja-gereja dan biara-biara. Beliau juga meluluskan undang-undang mengizinkan gereja mengutip zakat.
Tamadun Mesir
Mesir menerima agama Kristian melalui pengikut Nabi Isa yang bernama Peter. Apabila Islam berkembang di Madinah, Islam juga tersebar ke Mesir iaitu pada zaman Khalifah Umar al-Khattab.
Tamadun Arab
Zaman sebelum Nabi Muhammad diutus menjadi Rasul bagi menyebarkan agama Islam di bumi Arab, terdapat berbagai agama. Agama di situ terbahagi kepada dua iaitu agama Ilahi/Wahyu (agama Hanif, Nasrani dan Yahudi) dan agama ciptaan manusia ( menyembah berhala, menyembah cakrawala, menyembah padang pasir, menyembah api/majusi. Apabila Islam disebarkan di Mekah pada tahun 610M agama Islam mula mengambil tempat agama-agama yang sedia ada di situ dan selepas kira-kira 23 tahun Islam disebarkan ( selepas pembukaan Kota Mekah) seluruh bumi Arab menerima agama Islam. Agama-agama Yahudi dan Nasrani mula lenyap dari bumi Arab.
Tamadun Melayu
Agama yang mula-mula sekali meresap masuk ke alam Melayu ialah agama Hindu ( sebelum abad pertama Masihi lagi), diikuti oleh agama Buddha. Setelah lebih dari 7 abad, Alam Melayu mula menerima ajaran Islam yang disebarkan oleh pedagang-pedagang dan pendakwah-pendakwah Islam dari Arab dan Gujerat. Apabila kuasa-kuasa Barat seperti Portugis ( abad ke-16M), Belanda dan Inggeris menjajah negeri-negeri di Alam Melayu, agama Kristian pula mula disebarkan.
Tema 2 : Pemerintahan dan Pentadbiran
Tajuk 2.1 : Pembentukan Negara Kota
Kawasan Kajian : Yunani, Rom, Arab dan Melayu
Kandungan kajian : Ciri-ciri Negara Kota Dan Proses dan perkembangannya.
Maksud Negara Kota ialah bandar yang juga merupakan negeri yang berdaulat dan merdeka. Selain daripada Yunani, Rom, Arab dan Kepulauan Melayu ( kawasan kajian kita), Negara Kota juga terdapat di negara-negara lain seperti di Memphis (Mesir), Ur, Urech, Kish, Babyon (Mesopotamia), Mohenjo Daro dan Harappa (India) dan Anyang ( China).
Tamadun Yunani
Dalam tamadun Yunani, Negara Kotanya dikenali sebagai Polis (dari bahasa Greek) yang merupakan sebuah pusat berkubu dan menjadi ibu kota bagi Yunani. Ia merupakan sebuah pusat yang sangat dihormati. Ia menjadi pusat komuniti Acropolis pula merupakan kota berkubu di bahagian tengah. Sebenarnya yang dimaksudkan bahagian tengah itu ialah bahagian hulu sesebuah bandar dan yang termasyhur sekali ialah bandar Athens.Sebelum sesebuah negara kota itu muncul, asalnya bermula daripada kampung-kampung yang bersebaran. Lama kelamaan penduduk setiap lembah atau dataran bergabung menjadi satu komuniti politik dan bersam-sama menyembah dewa-dewa, berjual beli, menjaga pertahanan dan menjalankan pemerintahan. Pusat komuniti itu biasanya terletak di satu kawasan berbatu yang tinggi di tengah-tengah dataran dan dari situ dapat dilihat seluruh kawasan sekitar. Kebanyakan lembah-lembah Greek berbentuk piring terbalik. Pusat komuniti inilah kota berkubu dan ibu kota (polis). Luas tiap-tiap kota ialah antara 80 hingga 800 km persegi dengan purata penduduk seramai 5000 orang.
Negara-negara kota di Yunani ini kecil-kecil dan berbeza dari jirannya yang terdapat di sebalik banjaran gunung. Warganegara sesebuah negara kota tinggal begitu dekat dengan pusat pemerintahan dan sebab itulah mereka terlibat dalam pemerintahan. Dalam usaha/percubaan memerintah sendiri, mereka telah memecat raja-raja dan pembesar-pembesarnya satu demi satu. Orang Greek amat menyayangi negara kota mereka. Dalam peperangan yang sering berlaku antara negara-negara kota, warganegaranya rela mati berjuang bagi mempertahankan kota mereka itu. Malah sepanjang hidup mereka dari mula lahir hingga ke akhir hayat, jiwa raga mereka tercurah kepada negara kota mereka. Antara negara kota yang terdapat dalam tamadun Yunani ini ialah Athens, Sparta,Thebes, Corinth, Olympia dan Argos. Athens merupakan salah sebuah negara kota dalam tamadun Yunani yang paling terkenal. Sehingga pertengahan abad ke-8 SM, Athens seperti negara kota lain di Yunani menjalankan pemerintahan secara monarki (beraja). Kira-kira pada tahun 750SM raja Athens telah digulingkan kerana rakyat inginkan suara yang lebih dalam pentadbiran dan juga kerana penindasan yang telah dilakukan oleh raja. Pemerintahan telah diambilalih oleh sekumpulan bangsawan yang digelar eupatrid. Mereka telah melakukan aktiviti perlanunan dan merampas tanah untuk menambahkan kekayaan mereka. Golongan ini telah mengambilalih kuasa politik dengan menguasai Majlis dan tentera. Mereka memerintah Athens menerusi Majlis Bangsawan (Council of Nobles). Zaman ini dikenali sebagai Zaman Kebangsawanan/Aristokrasi. Pegawai awam utama ialah Ketua Majistret yang dipilih setiap tahun dari golongan bangsawan. Petani tertindas dalam pemerintahan ini dan menjadi hamba abdi bila hutang tidak terbayar. Pada tahun 594SM golongan bangsawan telah memilih Solon sebagai ketua majistret dan memberikannya kuasa mutlak untuk membuat perubahan. Perlantikan itu dibuat kerana rasa bimbang jika seseorang ketua yang berkebolehan tidak dilantik, mereka mungkin akan digulingkan oleh seseorang yang zalim. Solon telah menubuhkan Majlis Empat Ratus (Council of Four Hundred) yang terdiri daripada golongan bangsawan dan pemilik harta yang kaya.Majlis ini kemudian bertukar menjadi Majlis Lima Ratus. Beliau telah menubuhkan semula Perhimpunan Agung ( berfungsi sebagai badan perundangan). Solon juga menubuhkan sebuah Mahkamah Agung yang mempunyai kuasa untuk menimbangkan rayuan terhadap keputusan majistret. Tahap kegemilangan sistem demokrasi di Athens dicapai di bawah pimpinan Pericles (495-429SM). Pericles telah menubuhkan sebuah Lembaga yang bertindak sebagai badan eksekutif tertinggi. Ahlinya terdiri daripada 10 orang jeneral yang dilantik oleh Perhimpunan Agung untuk satu tahun. Pericles juga membuat perubahan terhadap kuasa membuat keputusan dan menjatuhkan hukuman iaitu tidak lagi oleh majistret tetapi oleh sekumpulan juri. Sparta adalah negara kota yang terkuat di Yunani. Kerajaan ini berbentuk militeri. Rakyatnya terdiri daripada kaum Dorian yang berhijrah dari utara. Tenteranya terdiri daripada tentera darat dan laut. Kanak-kanak Sparta akan menjalani latihan ketenteraan bila berusia 7 tahun dan memasuki tentera bila berumur 20 tahun dan terpaksa tinggal di berek tentera sehingga berumur 30 tahun. Melalui sistem ini, kanak-kanak yang lemah dibunuh sebaik sahaja dilahirkan. Kerajaan Sparta diketuai oleh 2 raja ( dari keluarga Agiadac dan Eurypontidac) dan 5 orang Ephor. Ephor dilantik oleh Majlis Perhimpunan. Rakyat dari kelas homoioi yang berketurunan Dorian merupakan golongan pemimpin di Sparta
Tamadun Rom
Rom telah didatangi orang-orang Etruscan yang agresif ( di utara Itali). Di sebelah pinggir laut yang subur tinggal penduduk yang agak primitif. Pada abad ke-8 datang pula orang Greek yang lebih mencintai kedamaian ( mengusahakan tanah). Di sebelah selatan kawasan orang Etruscan iaitu di dataran Sungai Tiber tinggal orang Latin ( satu dari puak Itali). Mereka membentuk komuniti yang berasingan. Walau bagaimanapun, mereka telah bersatu ketika mempertahankan diri dari serangan orang Etruscan. Penyatuan inilah yang menjadi asas pembentukan bandar Rom kira-kira padatahun 753SM. Bertahun-tahun lepas itu Rom berkembang menjadi ibu kota dunia Barat. Rom terletak di tengah-tengah jalan selatan ke utara dan ditebing Sungai Tiber.Kuala sungai itu menjadi pelabuhan yang terbaik di pantai barat. Dengan itu, ia menjadi kunci masuk ke Itali. Rom adalah gabungan kampung-kampung yang terletak di atas bukit-bukit kecil . Dari atas bukit-bukit itu mereka boleh nampak angkatan Etruscan yang bengis, lengkap dengan senjata yang pada bila-bila masa sahaja akan menyerang mereka. Penduduk Rom ini pada hakikatnya adalah bersifat tentera dan semua institusi mereka mencerminkan kelakuan mereka yang suka berperang, sementara bakat mereka ditunjukkan dengan sepenuhnya dalam usaha-usaha ketenteraan.
Pada mulanya Rom diperintah oleh seorang raja yang juga menjadi padri besar, jeneral dan penggubal undang-undang. Baginda menentukan peraturan-peraturan dalam perhubungan mereka dengan dewa-dewa, orang asing dan antara satu sama lain. Penduduk di bawah pemerintahannya tidak dianggap setarafdengan baginda. Antara penduduknya terdapat golongan bangsawan (Patrician) dan yang lain-lain dipanggil Plebeian.. Golongan Plebeian ini bekerja untuk mereka dan berharap akan mendapat perlindungan daripada mereka. Golongan Patrician inilah yang menjadi ahli Senat ( badan penasihat yang mengandungi orang lelaki yang tua dan berpengalaman). Senate ini berhak ke atas pelantikan raja baru. Apa yang jelas tentang Rom ini ialah Rom hampir sepanjang masanya berperang dan rajanya membuktikan diri mereka sebagai pemimpin yang sesuai. Orang Rom telah menunjukkan bahawa mereka merupakan pahlawan-pahlawan yang hebat walaupuntidak pernah mampu menentang orang Etruscan.Pada awal abad ke-6 Rom jatuh ke tangan raja-raja bangsa Etruscan yang terkenal dengan pemerintahan yang zalim itu. Orang-orang Rom menggelar mereka sebagai Tarquin Sombong. Walau bagaimanapun mereka telah berjasa dalam membuat tembok melingkungi semua komuniti dan dianggap sebagai pengasas bandar itu. Mereka mengadakan sistem saliran dan mencantikkan bandar itu dengan membina rumah-rumah berhala. Mereka menyusun semula angkatan tentera, membesarkannya dan membahagikan warganegara mengikut kekayaan mereka. Mereka hanya sempat memerintah Rom tidak sampai 100 tahun kerana orang-orang Rom telah bangkit menentang dan menghalau mereka.Tragedi ini dianggap sebagai satu revolusi Pengusiran Raja-Raja. Pemerintahan Etruscan yang zalim itu telah menghantui perasaan orang-orang Rom untuk tidak menerima pemerintahan beraja. Selepas itu orang Rom telah menubuhkan pemerintahan berbentuk republik.
Tamadun Arab
Di Semenanjung Tanah Arab, negara kotanya didirikan oleh penduduk bandar atau dikenali sebagai Hadhari. Negara kotanya terdapat dalam kerajaan-kerajaan Selatan, Tengah dan Utara. Di kawasan selatan terdapat kerajaan Yaman, di kawasan tengah ialah kerajaan Hijaz/Makkah manakala di sebelah utara terdapat kerajaan-kerajaan Anbat/Nabatean, Tadmor/Palmyra, Hirah dan Ghassan. Berbeza dari negeri-negeri bahagian utara dan tengah, Yaman menyaksikan suatu tingkat kemajuan yang terawal sekali dalam sejarah tamadun Arab purba. Hal ini berkait rapat dengan kedudukan alamnya yang sesuai sebagai tempat pertemuan bagi para pedagang. Di sini air hujan sentiasa turun di samping kesuburan tanahnya sendiri. Saba’ (955SM - 115SM) adalah kerajaan yang paling terkenal di Yaman. Kerajaan ini mengamalkan sistem pemerintahan beraja demokrasi. Kemasyhuran kerajaan Saba’ adalah kerana ratunya yang bernama Balqis dan rakyatnya yang (walaupun kuat dan berani namun) mementingkan perdamaian. Kerajaan ini runtuh kerana kecuaian rakyatnya sendiri terutama pemimpinnya, sehingga akhirnya berlakulah banjir yang besar yang menghancurkan Empangan Maarib (nadi pertaniannya). Rakyatnya telah menyelamatkan diri ke bahagian tengah dan utara tanah Arab. Kerajaan ini diganti oleh kerajaan Himyar yang dapat mengembalikan kegemilangannya. Kerajaan ini lebih menekankan perluasan jajahan takluk. Kerajaan ini kemudian jatuh ke tangan Rom dan Parsi yang sekian lama memerhati kemakmuran Yaman. Kedua-kedua kuasa besar itu sentiasa bersaing bagi meluaskan pengaruh dan menyebar agama masing-masing. Keruntuhan kerajaan Yaman telah memuncukan sebuah kerajaan di kawasan tengah iaitu Hijaz atau Makkah. Kedudukan geografinya di tengah-tengah tanah Arab menjadi kawasan pertemuan di kalangan saudagar-saudagar dari utara dan selatan. Apatah lagi setelah kaabah dibina, bandar Makkah telah menjadi pusat pertemuan berbilang bangsa dari seluruh pelusok dunia bagi mengerjakan ibadah. Suatu yang amat unik bagi kota Makkah ini ialah ia tidak pernah dijajah oleh mana-mana kuasa penjajah walaupun ada yang pernah mencuba. Sistem pentadbirannya dijalankan oleh kabilah. Yang terkenal ialah kabilah Quraisy di bawah Qusai bin Kilab. Qusai telah mengatur sistem pentadbiran yang sistematik dan berjaya menyatukankabilah-kabilah Arab. Di sebelah utara Arab, muncullah beberapa buah kerajaan seperti kerajaan Anbat/Nabatean, Tadmor/Palmyra, Hirah dan Ghassan. Kerajaan-kerajaan utara ini merupakan kerajaan penampan bagi kuasa Rom dan Parsi.
Tamadun Melayu
Di kawasan Alam Melayu telah memunculkan beberapa buah negara kota seperti Langkasuka, Chieh-Cha ( Kedah), Kalah ( dipercayai terletak di utara Kedah) dan lain-lain lagi. Langkasuka terletak di Patani, Thailand. Langkasuka dikatakan muncul sebagai negeri bebas pada awal abad ke-2M ( tahun 100 M). Langkasuka menjalankan perdagangan dengan kerajaan-kerajaan di Asia Barat, India, China dan kerajaan-kerajaan di Gugusan Kepulauan Melayu. Kerajaan ini dipengaruhi oleh pengaruh Hindu Bagaimanapun, pada abad berikutnya,ia dilanggar oleh Funan. Sejak itu Langkasuka tidak putus-putus dijajah oleh kuasa luar dan maju mundurnya ditentukan oleh faktor ini. Meskipun kedudukannya yang terletak di jalan perdagangan antarabangsa antara India dan China dan juga kekayaan hail buminya itu merupakan faktor dalaman yang membawa kemajuannya, namun faktor luarlah sebenarnya yang lebih dominan dalam menentukan semuanya itu. Bagaimanapun pada abad ke-5M, Langkasuka dapat memulihkan kemerdekaannya dan apabila Funan mengalami kemunduran pada abad ke-6M, Langkasuka mencapai zaman keagungannya. Pada ketika inilah dikatakan wilayah taklukannya meliputi Songkla, Kelantan dan Terengganu. Namun dengan kebangkitan Srivijaya pada abad ke-7M, Langkasuka tertakluk di bawahnya pula. Kemudian menjadi jajahan Majapahit dan apabila Melaka ditawan Portugis (1511) kerajaan Langkasuka turut lenyap dalam sejarah kerana diserang oleh Raja Chola, Rajendra 1 dari India Selatan.. Kerajaan Kedah ( Kedah Tua) wujud dari kurun ke-5M hingga kurun ke-14M di Lembah Bujang. Kerajaan ini muncul sebagai sebuah pusat perdagangan dan pelabuhan entrepot yang penting pada kurun ke-5M. Pelabuhannya disinggahi kapal dagang dari India, China dan Asia Barat. Pusat pentadbirannya terletak di Kampung Sungai Emas (kurun ke-5 hingga 10M) dan Pangkalan Bujang (kurun ke-10 hingga 14M). Penduduknya dipengaruhi agama Hindu dan Buddha. Menjelang tahun 695M kerajaan ini menjadi tanah jajahan kerajaan Srivijaya. Kerajaan ini mula merosot pada abad ke-11 kerana diserang oleh Raja Chola, Rajendra 1 pada tahun 1025M.
 Tamadun Mekah : Negara Kota Arab (Kerajaan Arab Tengah/Hijaz)
Mekah terletak di satu lembah yang tandus, dikelilingi oleh banjaran gunung dan bukit-bukit batu. Ia merupakan ibu kota bagi daerah Hijaz (Arab Tengah). Kedudukannya ialah di tengah-tengah persimpangan jalan antara kota-kota di Syam dan Hirah (di utara Arab), Yaman (di selatan Arab) dankota-kota di pinggir pantai Laut Merah. Kedudukannya di tengah-tengah jalan perdagangan antara Utara dan Selatan itu menjadikannya sebagai tempat persinggahan bagi saudargar-saudagar dari utara ke selatan dan dari selatan ke utara. Dengan itu Mekah menjadi pusat perdagangan yang penting. Pasar banyak didirikan dan yang terkenal ialah Pasar Zul Majaz, al-Majinnah dan Ukaz. Sejarahnya bermula apabila Nabi Ibrahim membawa isterinya (Siti Hajar) dan anaknya (Ismail) ke Mekah. Mekah ketika itu tidak ramai didiami orang. Puak yang mula-mula tinggal di situ ialah puak Amaliqah, kemudian datang pula puak Jurhum dan menjadi penguasa Mekah. Apabila air zamzam dijumpai oleh Nabi Ismail, Mekah mula didatangi orang. Apabila Nabi Ibrahim bersama anaknya Ismail mendirikan kaabah, Mekah telah menjadi pusat ibadat dan mengerjakan Haji. Mekah bertambah maju di bawah suku Jurhum. Kemudian kekuasaan .Mekah berpindah kepada suku Khuzaah dari Yaman. Perubahan berlaku, ajaran Nabi Ibrahim telah dicampuradukkan dengan penyembahan berhala (tahun 207SM). Tahun 440M kabilah Quraisy di bawah pimpinan Qusai bin Kilab bin Murrah dari Bani Quda’ah (moyang Nabi Muhammad) mengambilalih kekuasaan Mekah dari puak Khuzaah. Di bawah pentadbiran Qusai, Mekah menjadi maju dan terkenal dan menjadi tumpuan seluruh tanah arab.
Negara kota Mekah berfungsi sebagai pusat perdagangan, pusat ibadat, pusat kebudayaan, dan pusat pentadbiran. Sebagai pusat perdagangan, kota ini sentiasa sibuk terutama pada musim haji bila seluruh penduduk tanah Arab berkumpul di sana. Sebagai pusat ibadat, Mekah dikunjungi kerana mengerjakan ibadat, mengerjakan haji dan dan menjadi pusat penyembahan berhala. Sebagai tempat pertemuan berbagai kaum, ia turut memainkan peranan sebagai pusat kebudayaan. Setiap tahun Mekah menganjurkan pesta/pertandingan seni pidato, syari, falsafah, kata-kata hikmat, bercerita). Karya yang menang dutuliskan dengan warna emas dan digantung dikaabah untuk tatapan umum. Pentadbiran yang baik juga menjadi tarikan orang mengunjungi Mekah. Berbagai jabatan diwujudkan bagi melicinkan pentadbiran terutama pada musim haji. Apatah lagi Mekah telah diiktirafsebagai ‘kota aman’ kerana terdapat beberapa bulan yang dipanggil ‘bulan haram’ (bulan Zulkaedah, Zulhijjah, Muharram dan rejab – diharamkan berperang, membunuh dan sebagainya). Mekah juga mempunyai pasukan tentera yang cukup baik, terdiri daripada askar dan hamba-hamba Negro. Sejarah telah membuktikan bahawa Mekah merupakan kawasan yang bebas dari sebarang penjajahan ( berbanding dengan jiran-jirannya iaitu Arab Selatan dan Arab Utarayang dijajah oleh Rom dan Parsi). Pernah ada cubaan dari kuasa asing untuk menjajah Mekah (seperti cubaan yang dibuat oleh Abrahah , di bawah kuasa Rom) tapi Allah telah melindungi kota ini kerana kota ini telah ditakdirkan menjadi kota Ibadat orang-orang Islam dan terbukti sampai ke hari ini!
Tajuk 2.2: Pembentukan Empayar
Kawasan Kajian : Mesopotamia, Yunani, Rom, India, China dan Melayu
Kandungan kajian: i. Ciri-ciri empayar ( bagaimana muncul, motif, lokasi, pemimpin yg Masyhur, keruntuhan)
ii..Proses dan perkembangannya.
Apakah maksud empayar?
Empayar dapat ditakrifkan sebagai sebuah kerajaan( pemerintah) yang tertinggi dan berdaulat yang menguasai daerah yang luas atau beberapa buah daerah dengan diketuai oleh seorang maharaja.
Tamadun Mesopotamia
Pertumbuhan dan perkembangan tamadun telah membawa kepada konflik untuk merebut kuasa dan kekayaan di kawasan Mesopotamia. Konflik tercetus di antara Ur dan Urech untuk menguasai hilir Sungai Euphrates. Konflik yang kerap berlaku menyebabkan pertukaran pemerintah dan telah memjadi kebiasaan, golongan yang kuat akan mengambil alih pemerintah yang tewas. Pada kira-kira tahun 2750SM, seorang ketua puak Semitik yang bernama Sargon yang menjadi pemerintah daerah Akkad ( Akkad terletak di utara dataran Shinar) telah cuba memperluaskan empayarnya dengan menyerang orang-orang Sumeria di kawasan Mesopotamia. Beliau telah berjaya mengalahkan orang-orang Sumeria melalui beberapa peperangan dan menjadi raja di kawasan orang Sumeria itu. Pada mulanya orang Sumeria enggan menerima Sargon sebagai pemerintah baru mereka tapi demi keselamatan perdagangan, akhirnya orang Sumeria sanggup menerimanya. Dapatlah dikatakan di sini bahawa Empayar Mesopotamia yang pertama telah didirikan oleh seorang Arab berbangsa Semite dari Akkad yang bernama Sargon Agung. Sargon menyerang Mesopotamia kerana tertarik dengan kekayaan Sumer. Sargon terus meluaskan kuasanya yang akhirnya beliau menjadi pemerintah sebuah empayar yang terbentang luas dari Elam( di sebelah timur) hingga ke Laut Mediterranean dan ke utara hingga meliputi Sungai Tigris dan Euphrates. Kedua-dua puak iaitu Sumeria dan Semitik hidup bersama di bawah pemerintah Sargon. Lama kelamaan orang Semetik lebih berpengaruh dari orang Sumeria dalam bidang politik kerana orang Semetik cepat mempelajari cara pemerintahan orang Sumeria.
Pada kira-kira tahun 2200SM sekumpulan orang nomad iaitu Amorites telah membuat petempatan di sekitar kampung Babylon. Kaum Amorites ( dari suku Semite) dan puak-puak bukit dari kawasan pergunungan Zagros telah menyerang Mesopotamia. Babylon telah ditawan. Ketika itu air bawah tanah di Sumer menjadi masin yang menyababkan tanaman dan penduduk menjadi berkurangan. Kaum Semite mengambil kesempatan bagi mengukuhkan kedudukan mereka di Mesopotamia. Di bawah pemerintah yang bernama Hammurabi, Babylon telah muncul sebagai sebuah negara kota yang sangat cantik. Hammurabi terkenal dengan kanun undang-undangnya (yang menekankan perikemanusiaan dan hak indiividu). Hammurabi merupakan seorang pemerintah yang agung. Semasa pemerintahannya, negara menjadi lebih aman (kurang peperangan). Oleh kerana Hammurabi berasal dari keturunan nomad, beliau sangat mengambil berat terhadap penternakan kambing biri-biri dan penanaman jagung. Unta dan lembu digunakan oleh rakyatnya sebagai alat pengangukutan darat bagi membawa barang-barang dagangan.Kapal digunakan sebagai alat pengangkutan laut. Beliau membina sebuah terusan yang luas, menyusun semula sistem pengairan dan membaikinya Berbagai jenis sayuran ditanam pada zamannya. Selepas Hammurabi meninggal dunia, Mesopotamia telah diserang oleh Kerajaan Assyria. Di bawah raja Chaldea iaitu Nebuchadnezzar, negara kota Babylon telah dibina semula hingga menjadi negara kota yang amat kuat. Selepas kematian Nebuchadnezzar, Babylon telah jatuh ke tangan orang Parsi dan kemudian Parsi menjadi kuasa yang kuat di Timur Tengah.. Akibat dari penjajahan yang silih berganti oleh berbagai puak itu, Mesopotamia dimasuki berbagai kebudayaan yang menjadikannya bertambah agung. Perkembangan yang berlaku dalam empayar Mesopotamia itu menampakkan bahawa Mesopotamia sering diserang oleh kumpulan-lumpulan dan puak-puak baru. Apabila tamadun Mesopotamia terbentuk, Mesopotamia telah diserang. Tamadun itu runtuh.. Puak yang menyerang dan berjaya menawan Mesopotamia itu telah membina semula tamadun Mesopotamia yang baru. Bila tamadun itu terbina semula, ia diserang lagi. Begitulah proses perkembangan empayar Mesopotamia.
Walau bagaimanapun, empayar-empayar kemudian yang terkenal ialah:
  • Empayar Babylonia 1 ( Raja Hammurabi: 1792 SM – 1750 SM)
  • Empayar Assyria (746 SM – 630 SM). Ketika ini ibu kota Mesopotamia terletak di Nineveh. Empayar Mesopotamia diperluaskan sehingga meliputi hampir semua kawasan Timur Dekat/ Asia Barat ( Syria, Phoenicia, Israel, Mesir).
  • Babylonia II/ Empayar Chaldea Raja Nabopulasser: 626 SM – 606 SM yang diganti oleh anak Nebuchadrezzar II : 605 SM – 562 SM.) Pada masa inilah Mesopotamia diserang oleh Parsi. Dengan itu berakhirlah empayar Mesopotamia.
Tamadun Yunani
Raja Greek mula menghantar rakyatnya ke negara lain di seberang laut sebagai peneroka kerana bilangan penduduknya yang kian bertambah sedangkan Greek kekurangan tanah yang subur dan kebimbangan pemerintahnya terhadap penentangan rakyat terhadap golongan pemerintah (golongan minoriti yang terdiri daripada orang kaya). Pembukaan tanah-tanah jajahan Greek itu adalah bermatlamatkan perdagangan. Walau bagaimanapun Greek tidak pernah menubuhkan satu kuasa yang agung, yang kuat dan berpadu di Mediterranean kerana negara-negara kotanya di tanah besar Greek sendiri sentiasa bersaing antara satu sama lain.. Tetapi menerusi beratus-ratus buah tanah jajahan itu Greek telah meresapkan pengaruhnya di kalangan bangsa-bangsa lain dan dipusaki turun temurun. Dalam pada kota-kota di Greek asyik bercakaran, satu kuasa besar telah muncul di kawasan pergunungan utara Semenanjung Balkan iaitu kerajaan purba Makedonia. Pada tahun 359SM, Philip II telah mengisytiharkan dirinya sebagai raja Makedonia. Beliau bercita-cita untuk menguasai seluruh Greek yang berpecah belah itu. Pada tahun 338 SM berlakulah peperangan Chaeronea dengan kemenangan tentera Makedonia mengalahkan tentera Athens dan Thebes. Zaman negara kotapun berakhir. Seorang raja Makedonia berkuasa di Greek. Semua kota kecuali Sparta menghantar wakil menemui Philip. Philip membentangkan rancangannya untuk menyatukan Greek bagi menentang Parsi. Rancangannya tidak sempat dilaksanakan kerana telah terbunuh semasa kesibukan menyambut perkahwinan anak perempuannya.
Philip II digantikan oleh anaknya Iskandar Zurkarnain / Iskandar Agung ( 356 SM – 323 SM) . Usianya ketika itu ialah 20 tahun.. Athens dan beberapa buah negara kota lain bangun memberontak menentang Iskandar tapi telah dikalahkan oleh Iskandar. Iskandar telah berjaya menawan Asia Kecil (jajahanParsi), Parsi ( Parsi diserang tahun 334 SM yang ketika itu diperintah oleh Darius II dan pada tahun 331 SM Parsi ditawan), Mesir ( 332 SM), Lembah Tigris dan Euphratesdan juga Lembah Indus(326 SM). Beliau menggalakkan penaklukan Greek ke atas Asia secara besar-besaran untuk mempraktikkan rancangan utamanya iaitu menyatyukan Eropah dengan Asia berdasarkan kebudayaan Greek. Iskandar telah berusaha selama 13 tahun dengan mengembara sejauh 32,000 km dan telah berjaya mengasaskan sebanyak 70 buah kota. Tiada penakluk Eropah yang dapat menandingi Iskandar dalam kempennya merentasi gunung ganang tinggi dan gurun Asia Tengah. Iskandar telah meninggal dunia pada tahun 323 SM di Babylon dalam usia 33 tahun selepas mengidap demam.Cita-citanya untuk menubuhkan sebuah empayar dunia yang terbentang luas dari India ke Sepanyol yang berdasarkan kebudayaan Greek lenyap dengan kematiannya. Pengganti-pengganti beliau gagal menyatukan kawasan-kawasan yang ditakluki walaupun telah berusaha sedaya upaya melalui peperangan yang bertahun-tahun lamanya. Dunia Graeco-Makedonia telah berpecah kepada 3 bahagian. Selepas kematian Iskandar, negara-negara kota Greek berperang cuba membebaskan Greek dari pemerintahan Makedonia tetapi gagal. Usaha-usaha penaklukan Iskandar telah membawa banyak kesan. Bandar Iskandariah (sempena namanya) di Mesir telah muncul sebagai pusat ilmu pengetahuan yang penting. Perdagangan telah berkembang. Begitu juga dengan penyelidikan saintifik. Beliau menggalakkan persaudaraan manusia. Satu lagi peninggalan beliau ialah mewujudkan era Hellenistik ( percampuran budaya Yunani dengan bukan Yunani).
Tamadun Rom
Rom mula meluaskan empayarnya apabila ia memerlukan lebih banyak tanah dan makanan akibat pertambahan penduduk. Pada peringkat permulaannya Rom berjaya menakluki negeri-negeri jirannya dan memperbesarkan empayarnya. Menjelang tahun 270 SM seluruh Semenanjung Itali kecuali Lembah Po telah ditakluki Rom dan akhirnya orang-orang Rom berjaya menyatukan seluruh Itali. Orang-orang Rom ingin menguasai kawasan-kawasan sekitar Itali untuk meluaskan perdagangan dan menambahkan kemewahan. Untuk itu, Rom terpaksa berhadapan dengan orang Greek (dari Itali Selatan, Sicily (tanah jajahan Greek) dan orang cvarthage (di seberang laut) yang lebih berpengalaman dalam peperangan dan bertamadun. Rom berjaya mengalahkan orang-orang Greek setelah menentangnya selama kira-kira 8 tahun. Beberapa buah bandar Greek ditawan. Dengan itu Rom berkuasa di seluruh kawasan Itali yang terletak di Selatan Sungai Po dan beberapa kawasan yang terletak jauh darinya. Saingan Rom yang paling hebat ialah dari orang Carthage (kerajaan Carthage terletak di Afrika Utara) yang juga mempunyai motif dalam perdagangan. Akibatnya, tercetuslah perang Punic di antara Rom dengan Carthage). Ada 3 Perang Punic:
  • Perang Punic 1 (264-41 SM)
Perang yang berlaku selama 23 tahun ini berpunca kerana hendak merebut Pulau Sicily.Rom ingin mengusir keluar orang Carthage dari Pulau Sicily. Rom mendapat sokongan kota-kota Greek. Kemenangan Rom dalam pertempuran di laut menyebabkan Rom terus mara mendarat di Afrika tetapi dapat ditewaskan oleh Carthage.Rom membina semula angkatan lautnya dan menyerang Carthage di Afrika. Kekalahan Carthage menyebabkan Carthage terpaksa keluar dari Sicily dan membayar ganti rugi .Rom seterusnya merampas Sardinia dan Corsica
  • Perang Punic II atau Perang Hannibal (218 - 201 SM).
Tentera Carthage di bawah Hannibal ( tentera Hannibal terdiri daripada penunggang kuda Barber, pengembara Greek, askar upahan dari Bahagian Timur Mediterranean dan pahlawan-pahlawan bengis dari puak Sepanyolk yang terlatih. Kesemuanya dianggarkan seramai 26,000 orang) telah menyerang Itali melalui Banjaran Alps dan telah berjaya menawan beberapa buah bandar. Pada tahun 202 SM pula tentera Itali telah bertempur dengan tentera Hannibal dan Carthage dikalahkan. Carthage mengaku kesetiaannya kepada Rom.
  • Perang Punic III ( 149-146SM)
Tentera Rom menyerang Carthage dan memusnahkan bandar ini. Tawanan Carthage dijual sebagai hamba abdi.Akhirnya, kawasan Afrika Utara menjadi taklukan Rom.
Tentera Rom juga telah menyerang Yunani dan mengalahkan tentera Makedonia yang menguasai Yunani itu. Penaklukan Greek oleh Rom (tidak lama selepas kekalahan Hannibal) bolehlah dianggap sebagai pembebasan kota-kota Greek daripada raja-raja ‘pengganti’ yang telah memecahbelahkan Empayar Iskandar. Pada tahun 146 SM Makedonia menjadi wilayah Rom. Seterusnya Rom menyerang dan menakluki Syria( Syria diperintah oleh Antiochus III) dan Mesir (168 SM). Rom telah dapat menguasai hampir semua kawasan di sekitar Mediterranean. Tujuan perluasan kuasa Rom itu bukanlah untuk meluaskan pentadbirannya tetapi kerana Romsering terancam oleh pemerintah-pemerintah daerah-daerah tersebut. Proses perluasan empayar Rom sebenarnya bermula pada abad ke-6 iaitu selepas mereka berjaya menggulingkan kuasa Etruscan. Proses penaklukan ini mengambil masa hampir 200 tahun. Orang-orang Rom banyak mempelajari taktik peperangan, urusan pentadbiran dan keselamatan daripada kawasan yang ditaklukinya.
Perluasan Empayar Rom secara besar-besaran dilakukan oleh Julius Caeser pada kurun ketiga dan kedua SM). Ketika itu Rom muncul sebagai kuasa besar di Mediterranean. Empayarnya meliputi Syria, Makedonia, Yunani, Mesir, Timur Tengah, Gaul ( Perancis dan Belgium) dan Britain. Beliau juga merupakan pentadbir yang agung, negarawan yang pintar di samping terkenal sebagai seorang ketua tentera yang handal. Kata-katanya yang masyhur iaitu ‘veni, vidi dan vici’ (yang bererti ‘aku datang, aku lihat, aku takluk’) dibuat dalam kempennya di Asia Kecil. Beliau memperkenalkan beberapa pemodenan dalam bidang ekonomi, sosial dan politik dalam Empayar Rom. Antara lain, beliau telah memecat gabenor yang rasuah, memberi hak kewarganegaraaan kepada penduduk wilayah Rom, membahagikan tanah kepada penduduk miskin, merancang sistem perairan, menyelesaikan masalah kewangan, mengalakkan imigrasi ke tanah jajahan baru di seberang laut bagi mengurangkan kesesakan di bandar dan mengatur sistem cukai yang lebih baik. Bagi mewujudkan sistem politik yang stabil, beliau memperkenalkan pemerintahan secara individu ( negara diperintah oleh seorang pemerintah sahaja dan bukan oleh beberapa orang gabenor). Sebab itulah beliau digelar diktator. Beliau mati dibunuh oleh sekumpulan orang yang tidak puas hati dengan tindakannya/dasarnya. Usaha-usaha Julius Caesar diteruskan oleh cucu saudaranya, Augustus ( era Pax Romana atau Keamanan Rom). Beliau memakai gelaran Maharaja. Kuasanya sebagai seorang Maharaja ialah mengawal penuh seluruh empayarnya. Beliau telah berjaya mewujudkan sebuah empayar (beliau memulakan zaman empayar di Rom tahun 31 SM menggantikan zaman Republik) yang stabil yang belum pernah wujud sebelum ini. Zamannya menyaksikan peerkembangan yang pesat dalam perdagangan, kebudayaan Graeco-Roman, perkembangan kejuruteraan, bidang perundangan dan seni bina. Empayar Rom merosot pada tahun 476. Maharajanya yang terakhir ialah Romulus Augustus yang digulingkan oleh ketua suku Vandal ( salah satu suku gasar Jerman).
Tamadun India
Di India terdapat sebuah empayar yang besar di bawah Dinasti Maurya. Dinasti ini wujud apabila Chandragupta Maurya berjaya menggulingkan empayar Magadha ( sebuah empayar Aryan) pada tahun 321 SM. Empayar Maurya ini wujud ekoran daripada usaha-usaha Chandragupta Maurya menyatukan beberapa buah kerajaan kecil di Utara India bagi menghadapi ancaman Yunani. Penyatuan ini membentuk Empayar Maurya yang terbentang luas dari Teluk Benggala ke pergunungan Hindu Kush dengan ibu kotanya di Pataliputra.. Kuasa Chandragupta pada masa itu tiada siapa yang berani mencabar. Kuasa Maurya tegak dengan sokongan 700,000 orang tentera. Tentera kerajaannya sangat cekap dan tiada belas kesihan. Petani-petani dikenakan cukai yang berat dan penduduk bandar sentiasa diganggu oleh pegawai-pegawai, inspektor dan tali barut pemerintah. Kezalimannya jelas apabila kesalahan mencuri yang kecil dikenakan hukuman mati dan selalunya disiksa terlebih dahulu. Empayar Maurya mengamalkan sistem pemerintahan monarki dan pemerintahan mutlak. Raja-raja Maurya terus meluaskan pengaruhnya ke seluruh India kecuali India Selatan (India.Selatan diperintah oleh orang Dravidian yang berbahasa Tamil). Anak Chandragupta telah menambah sebahagian dari Decca ke dalam empayarnya. Empayar yang besar ini seterusnya diwarisi oleh pemerintah ketiganya iaitu Asoka pada tahun 273 SM (ada ahli sejarah berpendapat pada 269 - 232 SM), seorang raja yang terkemuka dan berperikemanusiaan. Beliau memerintah selama 40 tahun. Sistem pemerintahannya berbentuk kerajaan pusat (sentralisasi). Dinasti Maurya mencapai kemuncak perluasannya di bawah Asoka.. Di awal pemerintahannya, beliau menyerang wilayah Orissa. Melihat penderitaan penduduk menjadikan beliau insaf dan menghentikan peperangan sebagai senjata yang agresif. Selepas itu beliau menggunakan kekayaan untuk mengurangkan penderitaan rakyat dan penyebaran agama Buddha.
Kematian Asoka menandakan kemerosotan Dinasti Maurya. Lima puluh tahun selepas kematian Asoka iaitu pada tahun 232 SM, empayar yang semakin lemah itu akhirnya terlepas dari tangan pengganti-penggantinya yang lemah ( 185 SM). Untuk 5 abad kemudiannya, India kehilangan kesatuan politiknya yang selama ini diberikan oleh keturunan Maurya. India mula berpecah.Dalam keadaan perpecahan ini, India terdedah dengan serangan asing seperti orang Aryan dari Asia Tengah dan orang Kushan dari China. Selepas 5 abad India berada dalam kekacauan dan perpecahan, empayar agung kedua muncul di tebing Sungai Ganges dan dapat menyatukan semula bahagian utara India. Ibu kotanya di Pataliputra dan pengasasnya mengambil nama Chandragupta sebagai penghormatan kepada Chandragupta dari Dinasti Maurya dulu. Baginda adalah raja Magadha. Walau bagaimanapun orang India lebih menyanjung pemerintah keduanya yang bernama Samudragupta(300-375M). Beliau digelar ‘Nepoleon India’.Beliau meluaskan empayarnya ke barat menghala ke Sungai Indus dan ke selatan sampai ke Deccan. Walaupun kuasa dan pengaruhnya lebih kecil jika dibandingkan dengan Asoka tetapi pemerintahannya sangat kukuh. Pengganti-penggantinya menguasai empayar itu lebih dari satu abad. . Zaman ini telah mencapai kegemilangan dalam bidang seni, sains dan agama. Perkembangan empayar di wilayah India Selatan tidak mempunyai banyak catatan oleh pengkaji sejarah kerana ahli-ahli sejarah lebih menumpukan perhatian kepada wilayah utara India. Wilayah selatan India terdiri daripada Pandyas (di selatan sekali yang beribu negerikan Madura), Cheras dan Chola. Negeri-negeri di selatan India ini telah disatukan di bawah empayar sekurang-kurangnya 2 kali. Di bawah kerajaan Pallava (pertengahan kurun ke-6 hingga pertengahan kurun ke-8) semua negeri-negeri tua di situ berjaya ditundukkan di bawah kekuasaannya. Di bawah kerajaan Pallava, sejarah seni bina dan seni ukir selatan India bermula. Kerajaan Pallava telah dikalahkan oleh kerajaan Chola dan kerajaan Chola telah menawan empayar kerajaan Pallava.Kerajaan ini telah menyerang Ceylon. Orang-orang Chola memasuki zaman gemilangnya semasa diperintah leh Raja-Raja Agong ( 985-1018) iaitu terdiri daripada anak Asoka dan pengganti beliau. Mereka telah menawan seluruh bahagian timur India, Ceylon, Pulau-pulau Andaman dan Pulau-pulau Nicobar, Pegu (Burma), Kedah (1025), Kerajaan Langkasuka dan Kerajaan Gangga Negara( Perak). Kerajaan Chola jatuh pada kurun ke-14.
Tamadun China
Zaman kegemilangan China dicapai pada masa dinasti Chin di bawah pemerintahan Shih Huang Ti. Beliau telah berjaya menyatukan seluruh wilayah-wilayah China di bawah satu pemerintahan pusat (221 SM). Beliau telah menyusun semula pentadbirannya. Beliau telah menghapuskan sistem pemerintahan ‘negeri-negeri diperintah oleh putera-putera raja’ (sistem feudal) dan digantikan dengan sistem ‘chun’ atau provinsi. Terdapat 36 provinsi semasa pemerintahan dinasti ini. Beliau memerintah secara otokrasi/mutlak. Beliaulah yang bertanggungjawab membina tembok besar negeri China untuk melindungi China dari serangan puak gasar dari utara. Semasa Dinasti Han, empayar China diperluaskan lagi. Wilayah Korea, Manchuria, Panir dan Khokhand di Asia Tengah ditakluk oleh Maharaja Han Wu Ti (141 - 87 SM), pemerintah Han yang teragung. Dasar perluasan kuasa Maharaja Han Wu Ti adalah bertujuan bagi mendapatkan kekayaan. Beliau juga menjalin hubungan perdagangan dengan kerajaan-kerajaan di Eropah, Asia Barat, Asia Selatan dan Asia Tenggara.
Tamadun Melayu
Di Alam Melayu juga terdapat beberapa buah kerajaan yang membentuk empayar seperti kerajaan Srivijaya dan Majapahit. Cara empayar di Alam Melayu mewujudkan empayar ialah melalui beberapa cara seperti peperangan ( seperti yang dilakukan oleh empayar Srivijaya dan Funan), perkahwinan politik, penerimaan ufti 9 seperti yang dilakukan oleh beberapa kawasan sekitar Srivijaya kepada Srivijaya) dan menggunakan metos dan legenda (seperti yang dilakukan oleh kerajaan Srivijaya bagi menunjukkan kebesarannya dan menggerunkan negeri-negeri sekitar). Kerajaan-kerajaan awal Asia Tenggara membina empayar atas motif memperluaskan politik dan mengukuhkan kedudukan ekonomi masing-masing. Kerajaan Srivijaya yang terletak di Sumatera berpusat di Palembang(Abad ke-7 - ke-14 M) muncul selepas kejatuhan empayar Funan. Srivijaya merupakan sebuah empayar Melayu awal yang sangat bergantung kepada perdagangan. Kedudukannya di Selat Melaka dan Selat Sunda menjadikannya pengawal lalu lintas di kawasan itu yang selama ini dipegang oleh Kerajaan Kantoli dan Melayu.
Bagi mengukuhkan penguasaannya dalam bidang ekonomi, Srivijaya telah menawan kerajaan-kerajaan Jambi (671-685)di Sumatera, Kedah (682-685M)hingga ke Ligor di Tanah Melayu, Bangka, Tulang Bawang dan Minanga di Sumatera, Tarumanaga di Jawa Barat. Penguasaan tersebut menjadikan Srivijaya amat berkuasa mengawal laluan perdagangan China-India selama 3 abad. Pada abad ke-8M, Mataram di Jawa Tengah di bawah Dinasti Sailendra telah mengancam Srivijaya hinggakan sejak tahun 775M kerajaan Srivijaya mula diperintah oleh keturunan Sailendra dari Jawa itu.. Pada abad ke-8 hingga ke-10 M empayar Srivijaya telah berpecah menjadi negeri-negeri kecil. Pada akhir abad ke-10M Srivijaya muncul kembali sebagai pusat perdagangan. Pada tahun992M inilah Srivijaya menyerang Jawa untuk menguasai Selat Sunda. Srivijaya telah berjaya menyekat kapal-kapal daripada singgah di Jawa. Dengan itu Srivijaya dapat mengembalikan kuasanya ke atas bekas tanah jajahannya. Kejayaan Srivijaya menguasai kerajaan-kerajaan lain memudahkannya menguasai perdagangan di Asia Tenggara. Dasar perluasan kuasa telah memberi keuntungan kepada Srivijaya kerana ia telah dapat memungut hasil cukai daripada kapal-kapal yang belayar melalui Selat Melaka dan Selat Sunda. Srivijaya juga menerima ufti daripada tanah jajahannya serta mengawal/menguasai hasil keluaran dari kawasan pedalaman Sumatera dan Tanah Melayu.Dengan barangan dagangan yang banyak, Srivijaya mampu menarik ramai pedagang singgah di pelabuhannya. Untuk memantapkan keselamatan negara dan kepentingan ekonominya, Srivijaya telah menjalin hubungan baik dengan China dan India Selatan (Kerajaan Chola). Satu aspek yang patut juga disentuh di sini yang menjadikan Srivijaya menjadi tumpuan masyarakat Nusantara ialah kemunculannya sebagai pusat agama Buddha yang bertaraf antara bangsa dan pusat bahasa sanskrit di Nusantara.
Kerajaan Srivijaya nampaknya tidak dapat bertahan selama-lamanya apabila kerajaan ini tidak putus-putus dicabar dan digugat oleh kuasa-kuasa luar. Serangan dari Kerajaan Chola di Selatan India pada tahun 1025M telah melemahkan Srivijaya. Jajahan Srivijaya di Kedah, Panei, Langkasuka dan Jambi telah dikuasai Raja Chola. Dengan kenaikan kerajaan Sukhotai , orang-orang Thai memperluaskan kuasanya dengan menawan jajahan Srivijaya di utara Semenanjung Tanah Melayu. Kebangkitan empayar-empayar Singhasari dan Majapahit di Jawa Timur turut mengancam kegemilangan Srivijaya. Palembang yang menjadi pusat pemerintahan Srivijaya telah ditawan Majapahit pada tahun 1377M. Pukulan muktamad yang mempercepatkan kehancuran Srivijaya ialah dengan perkembangan Islam di Nusantara. Menjelang akhir abad ke-13 M kebesaran Srivijaya hanya tinggal sebagai tinggalan sejarah sahaja.
Kerajaan Majapahit (1292 -1528M) pada zaman kegemilangannya (1293 -1389) telah mewujudkan satu empayar yang penting, luas dan berpengaruh di Nusantara. Motif perluasan empayarnya adalah untuk menguasai perdagangan Nusantara. Gajah Mada adalah Perdana Menteri kepada pemerintah Hayam Wuruk (1350-1398M) yang berjasa dalam perluasan kuasa Majapahit. Kuasanya meliputi Bali, Makasar, sebahagian Borneo, Temasik, Pahang, Selatan Sumatera (termasuk Srivijaya) dan Sunda di Jawa Barat. Kejatuhan Srivijaya ke tangan Majapahit membolehkan Majapahit menguasai jalan perdagangan di Selat Melaka. Pedagang-pedagang dari Asia Tenggara, China, India dan Asia Barat bertumpu ke Majapahit. Kematian Gajah Mada menjadi titik tolak keruntuhan kerajaan Majapahit. Di samping faktor dalaman (ketiadaan pemimpin sehebat Gajah Mada, rebutan kuasa), kebangkitan Melaka dan perkembangan Islam di Nusantara khususnya kebangkitan Islam di Demak ( Jawa)turut membantu kemerosotan Majapahit. Kerajaan Melayu Melaka yang sedang berkembang mula menguasai jajahan Majapahit di Sumatera. Jajahan takluknya yang lain mula membebaskan diri daripada kuasa kerajaan Majapahit. Kerajaan islam Demak mula mengambilalih kekuasaan Majapahit di Jawa.
Kerajaan Funan Kerajaan ini dikatakan telah wujud sejak abad pertama Masihi lagi di Kemboja.Ia didirikan oleh seorang Brahmin yang bernama Kaundinya ( ada pendapat mengatakan bahawa Kaundinya adalah orang luar, mungkin datang dari India, Tanah Melayu atau pulau-pulau di sebelah selatan)). Inilah negeri kuasa besar yang pertama dalam sejarah Asia Tenggara yang mempunyai beberapa daerah taklukan dalam masa keagungannya (kerajaan Tun Sun, Tu-kun, Ciu Cih/Cu-li, Langkasuka). Pemerintah Funan yang paling masyhur ialah Fan Shih-man yang dikatakan telah menawan Indo-China, Siam, Langkasuka dan utara Tanah Melayu. Ia merupakan negeri perniagaan laut yang terawal sekali di Asia Tenggara yang mempelopori Srivijaya kemudian. Ibu kotanya yang mula ialah Vyadhaputra dan bandar pelabuhannya ialah Go-Oc-Eo yang terletak di Lembah Sungai Mekong. Tapak peninggalan pelabuhan itu menunjukkan bukti-bukti tentang perhubungan lautnya dengan pantai Teluk Siam, Tanah Melayu, Indonesia, India, Parsi dan Mediterranean. Pada ketika itu pelabuhan itu terletak di tengah-tengah perjalanan laut yang sibuk iaitu di antara China dengan Barat.Kerajaan ini ditewaskan pada akhir abad ke-6 oleh seorang ketua pemberontak dari Chenla yang bernama Bhavavarman. Kerajaan Chenla ini dianggap sebagai kerajaan pra-Angkor. Kerajaan Chenla dikalahkan oleh Maharaja Indra (787-812), rajan Srivijaya dari keturunan Sailendra di Jawa. Kerajaan ini menjadi jajahan Srivijaya selama 28 tahun hingga tahun 802M.
Kerajaan Angkor, Kejatuhan kerajaan Chenla menaikkan Kerajaan Angkor dengan Jayavarman II (802 – 850M) di Barat Laut Kemboja sebagai rajanya yang pertama (atas bantuan kerajaan Srivijaya). Ibu kota Angkor terletak di Indraputra.Di kalangan raja-raja Angkor, Raja Suryavarman 1 (1002-1050), seorang putera raja Tambralinga merupakan raja yang terkenal dengan perluasan kekuasaan Kemboja. Semasa empayar ini di bawah pemerintahan Suryavarman II, Angkor membentuk empayar yang luas ( 1113 – 1150 M). Empayar angkor meluas hingga ke wilayah Mon di Lembah Menon dan Tambaralinga di Selatan Thai. Empayar Angkor mencapai puncak kekuasaan semasa diperintah oleh Jayavarman VII (1181 – 1218M). Champa dikuasainya ( 1203-1220M). Angkor juga meluaskan kuasanya ke atas Pagan di Myanmar. Kerajaan Angkor mengalami kelemahan akibat migrasi orang-orang Thai dari utara dan pukulan yang membawa kejatuhannya ialah serangan kerajaan Ayuthya pada tahun 1432.
Kerajaan Sukhotai, Sebenarnya orang-orang Thai berasal dari wilayah Yunan, China. Apabila kerajaan mereka, Nanchao ditakluki Mongol pada tahun 1253 mereka berpindah ke selatan. Perpindahan mereka ke selatan itu telah menyebabkan penubuhan kerajaan Sukhotai dan melemahkan kerajaan Kemboja. Pengasasnya ialah Rama Khamheng (1275-1317) , putera Sri Indrachtya yang menakluki Sukhotai pada tahun 1238. Rama Khamheng telah meluaskan kawasannya ke utara Tanah Melayu, Ligor dan Pattani. Kematian Rama Khamheng menjadikan kerajaan Sukhotai menjadi lemah hinggalah munculnya kerajaan Ayuthya pada tahun 1350.
2.3 Pembentukan Negara Bangsa
Kawasan kajian : Barat
Kandungan Kajian: Ciri-ciri negara bangsa Dan Proses dan perkembangannya
Definisi Negara Bangsa (Nation State):
Negara Bangsa ialah entiti politik atau negara yang dibentuk dan didiami oleh rakyat yang selalunya atau biasanya terdiri daripada mereka yang mempunyai sejarah dan budaya yang sama, bertutur bahasa yang sama dan mempunyai asal atau rumpun bangsa yang sama. Kedaulatan negara diasaskan kepada hasrat atau kehendak rakyat yang telah bersatu di dalam negara-negara tersebut. Bila satu kesatuan bangsa itu muncul sebagai negara berdaulat/merdeka dan menubuhkan kerajaan sendiri, negara baru itu dikenali sebagai negara bangsa. 400 tahun dahulu, peperangan merupakan antara penyebab munculnya negara bangsa. Contoh yang jelas tentang kewujudan negara bangsa ini ialah di Great Britain, Switzerland dan Kanada. Negara-negara tersebut masing-masingnya mengandungi lebih daripada satu bangsa. Di Kanada terdapat orang Kanada-Perancis dan Kanada-Inggeris. Orang Kanada-Perancis bertutur menggunakan bahasa Perancis manakala orang Kanada-Inggeris pula bertutur menggunakan bahasa Inggeris. Switzerland pula mengandungi tiga bangsa dan menggunakan empat bahasa (Estonian, tatrian, Ukranian, Uzbek). Negara bangsa telah menggantikan negara feudal, negara kota dan empayar. Proses ini terus menerus berlaku. Sejak abad ke-17M banyak negara menjadi negara bangsa di Eropah. Negara bangsa juga lahir dari kesedaran kebangsaan atau nasionalisme. Melalui kesedaran di kalangan orang yang serumpun dan mempunyai tradisi kebudayaan yang sama, mulalah timbul perjuangan untuk menubuhkan sebuah negara yang merdeka dan berdaulat yang mengutamakan kepentingan warganegaranya. Oleh kerana negara yang ditubuhkan itu berasakan bangsa, maka negara tersebut sering disebut sebagai negara bangsa. Walau bagaimanapun, sebelum kemunculan nasionalisme, kekuatan kerajaan-kerajaan besar di Eropah tidak tertakluk kepada ciri-ciri negara bangsa iaitu satu negara untuk satu bangsa.
 2.4 Bentuk Pemerintahan
2.4.1 Beraja (Mesir, India, China dan Melayu)
Kandungan Kajian: i. Ciri-ciri pemerintahannya
ii. Persamaan dan perbezaannya
iii. Struktur
Definisi:
Beraja ialah sistem pemerintahan yang diperintah oleh raja dan biasanya secara monarki dan mutlak. Pembentukan dan perluasan empayar telah menyebabkan status seseorang raja itu meningkat daripada raja kepada maharaja seperti yang berlaku di China semasa pemerintahan Dinasti Chin dan di India semasa pemerintahan Dinasti Maurya. Republik ialah negara yang ditadbir oleh wakil-wakil yang dipilih oleh rakyat.
Tamadun Mesir
Pada asalnya Mesir dibahagikan kepada dua bahagian iaitu Mesir Utara dan Mesir Selatan.Pada tahun 3100 SM, Raja Menes telah menyatukan Mesir Utara dan Mesir Selatan.Bagindalah merupakan pengasas dinasti Mesir purba dan merupakan raja Mesir yang pertama.Dinasti pertama di Mesir ialah Dinasti Thinite. Baginda telah mewujudkan sistem negara beraja dan dinasti di Mesir. Memphis dijadikan ibu kotanya. Dalam sistem dinasti, raja-raja yang memerintah Mesir berasal dari satu keluarga. Mesir telah diperintah oleh 30 buah dinasti untuk kira-kira 3000 tahun yang dibahagikan kepada 3 zaman iaitu Kerajaan Mesir Purba (3500 SM -2700 SM SM), Kerajaan Mesir Pertengahan (2400 SM –1800 SM) dan Kerajaan Mesir Baru atau Empayar (1600 SM – 1000 SM). Pemerintah Mesir atau raja-raja Mesir digelar ‘Firaun’ ( yang bererti Rumah Besar). Firaun yang paling masyhur ialah Ramses II yang telah membina empayar Mesir dan piramid yang besar. Begitu juga dengan Tutmose III dan Amenhotep III dan IV. Firaun berada pada kedudukan teratas dalam pemerintahan negara Mesir. Baginda memerintah secara mutlak dan menguasai semua tanah dan air di Mesir..Firaun menguasai pentadbiran, ekonomi dan angkatan tentera. Darjatnya begitu tinggi hinggakan dianggap sebagai anak kepada ketua tuhan-tuhan atau anak tuhan Amon Re ( tuhan matahari). Rakyat sangat menghormati dan mentaati Firaun.Rakyat dikenakan cukai dalam bentuk barang seperti gandum,felek, lembu, kayu kayan, arak dan sebagainya. Dengan cukai begitu rupa, Firaun memiliki gudang-gudang yang besar. Baginda menjadi ketua agama dan ketua angkatan tentera. Baginda juga menggubal undang-undang Di bawah Firaun ialah putera-putera yang berhakj menaiki takhta. Mereka memiliki banyak harta dan kadang-kadang hampir sama banyaknya dengan harta Firaun. Dalam urusan pentadbiran, baginda dibantu oleh golongan bangsawan, gabenor (pegawai kerajaan) dan paderi. Golongan bangsawan berkuasa penuh dalam daerah dan kuasa mereka kekal turun temurun. Kerajaan Mesir dibahagikan kepada beberapa daerah dan ditadbir oleh pegawai kerajaan.
Tamadun India
Dalam tamadun awal India ( Tamadun Sungai Indus) yang bermula pada tahun 2500 SM, pemimpin adalah dari golongan pendeta dan berkuasa mutlak ( kerajaan bersifat teokrasi).Ini bermakna, India pada masa itu belum lagi melaksanakan pemerintahan beraja. Semasa India diperintah oleh Dinasti Maurya yang diasaskan oleh Chandragupta Maurya (321 SM), India mengamalkan sistem pemerintahan beraja mutlak dan secara monarki.Gelaran raja bertukar menjadi maharaja apabila perluasan kuasa ke kawasan-kekawasan sekitar dilakukan. Kerajaan ini kuat dengan bantuan 700,000 orang tentera yang cekap tetapi tiada belas kesihan. Petani-petani dikenakan cukai yang berat di bawah pengawasan pegawai-pegawai raja yang sangat zalim. Raja memerintah dengan bantuan Majlis Penasihat. Empayar dibahagikan kepada 5 bahagian atau wilayah dan setiap wilayah diketuai seorang wizurai. Kerajaan ini mempunyai Pejabat Peperangan yang mengandungi 6 Jabatan dan Perkhidmatan Perisik yang teratur. Pentadbiran awam termasuk Badan Perdagangan, Jabatan Kerja, Badan Upah dan Pendaftaran kelahiran, kematian dan pendapatan. Bandar-bandar dalam empayar Maurya ditadbir oleh satu badan yang dibahagikan kepada 6 jawatankuasa dan dianggotai 30 orang ahli. Ada ahli sejarah berpendapat, Chandragupta Maurya ini menjelankan sistem pemerintahan awam untuk kesejahteraan rakyat dan kemakmuran negara dengan memperbaiki sistem keadilan dan pentadbiran.
Ketika India diperintah oleh Maharaja Asoka (273 SM atau 269 SM) , baginda menjalankan pemerintahan dengan baik dan berperikemanusiaan berdasarkan titah perintahnya yang diukir pada tiang-tiang batu di sepanjang jalan untuk dibaca oleh rakyat. Semua orang diberi hak dan peluang yang sama dalam pentadbiran.. Asoka sangat benci kepada kemusnahan, kekejaman dan permusuhan. Baginda membawa semangat kemanusiaan baru di kalangan raja-raja hasil dari ajaran agama Buddha yang bertindak atas rasa sensitif dan tidak mementingkan diri sendiri.Beliau mengamalkan doktrin ‘Ahimsa’ yang melarang perbuatan menyakiti atau melukai haiwan dan manusia. Asoka juga menjalankan reformasi dalam pentadbiran melalui ‘Dharma-Mahamatra’. Sistem ini memastikan pegawai-pegawai kerajaan di wilayah-wilayah melaksanakan tugas berdasarkan arahan kerajaan pusat. Asoka memerintahkan gabenor-gabenor dan pegawai-pegawainya supaya adil dan bersifat belas kesihan. Asoka juga menyediakan rumah-rumah rehat, telaga dan pokok kayu untuk kemudahan pengembara dan menyediakan rumah sakit bagi merawat orang dan haiwan yang sakit. Semasa India di bawah pemerintahan raja-raja Gupta, kerajaan ini juga tidak mengganggu kehidupan rakyat kecuali untuk membasmi jenayah, tiada penganiaan terhadap agama. Hukuman bunuh jarang dilakukan. Kebanyakan kesalahan yang dilakukan dikenakan hukuman denda.
Tamadun China
Semenjak tamadun awal China (tamadun Sungai Hwang Ho di bawah pemerintahan Dinasti Shang dan Dinasti Chou) lagi China telah mengamalkan sistem pemerintahan beraja mutlak secara monarki. Orang China percaya, Raja diberi mandat oleh tuhan untuk mentadbir. Pada zaman Dinasti Shang dan Chou raja berfungsi sebagai ketua agama dan angkatan tentera. Pada masa itu China mengamalkan sistem feudal. Zaman kemaharajaan yang paling gemilang ialah ketika China diperintah oleh Shih Huang Ti (Dinasti Chin). Gelaran raja ditukar menjadi maharaja semasa baginda memerintah China. Baginda menghapuskan sistem feudal dan digantikan dengan sistem provinsi/wilayah (36 buah) yang diketuai oleh gabenor..Maharaja dibantu oleh golongan birokrasi yang terdiri daripada pegawai kerajaan. Maharaja Shih Huang Ti mengamalkan undang-undang yang ketat. Undang-undang Dinasti Chin diperkenalkan oleh Han Fei Tsu, seorang ahli falsafah. Beliau menegaskan bahawa tingkah laku manusia hanya dapat dikawal melalui kekerasan dan undang-undang yang tegas. Baginda menggelarkan diri baginda sebagai Maharaja Chin Pertama ( Shih bererti pertama, Hwang Ti bererti maharaja) kerana ingin mengasaskan satu dinasti yang berlainan dari pemerintah yang terdahulu ( sistem feudal).Baginda mahu dirinya dipuja sebagai maharaja (sebelum ini raja dianggap sebagai wakil ‘Raja di Atas’). Oleh kerana baginda ada darah keturunan Tartar, baginda banyak dibantu oleh tentera berkuda Tartar dalam usaha memperluaskan wilayah China. Dalam masa sepuluh tahun, semua wilayah China tertakluk di bawah pemerintahannya. Baginda juga melatih kumpulan penjahat menjadi askar baginda.
Dalam menghadapi bahaya serangan pelanggar-pelanggar Tartar secara besar-besaran, baginda telah membina tembok besar negeri China. Anehnya,, jasa yang besar ini dikatakan oleh setengah-setengah ahli sejarah tidak menjadikan orang China terhutang budi kepadanya kerana kesalahan yang dibuat oleh baginda iaitu ‘pembakaran segala buku’. Dalam usaha menolak idea sarjana China dalam hal-hal pentadbiran , baginda telah membakar buku-buku sejarah dan falsafah yang mengandungi unsur-unsur politik dan membunuh 400 orang sarjana pada tahun 213 SM kerana menganggap mereka ‘menyusahkan’ baginda. Bagi orang China peristiwa pembakaran itu dianggap sebagai peristiwa pencabulan pusaka intelektual mereka. Semasa China diperintah oleh Dinasti Han (206 SM – 220 SM) , Sistem Peperiksaan Awam bagi perlantikan pegawai-pegawai kerajaan diamalkan. Sistem ini mengutamakan kebolehan seseorang dan terbuka kepada semua rakyat yang layak. Di bawah pemerintahan dinasti ini, pemimpin-pemimpin wilayah tidak diberi kuasa yang luas dan tidak dibenarkan memiliki kekayaan yang besar. Tujuannya ialah supaya kerajaan pusat menjadi teguh dan tidak dicabar. Dinasti Han mengutamakan undang-undang yang berasaskan ajaran Confucius. Pengasas dinasti ini iaitu Liu Pang memperkenalkan satu Hukum Kanun yang menekankan bahawa hukuman bunuh ialah bunuh, hukuman mencederakan orang ialah dicederakan dan hukuman mencuri ialah dibayar denda sebanyak yang dicurinya. Jika dibandingkan dengan Dinasti Chin, Dinasti Han ini melaksanakan pemerintahan yang kurang ketat. Baginda melonggarkan sistem kerahan buruh dan menggantikan undang-undang China yang berat dan zalim dengan hukuman yang ringan.
Tamadun Melayu
Di Alam Melayu, sistem pemerintahan berajanya merupakan campuran sistem tempatan dengan pengaruh Hindu dan Buddha. Raja adalah ketua kerajaan yang mengamalkan kuasa mutlak. Raja berkuasa membuat undang-undang dan menjatuhkan hukuman. Raja dianggap oleh rakyatnya sebagai dewa (atau dewaraja) atau tuhan di muka bumi. Rakyat tidak boleh mempersoalkan tindak tanduk raja. Raja dibantu oleh para pegawai dalam pentadbiran negara. Perlantikan para pegawai secara berangka seperti Pembesar 4, Pembesar 8, Pembesar 16 dan Pembesar 32 dipengaruhi oleh astrologi Hindu. Begitu juga dengan sistem pewarisan pemerintahan berasaskan keturunan dipengaruhi oleh agama Hindu. Pengaruh Hindu ini semakin jelas dalam adat istiadat pertabalan raja,penggunaan alat-alat pertabalan seperti pedang dan rantai yang digunakan oleh tuhan-tuhan orang Hindu. Raja memainkan peranan aktif dalam bidang ekonomi. Raja menguasai sumber-sumber ekonomi utama seperti pungutan cukai, tenaga buruh dan aktiviti perdagangan. Raja menggunakan golongan Brahman (sami Hindu) untuk menonjolkan kekuatan dan keistimewaannya menerusi cerita dongeng, legenda dan metos. Undang-undang dipengaruhi oleh Kod Manu dan Dharmasastra. Sistem tataurus negarapula dipengaruhi oleh karya Arthasastra.
Kita boleh lihat contoh sistem pemerintahan beraja ini dalam kerajaan Angkor dan Srivijaya. Dalam sistem pentadbiran Kerajaan Angkor, raja dianggap sebagai dewaraja. Raja menjadi ketua negara dan ketua tentera. Raja mempunyai kata pemutus dalam hal perundangan.Raja dibantu oleh sebuah majlis menteri ( yang terdiri daripada para menteri, pemimpin tentera dan hakim), gabenor wilayah, ketua daerah dan ketua kampung. Para pegawai tinggi dikehendaki mengambil peperiksaan kerajaan untuk meningkatkan kecekapan dan ilmu pengetahuan. Dalam sistem pentadbiran Kerajaan Srivijaya pula, raja juga berkuasa mutlak dan dianggap sebagai dewaraja. Dalam pentadbiran negara, raja dinasihati oleh sebilangan menteri. Pentadbiran Kerajaan Srivijaya terbahagi kepada 3 jenis pentadbiran iaitu pentadbiran diraja, pentadbiran ketenteraan dan pentadbiran daerah. Pentadbiran diraja tertumpu kepada pentadbiran pusat (seperti bidang kehakiman, pengutipan cukai dan hukuman). Pentadbiran ketenteraan diketuai oleh seorang panglima bergelar pratisava. Pentadbiran daerah pula diketuai oleh datu yang bertanggungjawab dalam hal ehwal tanah, kebajikan rakyat, memupuk kesetiaan rakyat kepada pemerintah dan menjatuhkan hukuman ke atas penentang kerajaan. Kerajaan Kedah Tua juga mengamalkan sistem pemerintahan beraja. Raja dibantu oleh menteri dalam mentadbir negara. Setiap daerah diketuai oleh pembesar.
 2.4.2 Republik ( Yunani dan Rom)
Tamadun Rom
Konsep republik di Rom bermaksud sebuah kerajaan yang rakyatnya memilih wakil untuk melulus dan melaksanakan undang-undang. Sebelum tahun 509 SM, Rom diperintah oleh raja-raja Etruscan yang zalim dan tidak berperikemanusiaan. Justeru itu orang Rom telah memberontak dan mewujudkan sebuah kerajaan bercorak republik. Kerajaan republik Rom terdiri daripada Konsul, Dewan Senat dan dewan Perhimpunan/Centuriate. Dalam republik Rom, dua orang konsul dilantik untuk memerintah negara. Perlantikan dua orang konsul ini bertujuan menjamin kedaulatan dann kebajikan rakyat dan mengelakkan salah seorang daripada konsul ini mempunyai pengaruh yang lebih kuat. Mereka merupakan ketua eksukutif negara dan dilantik untuk tempoh setahun. Konsul ini pula dibantu oleh satu majlis yang dikenali sebagai senat yang dianggotai oleh golongan bangsawan yang dilantik oleh konsul dan semua bekas konsul. Tugas utamanya ialah menasihat konsul dan menguruskan hal ehwal luar negeri. . Dewan Senat pula dibantu oleh Dewan Perhimpunan yang dianggotai oleh semua rakyat Rom. Dewan Perhimpunan mempunyai kuasa yang terhad. Dalam Dewan Perhimpunan ini , rakyat Rom berkumpul dan mendengar laporan tentang perkara yang telah dibincangkan dalam Dewan Senat. Fungsi Dewan Perhimpunan hanya meluluskan atau mengesahkan undang-undang yang diputuskan oleh Dewan Senat. Dalam republik Rom, wujud juga diktator. Semasa perang atau krisis, diktatorlah yang menjalankan tugas konsul. Tempoh perlantikannya tidak melebihi 6 bulan. Menurut Undang-undang Rom ( Papan Dua Belas), semua orang adalah sama di sisi undang-undang. Seseorang itu dianggap tidak bersalah sehingga dibuktikan. Pemerintahan bercorak republik tidak mempunyai raja dan pada masa yang sama juga boleh mengamalkan prinsip demokrasi. Hari ini, negara-negara yang mengamalkan kerajaan bercorak republik ini ialah Perancis dan India yang diketuai oleh seorang presiden yang dipilih oleh rakyat. Beberapa konsep politik yang digunakan sehingga hari ini seperti senat, veto, diktator dan censor adalah warisan daripada Rom.
Tamadun Yunani
Yunani mengamalkan sistem pemerintahan monarki sehingga tahun 750 SM. Menjelang tahun 750 SM raja digulingkan dan Athens diperintah menerusi Majlis Bangsawan. Pegawai utama ialah Ketua Majistret yang dipilih setiap tahun daripada golongan bangsawan. Solon (Ketua Majistret) menubuhkan Majlis Empat Ratus, Perhimpunan Agung dan Mahkamah Agung. Semua warganegara lelaki yang berumur 18 tahun ke atas merupakan ahli Perhimpunan Agung yang berfungsi sebagai badan perundangan. Kuasa menjatuhkan hukuman berada di tangan sekumpulan warganegara iaitu juri. Pemerintahan Yunani adalah berdasarkan sistem demokrasi.
2.5: Pentadbiran
Kawasan Kajian : Mesopotamia, Mesir, Arab, Graeco-Roman, India, China, Melayu dan Barat.
Kandungan kajian: i. Ciri-ciri pentadbiran
ii. Persamaan dan perbezaannya
iii.Struktur
Dalam tamadun awal, pentadbiran sesebuah negara itu boleh dalam bentuk pentadbiran pusat (dikawal oleh pusat pemerintahan) dan pentadbiran wilayah (ditadbir oleh ketua wilayah). Pentadbiran wilayah itu wujud apabila berlaku perluasan kuasa atau empayar. Sesebuah negara yang besar seperti China, India dan Rom mempunyai banyak wilayah yang diperolehi melalui dasar perluasan kuasa dan kemudian menyatukan wilayah-wilayah tawanan itu di bawah satu pemerintahan. Bagi negara yang menjalankan kuasa mutlak seperti China mampu mengawal dan menjalankan pentadbiran berpusat manakala Rom yang begitu luas empayarnya hingga menjangkau ke seberang Laut Mediterranean tidak mampu mengawal sepenuhnya dari kerajaan pusat telah menyerahkan pentadbiran kepada gabenor-gabenor yang dilantik.
Tamadun Mesopotamia
Mesopotamia agak berbeza dengan Mesir dari segi pentadbirannya. Setiap kota dalam Mesopotamia mempunyai kerajaan yang berasingan dengan pemerintahannya sendiri. Setiap negara kota di Mesopotamia mempunyai peraturan dan undang-undang tersendiri. Pada peringkat tamadun awal, pentadbiran Mesopotamia bersifat teokrasi. Setiap negara kotanya mempunyai seorang raja yang dibantu oleh seorang ketua agama dan gabenor. Pada tahun 2340 SM Sargon telah menyatukan beberapa buah negara kota di Mesopotamia di bawah satu pemerintahan. Di bawah pemerintahan Sargon, beliau menjalankan dasar perluasan wilayah hingga ke selatan dan berjaya menguasai dataran Mesopotamia, Laut Mediterranean, Teluk Parsi, Amorite dan Elam. Bagi mengendalikan sebuah empayar yang besar, Sargon mengiktiraf pemerintah tempatan dengan syarat mereka mesti setia kepadanya. Empayar dibahagikan kepada beberapa daerah yang diperintah oleh gabenor berketurunan Sumeria dan Semitik. Hammurabi (1792-1750 SM) pula telah menyatukan seluruh lembah Tigris-Euphrates di bawah satu empayar.
Tamadun Mesir
Di Mesir pula pentadbiran dibahagikan kepada pentadbiran pusat dan wilayah. Rajanya yang dipanggil Firaun itu mempunyai kuasa mutlak dan memerintah dengan kuku besi.serta berhak sepenuhnya ke atas tanah dan air di Mesir. Rakyat dipaksa patuh kepada Firaun dan memaksa rakyat membayar cukai. Kerajaannya terbahagi kepada beberapa daerah yang ditadbir oleh pegawai-pegawai kerajaan bagi menyenangkan pentadbiran. Setiap daerah diketuai oleh seorang gabenor yang terdiri daripada golongan bangsawan yang bertugas sebagai pengutip cukai dan menjadi hakim. Golongan bangsawan itu mewarisi jawatan tersebut secara turun temurun. Kuasa mereka terhad dan dikawal oleh Firaun.
Tamadun Arab
Di negara Arab, pentadbirannya jelas sekali berbentuk pentadbiran pusat. Ini dapat dilihat dalam pemerintahan kerajaan Yaman dan Hijaz. Di Yaman, kerajaan yang paling terkenal ialah Kerajaan Saba’ (955SM-115SM). Pusat pemerintahan kerajaan ini di Sarwah yang kemudian dipindahkan ke Ma’rib. Kerajaan ini terkenal dengan sistem pemerintahan bercorak demokrasi. Kerajaan ini didokong oleh rakyat yang kuat dan berani Kerajaan ini menjadi masyhur semasa pemerintahan Ratu Balqis. Sistem pemerintahannya amat teratur dan hak politik diberi kepada semua golongan termasuk hamba.. Saba’ ada melakukan usaha-usaha penaklukan ke atas kawasan sekitar tetapi kerajaan ini tidak .begitu terkenal sebagai kuasa penakluk. Selepas kerajaan Saba’ jatuh, kerajaan di Yaman ini diganti oleh Kerajaan Himyar(115SM-525TM). Kerajaan Himyar lebih mementingkan usaha-usaha perluasan kuasa.Ia bukan sahaja menjajah kawasan sekitar bahkan menguasai jajahan-jajahan Parsi seperti Iraq dan Khurasan serta kawasan-kawasan yang berhampiran dengan Sungai Jihun da membina bandar Samarqand. Secara umumnya, kerajaan-kerajaan di Yaman lebih menekankan pemerintahan berpusat kerana mempunyai raja yang kuat untuk menguasai seluruh kawasan pemerintahannya dan mempunyai sokongan yang kuat daripada pembesar-pembesarnya.. Kerajaan Hijaz di Arab Tengah yang tidak mempunyai kawasan taklukan lebih merupakan kerajaan berpusat yang diperintah oleh kabilah. Kabilah yang mula-mula memerintah Mekah ialah puak Amaliqah, diikuti oleh puak Jurhum dan Quraisy. Semasa pemerintahan Quraisy, pentadbiran Mekah begitu teratur dengan penubuhan beberapa buah jabatan dengan fungsi-fungsi tersendiri. Kerajaan-kerajaan di Arab Utara lebih merupakan kerajaan penampan Rom dan Parsi (ditubuhkan oleh Rom dan Parsi untuk kepentingan masing-masing ). Kerajaan-kerajaan seperti Kerajaan Ghassan, Hirah, Nabatean dan Anbar dikawal oleh Rom dan Parsi.
Tamadun Graeco-Roman
Bagi negara Graeco-Roman (gabungan Rom, Etruscan dan Yunani) , sebelum menjadi sebuah republik iaitu ketika diperintah oleh raja , sistem pentadbirannya adalah berpusat yang dikatakan begitu berkesan , berlanjutan hingga berpuluh-puluh keturunan dan bangsa dengan bahasa-bahasa yang berlainan. Kerajaan Rom telah mengasaskan undang-undang yang dikenali sebagai Kod Undang-undang Rom yang diasaskan pada zaman Justinian. Rakyat disatukan di bawah undang-undang ini dan tidak terdapat diskriminasi tindakan undang-undang terhadap pesalah. Apabila negara ini mula membentuk empayar, kawasannya menjadi sangat luas iaitu sehingga merangkumi sebahagian besar kawasan laut Mediterranean. Oleh itu setiap daerah di bawah Rom diletakkan gabenor untuk mentadbir wilayah tersebut. Pada zaman pemerintahanAugustus, beliau telah memperkemaskan pentadbiran sebaik sahaja menjadi pemerintah dengan mewujudkan lebih banyak jabatan. Augustus menggantikan gabenor-gabenor wilayah yang tidak menjalankan tugas dengan baik dengan pegawai-pegawai yang dilantik oleh maharaja dan bertanggungjawab terus kepada gabenor. Sesungguhnya Augustus mewujudkan satu sistem birokrasi yang cekap di merata Eropah. Bukan semua wilayah Rom diletakkan secara langsung di bawah pentadbiran Augustus dan agen-agennya. Wilayah yang tidak memerlukan perhatiannya di biarkan di bawah pentadbiran pegawai-pegawai rasmi negeri. Pentadbiran augustus boleh dibahagikan kepada 3 bentuk pentadbiran iaitu peranan maharaja, pentadbiran di peringkat wilayah dan pentadbiran munisipal.
Pentadbiran wilayah terletak di bawah gabenor. Mereka berkhidmat sebagai prokonsul dan dibantu oleh beberapa orang pegawai bawahan. Perlantikan direstui oleh senat. Namun begitu, kuasa mutlak masih tetap di tangan Augustus. Di bawah pentadbiran wilayah ini, wang yang diterima dari pusat diagihkan kepada tentera (legion), pasukan tentera tambahan wilayah dan pencen juga diberikan kepada tentera bersara. Wang ini berpunca daripada perbendaharaan khas yang ditadbir oleh Augustus dan sebahagiannya pula daripada hartanya sendiri dan cukai awam. Satu lagi sumbangan penting augustus ialah tindakannya selalu menghantar tentera untuk membina jalan dan jambatan. Dia juga menempatkan sebuah angkatan kecil untuk mengawal perairan daripada ancaman lanun. Di negeri-negeri tertentu yang dijajah, kuasa pentadbiran tempatan dikekalkan. Di Asia Kecil umpamanya, mengekalkan sistem negara penampan dan kerajaan-kerajaan naungan tidak menimbulkan masalah. Dasar-dasar Augustus menyebabkan dia mula disembah bagaikan tuhan di merata empayarnya. Di semua wilayah termasuk Greek, Asia Kecil, Syria dan kawasan-kawasan lain didirikan patung yang menyerupai Augustus bersama-sama dengan tuhan-tuhan lain. Kedudukan Augustus disamakan dengan tuhan-tuhan tradisi Rom. Bagi pentadbiran munisipal pula, dua unit pentadbiran tempatan yang penting iaitu civitas dan villa diwujudkan. Civitas adalah sebuah pusat pentadbiran bandar yang menikmati kebebesan kerajaan sendiri, manakala villa pula adalah estet golongan bangsawan. Kebanyakan pentadbir kerajaan adalah daripada golongan bangsawan villa.
Tamadun India
India pada zaman tamadun awal mengamalkan sistem teokrasi. Setiap negara kota diketuai oleh pendeta yang berkuasa mutlak. Tugas pemerintah ialah mengawal pembinaan , menetapkan piawai timbangan dan ukuran, mengawal sistem tulisan, bentuk bangunan dan pola jalan-jalan raya. India memasuki zaman empayar ketika diperintah oleh Dinasti Maurya. Dinasti Maurya dan Gupta merupakan dua buah pemerintahan yang terkenal dalam sejarah India purba. Dinasti Maurya (324 SM –185SM) merupakan dinasti yang unik dan empayar yang pertama di India. Dinasti ini diasaskan oleh Chandragupta Maurya pada tahun 322SM. Pusat pemerintahannya bertempat di Pataliputra. Dalam sejarah kerajaan Maurya terdapat 8 orang raja yang memerintah empayar itu. Ia bermula dengan Chandragupta Maurya (322-289SM) dan berakhir dengan Brihadratha (191-184SM). Walau bagaimanapun, raja yang paling masyhur ialah Chandragupta Maurya dan Asoka. India mengamalkan pemerintahan pusat.ketika di bawah pemerintahan Dinasti Maurya terutamanya ketika di bawah pemerintahan Asoka. Dinasti Maurya memberi sumbangan yang besar kepada India dalam menyatukan kawasan-kawasan yang berpecah belah. Chandragupta Maurya telah menyatukan India Utara dan India Selatan melalui penaklukan.,Antara kawasan yang berjaya ditaklukinya ialah Afghanistan, Pakistan dan kawasan Indus. Pengganti Chandragupta Maurya iaitu Binduasara telah berjaya memasukkan Deccan ke dalam empayar Maurya. Asoka pula telah berjaya menyatukan Kalinga di dalam empayar Maurya. Ini merupakan proses pemusatan kuasa yang paling berjaya dalam sejarah tamadun India.Empayar India dibahagikan kepada beberapa wilayah yang dipimpin oleh wizurai. Asoka menjalankan reformasi dalam pentadbiran melalui ‘Dharma-Mahamatra’. Menurut sistem ini, pegawai kerajaan di wilayah-wilayah melaksanakan tugas mengikut arahan pusat.
Empayar Maurya merupakan sebuah empayar yang cekap dan tersusun. Raja merupakan ketua pentadbir kerajaan. Raja juga merupakan ketua hakim, penasihat dan penggubal undang-undang dan juga ketua tertinggi angkatan tentera dan kuasa raja tidak terhad. Beliau melantik penasihat-penasihat untuk dijadikan pembantu dalam pentadbiran. Di samping itu wujud juga Majlis Menteri. Beberapa jabatan diwujudkan yang diketua seorang penagawas. Di samping itu terdapat kelas-kelas pegawai penting yang akan membantu raja semasa berlaku hal-hal kecemasan. Kelas pegawai ini dikenali sebagai Mantri atau Mantri Parishad. Terdapat juga badan-badan (Mikaya) yang tediri daripada pegawai-pegawai yang terlatih yang mengendalikan hal ehwal pentadbiran biasa. Kelas pegawai tersebut ialah Pegawai Daerah (Agronomi), pesuruhjaya bandaran (Astynomi) dan badan-badan yang mengendalikan hal ehwal ketenteraan. Pegawai daerah bertanggungjawab dalam memungut cukai, mengukur tanah, mengawasi kerja-kerja pengairan, mengawal paras-paras air, krja-kerja pendaftaran kelahiran dan kematian, mengawasi pengeluaran barang-barang perdagangan, penipuan dalam perdagangan, urusan denda dan hal ehwal orang asing. Oleh kerana tanah jajahan Dinasti Mauryam sangat luas, maka Chandragupta Maurya telah melantik pegawai-pegawai untuk mentadbir wilayah. Beliau telah membahagikan empayar Maurya kepada 4 buah wilayah penting iaitu Barat Laut, Barat Kalinga dan Selatan. Setiap wilayah diletak seoran wizurai yang biasanya terdiri daripada putera-putera raja. Wilayah itu dipecahkan pula kepada beberapa kawasan tertentu. Pada peringkat ini ia ditadbir oleh gabenor (Mahatmatra). Kawasan itu dipecahkan pula kepada beberapa daerah yang lebih kecil. Daerah itu dipecahkan lagi kepada beberapa kampung. Ketua kampung ialah penghulu (gramini) yang dibantu oleh dua orang pegawai iaitu ‘accountant’ dan ‘tax collector’. Pegawai di peringkat atas dipanggil stanika yang mengawasi sepertiga daerahnya. Samadharti merupakan pengawas kepada stanika. Di samping itu ditubuhkan juga pasukan khidmat rahsia yang menjadi agen-agen kepada raja. Ahli-ahlinya terdiri daripada askar-askar pelopor rahsia dan juga para hakim yang bergerak dari satu tempat ke satu tempat untuk memastikan rakyat setia kepada raja tanap pemberontakan. Kejatuhan Dinasti Maurya tahun 185SM diganti oleh Dinasti-dinasti Sungas,Kanva dan Andra yang menyaksikan kekacauan politik dan keruntuhan perpaduan rakyat selama 5 abad. Selepas itu barulah muncul Dinasti Gupta. Dinasti Gupta diasaskan oleh Chandragupta pada tahun 320SM dengan ibu kota Pataliputra. Empayar ini terletak di tebing sungai Ganges. Empayar ini telah menyatukan semula bahagian utara India. Samudragupta , pengganti chandragupta telah meluaskan empayar Gupta ke Barat hingga ke Sungai Indus dan ke selatan hingga ke Deccan.
Tamadun China
Di China pembentukan kerajaan Shang adalah dari beberapa buah kerajaan kecil di Lembah Sungai Hwang Ho. Raja Shang berjaya meluaskan wilayah beliau dari kawasan Steppe di China Utara ke lembah yang-Tze di China Selatan..Dinasti Shang mengamalkan pemerintahan pusat. Rajanya yang berkuasa mutlak itu mengawal pentadbiran dari ibu kotanya di Anyang Padaq zaman Dinasti Chou, sistem feudal diperkenalkan. Pemerintahan beraja ini dikuasai oleh golongan bangsawan. Kaum bangsawan ini diberi kuasa mutlak memerintah kawasan masing-masing. Pembesar dan orang bangsawan memusatkan kuasa kepada sebuah bandar. Semua pembesar menjadi tuan tanah atau pemegang tanah. Mereka mewujudkan sistem birokrasi dengan menubuhkan jabatan-jabatan seperti kewangan, undang-undang dan pasukan bersenjata bagi memudahkan pentadbiran.. Mereka dikehendaki memberi taat setia dan mereka terpaksa berkhidmat untuk kerajaan mereka. Umpamanya mereka patut mengikuti raja pergi berperang, menjaga sempadan, membiayai cukai dan mengurus tenaga buruh supaya buruh dapat menjadi askar dalam masa perang dan bekerja dalam projek-projek umum dalam masa aman. Raja pula bertugas mengawal dan menyokong pembesar-pembesar di luar pusat pemerintahan dan pembesar-pembesar dikatakan pelindung-pelindung bagi raja. Ini bermakna bahawa raja harus menolong wakil-wakil atau pembesar-pembesar dalam kes-kes mereka diserang musuh. Kuasa politik raja berdasar kepada kuasa agamanya. Pergaduhan antara pembesar-pembesar sering berlaku kerana ingin memperluaskan kuasa.
Semasa China diperintah oleh Dinasti Chin (221SM-206SM) yang terletak di Sungai Wei itu iaitu semasa diperintah oleh Shih Huang Ti, negara China telah muncul sebagai sebuah empayar. Pemerintahannya bercorak autokratik dan mengikut unsur-unsur legalisme (berdasarkan konsep bahawa rakyat mesti diperintah dengan tegas dan mutlak). Beliau telah menubuhkan ibu kota di Siang Yang dan memulakan sistem pemerintahan berpusat iaitu meletakkan semua kuasa negeri di bawah kerajaan pusat dan menghapuskan sistem feudal. Pada teorinya, Maharaja Chin mempunyai kuasa tertinggi kerana beliau dianggap sebagai anak syurga. Kuasanya tidak terbatas kerana tidak boleh mengatasi undang-undang atau kuasa yang lain. Beliau merupakan maharaja China yang pertama berjaya menyatukan negeri China daripada keadaan berpecah belah. Caranya ialah dengan menyerang dan menawan kerajaan-kerajaan yang berpecah belah itu dan diletakkan di bawah kekuasaannya. Shih Huang Ti menubuhkan satu sistem kerajaan berdasarkan kepada undang-undang sejagat/legalisme. Akibatnya, undang-undang di negeri China adalah keras iaitu melalui sistem pengurniaan dan hukuman. Semua pegawai dalam negeri bertanggungjawab kepada maharaja. Raja melantik wakil untuk mentadbir kerajaan.
Penasihat utama maharaja terdiri daripada Canselor (ketua pusat pentadbiran), Marshall (bertanggungjawab dalam hal ehwal tentera) dan Recoder (setiausaha maharaja). Pusat pentadbiran Chin mengandungi 9 buah jabatan menteri. Kerajaan tempatan terdiri daripada bandar dan kampung. Pusat pentadbiran menguruskan kerajaan tempatan. Laporan dihantar ke ibu kota . Cara pemerintahan Dinasti Chin yang keras membuatkan rakyat memberontak selepas kematian Shih HuangTi. Liu Pang iaitu pemimpin pemberontakan telah menubuhkan Dinasti Han pada tahun 206SM. Pemerintahannya selama 4 abad itu berperanan menyatukan China dengan melakukan perubahan-perubahan sosial, ekonomi, pentadbiran, ideologi dll. Kekuasaannya meliputi sehingga ke bahagian sempadan dengan Barat dan India. Semasa Shih Huang Ti memerintah China, beliau telah membahagikan negara kepada 40 buah wilayah kecil yang diperintah oleh keluarga dan askar-askar yang berjasa kepadanya. Gabenor yang dilantik mengetuai wilayah itu dikawal dari pusat pemerintahan oleh raja. Di pusat ia telah membentuk sebuah badan pemerintahan yang kakitangannya terdiri dariapda pegawai-pegawai. Semasa China diperintah oleh Dinasti Han pula, pada awal pemerintahan Liu Pang (atau gelarannya Kao Tsu), beliau telah memdapat sokongan politik daripada pemimpin tentera melalui proses feudalisme. Sistem ini telahpun dihapuskan oleh Dinasti Chin tetapi ia muncul semula di kalangan pengikut-pengikut dan keluarga Liu Pang. Beliau menubuhkan semula sistem tanah feudal dan dalam sistem itu beliau mencipta 8 buah kaunti(county), principaliti (kerajaan-kerajaan kecil) dan kemudian memberi prinsipaliti tersebut kepada penyokong-penyokong yang mempunyai kuasa yang lebih besar. Beliau telah membina ibu kota yang baru di Changan kerana ibu kota di Siang Yang telah dimusnahkan oleh pemberontak Chin selepas kematian Shih Huang Ti. Di bawah Liu Pang dan pengganti-penggantinya terutamanya di bawah Wu Ti sistem pemusatan Han dan pusat pentadbiran lebih kuat daripada pentadbiran di bawah Chin. Pemimpin-pemimpin wilayah tidak diberi kuasa yang luasdan tidak dibenarkan memiliki kekayaan yang besar. Tujuannya ialah supaya kuasa pusat menjadi teguh dan tidak dicabar.
Dalam kerajaan Han, pentadbiran pusat diketuai oleh Censelor. Censelor merupakan Ketua Pegawai Pentadbir dan di sebahagian kawasan, dia adalah pemerintah yang mutlak. Censelor mengetuai kakitangan di ibu kota dan pegawai-pegawai wilayah yang mengetuai hal ehwal pentadbiran dan melaporkan kegiatan mereka kepada Ketua Censelor. Di bawah Censelor terdapat seorang Marshall atau Ketua Komandan . Ketua Komandan adalah pegawai tentera sementara. Di bawah Marshall terdapat Ketua Censelor. Di peringkat bawahan terdapat 9 orang menteri yang ditugaskan dalam bidang-bidang tertentu. Pentadbiran tempatan diawasi oleh kerajaan pusat. Ini termasuklah dalam soal perlantikan pegawai dan pemindahan ketua-ketua pegawai. Pegawai-pegawai yang memerintah dikehendaki menghantar laporan tahunan ke atas kaunti yang berada di bawah pengawasannya. Maharaja Han juga meneruskan sistem perkhidmatan awam berdasarkan kepada sistem peperiksaan umum dan usaha mengambil serta melatih pegawai-pegawai baru.
Tamadun Barat
Di Barat ( Eropah), zaman pertengahan ( yang bermula pada kurun kelima Masihi iaitu selepas keruntuhan empayar Rom) yang berlangsung selama kira-kira 1,000 tahun menampakkan satu zaman gelap. Pada ketika itu Eropah mengalami perpecahan politik. Raja dan golongan bangsawan adalah golongan pemimpin. Setiap golongan bangsawan mempunyai wilayah sendiri dan berkuasa ke atas rakyat biasa yang tinggal di wilayahnya itu. Sekitar tahun 1500 M, zaman pertengahan berakhir dan zaman Eropah Moden mengambil tempat. Pada masa ini muncul beberapa orang raja yang dikenali sebagai golongan Monarki Baru. Bagi mewujudkan unit politik yang utuh, pemerintah harus mengawal golongan pentadbir, bangsawan, tentera. Menjelang pertengahan kurun ke-15, kerajaan bentuk baru mula wujud di Eropah Barat. Raja sesebuah negara bangsa memantapkan kedudukannya melalui golongan pentadbir (yang dilantik dan diberi gaji), tentera tetap (tentera upahan) dan sistem cukai yang berkesan.
Tamadun Melayu
Di Alam Melayu pentadbiran dijalankan melalui pentadbiran pusat dan wilayah. Ini ternyata dalam pentadbiran negeri-negeri Melayu di Tanah Melayu.(kecuali Negeri Sembilan) yang diwarisi dari sistem politik Kesultanan Melayu Melaka. Unit politik yang terbesar ialah negeri yang diketuai oleh raja/sultan. Apabila sesebuah negeri itu meluaskan empayarnya seperti kerajaan Melayu Melaka, Srivijaya, Majapahit dan Acheh, negeri dibahagikan kepada beberapa jajahan/daerah yang diketuai oleh para pembesar. Pembesar diberi hak memerintah oleh raja. Tugas mereka ialah menjaga keamanan wilayah pentadbirannya dan mengutip cukai daripada penduduk di wilayahnya. Sebahagian cukai itu diserahkan kepada raja. Wakil raja yang memerintah di wilayah jajahan dikehendaki memberi taat setia kepada raja.Bagi wilayah-wilayah yang jauh dari pusat pentadbiran, kuasa mentadbir diberi kepada pemerintah tempatan tetapi kesetiaan dan mematuhi perintah raja di pusat pentadbiran hendaklah diberikan.
Di Melaka, ketua pentadbir ialah sultan. Pentadbiran bagi tanah jajahan Melaka ialah ‘raja’ atau ‘pemerintah’ kawasan itu sendiri yang memerintah dengan restu istana Melaka. Mereka mengakui kedaulatan raja Melaka selepas negeri mereka dikalahkan. Kawasan yang ada hasil bijih timah, Mandulika dilantik menjadi pentadbir dan bertanggungjawab terus kepada raja Melaka. Kawasan taklukan Melaka diberi kuasa hak memerintah, kuasa undang-undang, kuasa awam dan jenayah dan kuasa peraturan dan adat tempatan masing-masing. Walau bagaimanapun untuk hukuman bunuh, ia tetap di tangan raja Melaka.
Srivijaya juga diketuai oleh seorang raja yang berkuasa mutlak. Raja dibantu oleh sebilangan pembesar dalam pentadbiran negara. Di sini, pentadbiran diraja tertumpu kepada pentadbiran pusat seperti bidang kehakiman, pengutipan cukai dan hukuman. Pentadbiran daerah pula diketuai oleh datu. Beliau bertanggungjawab bagi hal ehwal tanah, kebajikan rakyat, memupuk kesetiaan rakyat kepada raja dan menjatuhkan hukuman ke atas penentang kerajaan.
Tema 3 : Ketahanan dan Pertahanan
Kawasan Kajian: Mesopotamia, Mesir, Arab, Graeco-Roman, India, China, Melayu dan Barat
Aspek yang dikaji:
3.1 Konsep: Konsep Ketahanan Dan Konsep Pertahanan
Berdasarkan contoh amalan dalam Tamadun Mesopotamia, Mesir, Arab, Graeco-Roman, India, China, Melayu dan Barat tunjukkan bagaimana ketahanan diri dan fizikal dicapai melalui latihan dan amalan menguatkan mental dan psikologi dan fizikal serta peralatan senjata tentera (Tamadun Yunani – melalui sukan/olimpik, Rom – gladiators, lumba kuda dll)
3.2 Organisasi
Tunjukkan jenis organisasi yang wujud di dalam satu-satu tamadun dalam aspek pertahanan (Rom – ‘legions’, Viking – perahu, Norman – ‘knights’ dll , Srivijaya – Orang Laut)
Tunjukkan taktik dan strategi pertahanan dan peperangan ( Rom – testudo (kura-kura), China – (The Great Wall)Huraikan ciri-ciri tentera dalam satu-satu tamadun (Rom –‘legions’, Norman –‘knights’, tentera bergajah dll)
3.1 Konsep
Ketahanan: Ketahanan ertinya ketabahan , kecekalan dan kesabaran dalam menghadapi sebarang ancaman dan dugaan serta tidak mudah luntur dalam perjuangan. Ketahanan terdiri daripada ketahanan rohani/spiritual dan ketahanan fizikal. Ketahanan rohani/spiritual meliputi aspek-aspek agama dan moral. Ketahanan fizikal merangkumi aspek-aspek lahiriah termasuk pembinaan jasmani dan ketenteraan. Ilmu pengetahuan, pengalaman, kecekapan dan pelaksanaan yang betul merupakan asas-asas yang penting dalam pembinaan ketahanan fizikal dan rohani bagi sesebuah masyarakat dan negara. Ketahanan rohani dan fizikal mestilah dibina secara seimbang dan sepadu. Ketahanan diri, masyarakat dan negara merupakan persediaan yang wajar dan perlu diambil perhatian yang serius bagi melaksanakan tahap kedua iaitu pertahanan.
Pertahanan :Pertahanan ialah perihal mempertahankan diri, masyarakat, agama dan negara daripada serangan musuh Membela golongan yang lemah, teraniaya dan dizalimi juga termasuk dalam erti pertahanan Mempertahankan hak dan tanggungjawab memerlukan pengorbanan yang besar dari segi harta,, masa, jiwa dan nyawa.
3.2 Organisasi
Tamadun Mesopotamia
Orang Sumeria adalah orang yang pertama di kalangan manusia awal yang mengetahui tentang taktik-taktik peperangan walaupun mereka bersifat.kemanusiaa, bijak membuat ramalan berdasarkan agama dan tidak mempunyai cita-cita berperang yang bersungguh-sungguh. Mereka berperang dengan cara berbaris-baris dan berdiri rapat-rapat. Senjata mereka ialah tombak dan lembing dan memakai topi kulit.Pemerintah membina tembok pertahanan untuk mencegah pencerobohan musuh dan melindungi penduduknya. Dalam masa-masa mereka berhenti bertelingkah sesama sendiri, orang Sumeria ini bersatu pula memerangi puak nomad yang sentiasa menyerbu dataran-dataran subur dan menjadi ancaman besar kepada peradaban Sumeria. Mereka bukan sahaja diganggu oleh puak yang berpindah randah bahkan juga oleh orang Semitik yang tinggal di Akkad (kawasan yang terletak di bahagian utara dataran Sinnar). Orang Semitik berperang dengan cara terbuka, menggunakan panah dan buat beberapa abad tidak dapat ditandingi oleh orang Sumeria.Permusuhan dan peperangan sering berlaku di antara negtara-negara kota di Mesopotamia atas sebab tuntutan air dari sungai yang menjadi punca kekayaan. Contohnya ialah peperangan yang berlaku antara negara kota Ur dan Urech adalah kerana hendak menguasai hilir Sungai Euphrates. Akibat daripada peperangan demi peperangan di antara negara-negara kota, maka berlakulah pertukaran pemerintah, kemusnahan negara-negara kota dan keruntuhan tamadun Mesopotamia. Pada tahun kira-kira 2750SM, Raja Sargon dari Akkadia telah menguasai tamadun Mesopotamia. Beliau menguasai semua negara kota dan meluaskan empayarnya dari Elam di Timur hingga ke Laut Mediterranean. Pada kira-kira tahun 2200 SM sekumpulan orang nomad iaitu Amorites telah menyerang Mesopotamia dan berjaya menawan Babylon. Babylon telah berkembang menjadi sebuah negara kota yang indah, kuat dan masyhur di bawah pemerintahan Hammudrabi (1709SM – 1669SM). Hammurabi telah mendirikan kubu di setiap kota. Kubu-kubu itu dikawal oleh angkatan tentera. Kubu Babylonlah yang paling terkenal di antara kubu-kubu yang dibina.
Tamadun Mesir
Pada zaman empayar Mesir ( Zaman Pertengahan) kira pada tahun 1600 SM – 1000SM iaitu ketika diperintah oleh Amhose, tentera Mesir disusun rapi dan menggunakan pedati kuda yang beroda besar dan bertayar mati yang dibuat dari kulit. Tentera dibahagikan kepada beberapa bahagian seperti bahagian tengah dan bahagian tepi. Serangan menggunakan taktik gerak rusuk.Pada zaman pemerintahan Tutmose, beliau sendiri mengetuai angkatan tentera. Serangan dibuat pada setiap musim bunga menggunakan jalan darat dan laut. Dengan itu menunjukkan Mesir telah mempunyai angkatan tentera darat dan laut. Peralatan yang digunakan oleh Mesir ialah pedang, panah, baju besi dan kuda.
Tamadun Arab
Kegiatan ketenteraan dan peperangan pada zaman Arab pra-Islam merupakan satu profesyen yang dnpandang mulia dan sangat diminati.Setiap kejayaan yang diperoleh dalam satu-satu peperangan boleh membawa kemegahan dan keuntungan yang besar kepada kabilah yang berjaya.Orang-orang Arab telah dilatih dan diasuh berperang sejak kecil lagi kerana peperangan antara kabilah merupakan satu daripada kehidupan mereka. Kaum lelaki memainkan perananyang besar dalam peperangan jika dibandingkan dengan kaum wanita. Meeka dilatih bermain senjata dan bermain kuda.Setiap peperangan biasanya melibatkan seluruh anggota kabilah termasuk perempuan dan kanak-kanak. Seluuruh harta benda dibawa bersama ke medan peperangan. Mereka juga membawa pakar bedah (untuk memotong bahagian yang tercedera). Alat-alat bunyi- bunyian seperti gendang, serunai serta lagu-lagu bersemangat dimainkan dalam perjalanan menuju medan peperangan.Perempuan-perempuan yang ditawan dalampeperangan akan dijadikan gundik atau harta milik sendiri yang boleh diperdagang sebagai hamba abdi. Pihak lelaki bertanggungjawab mempertahankan kaum wanita. Jika mereka gagal, wanita itu akan menjadi milik musuh. Biasanya mereka berusaha memiliki semula wanita mereka dengan cara tebusan atau berperang.
Harta-harta rampasan perang diagih sama rata kepada tentera setelah ¼ daripadanya diperuntukkan kepada ketua kabilah. Ketua kabilah boleh memilih harta rampasan perang yang disukainya, selepas itu barulah diagihkan kepada orang lain. Alat-alat senjata yang digunakan ialah pedang, tombak ,panah dan baju besi. Dari segi jenis tentera, tenteranya terdiri daripada tentera infantri (tentera berjalan kaki) dan tentera berkuda/cavalry (sebahagian keciol sahaja). Tentera berkuda hanya digunakan pada masa peperangan ‘serang lari’.Tentera bergajah juga digunakan iaitu semasa Abrahah menyerang Mekah iaitu semasa Nabi dilahirkan.Dari segi organisasi tentera, ada perbezaan antara tentera golongan Badawi (penduduk padang pasir) dan Hadari (penduduk bandar). Organisasi tentera puak Badawi kurang tersusun dan menggunakan taktik ‘serang lari’, sebaliknya kaum Hadari lebih .tersusun dan lebih banyak dipengaruhi oleh Rom dan Parsi terutamanya bagi Arab Hadari yang tinggal di bahagian utara dan selatan Arab.Contoh organisasi yang tentera Rom dan Parsi yang mereka tiru ialah tentera dibahagikan kepada 5 bahagian iaitu depan, tengah, belakang, kiri dan kanan yang dikenali sebagai ‘al-khamis’. Ketua kabilah diletakkan dibahagian tengah untuk menjaga keselamatannya.Orang Arab juga mendirikan kota pertahanan. Contohnya, di selatan Arab kota pertahanan dibina di Ghumdam (di Yaman),Hadramaut, Mahrah dan Oman. Di utara Arab dibina beberapa buah benteng pertahanan di kota Petra/Batra’, al-Khawarnaq (berhampiran al-Hirah) dan al-Sadir (di tengah kota al-Hirah).Motif peperangan yang berdasarkan semangat asabiyah (kesukuan) adalah bertujuan untuk mencari nama dan kemegahan. Peperangan boleh berlarutan hingga berpuluh tahun seperti Peperangan al-Basus antara suku Taghlib dan suku Bakr yang memakan maa selama 40 tahun.
Tamadun Greek
Sejarah awal Greek yang bermula d ibeberapa buah pulau termasuk Create , terletak di Laut Mediterranean menjadikan orang greek sebagai tentera laut yang kuat. Malah tuan kapal pertama di Laut Aegean adalah orang Greek – terkenal dengan kecekapan dalam pelayaran.Raja Mycenae (sebuah dari kota di Greek) telah membina sistem berkubu untuk menahan serangan penyerang dari laut. Bandar Troy yang merupakan sebuah daripada negara kora di Greek terkenal sebagai kota berkubu. Istana di bandar Troy dikelilingi tembok setebal 15 kaki dengan pintu pagar yang tinggi dan menara yang kukuh sebagai langkah berjaga-jaga dari sebarang serangan.
Orang Achaean (satu dari kaum Greek) menggunakan senjata tombak untuk mempertahankan diri. Mereka juga menggunakan topi besi yang berjambul bulu kuda, memakai baju besi atau kulit, sarung kaki yang dibuat dari gangsa, perisai besar yang dibuat dari kulit lembu dan gangsa. Ketua angkatan perang menggunakan pedati kecil sebagai kenderaan. Cara berlawan ialah berlawan seorang-seorang antara ketua dengan ketua. Orang biasa tidak mempunyai senjata yang lengkap. Ketika tentera Greek dibawah General Pyrrhus, Greek mempunyai angkatan tentera yang besar dan terlatih. Gajah digunakan sebagai alat kenderaan perang yang disamakan dengan kereta kebal masa ini. Di tanah besar Greek, orang-orang Greek membina benteng/kubu pertahanan bagi menghadapi serangan dari utara.Ketahanan diri dan fizikal orang-orang Greek dicapai melalui latihan olahraga. Latihan dalam olahraga menjadi sebahagian daripada pelajaran seseorang murid di Athens. Berlari, bergusti, melontar lembing dan bertinju yang dipelajari oleh orang Greek semasa di sekolah gusti, kekal menjadi hobi dalam hidupnya. Empat tahun sekali pertandingan olahraga secara besar-besaran yang terbuka kepada semua orang Greek diadakan di Olympia. Pemenang pertandingan disanjung oleh warganegara lain sebagai seorang yang mengharumkan nama kota mereka. Di setiap kota di Greek terdapat sekurang-kurangnya sebuah jimnasium umum untuk aktiviti olahraga dan olahraga merupakan satu bentuk hiburan yang tetap bagi orang lelaki. Athens memang terkenal dengan acara marathonnya. Sukan Olimpik pertama diadakan sebagai menghormati dewa Zeus. Selain membantu melahirkan individu yang cergas, kegiatan sukan ini juga secara tidak langsung menyatukan masyarakat Greek empat tahun sekali dan melupakan perselisihan politik. Sewaktu sukan ini diadakan, gencatan diisytiharkan oleh semua pihak.Di Greek, terdapat perbezaan dari segi ketahanan dan pertahanan antara Sparta dengan Athens. Di Sparta, orang lelaki diberi latihan tentera yang berterusan sejak dari kecil lagi. Bayi yang lemah dibunuh. Kaum wanita diberi kesedaran bahawa tugas utama mereka ialah melahirkan perajurit yang berdarah tulin Sparta. Kaum wanita diberi latihan jasmani bersungguh-sungguh bersama kaum lelaki agar menjadi ibu yang sihat (ini berbeza dengan wanita Greek di tempat lain). Budak lelaki yang berumur 7 tahun ke atas tinggal d iberek di bawah penyeliaan warganegara yang lebih tua dan juga di bawah jagaan pemuda-pemuda Sparta yang bergelar ‘tukang sebat’. Di situlah mereka diajar menanggung kesakitan tanpa rungutan, menguatkan badan dengan jimnastik dan senaman, ditanam dengan semangat suka melawan melalui permainan ganas yang disediakan. Ketika permainan ini dijalankan, banyak juga nyawa terkorban. Bagi menambahkan daya usaha mereka, mereka digalakkan mencuri jiran mereka. Bila mereka dewasa, mereka diwajibkan berkhidmat dalam polis rahsia. Bila mereka berumur 30 tahun mereka mesti berkhidmat sebagai tentera dengan disiplin yang lebih keras. Orang Sparta tidak dibenarkan berniaga atau bertani. Kerja begini diserahkan kepada helot dan warganegara diharamkan memegang wang. Keindahan dan sifat lemah lembut tidak terdapat di kalangan orang Sparta. Mereka memang terkenal sebagai pejuang terbaik. Mereka ditanamkan dengan taat setia yang tidak berbelah bahagi. Orang Sparta hanya bertuan kepada satu iaitu undang-undang mereka. Kekuatan tentera darat mereka jelas apabila mereka berjaya mengalahkan tentera Parsi yang menyerang Greek tahun 480SM.
Di Athens, berkhidmat di dalam tentera adalah satu perkara biasa dalam kehidupan orang Athens. Daripada umur 18 tahun hingga 20 tahun mereka menerima latihan tentera. Pada tahun kedua latihan, mereka dihantar ke kubu-kubu pertahanan sempadan di Attica. Daripada umur 20 hingga umur 60 tahun, mereka boleh dikerah berkhidmat. Pada bila-bila masa sahaja, Dewan Perhimpunan akan membuat keputusan melancarkan perang ke atas jiran yang tidak disukai mereka. Arahan menjalankan kerahan akan dilekatkan di pasar-pasar dan orang-orang lelaki akan segera menyediakan pedang dan perisai, mendapatkan catuan makanan dan melaporkan diri dalam tentera warganegara. Semuanya akan bersedia bergerak dengan segera. Semasa peperangan askar-askar yang terdiri daripada warganegara itu dengan kelengkapan senjata yang berat akan berdiri rapat-rapat dalam satu barisan, perisai bertemu perisai dan mereka akan mara menemui barisan musuh. Cara mereka ialah dengan berdiri berselindung di belakang perisai, menghunusksn tombak dan cuba mengundurkan tentera musuh. ‘Musim’ peperangan akan berakhir dalam bulan April dan Mei kerana mereka perlu pulang untuk menuai hasil tanaman mereka. Inilah bezanya dengan tentera Sparta yang mempunyai tentera tetap. Berbanding dengan orang Sparta, orang Athens terkenal dengan kehandalannya di laut. Kapal perangnya mencecah sebanyak 200 buah dan untuk menempatkannya tidak menjadi masalah kerana Athens telah membina beberapa buah pelabauhan.
Tamadun Rom
Bandar Rom memang dikenali sebagai bandar berkubu. Orang-orang Rom sentiasa bersedia mempertahankan Rom dari serangan luar yang sentiasa sahaja mengancam Rom. Oleh itu, Rom telah membina tembok pertahanan disempadan dan yang paling terkenal ialah Tembok Hadrian yang dibina dari Tyne ke Solway sepanjang 80 batu. Rom terkenal dengan angkatan lautnya. Ini jelas apabila rom melawan Carthage di Pulau Sicily, Rom menggunakan angkatan laut yang besar. Begitu juga ketika meluaskan empayarnya ke Afrika, Rom juga menggunakan kapal laut. Pada zaman pemerintahan Constantine, Rom telah menggunakan meriam sebagai satu daripada alat perangnya. Alatan perang Rom terdiri daripada baju besi, helmet, pedang, tombak, pisau belati, panah, lembing, dan artillery (senjata pemusnah yg. dibuat dari batu dan kayu, seakan bom). Ketahanan diri dan fizikal dicapai melalui beberapa aktiviti seperti bergusti, pertunjukkan gladiator (perlawanan manusia), dan binatang buruan yang liar serta lumba kuda. Gimnasiun dan gelanggang gusti dibina untuk tujuan tersebut. Orang tahanan dilawankan dengan binatang liar seperti singa. Jika menang, akan dibebaskan.
Dalam usaha meluaskan empayarnya, Rom bergantung kepada bilangan dan kekuatan tenteranya. Pada zaman pemerintahan Augustus, beribu-ribu orang tentera diambil untuk mempertahankan negara dari serangan musuh. Tentera yang jumlahnya hampir 400 ribu orang biasanya ditempatkan di sempadan yang terdedah dengan serangan luar. Augustus menempatkan tentera pengawal di luar Itali dan mengadakan pengawalan untuk dirinya sendiri di Rom. Tempoh perkhidmatan bagi tentera Rom ialah antara 20-25 tahun. Bagi menambahkan bilangan tentera warganegara, Augustus telah mewujudkan tentera bukan warganegara yang diberikan taraf warganegara setelah 25 tahun berkhidmat. Tentera Rom juga berjasa dalam mengembangkan budaya Rom di kawasan jajahan. Tentera Rom juga boleh berfungsi sebagai jurutera, pembina jalan, jambatan, petani dan menjadi hakim di daerah-daerah tertentu.
Taktik yang digunakan oleh Rom terutama di Arab Utara dan Selatan ialah dengan membahagikan tenteranya kepada 5 bahagian iaiatu bahagian depan, belakang, kanan, kiri dan tengah. Ketika melawan orang-orang Islam dalam Perang Yarmuk tahun 635 M, Heraclus sebagai ketua tentera Rom telah mengikat tenteranya dengan besi antara satu sama lain untuk mengelakkan mereka lari .Rom juga menggunakan taktik dan strategi testudo (kura-kura). Jenis tentera Rom dikenali sebagai ‘legions’ (unit/batalion yang mengandungi 3,000-6,000 askar berjalan kaki/infantri dan 100-200 askar berkuda) dan ‘tentera bergajah’ (semasa menyerang Mekah melalui panglimanya, Abrahah).
 Tamadun India
Dalam bidang pentadbiran ketenteraan, Chandragupta Maurya dikatakan raja yang mula-mula sekali mempunyai organisasi ketenteraan yang tersusun dan berkesan. Plini menggambarkan bahawa Chandragupta Maurya mempunyai jumlah angkatan tentera yang terdiri daripada 600,000 orang askar berjalan kaki, 30,000 orang tentera berkuda dan 9,000 orang tentera bergajah di samping tentera-tentera berkereta kuda. Raja merupakan pegawai tertinggi angkatan tentera. Untuk mengendalikan tenteranya yang begitu ramai, beliau membahagikan kepada 30 badan pentadbir dan diagihkan kepada 6 lembaga. Tiap-tiap lembaga mengandungi 5 orang ahli. Badan-badan tersebut meliputi tentera laut, tentera berjalan kaki, tentera berkuda, tentera bergajah, tentera berkereta kuda dan tentera berkenderaan yang membekalkan alat-alat senjata. Tenteranya juga terdiri daripada berbagai kelas masyarakat dan bertugas semasa berlaku peperangan sahaja. Tenteranya dibayar gaji tetap. Arthasastra pula menggambarkan bahawa terdapat juga jururawat-jururawat dan doktor-doktor yang ikut serta dalam peperangan untuk membantu tentera yang tercedera. Di Mohenjo Daro dan Harappa dibina kubu dengan dinding yang tingginya 400 meter panjang dari utara ke selatan dan lebarnya ½ km. Tembok kubu Harappa dibuat daripada batu lumpur dengan batu terbakar yang tebalnya 18 meter. Sebenarnya di setiap bandar dalam Tamadun Indus dibina kubu yang kuat untuk melindungi bandar daripada musuh.
Tamadun China
Pada dasarnya negeri China adalah sebuah negeri ketenteraan. Pada zaman awal, Raja Shang sentiasa berperang kerana beliau beranggapan perang sebagai kejadian yang menguntungkan raja dan negaranya. Kemenangan dalam peperangan menjadikannya kaya dan berkuasa. Kadang kala Raja Shang menawan musuhnya sebagai korban kepada dewanya. Tentera Shang terdiri daripad tentera berjalan kaki dan berkereta kuda. Dinasti Shang kemudian digulingkan oleh Wu Wang dari Dinasti Chou pada tahun 1027SM kerana kezaliman raja Shang terakhir iaitu Shang Chau Hsin. Semasa pemerintahan kerajaan Chin, mereka berperang menggunakan angkatan tentera berkuda dan tentera berjalan kaki dan bukan kereta kuda untuk berperang. Pada masa awal pemerintahan Shih Huang Ti, beliau telah mengarahkan askar mencari alat-alat perang di dalam setiap rumah. Semua alat itu dirampas dan dihantar ke ibu kota Siang Yang dan dileburkan menjadi loceng besar dan patung besi. Melalui cara itu Shih Huang Ti berharap rakyatnya atau wakil lindungan tidak akan melancarkan pemberontakan terhadap kerajaannya malah kerajaan pusat cuba menetapkan satu sistem monopoli dalam kuasa tentera. Tenaga buruh bagi tentera diperolehi dari sistem kerahan dalam berbagai-bagai daerah tentera yang dikatakan sebagai Chun. Apabila kerajaan Chin hendak mengerahkan askarnya, beliau mengambil golongan pemimpin tentera dalam Chun tersebut. Kerajaan pusat juga melantik pegawai sebagai pemimpin tentera bagi kempen peperangan. Dari segi taktik peperangan, Shih Huang Ti berperang menggunakan taktik orang Tartar (ganas),dan menggunakan tentera berkuda. Beliau juga telah mengumpulkan penjahat dan dijadikan askar dan dihantar berperang ke sempadan. Beliau juga telah membina rangkaian jalan tentera dan terusan untuk memudahkan pergerakan/serangan.
Bagi mempertahankan negerinya dari ancaman luar terutamanya orang tartar/Monggol, Shih Huang Ti telah membina tembok yang dikenali sebagai Tembok Besar Negeri China. Tembok ini dibina dari tahun 228SM hingga 210SM yang merentasi bukit bukau dan lembah. Panjang tembok ini ialah 2250 batu dengan ketinggigan 15 kaki hingga 20 kaki. Tembok ini dibina lengkap dengan menara pengawal. Terdapat sebanyak 20,000 menara pengawal. Setiap satunya di tempatkan sepasukan tentera yang mengandungi 100 orang. Mereka mengawal dengan menggunakan panah. Di samping menara pengawal yang besar tadi, terdapat juga menara pengawal yang lebih kecil sebanyak 10,000 buah. Alat-alat peperangan yang digunakan di China ialah panah, pedang, lembing dan perisai. Pada zaman Monggol memerintah China, Marco Polo yang melawat China pada abad ke-13 melaporkan bahawa China menggunakan serbuk letupan dalam peperangan.Bagi menguatkan ketahanan fizikal, orang China menjalanii latihan ketenteraan termasuk seni mempertahankan diri secara tradisional.
 Tamadun Melayu
Kerajaan-kerajaan Melayu juga mempunyai angkatan tentera yang kuat terutama kerajaan-kerajaan yang terkenal dengan perluasan empayarnya seperti Srivijaya, Majapahit, Melaka Acheh dan Funan. Srivijaya mempunyai angkatan laut yang kuat. Kerajaan ini menggunakan angkatan lautnya untuk memaksa kapal-kapal dagang singgah di pelabuhannya. Dalam aspek pertahanan ini, organisasi tentera yang ditubuhkan oleh Srivijaya dipanggil Orang Laut. Orang Laut melindungi pedagang dari serangan lanun. Orang Laut inilah juga yang melindungi Parameswara ketika menyelamatkan diri ke Tanah Melayu dari serangan Majapahit. Dengan angkatan tentera yang ramai, Srivijaya telah menawan beberapa buah kerajaan di utara Tanah Melayu dan Sumatera. Kerajaan Srivivjaya telah mewujudkan satu unit pentadbiran ketentraan yang diketuai oleh seorang panglima bergelar pratisava.
Kerajaan Melaka semasa pemerintahan Parameswara, telah menubuhkan organisasi tentera yang dipanggil Orang Laut. Tugasnya ialah untuk melindungi pedagang dari lanun. Pada peringkat awal Melaka ditubuhkan, Melaka sering diancam oleh Siam dan Majapahit. Bagi mempertahankan Melaka dari ancaman-ancaman luar, Parameswara telah meminta perlindungan dari Negeri China. Beberapa jawatan diwujudkan dalam pentadbiran Melaka untuk menjamin keselamatan negeri Melaka. Jawatan Bendahara dalam kerajaan Melaka berfungsi sebagai ketua angkatan tentera, sementara Laksamana pula merupakan ketua angkatan laut. Temenggong dipertanggungjawabkan menjaga keamanan dan keselamatan dalam negeri dengan bantuan pasukan keselamatan. Kekuatan tentera Melaka terutama semasa di bawah Bendahara Tun Perak membolehkan Melaka meluaskan empayarnya meliputi beberapa buah kawasan di Tanah Melayu dan Sumatera.
Majapahit juga pernah muncul sebagai sebuah kerajaan yang kuat dirantau ini. Dengan angkatan tentea yang besar dan kuat, kerajaan ini telah memperluaskan empayarnya dengan menawan beberapa buah kerajaan di Tanah Melayu, Kalimantan, Sumatera, Jawa dan Bali. Kerajaan Funan pula memperluaskan empayarnya dengan menawan Indo-China, Siam, Langkasuka dan utara Tanah Melayu. Alat-alat yang digunakan dalam pertahanan di Alam Melayu ialah keris, tombak dan pedang. Perahu dan kapal turut membantu membawa angkatan laut.Bagi menguatkan ketahanan mental dan fizikal, silat merupakan cara mempertahankan diri secara tradisional.
Tamadun Barat
Di Barat, ketahanan diri dan fizikal diperolehi melalui latihan ketenteraan yang berdisiplin. Latihan dalam tempoh tertentu diberi secukupnya sebelum diambil bertugas sebagai tentera. Latihan yang diberi termasuklah latihan bermain pedang, memanah dan menunggang kuda. Peralatan tentera yang digunakan lebih canggih seperti meriam (seperti Portugis gunakan untuk menyerang Melaka), perisai, pedang, senapang bersumbu, panah, pakaian seragam perang (termasuk baju besi, topi, kasut). Pasukan tentera dibahagikan kepada batalion yang terdiri daripada tentera darat dan laut. Alat yang digunakan semasa berperang ialah kuda (bagi tentera berkuda) dan kapal laut (bagi angkatan laut). Kubu-kubu pertahanan banyak didirikan. Dari segi organisasi, orang Norman terkenal dengan pasukan ‘knight’ (memakai baju besi seluruh tubuh termasuk muka). Pasukan knight juga teridiri daripada kaum bangsawan. Orang Norman yang berasal dari Britain itu memang terkenal dengan tentera berkudanya. Manakala orang Viking yang berasal dari Norway, Sweden dan Denmark merupakan pelaut dan pahlawan yang terkenal. Mereka mula belayar ke Barat pada abad ke-9 TM untuk mencari daerah baru. Orang Viking selalunya dikaitkan dengan kapal dan laut. Kapal mereka dikenali sebagai ‘knorr’ digunakan oleh orang Viking untuk ekspedisi perdagangan. Dengan itu organisasi pertahanan orang Viking dikenali sebagai perahu atau kapal.
Satu lagi cara untuk menguatkan ketahanan mental dan psikologi orang Barat ialah dengan bersumpah dan berjanji. Ini dapat dilihat dalam Perang Salib yang berlaku antara orang Krisitian dengan orang Islam pada akhir abad ke-11 TM. Sebelum melancarkan serangan, orang-orang Kristian telah bersumpah untuk merampas kembali Makam Suci (Holy Sepulchre) untuk mendapatkan kembali Baitul Maqdis yang ditawan oleh tentera Islam pada tahun 673 Masihi. Di atas alasan untuk masuk/menziarahi Baitul Maqdis semakin sukar (menurut ajaran mereka, menziarahi tanah suci adalah cara untuk mendapatkan keampunan dosa dan untuk masuk syurga), telah menaikkan semangat untuk berjuang menentang orang Islam. Pihak gereja telah berjanji akan membebaskan mereka dari membayar cukai, memberi pengampunan dosa, dan akan dibebaskan dari penjara jika mereka pergi berjuang menentang orang Islam.
Tema 4: Ekonomi
Kawasan Kajian: Mesopotamia,Mesir, Arab,Graeco-Raman, India, China, Melayu dan Barat
4.1 Konsep dan sistem ekonomi
Kegiatan ekonomi dalam kehidupan manusia di dunia ini telah mula kelihatan pada zaman Mesolitik ( di setengah-setengah tempat) iaitu apabila manusia mula menunjukkan tanda-tanda awal ke arah mengusahakan pertanian. Ini lebih jelas lagi apabila manusia memasuki era Neolitik. Orang-orang Neolitik telah giat dalam bidang pertanian, penternakan malah telah pandai menggunakan alat-alat teknologi seperti penggunakan roda (untuk bergerak) dan bajak dalam pertanian. Zaman ini mengalami kemajuan dalam bidang ekonomi , lebih-lebih lagi apabila manusia telah mula pandai bergiat dalam bidang perdagangan. Selepas zaman Neolitik, manusia bergerak lagi ke tahap pandai membuat dan menggunakan alat-alat daripada gangsa dan besi. Zaman prasejarah akhir inilah dianggap sebagai permulaan kegiatan ekonomi manusia di dunia ini yang nantinya memperlihatkan kemajuan yang pesat pada zaman tamadun awal manusia.
Dalam membicarakan konsep dan sistem ekonomi pada zaman tamadun awal, kita haruslah menyorot tahap-tahap perkembangannya iaitu dari ekonomi sara diri, menuju kepada komersial, perdagangan dan kapitalisme. Konsep sara diri bermaksud ekonomi yang diusahakan itu adalah semata-mata untuk menyara diri dan keluarga sahaja. Apabila manusia memerlukan barang yang tidak ada padanya, berlakulah komersil atau perniagaan yang dimulakan dengan sistem barter/tukar barang. Apabila wang telah dicipta bagi memudahkan urusan perniagaan, sistem barter beransur-ansur ditinggalkan. Apabila penduduk di sesebuah bandar itu semakin ramai, perniagaan semakin banyak dijalankan dan keperluan kepada barang-barang luar berlaku, maka hubungan dengan masyarakat atau negara luar tidak dapat dielakkan lagi. Di sini satu lagi poroses ekonomi berkembang iaitu perdagangan. Apabila pedagang menjadi kaya hingga mampu untuk melabur kekayaannya, wujudlah golongan kapitalis.
Tamadun Mesopotamia
Kegiatan ekonomi utama ialah pertanian, perdagangan dan perusahaan. Pada peringkat awal, masyarakat dalam tamadun Mesopotamia mengusahakan tanah untuk kegiatan pertanian (sememangnya Lembah Tigris dan Euphrates amat subur untuk pertanian), mereka menanam gandum dan barli. Di kawasan tanah tinggi mereka nenanam bijirin. Tanaman utama ialah jagung, kurma, sayuran-sayuran (bawang putih, daun salad, bunga bawang, kunyit, ubi sengkuang, lobak, thyne dan lobak putih). Bajak digunakan dalam kerja-kerja pertanian. Tambak dibina untuk mengelakkan banjir.Pada peringkat awal iaitu sebelum mereka mengenal teknologi moden, mereka mengisar menggunakan tangan..Mereka juga menternak kambing biri-biri, lembu, kerbau dan keldai. Keldai digunakan untuk kenderaan. Di samping itu mereka juga menangkap ikan menggunakan kail dan jala. Dari segi perusahaan, Mesopotamia mengusahakan tembikar, pertukangan kayu, membuat patung, membuat alat-alat perhiasan, membina kapal dan pakaian. Kegiatan ekonomi pada peringkat awal hanyalah untuk menyara diri mereka sendiri. Konsep sara diri di sini bermaksud mengusahakan pertanian dan ternakan untuk menyara diri dan keluarga sendiri dan tidak diperdagangkan. Apabila tanah pertanian itu diusahakan secara giat iaitu apabila mereka telah menggunakan bajak, membina tambak dan membuat sistem pengairan, hasil bertambah dan apabila mereka mula membuat perhubungan dengan orang luar dan memerlukan barang yang tidak terdapat di tempat mereka, perdagangan mula dijalankan... Konsep komersil mula mengambil tempat. Barang-barang dagangan dijual kepada orang padang pasir yang berpindah randah. Pada mulanya mereka menggunakan sistem barter (tukar barang) tetapi apabila mereka telah pandai menggunakan wang perak, perdagangan menjadi bertambah pesat dan di sini sistem komersil digantikan dengan perdagangan. Konsep perdagangan merujuk kepada sistem perniagaan yang melibatkan orang luar atau peringkat antara bangsa. Mesopotamia membuat hubungan dagang dengan India,Mesir dan Mediterranean. Barang-barang eksportnya ialah kain, barang kemas dan senjata. Import utama Mesopotamia ialah kayu balak, logam dan batu ( dari Mesir), tembaga (dari Turki dan Parsi), walnut, gam dan emas.
Tamadun Mesir
Kegiatan ekonomi utama ialah pertanian, perdagangan dan perusahaan. Mesir terkenal dengan kegiatan pertanian kerana Lembah Sungai Nil memberikan tanah yang subur dan anugerah Allah yang tidak ternilai memandangkan kawasan sekitarnya yang lain merupakan kawasan padang pasir yang tidak memberikan apa-apa hasil. Pada mulanya penduduk tamadun Sungai nil ini mengusahakan rami, gandum, barli, fleks, sayur-sayuran, kacang, lobak, kurma, menanam pokok pyprus (untuk membuat bot, tali dan sender), ternakan kambing, biri-biri dan lembu hanya untuk sara diri. Lama kelamaan kegiatan ini bertukar menjadi komersil apabila hasil bertambah hingga melebihi keperluan diri dan keluarga. Ini berlaku apabila mereka mula menggunakan teknologi dalam bidang ekonomi ini. Bagi menambahkan hasil, bajak,dan syaduf (alat mengangkut air dari Sungai Nil) digunakan. Terusan bagi mengairi tanaman juga dibina. Perusahaan utama yang dijalankan ialah pembinaan kapal, menguari, membuat bir dari barli dan wain dari anggur, membuat tembikar, gelas dan membuat kain dari rami. Perlombongan tembaga juga diusahakan. Pada mulanya perniagaan dijalankan melalui sistem barter, kemudian berkembang kepada perdagangan hingga ke peringkat antara bangsa menggunakan jalan darat (melalui Sinai) menggunakan sistem kafilah dan jalan laut.. Mesir telah mengeksport gandum, kain linen, tembikar, barang-barang kemas dan mengimport kayu perabut (kayu gergaji), emas, perak,dan gading. Urusan perdagangan dijalankan dengan Babylonia,Syam, Crete (Yunani), Afrika, Asia dan Rom.
Tamadun Arab
Di semenanjung Tanah Arab, pertanian dan perdagangan merupakan kegiatan ekonomi yang utama. Ini dapat dilihat di Yaman (Selatan Arab). Pada zaman sebelum kedatangan Islam lagi, Yaman telah muncul sebagai sebuah negara yang maju dalam pertanian. Tanahnya yang subur ditambah lagi dengan pembinaan Empangan Maarib menjadikan Yaman sebagai pengusaha pertanian yang maju sekali. Berbagai jenis buah-buahan ditanam. Yaman juga ada mengusahakan bidang pertukangan. Yaman telah mengeksport bulu biri-biri, kulit binatang, patung-patung berhala dan buah tamar melalui pelabuhan-pelabuhan Adanah dan Aden ( di Yaman), Ubullah dan Siraf ( di Teluk Parsi) dan Syuaibah (di Laut Merah). Barang-barang importnya terdiri daripada batu permata, garam, emas, sutera ( dari Teluk Parsi) dan rempah (dari Habsyah). Selain dari Yaman, perniagaan juga wujud di Hirah dan Mekah ( Mekah terkenal dengan pasar-pasar Zul Majaz, Ukaz dan al-Majannah). Sebenarnya, pada peringkat awal, ekonomi tanah Arab dipegang oleh orang Yaman. Mereka memasarkan hasil-hasil dari Hadhramaut, Zofar, India dan membawanya ke Syam dan Mesir. Walau bagaimanapun, mulai abad ke-6 M, kedudukan mereka diambilalih oleh orang-orang Hijaz yang menjadikan Mekah sebagai pusat perdagangan yang baru kerana Yaman masa itu telah dijajah oleh Habsyah/Rom dan kemudiannya oleh Parsi menyebabkan perdagangan di laut dikuasai oleh mereka manakala perdagangan di darat berpindah ke tangan orang-orang Mekah. Pedagang-pedagang Hijaz itu menbeli barang-barang dari Yaman dan Habsyah, kemudian dijual di pasar-pasar Syam dan Mesir. Walau bagaimanapun, Mekah juga mempunyai barang-barang dagangannya sendiri seperti berhala yang dijual pada musim haji. Perdagangan Hijaz dijalan kan pada dua musim. Pada musim panas mereka berdagang ke utara seperti ke Syam, manakala pada musim sejuk mereka berdagang ke selatan iaitu ke Yaman.
Perdagangan melalui laut telah membawa orang Arab sampai ke India dan China. Kerajaan-kerajaan Saba’ dan Himyar di Yaman mempunyai armada yang besar untuk membawa barang-barang perniagaan dari India, China, Somali dan Sumatera ke pelabuhan-pelabuhan Yaman. Perniagaan di tempat-tempat tersebut dimonopoli oleh mereka. Barang-barang dagangan yang dibawa balik dengan kapal telah dikumpulkan di Yaman, dibawa ke Hijaz dan ke Syam untuk dipasarkan ke Eropah menggunakan jalan darat (sistem kafilah). Kebijaksanaan orang Yaman berniaga atau menyimpan rahsia perniagaan terbukti dengan sangkaan orang Barat bahawa barang-barang yang didagangkan itu datangnya dari Yaman sendiri. Golongan Badawi yang mendiami kawasan padang pasir (kawasan pedalaman) bergantung hidup kepada hasil ternakan seperti unta, kambing, biri-biri, keldai dan kuda. Bagi yang tinggal berhampiran dengan kawasan subur (wadi) mereka menanam kurma, jagung, delima, zaitun, gandum dan sayur-sayuran. Mereka mengamalkan sistem barter dalam urusan perdagangan. Bagi mendapatkan pakaian dan makanan, mereka menukarkannya dengan binatang ternakan mereka. Dalam keadaan-keadaan tertentu, mereka merompak barang orang lain untuk memenuhi keperluan mereka. Pendek kata ekonomi di kalangan orang Badawi adalah setakat sara diri sahaja. Satu lagi barang dagangan yang menjadi sumber ekonomi Arab ialah penjualan hamba. Hamba ini adalah dari bangsa Arab dan bukan Arab.
Tamadun China
Pada zaman Dinasti Shang (1500-1100SM), jelai dan gandum merupakan bijirin utama di tanam di negara China. Petani juga memelihara lembu, kerbau, kuda, dan kambing. Kemajuan dalam bidang ekonomi di negara China dapat dikesan semasa dinasti Chou dan Han. Tamadun awal China di Lembah Sungai Hwang Ho menampakkan kegiatan pertanian yang pesat. Di situ ditanam dengan sekoi, barli, padi dan gandum. Pada zaman Dinasti Chou, terdapat sistem pengairan dan latan pertanian yang diperbuat daripada besi. Mereka juga mengusahakan penternakan seperti lembu, Khinzir, kambing dan ulat sutera. Pada mulanya kegiatan ekonomi itu dilakukan sebagai sara diri tapi kemudian menjadi komersil apabila industri tenunan telah wujud. Mereka mengusahakan tekstail dan bulu secara komersil.
Pada zaman Dinasti Chin, sistem timbang dan sukat mula digunakan. Kemajuan dalam sistem pengairan dan penggunaan baja telah menambahkan pengeluaran bijirin seperti beras, gandum, barli dan sekoi. Maharaja Han Wu Ti dari Dinasti Han telah membina tempat menyimpan padi, membuat terusan (yang menghubungkan Sungai Yangtze dengan Sungai Barat), parit dan tambak bagi mengawal banjir. Dinasti Han juga telah membuat dasar memindahkan penduduk untuk membangunkan kawasan yang kurang subur di wilayah-wilayah utara dan sempadan Mongolia. Pada tahun 198SM seramai 100,000 orang terlibat dalam pemindahan ini. Perusahaan yang dijalankan ialah membuat tembikar, barangan ukiran daripada kayu, gangsa dan jed serta menenun tekstil dan bulu.
Pada zaman Dinasti Han, China menjalin hubungan perdagangan dengan India, Mesir, Mesopotamia dan Rom. China mengeksport sutera, tembikar, barang-barang ukiran daripada kayu, gangsa , kulit binatang, kertas dan jed. Barang-barang buatan tangan China mendapat permintaan yang menggalakkan dari luar negeri. Sutera dieksport ke Rom dengan jumlah yang banyak. Selain dari Rom, sutera China juga dieksport ke Asia Tengah, Siberia dan Timur Tengah. Barang-barang importnya pula ialah gading dan kuda baka baik (dari negara-negara tropika), kaca, kain bulu dan linen (dari Asia Barat), alfalfa dan anggur (dari Asia Tengah), mutiara dan karang-karangan (dari Laut Merah). Sebenarnya, China lebih banyak mengeksport dari mengimport, menyebabkan China bertambah kaya.
Tamadun India
Kegiatan ekonomi utama ialah pertanian, perdagangan dan perusahaan. Pada zaman tamadun awal di Lembah Indus, tanaman kapas diusahakan. Kemudian muncul perusahan memintal kapas. Di kawasan Harappa penduduk telah menanam barli, kacang, gandum dan kapas. Mereka juga menternak ayam, kambing, kerbau, unta, gajah , anjing dan khinzir.Roda digunakan sebagai kincir air untuk mengangkut air dari sungai. Empayar Maurya di bawah Chandragupta Maurya telah membenarkan petani-petani menggunakan tanah milik kerajaan untuk kegiatan pertanian dan 1/3 daripada hasil perkapita mestilah diserahkan kepada kerajaan. Beliau juga membina sistem pengairan untuk meningkatkan lagi pengeluaran hasil pertanian. Semasa pemerintahan Asoka, sistem ekonomi diperkemaskan lagi dengan menyuruh golongan Sudra membersihkan tanah baru untuk dijadikan kawasan pertanian.
Perusahaan utamanya ialah menenum kain kapas, pertukangan gangsa, tembaga, emas, perak dan tembikar (tanah liat). Di peringkat antara bangsa, India telah membuat hubungan perdagangan dengan Mesopotamia, Parsi, Saurashtra, Rajasthan, Afghanistan, Tibet,dan Asia Tengah. India telah mengimport kulit siput (dari Saurashtra dan Deccan), gangsa (dari Parsi), perak , firus, dan lapis lazuli (dari Parsi dan Afghanistan) dan batu jed (dari Tibet dan Asia Tengah). Kain tenun merupakan eksport utama tamadun ini di samping alat-alatan daripada gangsa, emas, tembaga, perak dantanah liat. Pada zaman Maurya, perdagangan peringkat antara bangwsa bertambah aktif. Perdagangan melibatkan negara-negara Greek, Ceylon, Timur Tengah, China dan Asia Tenggara. Perdagangan dengan Asia Barat ialah melalui laut. Perlombongan turut diusahakan seperti emas, perak dan tembaga. Di laut mereka mengusahakan kutipan mutiara, berlian dan garam. Orang India Selatan merupakan peniaga yang giat menjalankan perniagaan dengan dunia luar.
Tamadun Greek
Greek merupakan sebuah negara yang terletak di kawasan Laut Mediterranean dengan muka bumi yang bergunung ganang. Sebahagian kecil sahaja dari kawasannya boleh diusahakan pertanian. Di dataran-dataran yang sempit mereka mengusahakan tanaman jagung, anggur dan zaitun. Di lereng-lereng gunung mereka menternak kambing dan biri-biri. Menjelang abad ke-4, Athens (Greek) terpaksa mengimport 75 peratus daripada gandum yang digunakannya. Gandum dan ternakan datangnya dari Thrace dan kawasan Laut Hitam. Athens mengimport ikan, daging bergaram,buah-buahan, arak , bahan galian, kain bulu, pakal yang dibuat daripada damar untuk menutup celah-celah papan dan fleks. Dari timur dibawa bahan-bahan mewah dan hamba. Athens pula mengeksport minyak zaitun, perak, batu marmar, bahan buatan dan lukisan. Dengan keadaan muka bumi yang menyempitkan peluang pertanian, orang Athens beralih kepada laut menjadi pedagang. Keadaan berbeza dengan di Sparta. Orang Sparta tidak digalakkan berdagang walaupun buminya subur.dan mempunyai hasil galian bijih besi kerana mereka lebih condong untuk melatih warganya dalam bidang ketenteraan.
Tamadun Rom
Rom mengusahakan bidang pertanian dan perdagangan. Dalam bidang pertanian, iklimnya membolehkan negara ini mengusahakan tanaman gandum,. anggur dan zaitun. Akueduk (saliran air) dan empangan telah dibina. Mereka juga menternak biri-biri dan kambing. Dari segi perdagangan, Rom merupakan pusat perdagangan yang penting dan maju terutama ketika di bawah pemerintahan Maharaja Augustus iaitu apabila wang syiling digunakan. Rom menjadi pusat perdagangan antarabangsa yang sibuk, mengimport sutera dan lada putih dari China, mutiara, kosmetik, minyak wangi, batu permata, kulit penyu, rempah ratus, pokok jati, ebony, lada hitam, sutera China dan tekstil dari India . Dari Timur Afrika dibawa gading, emas, bulu binatang, batu ambar, lilin dan hamba pula dibawa dari Rusia dan Jerman. Dati Britain dibawa timah hitam, besi, tiram dan anjing perburuan. Gelas yang tebaik dibawa dari Mesir atau sidon di Phoenicia. Dari Sepanyolmkapal-kapalnya membawa logam, emas, perak, bahan pencelop, linen dan minyak zaitun. Afrika Utara menghantar hamba, serbuk emas, batu marmar Afrika, gading dan binatang liar untuk pertunjukan. Asia Kecil dan Syria membekalkan kain bulu, fabrik, permaidani, kain bertekat, barang-barang kulit dan keluli. Industri dijalankan oleh beberapa orang artisan tempatan yang memiliki kedai-kedai sendiri. Rom telah mengeksport wain, gelas, emas dan kain linen .
Tamadu Barat
Di Eropah, pada zaman Pertengahan Awal atau Zaman Gelap (500-1050M) perkembangan ekonominya merosot sekali tapi mulai pulih pada penghujung zaman Pertengahan (1050-1300M). Ketika itu orang gasar telah membuka kawasan baru untuk petempatan dan pertanian. Akibatnya ialah berlaku perubahan dalam bidang ekonomi dengan bertambahnya penduduk, bandar-bandar baru berkembang, perdagangan maju dan wang digunakan dengan meluas menggantikan sistem barter. Pertanian dan ternakan yang diusahakan secara sara diri telah berkembang secara komersial. Kehadiran kuasa Islam di Afrika Utara pula telah meningkatkan perdagangan antara bangsa. Perang Salib yang berlaku di Timur Tengah selama 200 tahun telah membuatkan masyarakat Eropah bersatu. Keadaan ini telah mengukuhkan kedudukan raja dan raja telah memerosotkan kedudukan golongan bangsawan dan gereja Feudalisme sebenarnya telah berkembang secara beransur-ansur pada tahun 900-1300M di Eropah). Pada zaman Pertengahan Lewat ekonomi Eropah merosot kembali. Ketika Eropah mengalami zaman Renaisssance/Zaman Pemulihan (revolusi intelektual berasaskan pemulihan ilmu pengetahuan tamadun purba Yunani dan Rom antara tahun 1350-1550M),perdagangan telah wujud antara Itali Utara dengan pedagang Islam di Iskandariah dan Baghdad. Ini bermakna ketika itu perdagangan antara bangsa telah rancak dijalankan. Selepas gerakan Renaissance, sistem ekonomi kapitalis semakin penting.
Akibat dari gerakan Reformation ( gerakan pembaharuan agama yang berlangsung antara tahun 1517 hingga pertengahan kedua kurun ke-16) yang melanda Eropah , golongan menengah memperolehi banyak harta rampasan tanah gereja. Golongan pedagang yang sebelum itu tertekan dengan undang-undang gereja ( gereja melarang pinjaman wang berdasarkan faedah) kini telah berupaya bergiat dalam perdagangan apabila amalan riba dibenarkan. Apabila pedagang bertambah kaya, muncullah golongan kapitalis ( golongan yang ada modal untuk dilaburkan). Mereka terdiri daripada pemilik kilang, tanah dan lombong. Mereka ingin mendapat keuntungan dari pelaburan mereka di kawasan-kawasan baru. Mereka telah menaja beberapa ekspedisi untuk menjelajah di kawasan luar Eropah. Sehubungan dengan penubuhan negara-negara bangsa, raja-raja bangsa telah mengamalkan suatu dasar ekonomi baru yang dikenali sebagai Mercantilisme. Mercentilisme ialah sistem yang mementingkan kekayaan dan dalam usaha itu ia membawa kepada penguasaan koloni, pembebasan individu daripada kongkongan abstemiouness (kesederhanaan) dan ‘accesticm’ yang mendominasi pemikiran zaman pertengahan. Pada awal zaman Pertengahan (500-1000M) adlah menjadi satu kesalahan mengumpul kekayaan. Dalam ekonomi wang atau kapitalisme (Mercantilisme), pengumpulan wang tidak dapat dielakkan. Perkembangan ini adalah sesuatu yang baru berbanding dengan zaman Pertengahan yang menyeru kepada kesederhanaan. Pemikiran St.Augustine melalui ‘City of God’ mendominasi fikiran masyarakat Eropah untuk satu jangka masa yang lama. Sebaliknya zaman Renaissance telah menyemai ciri-ciri individualisme, humanisme, kritikal yang menghalalkan pengumpulan kekayaan. Raja-raja negara bangsa mula menjadi pelopor perkembangan kapitalisme untuk mengukuhkan kedudukan mereka. Di bawah dasar ini setiap negara bangsa mula berlumba-lumba untuk mengumpul kekayaan. Kekuatan sesebuah negara ditentukan oleh jumlah emas dan perak yang dikuasai. Pemimpin negara pada zaman ini mempercayai yang kekayaan dapat menjamin politik. Untuk tujuan tersebut, pelayaran-pelayaran ke seberang laut digalakkan oleh raja-raja negara bangsa. Permulaan pelayaran-pelayaran ini telah memulakan sejarah dunia Eropah.
Penemuan-penemuan kawasan baru ini telah memulakan persaingan di kalangan negara bangsa untuk mengukuhkan kedudukan dan supremasi mereka. Ini membawa kepada pengenalan beberapa akta dan undang-undang. Antaranya Akta Perkapalan 1650, ‘Apprentice Act’ 1563, ‘Poor Law’ 1600 dan lain-lain. Kesemuanya bermotif untuk melindungi industri dan perkapalan negara induk daripada persaingan negara-negarajiran. Ini menyebabkan peperangan menjadi satu fenomena biasa pada zaman ini. Penemuan-penemuan geografi ini juga membawa kepada kemerosotan bandar-bandar Itali seperti Venice dan Genoa. Sebaliknya negara-negara di blok Atlantik mula menjadi penting. Antaranya ialah negara Sepanyol. Portugal, England, Perancis dan Belanda. Selari dengan perubahan-perubahan dari segi erbandaran yang berlaku di Eropah, peranan nstitusi bank juga turut berubah. Pada awal zaman Pertengahan,urusan bank adalah secara eksklusif menopoli bandar Itali. Selepas tahun 1500, bangsa Perancis, Inggeris dan Jerman menyertai Itali dalam merebut peranan ini. Pelayaran-pelayaran ke seberang laut ini seterusnya mencetuskan perebutan untuk menguasai tanah jajahan antara negara-negara Eropah untuk membina empayar di merata dunia. Sepanyol mula membina empayarnya di barat, Portugas pula bertindak ke timur. Pada tahun 1494 Pope membuat garisan dalam peta dunia membahagikan tanah-tanah untuk kuasa Portugal dan Sepanyol melalui Perjanjian Tordessillas. Namun begitu cara ini tidak berjaya menyelesaikan perselisihan mereka, sebaliknya permusuhan negara-negara Eropah berlanjutan. Sesungguhnya perubahan-perubahan dalam bidang ekonomi ini telah menyediakan Eropah untuk bergerak ke zaman yang lebih mencabar pada abad-abad seterusnya. Berhubung dengan penjelajahan kuasa-kuasa Eropah ke Asia Tenggara, beberapa faktor telah mendorong mereka berbuat demikian. Antaranya ialah kewujudan zaman Rennaissance di Eropah itu sendiri telah menimbulkan rasa ingin tahu di kalangan bangsa Eropah terhadap dunia luar. Begitu juga dengan kesan Perang Salib iaitu apabila pengaruh tamadun Islam meresapi tamadun Eropah menyebabkan bangsa Eropah bersemangat untuk menjelajah. Penawanan Konstantinople oleh orang-orang Turki pada tahun 1453 telah menyekat perjalanan orang-orang Kristian ke timur telah menimbulkan azam kepada mereka untuk mencari jalan baru dan memecahkan monopoli perdagangan orang-orang Islam dan saudagar Itali.
Tamadun Alam Melayu
Kerajaan-kerajaan awal di Alam Melayu tediri daripada kerajaan agraria (kerajaan ini terletak di kawasan pedalaman dan sungai-sungai utama yang ekonominya berasaskan pertanian) dan kerajaan maritim ( kerajaan yang terletak di pesisiran pantai yang memberi tumpuan kepada perdagangan dan kegiatan yang berkaitan dengan laut).
Kerajaan agraria (seperti Kerajaan Dvaravati di Lembah Sungai Chao Phraya, Kerajaan Funan di Lembah Mekong dan Kerajaan Angkor di Lembah Mekong) menghasilkan hasil pertanian (seperti padi) , hasil hutan (seperti damar, kapur barus, rotan, pencelup) dan perlombngan.Perdagangan dijalankan secara tukar barang.
Kerajaan maritim pula memperolehi barangan dari kerajaan agraria dan kemudiannya menjalankan perdagangan entrepot. Perdagangan antarabangsa dijalankan melalui pelabuhan entrepot seperti pelabuhan Oc-eo di Funan, pelabuhan Ko-ying di Sumatera dan pelabuhan lembah Bujang di Kedah. Barangan yang didagangkan ialah rempah ratus, hasil hutan, cendana, damardan ubat-ubatan. Perdagangan dijalankan secara tukar barang dengan pedagang India, China, Arab dan Eropah.
Kerajaan Kedah Tua menjalankan kegiatan ekonominya melalui pelabuhannya di Lembah Bujang. Pelabuhan ini mengumpulkan barang dagangan tempatan seperti hasil hutan, pertanian dan perlombongan. Kerajaan ini membuat hubungan perdagangan dengan China (barang seramik), Timur Tengah seperti Arab, Parsi (barangan gelas kaca dan manik) dan India.
Kerajaan-kerajaan lain yang menjalankan aktiviti perdagangan ialah Srivijaya, Majapahit dan Melaka apabila kerajaa-kerajaan tersebut menguasai jalan laluan timur-barat iaitu Selat Melaka dan Selat Sunda.
 4.2 Pembangunan Ekonomi
Pembangunan ekonomi di sini merujuk kepada prasarana ( perhubungan, pengangkutan, institusi kewangan, gudang, limbungan, kemudahan-kemudahan pelabuhan dan bazar) dan juga sistem kewangan ( cukai, dan perbendaharaan).
Tamadun Mesopotamia
Mesopotamia membuat perhubungan perdagangan dengan kawasan berdekatan menggunakan jalan darat iaitu menggunakan keldai, manakala hubungan dengan negara luar seperti India dan Mesir melalui jalan perhubungan laut. Sejak tamadun awal lagi, Mesopotamia memang terkenal sebagai pencipta roda yang pertama dan membuat kapal layar. Sungai juga merupakan jalan pengangkutan untuk ke utara. Dalam urusan perniagaan, mata wang syiling tidak digunakan tetapi menggunakan ketul-ketul perak (nilai berdasarkan berat). Emas juga digunakan (nilainya 15 kali ganda dari perak). Sistem bank telah wujud dalam tamadun Mesopotamia dan urusannya dijalankan di rumah berhala. Kadar faedah/bunga dikenakan sebanyak 20%. Mesopotamia juga mengenakan cukai ke atas hasil ekonomi dan pedagang-pedagang. Cukai kerajaan dibayar di rumah berhala dan cukai boleh dibayar dalam bentuk barang dan ia disimpan di dalam stor yang disediakan berhampiran rumah berhala.
Tamadun Mesir
Perdagangan banyak dilakukan melalui laut kerana kedudukannya berhadapan dengan Laut Mediterranean. Lagipun, sejak dahulu kala lagi orang Mesir mahir menggunakan jalan air melalui Sungai Nil dan mahir dalam membuat kapal..Buat beberapa lama, orang Mesir hilir mudik di Sungai Nil dengan sampan-sampan (dibuat dari kayu dengan kain layar dan dayung; belayar dengan mendayung) hingga ke Laut Mediterranean. Memandangkan bumi Mesir yang tandus kecuali di Lembah Nil, perhubungan secara darat memang terhad. Pada zaman Kerajaan Purba/Lama, barang-barang diangkut cara darat melalui Sinai (tembaga dan kayu dan dari Nubia dibawa gading, emas, gam wangi dan bulu kasyawari. Pada zaman empayar, kapal-kapal digunakan. Dari selatan dibawa masuk gading, kayu arang, emas, setanggi, celak, baboon, anjing, kera, kulit binatang dan orang asli. Pelabuhan Iskandariah adalah di antara pelabuhan perdagangan utama di Mesir. Mesir memang terkenal dengan limbungan kapalnya. Kemudahan-kemudahan kapal disediakan. Bazar-bazar juga muncul bagi memenuhi keperluan perdagangan. Ketika Mesir diperintah oleh raja-raja Ptolemy, bank-bank telah dimiliknegarakan. Tkstil dan minyak dimonopoli oleh golongan diraja. Semua tanah tanaman jagung dikehendaki membayar cuckai kepada raja.. Pada zaman itu, apa sahaja yang boleh dikenakan cukai telah dikenakan cukai seperti cukai mati, cukai jualan hamba abdi, cukai lembu, cukai pengundian, cukai eksport dan import di pelabuhan.
Tamadun India
Sistem pengangkutan pada peringkat awal ialah dengan menggunakan unta, gajah, kuda, keldai iaitu secara kafilah menggunakan jalan darat. Apabila perdagangan berkembang, jalan laut yang menggunakan kapal digunakan. Perdagangan dijalankan dengan Mesopotamia. India terkenal dengan sistem timbangannya yang seragam sejak zaman tamadun awal lagi. Dari segi cukai, pada zaman Asoka dari Dinasti Maurya, Asoka telah memperkenalkan cukai tanah dan cukai ke atas hasil seperti cukai pengeluaran pertanian, cukai pengeluaran barang-barang dagangan, cukai jalan, dan cukai pinjaman. Cukai-cuckai itu ditetapkan dengan kadar tertentu. Misalnya, cukai pengeluaran ditetapkan 1/6 daripada jumlah pengeluaran dan mungkin akan berubah kadarnya. Hasil cukai itu digunakan untuk pembinan sistem pengairan, jalan raya, bangunan-bangunan, tempat-tempat adat di samping sebagai sumber kepada raja.
Tamadun China.
Alat pengangkutan yang digunakan di negara China bagi mengangkut barang-barang ialah kuda dan gajah. China dapat menjalankan perdagangan dengan negara-negara sebelah barat melalui jalan darat yang merentangi Asia Tengah (jalan sutera). Perdagangan melalui jalan laut di selatan dilakukan apabila jalan darat didapati tidak selamat dan China banyak menggunakan jalan laut semasa berdagang dengan Alam Melayu. China juga mengenakan cukai dalam perdagangannya iaitu ketika di bawah pemerintahan Shih Huang Ti. Liu Pang, pengasas Dinasti Han pula telah mengurangkan cuckai-cukai ke atas hasil pertanian dalam usaha menggalakkan perkembangan pertanian. Semasa China diperintah oleh Han Wu Ti dari Dinasti Han, beliau telah mewujudkan kembali sistem monopoli kerajaan atau sistem lesen ke atas pembuatan dan penjualan barang-barang tertentu yang pernah dipraktikkan pada zaman Dinasti Chin. Pada tahun119SM Wu Ti memperkenalkan kembali monopoli kerajaan ke atas garam dan besi yang merupakan kegunaan utama. Beliau kemudian menambah monopoli atau sistem lesen ke atas minuman keras. Maharaja Dinasti Han turut membina jalan raya untuk memajukan bidang ekonomi China. Dari segi penggunan mata wang, pada peringkat awal, china dmenggunakan wang kulit siput. Ekonomi wang yang diperkenalkan pada zaman Dinasti Chou itu telah meningkatkan lagi perdagangan dan kegiatan perindustrian China. Maharaja Shih Huang Ti dari Dinasti Chin pula telah memperkenalkan mata wang dari tembaga. Pada zaman Dinati Han, mata wang yang digunakan ialah wang emas dan perak..
Tamadun Greek
Athens mengenakan cukai import dan eksport yang rendah.. Sebahagian besar perdagangan Athens dilakukan melalui jalan laut kerana jalan-jalan darat ketika itu amat mundur.
Tamadun Rom
Rom terkenal dengan sistem jalan rayanya yang baik dan ini membolehkan perdagangan berjalan lancar. Di setiap daerah, maharaja membaiki dan membina rangkaian jalan raya yang diturap. Pada zaman Augustus iaitu zaman Rom berada dalam keadaan aman, perdagangan berjalan dengan baik. Perdagangan berlaku antara Laut Hitam dengan Sepanyol. Bandar-bandarnya berbentuk kosmopolitan. Bandar-bandar di Rom menjadi tumpuan pedagang-pedagang dari Syria, Greek, Sepanyol dan Afrika. Laut Mediterranean menjadi lebuh raya penting menghubungkan kawasan tengah Empayar Rom. Pelabuhan-pelabuhan Rom menyediakan limbungan kapal dan kemudahan pelabuhan yang baik untuk kapal-kapal yang berlabuh. Rom telah mengenakan cukai ke atas kawasan-kawaan yang ditawan.
Tamadun Arab
Di Semenanjung Tanah Arab , bazar-bazar tempat menjalankan aktiviti ekonomi telah muncul. Antara yang terkenal di Hijaz ialah Zul Majaz, Ukaz dan al- Majannah. Begitu juga dengan kemudahan-kemudahan pelabuhan di Yaman (pelabuhan Adanah dan Aden), Teluk Parsi (pelabuhan Ubullah dan Sirah) dan Laut Merah(pelabuhan Syuaibah). Orang-orang Arab menggunakan jalan laut untuk berdagang ke India, China dan Asia Tenggara. Di Semenanjung Arab sendiri mereka menggunakan jalan darat cara kafilah (menurut al-Tabari, besarnya satu-satu kafilah itu ialah antara 500 hingga 1,000 ekor unta) kerana muka buminya yang berpadang pasir dan untuk keselamatan. Kafilah-kafilah ini keluar dengan kelengkapan, persediaan dan kewaspadaan yang besar didahului dengan pengintip-pengintip yang lebih dahulu menyelidik keadan-keadaan di jalan, disertai oleh petunjuk-petunjuk jalan dan pengawal-pengawalnya yang menjaga keamanan kafilah-kafilah. Semasa Mekah di bawah pimpinan Qusai bin Kilab, cukai yang dikenali sebagai Rafadah telah dikenakan ke atas orang-orang yang berkemampuan yang datang menunaikan haji. Kutipan cukai itu digunakan untuk memberi makanan kepada orang-orang miskin yang datang menunaikan haji atau lain-lain upacara agama di Kaabah. Satu lagi bentuk cukai yang dikenakan ke atas sesatu puak atau orang perseorangan yang inginkan jaminan keselamatan dipanggil Amwal Muhajjarah. Bayaran itu dikenakan semasa memasuki Mekah untuk mengunjungi Kaabah. Bentuk cukai yang dipanggil Harim pula dikenakan kepada orang asing yang mengerjakan haji. Cukai ini bukanlah dalam bentuk wang tapi mereka dikehendaki memberi beberapa helai pakaian/jubah atau binatang korban. Selain dari cara tersebut, orang Arab juga memperolehi hasil cukai dengan mengenakan bayaran ke atas pedagang-pedagang yang melalui kawasan mereka. Ini banyak dilakukan oleh orang-orang Mekah dan Yamamah kerana tempat tersebut terletak di tengah-tengah jalan perdagangan antara Yaman, Syam dan Hirah.Orang-orang Arab juga mengamalkan riba dalam aspek pinjaman dan berjudi bagi mendapatkan wang cara mudah.
Tamadun Barat
Di kawasan Barat pula, selepas berakhirnya zaman gelap iaitu menjelang pertengahan kurun ke-15,raja memantapkan kedudukannya dengan mengenakan cukai. Apabila ekonomi berkembang, pelbagai jenis cukai dikenakan. Sebelum zaman gerakan Reformation (1517 hingga ke-pertengahan kedua abad ke-16) telah wujud institusi kewangan. Semasa golongan gereja begitu berkuasa di Eropah, undang-undang gereja telah menetapkan larangan amalan meminjam wang berdasarkan faedah. Ini menimbulkan rasa tidak puas hati di kalangan golongan pedagang . Mereka berasa iri hati terhadap gereja yang memiliki harta dan tanah yang banyak. Mereka bersedia menyokng sebarang gerakan yang dapat mengurangkan kuasa dan kekayaan gereja..Golongan reformis telah bangkit memperjuangkan tuntutan golongan pedagang bagi membenarkan semula amalan riba itu. Perjuangan itu berjaya dan pedagang-pedagang dapat menjalankan perdagangan mereka dengan luas hingga ke tempat-tempat baru (dengan menaja peneroka). Penggunaan wang dalam urusan perdagangan telah memesatkan lagi ekonomi Eropah. Institusi bank telah berkembang pesat di Itali . Bank yang terbesar dikuasai oleh keluarga Medici di Florence. Bentuk pinjaman bank adalah serupa pajak gadai (contohnya, raja meminjam dengan cagaran mahkota permata). Saudagar di bahagian utara Itali yang kaya telah bangun menentang larangan gereja terhadap riba bank.Venice dan Genoa mempunyai bank mereka sendiri yang kemudian membiayai pelayaran-pelayaran penjelajahan. Di Lombardy, England urusan bank antara bangsa telahpun berkembang secara besar-besaran menjelang kurun ke-14. Pada kurun ke-14 dan 15 pusat perdagangan Eropah telah beralih ke utara apabila orang Turki memutuskan sebahagian perdagangan di Venice. Contohnya, di Belanda telah muncul keluarga Fuggers pada kurun ke-16. Mereka paling terkenal dengan perniagaan bank yang merupakan pengasas kepada Bank Rothschilds. Pada tahun 1609 Belanda telah menjadi tumpuan para pedagang. Pada tahun 1694 England mengorak langkah menubuhkan lebih banyak bank.
Tamadun Melayu
Di Alam Melayu , pelabuhan-pelabuhannya dilengkapi dengan kemudahan-kemudahan asas seperti tempat penginapan, bekalan air, membuat dan membaiki kapal,gudang dan kawasan berniaga. Perdagangan dengan China menggunakan jalan laut kerana jalan darat tidak selamat. Sememangnya perdagangan di alam Melayu ini banyak bergantung dengan jalan perhubungan laut. Bukti-bukti menunjukkan bahawa orang-orang di rantau ini mahir dalam pelayaran dan membuat kapal.Dari segi sistem kewangan, Kerajaan Srivijaya, Majapahit dan Melaka umpamanya telah mengenakan cukai ke atas pedagang yang melalui Selat Melaka dan Selat Sunda dan cukai perniagaan. Pada peringkat awal perdagangan, sistem barter digunakan tetapi kemudian kulit siput geweng dijadikan mata wang. Nilainya bergantung kepada saiz dan jenis siputnya. Selepas itu bahan-bahan logam seperti bijih timah, emas dan perak dalam bentuk ketulan digunakan. Mata wang emas diperkenalkan oleh pedagang-pedagang China, India dan Arab di Melaka pada abad ke-16. Wang Syiling digunakan selepas kedatangan orang-orang asing.
Tema 5: Pendidikan
5.1: Konsep Pendidikan
  1. Berikan konsep pendidikan mengikut kronologi relatif perkembangannya dalam tamadun awal.
  2. Jelaskan maksud atau konsep pendidikan yang berasaskan akal dan pancaindera yang melahirkan pendidikan berbentuk
    1. agama
    2. sekular di dalam tamadun awal manusia
5.2: Dasar Pendidikan
Huraikan dasark pendidikan yang wujud dalam tamadun awal dengan memberi perhatian kepada:
  1. Matlamat dan peringkat
  2. Proses asal usul perkembangannya
  3. Perubahan, kesinambungan dan perkembangannya.
5.3: Institusi Pendidikan
  1. Senaraikan jenis-jenis institusi yang terdapat dalam tamadun awal manusia. Antaranya ialah di tempat ibadat, istana, rumah guru, sekolah, kolej dan universiti (contohnya : India di Nalanda)
  2. Tunjukkan dalam tamadun manakah satu-satu jenis institusi yang disenaraikan itu wujud.
  3. Galurkan asal usulnya dan perkembangannya
  4. Tunjukkan cara bagaimana pendidikan itu disampaikan sama ada secara formal atau tidak.
5.4: Kurikulum
  1. Senaraikan bidang yang diperkenalkan di institui pendidikan dalam tamadun awal
  2. Jelaskan konsep bidang-bidang sedemikian dititik berat
  3. Galurkan asal usul dan perkembangannya
  4. Senaraikan bidang-bidang ko-kurikulum yang diperkenalkan di institusi pendidikan
  5. Jelaskan kenapa ia diperkenalkan
  6. Galurkan asal usul dan perkembangan
  7. Jelaskan konsep disiplin dalam pendidikan di tamadun awal
  8. Tunjukkan bentuk disiplin yang dipraktikkan
Tamadun Greek
Greek mempunyai dua buah bandar besar iaitu Sparta dan Athens yang mempunyai dasar pendidikan yang berlainan. Di Sparta, pendidikan adalah tugas negara. Kaum lelaki adalah menjadi milik negara. Setelah seorang ibu melahirkan anak, bayi itu akan diserahkan kepada suatu Jemaah Kaum Tua ( Council of Older People). Di sini bayi itu akan diperiksa dengan teliti untuk memastikan sama ada akan menjadi seorang yang tegap, kuat dan sihat bila dewasa nanti. Mereka berpendapat bahawa orang yang lemah tidak boleh menjadi benteng negara. Jika seseorang bayi itu tidak dapat memenuhi syarat-syarat tertentu , maka bayi itu akan dibunuh atau akan dibuang di pergunungan atau tempat yang terpencil dengan tujuan kanak-kanak itu akan menemui ajalnya dengan sendiri atau dimakan oleh binatang buas. Sebaliknya, jika kanak-knak itu memenuhi syarat-syarat yang ditentukan dan dijangka akan menjadi seorang yang berguna kepada untuk masa hadapan, kanak-kanak itu akan diserahkan semula kepada ibu bapanya untuk dijaga hinggalah berusia 6 tahun. Bila telah mencapai umur 6 tahun dia akan dihantar ke tempat pendididkan khas yang dinamakan ‘Badan Kebajikan Masyarakat’. Di situlah dia diberi makan dan pendidikan yang secukupnya. Dari umur 8 tahun hingga 18 tahun, kanak-kanak yang tinggal diberek awam itu diberi latihan fizikal seperti berlari, melompat, bergusti, bertinju dan sebagainya. Dari umur 18 tahun hingga 20 tahun, dia akan diberi latihan-latihan untuk menghadapi peperangan. Apabila umurnya meningkat ke-30 tahun, dia diberi tugas untuk mengawal tempat-tempat yang telah ditentukan oleh pemerintah bagi menghadapi sebarang kemungkinan atau ancaman kepada negara. Kanak-kanak perempuan juga diberi pendidikan menguatkan fizikal supaya menjadi sihat dan tegap agar dapat melahirkan keturunan yang sihat dan kuat bila berkahwin nanti.
Tujuan pendidikan di Sparta jelas sekali untuk mendidik kanak-kanak supaya menjadi seorang yang berani, tunduk kepada tatatertib, taat kepada pemimpin dan dapat menahan nafsu dan cinta kepada negara. Bagi mencapai tujuan tersebut, cara yang dilakukan ialah:
  1. memberikan pendidikan jasmani yang keras bagi membentuk tubuh yang kuat dan tahan menderita
  2. memberikan pendidikan bidi pekerti untuk mendapatkan sifat-sifat taat, patuh, sederhana, tahu menahan nafsu dan cinta kepada negara.
  3. Mengabaikan pendidikan rohani.
Di Athens pula peluang pendidikan diberikan kepada semua golongan, cuma bagi golongan kelas bawahan mereka hanya berpeluang mendapat pendidikan membaca dan jasmani sahaja. Warga Athens menitikberatkan pendidikan ilmu pengetahuan. Seseorang itu akan menjadi warganegara yang baik jika dia mempunyai ilmu pengetahuan. Pada peringkat awal, kerajaan tidak mengambil berat dalam mendidikan sekolah dan membiayai kanak-kanak miskin dan juga membayar gaji guru. Pendidikan kanak-kanak diusahakan oleh ibu bapa kanak-kanak itu sendiri. Dari lahir hingga berumur 7 tahun kanak-kanak itu dijaga oleh ibu bapanya. Bila berumur 7 tahun, mereka mula berguru mengikut bidang yang dipelajari. Seorang guru untuk satu bidang. Corak pengajaran terpulanglah kepada guru itu sendiri. Pelajaran diberi di bilik khas yang disediakan oleh guru mereka. Gaji guru dibayar oleh ibu bapa mereka dan nilai bayaran itu terpulanglah kepada taraf kedudukan dan kemampuan ibu bapa. Bila berumur 11 tahuyn, mereka menduduki ujian yang berupa ujian jasmani dan akal. Jika berjaya, mereka akan diletakkan dalam golongan warganegara dalam latihan (Citizen-cadet). Pada tahap ini mereka menjalani latihan tentera selama 2 tahun. Pada akhir latihan ini mereka akan menduduki ujian dan jika lulus, mereka akan disahkan menjadi warganegara penuh ( full citizenship), sistem pendidikan begini telah melahirkan ramai ahli falsafah. Dengan itu jelaslah bahawa tujuan pendidikan di Athens adalah untuk mencapai keseimbangan antara rohani dan jasmani – hidup dengan harmonis. Setiap warganegara hendaklah setia kepada negaranya.
Tamadun Rom
Sejarah pendidikan Rom mempunyai 3 peringkat iaitu:
  1. pendidikan zaman kuno (530 SM – 250 SM)
  2. pendidikan zaman peralihan (250 SM – 159 SM)
  3. pendidikan zaman baru/moden (zaaman keemasan dan zaman kemerosotan)
Pada zaman Rom kuno, tidak terdapat sekolah sebagai institusi pendidikan. Kanak-kanak dididik di rumah. Mereka belajar mematuhi dan mencontohi orang tuanya dalam segala hal terutamanya kelakuan. Pada kira-kira tahun 450 SM barulah wujud sekolah untuk belajar membaca dan menulis tentang agama dan undang-undang negara ( yang terkenal pada masa itu ialah Undang-Undang Dua Belas). Setiap kanak-kanak dikehendaki menghafal dan mengingat kandungan undang-undang itu dan pelajaran undang-undang itu menjadi asas bagi perkembangan kesusasteraan Roman masa itu. Pada zaman peralihan iaitu pada peringkat permulaannya, sekolah rendah mula didirikan yang dipanggil juga sebagai ‘Sekolah Sastera’. Sekolah ini belum dipengaruhi oleh pengaruh Greek. Di sekolah ini kitab Odisa diajar kepada kanak-kanak yang ditulis dalam bahasa Latin. Beberapa tahun selepas itu didirikan sekolah-sekolah pidato dan pelajaran nahu Greek. Akhirnya sekolah-sekolah itu bertukar menjadi sekolah Latin. Pada zaman baru/moden Rom iaitu di peringkat Rom mencapai zaman keemasan, cara pendidikan Greek telah mempengaruhi pendidikan Rom hinggakan sekolah nahu/berasaskan bahasa dan retorik yang dihasilkan dari kebudayaan Greek itu telah berkembang pesat di Itali (hingga kezaman pemerintahan Julius Ceasar) dan akhirnya telah menjadi sekolah rasmi dengan mendapat bantuan kewangan dari pemerintah.
Tujuan sekolah-sekolah itu didirikan adalah untuk mengajar membaca dengan secukupnya dan mengarang dengan teliti. Kanak-kanak itu juga diajar kitab-kitab karangan penulis-penulis terkenal Rom, Greek dan Mesir Tua. Sekolah pidato juga didirikan dengan tujuan untuk mendidik anak-anak muda yang meningkat umur 15 tahun dan yang telah tamat pelajarannya di sekolah rendah. Mereka yang belajar di sekolah ini kebanyakannya terdiri daripada kalangan yang ingin bekerja sebagai peguam, ahli politik dan dalam jabatan-jabatan penting. Walau bagaimanapun pendidikan serupa ini terhad di kalangan sedolongan kecil orang Rom sahaja. Selain dari latihan pidato, terdapat juga pelajaran lain seperti pelajaran mekanik, ilmu falak, ilmu falsafah, muzik dan nyanyian.Perlu ditekankan di sini bahawa pada zaman republik Rom, kanak-kanak diajar membaca, menulis, bermain pedang dan berenang oleh ibu bapa secara peribadi. Pengajaran membaca biasanya dipertanggungjawabkan kepada paedagogus (seorang hamba yang berfungsi sebagai pembimbing, penjaga dan hamba kepada kanak-kanak di bawah jagaan mereka). Secara keseluruhannya, pendidikan di Rom ini lebih menekankan kepada tiga kemahiran iaitu membaca, menulis dan mengiraPada zaman kemerosotan Rom iaitu pada kurun Pertama Masihi (zaman keruntuhan kerajaan republik), pendidikan turut merosot akibat kelemahan kerajaan. Kerajaan yang lemah mengakibatkan kurang penekanan atau perhatian terhadap bidang pendidikan.
Tamadun Mesir
Pendidikan dalam zaman tamadun Mesir purba telah wujud sejak 1000 tahun sebelum Masihi lagi atau lebih ketara pada Zaman Pertengahan Mesir, Pendidikan pada masa itu terbahagi kepada peringkat rendah dan menengah. Ia dikelolakan oleh golongan agama. Dalam erti kata lain, sekolah terletak dalam kuil yang juga dikenali sebagai ‘Sekolah Kuil’ yang dikatakan ada kaitan dengan rumah kehidupan ( maksud rumah kehidupan ialah bangunan yang di dalamnya disimpan dan tempat menyalin buku). Sekolah dalam tamadun Mesir purba hanya untuk orang lelaki sahaja. Sekolah banyak terdapat di Memphis dan Thebes. Selain dari padri, tenaga pengajar juga terdiri daripada penulis yang ingin menambahkan pendapatan. Walau bagaimanapun kebanyakan kanak-kanak Mesir tidak suka ke sekolah. Kebanyakan mereka lebih gemar belajar berniaga daripada bapa mereka. Kanak-kanak perempuan pula menolong ibu membuat kerja-kerja rumah. Bagi anak-anak kaum bangsawan, mereka diberi pelajaran di rumah. Bila mereka remaja, mereka didedahkan dengan pelajaran intelektual, sosial dan rohani oleh orang dewasa untuk menjaga reputasi sebagai orang yang lebih pandai.Tujuan pendidikan ialah menyediakan dan memberikan berbagai pelajaran tentang kehidupan sehari-hari. Mata pelajaran yang dipelajari ialah matematik, mekanik, binaan, ukiran, lukisan, muzik dan lain-lain lagi. Pada peringkat Pendidikan Rendah, umur 6 tahun merupakan permulaan bagi seseorang kanak-kanak menimba ilmu. Mereka belajar selama 6 jam sehari sama ada di rumah ( guru dijemput datang) atau dihantar ke sekolah. Pendidikan peringkat ini meluas sekali di Mesir. Ada ramai guru yang sanggup mengajar secara sukarela dan telah berpuas hati dengan mendapat ganjaran yang sedikit. Pelajaran yang diajar ialah membaca, menulis, dan mengira ..Mereka mempelajari tiga bentuk tulisan Mesir dengan cara menyalin sahaja. Alat yang digunakan untuk menulis ialah batu atau kepingan kayu yang diseliputi plaster yang boleh dibasuh (guna semula)
Pada peringkat Pendidikan Tinggi, hanya golongan bangsawan dan atasan sahaja yang berpeluang belajar pada peringkat ini.Kanak-kanak yang berusia 9 dan 10 tahun layak untuk memasuki peringkat tinggi ini.Pusat pendidikan ialah di kuil-kuil yang terrdapat di bandar-bandar. Antara kuil yang masyhur ialah Minfitah, Ra’, Amoon dan Musion. Musion merupakan sebuah sekolah tinggi di Iskandariah dan menjadi tumpuan ahli falsafah dan ulamat dari Timur Tengah dan Greek. Tujuan pendidikan peringkat tinggi ini ialah untuk membolehkan penuntutnya menjalankan tugas sehari-hari di samping mendapat ilmu dalam bidang pertukangan tangan dan kesenian. Penekanan diberi kepada pelajaran tentang bagaimana hendak menulis surat, dokumen undang-undang dan belajar mata pelajaran Sejarah, Kesusasteraan, Agama, Bahasa, Ukuran, Kejuruteraan, Geografi, Simpan kira, Matematik, astronomi dan Perubatan. Bukti menunjukkkan bahawa peperiksaan telah diadakan tapi tidak pasti di peringkat mana. Penuntut-penuntut akan mengambil pelajaran yang ada kaitan dengan kecenderungan atau minat mereka. Umpamanya, jika mereka meminati bidang kesusasteraan, mereka akan belajar tulisan-tulisan Mesir purba seperti Hiroglafi, Hiratiqi dan Demotiqi di samping Ilmu Falsafah dan Undang-undang. Bagi yang meminati lapangan teknikal.. mereka haruslah mempelajari Ilmu Matematik, ilmu berkaitan dengan alat-alatan, Sejarah dan Agama. Bagi yang meminati bidang perubatan, mereka akan belajar Ilmu tubuh Badan, Jampi dan Sihir. Penuntut yang meminati bidang agama, mereka akan mendalami kitab-kitab suci, hukum-hukum agama, Ilmu Falak dan Matematik. Bagi pelajar yang tidak mampu, mereka hanya mengambil satu atau dua mata pelajaran sahaja. Pelajar yang miskin boleh mencari penaja dari kalangan orang kaya ubagi membiayai pelajaran mereka.
Dalam soal menuntut ilmu ini, seseorang kanak-kanak itu dikehendaki belajar menulis dan membaca. Oleh kerana tulisan Mesir purba merupakan lambang-lambang, bagi menguasai tulisan tersebut kanak-kanak itu belajar dengan cara meniru tulisan gurunya dengan menggunakan papan batu. Apabila mereka mencapai tahap mahir barulah mereka menggunakan kertas.Sebagai latihan, kanak-kanak itu dikehendaki menyalin rangkap-rangkap syair, potongan hikayat-hikayat lama, ayat-ayat dari kitab-kitab suci dan lain-lain lagi. Penuntut-penuntut itu dilayan dengan keras. Pelajar yang mengabaikan tugasan akan dihukum dengan berbagai siksaan seperti dirotan atau dibelantan. Guru-guru pula bersifat bengis. Dengan kesalahan yang kecil sahaja pelajar itu akan ditengking dan dimaki hamun. Bagi kaum wanita, mereka hanya berpeluang belajar membaca, menulis dan mengira pada peringkat rendah sahaja. Bagi wanita golongan atasan, mereka didedahkan dengan pelajaran urusan rumah tangga. Lulusan peringkat tinggi itu akan menjadi juru tulis, pengarang dan pedagang. Menjadi juru tulis merupakan profesyen yang dipandang tinggi di Mesir kerana kebanyakan penduduk Mesir adalah buta huruf dan juga kerana sistem kerajaan masa itu yang mementingkan penyimpanan rekod. Juru tulis ini bekerjaan dengan kerajaan dan diberi gaji yang tinggi.
Tamadun Mesopotamia
Dalam tamadun awal Mesopotamia, kuil bertanggungjawab terhadap penyebaran pendidikan. Sekolah-sekolah wujud di dalam kuil. Di situlah kanak-kanak belajar berbagai simbol dalam tulisan. Orang Sumeria menghantar anak-anak lelaki mereka ke sekolah-sekolah. Kanak-kanak itu diajar membaca, menulis dan mengira. Mereka menulis di atas tanah liat yang lembut ( yang boleh dikepal, dibentuk semula dan diguna semula). Masa persekolah sangat panjang dan disiplin amat ketat. Kanak-kanak itu dipukul jika tidak belajar. Pada zaman kegemilangan Baylon di bawah pemerintahan Hammurabi mereka mengkaji ilmu nujum dan dari ilmu ini mereka banyak mengetahui tentang ilmu bintang. Khatulistiwa dibahagi kepada 360 darjah dan mencipta lambang 12 bintang. Mereka amat percaya kepada pengaruh bintang ke atas kehidupan manusia. Pusat-pusat memerhati bintang ditubuhkan di seluruh negeri dan buku-buku yang popular tentang bintang sangat dikehendaki oleh orang ramai. Orang Sumeria terkenal dengan kepakaran dalam matematik, astronomi, dan ukuran. Mereka juga telah membuat kod undang-undang. Kalendar mereka berdasarkan kepada bulan dan sebulan mengandungi 28 hari. Melalui kemahiran matematik, mereka melahirkan dua sistem kiraan iaitu sistem decimal ( berdasarkan unit 10) dan berdasarkan unit 60. Melalui sistem unit 60 mereka mengira bulatan dan masa. Mereka merupakan orang yang pertama mencipta satu pusingan jam mengandungi 60 minit dan bulatan 360 darjah.. Dalam ilmu perubatan, mereka lebih jauh maju dari orang yang sezaman dengan mereka. Sekurang-kurangnya 500 jenis ubat telah digunakan pada masa itu. Doktor-doktornya menggunakan alat-alat yang dibuat daripada gangsa. Kain ataupun kulit digunakan untuk menuam.
Tamadun India
Tamadun Indus adalah tamadun terawal yang muncul di India ( berkembang antara tahun 3000 SM hingga 25000 SM dan lenyap pada kira-kira tahun 1500 SM). Tujuan pendidikan pada masa itu ialah melahirkan manusia yang alim.Pendidikan pada zaman itu berteraskan pelajaran yang terkandung di dalam beberapa veda. Semua pengetahuan yang dipelajari adalah berkaitan dengan agama. Pendidikan diwajibkan bagi semua yang ingin menjadi pendeta dan pendidikan ini dikendalikan oleh pendeta. Apabila seorang pelajar telah menerima benang yang dianggap suci, dia akan diletakkan di bawah jagaan seorang guru selama 12 tahun. Pada masa itu pelajar tersebut akan menghafal semua veda dan belajar tentang astronomi. Apabila dia tua maka pengetahuan itu ditinggalkan dan hiduplah dia dalam alam pertapaan untuk mendapatkan tingkat nirvana. Bahasa yang digunakan ialah Sanskrit. Apabila tamadun Indus runtuh pada kira-kira tahun 1500 SM ( ada beberapa sebab seperti kerana banjir dan pemusnahan hutan yang menambahburukkan lagi bencana banjir dan juga serangan dan pembinasaan oleh orang-orang Arya) muncul pula tamadun Vedik orang Aryan (1500 SM hingga 450 SM). Bangsa Aryan yang datang dari Lembah Ganges dan tersebar ke selatan dan barat India itu telah memperluaskan lagi pengetahuan tentang agama dan sains. Semua pengetahuan ini terkumpul dalam sutra-sutra yang ditulis dengan mudah, pendek dan menarik untuk dihafal oleh kanak-kanak berumur 8 hingga 12 tahun. Pendidikan ini menolong meluaskan pengetahuan tentang kesusasteraan, agama dan hal-hal yang berkaitan dengan kehidupan manusia. Hasil kesusasteraan yang paling terkemuka ialah Dharma Sutra yang menyentuh tentang adat istiadat, tingkah laku dan undang-undang semasa. Perkara ini menjadi asas kepada buku perundangan Manu moden. Apabila agama Buddha berkembang di India, kuil-kuil memainkan peranan penting dalam penyebaran ilmu agama Buddha khususnya semasa diperintah oleh Asoka. Perkemabangan pesat dalam bidang agama ini telah memunculkan sebuah universiti di Nalanda, India Selatan yang menjadi tumpuan pengkaji agama ini bukan sahaja di sekitar India malah dari luar India seperti dari Nusantara .
Tamadun China
Tamadun awal China yang telahpun mempunyai tulisannya yang tersendiri itu membolehkan orang-orang China pandai menulis dan membaca tetapi tehad di kalangan golongan bangsawan sahaja. Orang-orang China tamadun awal juga mempelajari dan percaya kepada ilmu nujum . TamadunChina sangat menghargai pendidikan, perniagaan dan kesusasteraan dan membenci peperangan. Ibu bapa China lebih gemar anak-anak mereka mengikuti kurikulum yang bercorak akademik dan apabila lulus terus memasuki peperiksaan awam untuk bekerja sebagai pegawai kerajaan. Peperiksaan ini dijalankan di bawah kawalan yang amat ketat dan jika berlaku penipuan, hukumannya ialah hukuman mati. Perkembangan pendidikan di negara China membawa kepada kemunculan ahli-ahli falsahanya dan sebab itulah sering dikaitkan dengan ajaran dan pemikiran-pemikiran ahli-ahli falsafah mereka seperti Confucius, Lao-tze, Chuang-tzu dan pendeta-pendeta agama Buddha. Dengan penyebaran agama Buddha di negara China, terdapat segolongan yang berminat terhadap pengkajian ilmu agama Buddha ini. Pengkajian dilakukan di kuil-kuil dan kemudian cuba mendalaminya dengan menjelajah hingga ke India seperti Hsuan-tsang. Pada zaman Dinasti Han, perkembangan ilmu menjadi bertambah pesat. Di sinil muncul sarjana yang mengkaji buku-buku lama dan cuba menghidupkan kembali kesusasteraan purba terutamanya oleh penyelidik-penyelidik sejarah sarjana Han. Ahli-ahli sejarah juga membuat kajian tentang zaman lampau melalui catatan-catatan yang tersimpan di istana. Dinasti Han juga turut menghasilkan 3 buah kamus. Kelemahan Dinasti Han dan serangan orang-oang tartar menyebabkan kemerosotan pendidikan di negara China.
Tamadun Arab
Masyarakat Arab terdiri daripada orang Badawi ( pedalaman) dan Hadhari (kota). Bagi masyarakat Badawi, tujuan pendidikan ialah untuk melatih dan menyediakan diri untuk kehidupan sehari-hari. Kanak-kanak dilatih membuat pekerjaan orang tuanya seperti membuat tempat kediaman, melawan musuh dan binatang buas.Pendidikan rumah tangga amatlah dipentingkan. Mereka mempelajari cara-cara mencari makanan, membuat pakaian, bertukang dan kesenian. Mereka juga diberi didikan akhlak dan belajar tentang syair, mengenal keturunan, ilmu mengecam bumi, perubatan dan mengenal arah mata angin. Oleh kerana masyarakat Badawi itu buta huruf, ilmu-ilmu itu dipelajari melalui pengalaman dan percubaan sendiri serta meniru dari orang yang berhampiran dengan mereka. Kaum wanita Badawi juga diberi peluang belajar bersyair, berpidato, kesenian, rumah tangga dan lain-lain lagi.
Di kalangan masyarakat Hadhari, puak Amaliqah di negeri Iraq lebih terkenal dengan pendidikannya. Tujuan pendidikan dalam masyarakat itu ialah untuk melatih kanak-kanak dalam berbagai jenis pekerjaan dan pelajaran pertukangan tangan sebagai punca mata pencarian pada masa akan datang. Terdapat dua peringkat pendidikan di kalangan masyarakat ini iaitu pendidikan permulaan dan pendidikan tinggi. Pendidikan permulaan dijalankan di semua tempat dalam kota di Iraq.Kanak-kanak diajar membentuk tulisan dengan cara meniru apa yang ditulis oleh guru mereka. Bentuk tulisan ialah gambar-gambar benda dan lambang-lambang tertentu. Sekolah tinggi pula biasanya didirikan di rumah-rumah berhala. Pada peringkat sekolah tinggi, penuntutnya diajar pelajara mekanik, matematik, Ilmu Falak Ketuhanan, Ilmu Kejadian, Kediktiran, Seni bangunan, Ukiran, lukisan, Kesusasteraan dan Sejarah. Di tempat-tempat lain di tanah Arab seperti di Hijaz, tradisi penyebaran ilmu pengetahuan hampir tiada. Majoriti masyarakatnya buta huruf. Dianggarkan hanya 17 orang sahaja yang boleh membaca dan menulis..Mereka hanya mementingkan ilmu tentang kehidupan sehari-harian seperti ilmu mengesan air, berperang, menilik nasib dan seumpamanya.
Tamadun Melayu
Sebelum kedatangan Islam, Alam Melayu menampakkan kejahilan dari segi pendidikan. Ilmu tidak dipentingkan. Pengaruh Hindu dan Buddha meresap ke dalam kehidupan sehari-hari masyarakat di samping pengamalan kepercayaan animisme. Pelajaran tidak formal diajar di rumah tentang kehidupan sehari-hari. Pendidikan di sini lebih kepada pendidikan tidak formal ke arah penguasaan cara hidup atau mendapatkan kemahiran menerusi pengamatan dan latihan. Kanak-kanak mempelajari kemahiran daripada ibu bapa menerusi pemerhatian dan latihan dalam bidang pertanian, perikanan, pertukangan dan kraftangan. Kanak-kanak juga diajar perkara-perkara yang berkaitan dengan agama dan kepercayaan, kelakuan, adat resam, sopan santun dan cara berkawan. Nilai-nilai budaya murni diajar kepada kanak-kanak melalui cerita-cerita lisan. Kanak-kanak mempelajari tentang pantang larang dan adat istiadat melalui pergaulan sosial. Kanak-kanak diajar supaya tidak bersikap sombong, tamak atau berbohong. Pendidikan informal juga diberi melalui pantun, peribahasa dan teka teki..Ada juga yang mendalami agama Buddha di kuil. Srivijaya pernah muncul sebagai pusat agama Buddha di rantau ini dan menjadi tapak untuk melangkah ke pusat pengajian tinggi di India. Pendidikan secara formal mula diperkenalkan apabila Islam berkembang di rantau ini dan ditegaskan lagi semasa Barat menguasai tempat ini.
Tamadun Barat
Kejatuhan Empayar Rom pada kurun ke-5 telah membawa Eropah kepada Zaman Gelap atau dikenali sebagai Zaman Pertengahan. Zaman ini berlangsung selama 1000 tahun. Pada awal Zaman Gelap ini berlaku perpecahan politik, kemerosotan ekonomi dan kongkongan agama Kristian ke atas masyarakat. Agama Krisitian semakin berpengaruh dalam masyarakat Eropah. Pihak gereja telah membekalkan ilmu pengetahuan terutama tentang kerohanian dan persediaan untuk akhirat. Rakyat tidak digalakkan mementingkan keduniaan.
Menjelang kurun ke-11 dan 12 beberapa perubahan besar telah berlaku ke atas masyarakat Eropah pada Zaman Gelap itu termasuklah dalam bidang pendidikan. Pertembungan dengan orang Islam di Sepanyol banyak mempengaruhi pendidikan di Eropah. Pada kurun ke-11 telah wujud universiti di Cordova, Sepanyol. Dalam kurun ke-12 kebanyakan orang Sepanyol boleh membaca dan menulis, berbeza dengan England atau Perancis pada masa yang sama. Pada abad ke-13 pelajar-pelajar dari seluruh pelusok Eropah yang ingin menuntut ilmu telah pergi ke gereja besar lama dan sekolah biasa. Para guru telah menubuhka persatuan untuk mengendalikan pelajar mereka yang ramai itu, sementara di kalangan pelajar juga telah menubuhkan persatuan untuk meminjam guru-guru bagi membantu mereka. Persatuan ini dikenali sebagai universiti. Dalam erti kata lain, konsep universiti di Barat pada peringkat awal lahir sebagai kesatuan ahli-ahli akademik, guru dan murid. Di Perancis, Universiti Paris (sekolah gereja) adalah sebuah sekolah yang dipandang tinggi.Sekolah ini telah menetapkan peraturan untuk mengawal kelakuan pelajarnya dan maktab yang berasingan disediakan sebagai tempat tinggal. Dengan mencontohi Universiti Paris, Universiti Oxford di England telah ditubuhkan yang kemudian telah menubuhkan cawangannya, Universiti Cambridge. Di universiti ini dan universiti-universiti lain, gereja mengekalkan kuasa mengawalnya. Semua tenaga pengajar di universiti-universiti itu adalah ahli gereja kerana pada Zaman Pertengahan pendidikan terhad kepada golongan gereja. Mereka ini sering dikenali sebagai ‘schoolmen’. Di semua universiti di Eropah, mata pelajaran utama adalah sama. Tiga subjek utama yang diajar ialah tata bahasa (cara membuat ayat), logik (cara untuk berfikir) dan retorik (cara untuk berucap). Ini dinamakan ‘trivium’ atau ‘threefold course’. Di samping 3 mata pelajaran asas itu terdapat juga ‘fourfold course’ (quardrivium), mata pelajaran yang berkaitan dengan nombor seperti aritmetik, geometri, astronomi dan muzik. . Kemudian barulah diajar tentang perundangan dan perubatan. Fakta yang diperolehi amat terhad yang diambil dari pendapat penulis agung zaman lampau seperti Aristitledan juga dari kitab Injil. Universiti Bologna di Itali berbeza dari universiti-universiti tadi. Universiti ini diasaskan oleh penuntut sendiri dan bebas dari gereja. Sumber semua ilmu dicedok dari zaman lampau. Penekanan kepada pelajaran undang-undang, bukan teologi.
Menjelang tahun 1500 M, Zaman Moden Awal Eropah bermula dengan berakhirnya Zaman Gelap. Benua Eropah mula menempuh perubahan dan kemajuan dalam pelbagai ilmu pengetahuan. Kebudayaan Eropah menempuh satu tahap perkembangan dan peningkatan hasil daripada perhubungan dengan masyarakat Islam di Timur Tengah. Pencapaian intelektual orang Arab dalam pelbagai bidang seperti perubatan, algebra,astronomi dan geografi telah mempengaruhi masyarakat Eropah.
Dalam abad ke-16 sekolah-sekolah telah diatur dan didisiplinkan mengikut cara tradisi.Sekolah-sekolah banyak mengajar bahasa klasik yang begitu popular di kalangan pelajar. Sekolah Grammer (satu-satunya sekolah kepunyaan Inggeris) wujud di kebanyakan bandar. Selepas penindasan biara, setengah-setengah gereja dan sekolah agama tua diterima semula oleh Raja Edward IV. Pedagang-pedagang, orang profesional, anggota keluarga bangsawan dan gereja menghantar anak lelaki mereka belajar di sekolah-sekolah ini. Di negeri-negeri Katholik, biara-biara mengambil tempat mendidik kanak-kanak; golongan Jesiut menganggap ini sebagai usaha penyebaran yang penting. Mereka juga menubuhkan sekolah-sekolah yang tinggi standardnya.
Dalam abad ke-17 satu perubahan berlaku. Orang kaya dan berdarjat menghantar anak-anak mereka kepada tutor persendirian. Kompromi antara tutor persendirian dan guru sekolah grammer akhirnya telah melahirkan sebuah sekolah istimewa yang dipanggil ‘sekolah publik’ iaitu sekolah untuk kanak-kanak kelas pemerintah. Orang miskin tinggal mengikut cara mereka sendiri. Di setengah-setengah bandar, anak lelaki buruh yang bijak mendapat pendidikan di sekolah murah melalui derma tetapi cara ini bukanlah mudah. Umumnya pedagang-pedagang mahukan anak lelaki mereka menerima biasiswa yang diberikan oleh dermawan-dermawan.
Tema 6 : Intelektual
6.1 Konsep Ilmu
  1. Jelaskan konsep ilmu dengan merujuk kepada pendapat ahli-ahli falsafah Yunani, China dan Rom.
  2. Jelaskan konsep ilmu dengan merujuk kepada pendapat ahli-ahli agama.
  3. Jelaskan konsep ilmu mengikut pendapat golongan sekular di dalam tamadun awal.
6.2 Sumber ilmu
  1. Tunjukkan dari mana dan asal usul ilmu dan perkembangannya
  2. Rujukkan kepada contoh-contoh yang terdapat dalam tamadun awal tentang sumber ilmu sama ada melalui akal dan pancaindera atau sumber lisan dan tulisan melalui penelitian sejarah.
6.3 Perkembangan dan sumbangan
  1. Tunjukkan melalui contoh sebenar bagaimana pertembungan berbagai tamadun membawa kepada peningkatan aras keintelektualan. Contohnya pertembungan antara tamadun Yunani dan Romawi, pertembungan antara tamadun Greco Roman dengan Mesir dan Arab.
  2. Senaraikan asal usul perkembangan berbagai bidang ilmu seperti falsafah, astronomi, matematik, astrologi, pertukangan, kejuruteraan, perubatan dan undang-undang di dalam tamadun awal.
  3. Tunjukkan bagaimana bidang-bidang itu mempengaruhi perkembangan bidang-bidang tersebut dalam tamadun manusia selepas 1800.
  4. Tunjukkan bagaimana kebangkitan dan perkembangan intelektualisme dalam tamadun awal membawa kepada kelahiran aliran-aliran intelektual berbentuk humanisme, nasionalisme, rasionalisme, individualisme dan absolutisme dalam tamadun-tamadun tertentu.
  5. Tunjukkan di mana dan bila aliran-aliran tersebut berkembang secara relatifnya dalam tamadun awal.
  6. Tunjukkan pengaruh aliran tersebut kepada tamadun selepas 1800.
6.1 Konsep Ilmu
Pendapat ahli-ahli falsafah Yunani
Ahli-ahli falsafah dan pendidikan Yunani yang terkenal ialah Pythagoras, Socrates, plato dan Aristotle.
Pythagoras (580 SM – 500 SM) menekankan latihan budi pekerti yang baik . Katanya, budi pekerti yang baik lebih penting dari ilmu pengetahuan kerana baginya semua orang cenderung kepada kejahatan. Beliau berpendapat, budi pekerti diperolehi melalui pendidikan agama, seni suara dan ilmu pasti.. Pythagoras juga menekankan bahawa harmonis harus ada di mana-mana sahaja dalam alam ini, antara Tuhan dan manusia, antara rakyat dengan pemerintah, antara suami dengan isteri , antara orang tua dengan anaknya, antara jiwa dengan raga, fikirann, perasaan dan kemahuan.
Socrates (470 SM – 399 SM) merupakan ahli falsafah dari Athens yang amat masyhur. Beliau menekankan pendidikan budi pekerti. Beliau juga mementingkan fikiran (ilmu pengetahuan).Socrates mengjar menusia supaya berkelakuan dan berakhlak baik, berfikir dengan bijak dan mengjar dengan cara yang menarik.
Plato (427 SM – 347 SM) merupakan ahli falsafah dari Athens dan anak murid Socrates. Ideanya dapat ditimba melalui bukunya , ‘Republic’ Plato berpendapat, manusia dijadikan Tuhan dengan kebolehan tertentu untuk mempelajari sesuatu. Alam sekeliling penting untuk pendidikan. Untuk mendidik kanak-kanak, haruslah disediakan alam sekeliling/ persekitaran yang sesuai kerana melaluinya kebaikan boleh diperolehi. Dalam menyampaikan pelajaran kepada kanak-kanak, kanak-kanak itu mestilah dilatih mengikut pelajaran yang disukainya. Guru tertentu mengikut bidang harus disediakan. Umpamanya, jika kanak-kanak itu ingin menjadi tukang kayu, dia hendaklah belajar dengan orang yang pakar dalam pertukangan.
Menurut Plato, pendidikan haruslah menghasilkan tiga golongan manusia iaitu Lehr, Nehr dan Wehr. Bila seseorang itu telah tamat pengajiannya, orang yang dari golongan Lehr menjadi pemimpin, golongan Nehr menjadi pekerja dan golongan Wehr pula menjadi tentera.Pembahagian ini adalah berdasarkan kepada pembawaan bakat. Plato menginginkan perkara itu supaya tiap-tiap golongan membuat sesuatu yang sesuai dengan potensi yang ada pada individu tersebut sehingga akhirnya terbentuklah sebuah negara yang sejahtera dan masyhur.
Dari segi organisasi sistem pendidikan, Plato membahagikannya kepada 3 peringkat iaitu rendah, menengah dan tinggi.Bagi peringkat rendah, beliau menyarankan agar diajar mata pelajaran bahasa dan kesusasteraan, muzik dan latihan jasmani. Bagi peringkat menengah, kanak-kanak itu haruslah didedahkan dengan pelajaran yang lebih luas lagi yang bersifat ilmu pengetahuan dan logik. Mata pelajaran yang dicadangkan ialah Matematik, Geometri, Astronomi, Muzik dan Kesusasteraan. Bagi peringkat tinggi yang merupakan lanjutan peringkat menengah, pelajar-pelajarnya diberi latihan mentaakul (reasoning),mengguna dan menganalisis kebenaran idea-idea yang diperolehinya. Pada peringkat inilah ahli seni dan falsafah mendapat pendidikan. Matlamat pendidikan di sini ialah untuk melahirkan ahli fikir yang bijak dan berguna kepad masyarakat.
Dari segi guru, Plato menyarankan agar diwujudkan jawatan guru ( pada masa itu tiada jawatan guru khas. Yang ada hanya ahli falsafah/Sophist) dan diberi gaji oleh pemerintah. Saranannya ini tidak diendahkan.
Aristotle (384 SM – 322 SM) merupakan anak murid Plato dan pernah menjadi guru kepada Iskandar Zulkarnain. Pendapatnya berbeza dengan gurunya, Plato. Beliau seorang yang berfaham realist sedangkan Plato berfaham idealis . Menurut pendapat Aristotle, semua pengetahuan diperolehi dari luar iaitu melalui pancaindera kerana padanya, manusia dilahirkan sebagai ‘tabula rasa’.
Aristotle berpendapat bahawa pemerintah hendaklah memerhati dan mengambil berat tentang keadaan jasmani tiap-tiap orang kanak-kanak yang dilahirkan. Kanak-kanak yang dilahirkan cacat hendaklah ditanam hidup-hidup kerana tidak akan menguntungkan negara. Keluarga bertanggungjawab memberi pendidikan kepada kanak-kanak yang berumur di bawah 6 tahun. Selepas itu kerajaan harulah mengmbilalih mendidik kanak-kanak tersebut.Kanak-kanak itu akan bersekolah dari umur 7 tahun hingga 21 tahun.
Beliau menyarankan mata pelajaran yang diajar kepada pelajar yang belum meningkat remaja ialah Latihan Jasmani, Kesusasteraan dan Nyanyian/Muzik.
Pendapat ahli falsafah Rom
Falsafah orang Rom berdasarkan ajaran Stoisisme yang dibawa oleh Zeno dari Yunani. Stoisisme menitikberatkan keadilan, keberanian, perikemanusiaan dan tanggungjawab. Menurut falsafah ini, segala yang berlaku di alam semesta ini dirancang oleh suatu kuasa ghaib. Baik dan buruk nasib sesaorang dipengaruhi oleh dua unsur iaitu hubungan harmoni dengan alam.
Pendapat ahli falsafah China
Kemajuan kebudayaan bangsa Chicna yang berkembang pada zaman sebelum masihi hingga ke hari ini benyak dipengaruhi oleh fikiran-fikiran dan ajaran-ajaran ahli-ahli falsafahnya dan pendita-pendita agama Buddha.
Ajaran Confucius/Kung Fu-tze (551 –479 SM) menekankan tentang harga diri dan perasaan kemanusiaan. Perasaan kemanusiaan menganjurkan 5 kebaikan di dunia iaitu amanah, rajin, bersifat mulia, berbudi bahasa dan bermurah hati. Rukun kemasyarakatan yang diajar Confucius ini telah menjadi falsafah rasmi negara China. Ajaran Confucius dimuatkan dalam buku ‘Analekta’ yang ditulis oleh pengikutnya.
Confucius berpendapat bahawa :
  1. Kebajikan yang sempurna hendaklah menjadi cita-cita pada seorang Chun-tze. Hal ini boleh dicapai melalui sifat sopan santun, ikhlas, murah hati dan rajin.
  2. Segala tingkahlaku hendaklah sederhana, mengikut jalan pertengahan. Tiap-tiap orang harus bertindak mengikut peraturan.
  3. Untuk negara hendaklah ada taat setia, untuk keluarga hendaklah ada hormat dari yang muda kepada yang tua, untuk diri perseorangan hendaklah dia mendidik diri sendiri.
  4. Raja-raja pada zaman dahulu dapat memerintah dengan jayanya kerana mengikut teladan yang baik. Oleh itu sekiranya kita mahukan sebuah masyarakat yang sempurna kita hendaklah berpandukan masa lampau.
Dari pendapat Confucius tadi, beliau mahu menghasilkan:
  1. Bapa yang jujur
  2. Ibu yang setia
  3. Anak yang menurut perintah
  4. Pegawai yang rajin
  5. Pemerintah yang jujur
  6. Raja yang bijaksana
  7. Perajurut yang berani.
Mencius/Meng-tze (372SM – 289SM) , murid Confucius berpendapat bahawamanusia adalah semula jadinya baik dan boleh hidup bukan sahaja dengan membuat kebajikan tetapi juga dengan rasa tanggungjawab.
Hsun-tzu yang juga murid Confucius agaka berlawanan pendapatanya dengan Mencius. Dia berpendapat bahawa manusia semula jadinya adalah jahat dan hanya boleh mencapai kesempurnaan melalui didikan akhlak dan pengawasan manusia.
Lao Tzu dan Chuang Tzu telah membawa ajaran Taoisme. Ajaran ini dimuatkan dalam buku ‘Tao Te Ching’ dan ‘Chuang Tzu’.Ajaran Taoisme menyarakan supaya menusia tidak mementingkan keduniaan. Seseorang perlu mencari jalan kebahagiaan dengan mengasingkan diri daripada peraturan duniawi. Dengan cara itu seseorang akan hidup dengan aman tanpa gangguan. Menurut ajaran ini, manusia harus hidup secara sederhana, memakan makanan tertentu, menghafal kitab Taoisme dan melakukan meditasi. Taoisme berpendapat, kerajaan yang paling kurang diperintah ialah kerajaan yang berkesan kerana tidak banyak masalah. Fahaman yang menekankan perdampingan dengan alam semulajadi mendorong pengikutnya meneroka ilmu sains dan teknologi.
Pendapat ahli agama
Gautama Buddha yang menjadi pengasas ajaran Buddha mempunyai pendapat tersendiri tentang hdiup. Ajaran Buddha memilih jalan antara keseronokan dunia dan hidup zahid yang berlebih-lebihan. Mementingkan diri sendiri adalah asas kejahatan dan Buddha mengajar manusia supaya hapuskan keinginan mereka kepada kesenangan material, memuaskan nafsu syahwat dan keagungan diri yang kekal. Dia meletakkan ‘Lorong Lapan Lapis" untuk diikuti oleh muridnya. Yang terpenting di dalamnya dipanggil ‘Lorong Arya’ iaitu pemikiran yang baik, keinginan yang baik, perkataan yang baik dan kelakuan yang baik. Seorang Buddha sejati menerima hidup yang suci, mengelakkan diri daripada membunuh,menipu, berzina dan mencuri. Sebaliknya memberi sedekah dan mencari ilmu pengetahuan dan kesucian sebagai cita-citanya.
Martin Luther (1483-1548M) berbangsa Jerman dan terkenal sebagai pembaru agama Krisitian dalam gerakan reformasi di Eropah. Beliau banyak memberi pendapat yang berkaitan dengan rumah tangga. Beliau berpendapat, dalam pendidikan rumah tangga, ibu bapalah yang mempunyai tanggungjawab yang penuh dan tidak sepatutnya diserahkan kepada orang gaji. Ibu bapa harus mendidik supaya kanak-kanak itu pandai dalam hal keagamaan. Ibu bapa juga mempunyai hak menghukum anak-anak mereka jika anak-anak itu tidak mendengar nasihat mereka. Luther juga berpendapat bahawa pemerintah haruslah memaksa tiap-tiap warganegara dalam negeri itu menghantar anak-anak mereka ke sekolah.
John Calvin (1507 – 1569M) juga merupakan seorang pembaharu Protestan di Geneve. Ajaran-ajarannya adalah mengenai agama, dan sopan santun yang keras. Pokok ajarannya ialah manusia diselamatkan atau dihukum mengikut pilihan Allah; semua pujian hanyalah kepada Allah.
Pendapat golongan sekular
Francis Bacon (1561-1626M) adalah seorang ahli falsafah berbangsa Inggeris. Dasar pendidikan beliau menekankan kepada pengalaman dan induksi. Bagi beliau, alam ini dipelajari melalui pancaindera untuk mendapatkan realiti. Dalam erti kata lain, sesuatu realiti itu diperolehi melalui pemerhatian dan pendengaran.
John Amos Comenius (1592-1670) berbangsa Chekoslovakia . Dasar pengajarannya berfokus kepada bagaimana menarik perhatian kanak-kanak supaya minat kepada pelajaran dan menekankan tentang aktiviti murid-murid seperti menyelidik dan mengalami sendiri, seterusnya mengamalkan apa yang telah dipelajari.
J.John Locke (1632-1734M) merupakan seorang ahli falsafah dan pendidik berbangsa Inggeris. Pendidikan baginya bertujuan untuk membentuk peribadi yang bebas dan sesuai dengan kehendak-kehendak manusia dan berusaha bersungguh-sungguh untuk melatih akal dan fikiran supaya manusia dapat mengawal nafsunya. Beliau berpendapat, seorang anak yang baru lahir itu diumpamakan sebagai ‘sehelai kertas putih yang belum ditulis apa-apa, keadaannya putih bersih’. Keadaan sekelilinglah terutamanya pendidikan yang diterimanya yang menentukan apa yang akan terjadi kepadanya. Teori beliau ini dikenali sebagai ‘tabula rasa’. Seterusnya beliau berpendapat bahawa semua bahan ilmu pengetahuan adalah berasaskan pengalaman.
Jean Jacquues Rousseau (1712- )berbangsa Perancis berpendapat bahawa semua kanak-kanak adalah baik seperti yang diterima dari Maha Pencipta; semuanay menjadi jahat di tangan manusia. Sebab itulah pendidikan yang baik akan mengembangkan individu yang baik mengikut bakat masing-masing.
6.2 Sumber ilmu
Ilmu dalam tamadun awal diperolehi melalui akal dan pancaindera iaitu melalui penelitian, pengamatan,pencerapan dan penyelidikan.Ini dengan jelas dapat dilihat melalui ilmu-ilmu falsafah, astronomi, undang-undang dan pertukangan. Seorang ahli falsafah umpamanya, banyak menggunakan akal dan pancaindera sebelum mengeluarkan sesuatu pernyataan. Begitu juga dengan ilmu astrologi (ilmu peramalan berdasarkan kajian bintang-bintang) dan ilmu astronomi, ahli-ahli bidang-bidang ini akan membuat pemerhatian dan pengamatan terhadap binatang-bintang di langit dan hasil dari penyelidikan yang dibuat itu akan terhasillah suatu keputusan tentang pengaruh peredaran bintang-bintang terhadap kehidupan seperti musim atau angin.Ini jelas dapat dilihat di Mesopotamia pada zaman Hammurabi. Melalui penyelidikan terhadap bintang-bintang, mereka membahagikan Khatulistiwa kepada 360 darjah dan mencipta lambang 12 bintang (berkaitan dengan nasib).Begitu juga dengan ilmu pertukangan, seorang anak akan memerhati dan mengamati apa yang dibuat oleh bapanya dan kemudian dia akan menjadi tukang yang berkebolehan sama seperti bapanya itu. Ilmu pertukangan membuat kapal orang Rom yang diperolehi dengan membuat penyelidikan terhadap bangkai kapal orang Phonecia juga boleh dikategorikan dalam sumber akal dan pancaindera.Hammurabi di Mesopotamia, sebelum membuat kod undang-undangnya, telah membuat penyelidikan terhadap undang-undang yang wujud sebelumnya.
Ilmu juga diperolehi melalui sumber lisan dan tulisan. Umpamanya, ilmu pertukangan di Alam Melayu pada zaman sebelum wujud sistem pendidikan formal diperolehi melalui lisan dari seorang bapa.Pada masa itu sistem pendidikan yang wujud adalah secara tidak formal. Seseorang anak itu diharapkan akan mewarisi kemahiran yang ada pada bapanya. Ilmu yang sumbernya dari tulisan dapat dilihat melalui Ilmu Perubatan, Matematik, dan Undang-undang. Di Mesopotamia, melalui sumber tulisan masyarakat dapat mengkaji kod undang-undang Hammurabi. Di Mesir pula, ilmu perubatannya dapat dipelajari melalui buku yang dihasilkan.
Selain dari itu, ilmu juga diperolehi melalui kajian sejarah.Di Greek umpamanya, pada zaman pemerintahan Pericles telah lahir ahli-ahli sejarah yang terkemuka seperti Herodotus dan Thucydides. Herodotus dikenali sebagai ‘bapa sejarah’. Dia menulis sejarah serangan Parsi ke atas Greek dalam 9 buah buku. Thucydides pula menulis tentang sejarah Perang Peloponnese.
Rom juga mengembangkan ilmunya melalui penulisan sejarah. Antara penulis-penulis sejarah Rom yang terkenal ialah Livy dan Tacitus. Beberapa orang penulis Greek pada zaman Rom turut menambahkan hasil kajian sejarah. Mereka ialah Plutarch dan Arrian. Plutarch merupakan penulis sejarah yang terkenal pada zaman Pax Romana. Beliau telah menghasilkan karya Lives yang mengisahkan kehidupan masyarakat Rom dan Yunani. Arrian pula telah menulis tentang kisah hidup Iskandar Zulkarnain dalam karyanya Anabasis of Alexander.
Di China, ahli sejarahnya yang terkenal dengan jolokan ‘Bapa Sejarah China’ bernama Ssu Ma Chien telah menghasilkan karya ‘Shih Ching’ yang mencatatkan tentang peristiwa-peristiwa dan personaliti-personaliti penting yang merangkumi tempoh 2000 tahun.
6.3 Perkembangan dan sumbangan
Ilmu Undang-Undang
Dalam bidang undang-undang, ketika Mesopotamia di bawah pemerintahan Hammurabi, beliau amat terkenal dengan ‘Kanun Hammurabi’ nya. Kanun ini diterbitkan setelah Hammurabi mengumpul dan menyusun semula undang-undang lama negerinya serta meluluskan undang-undangnya sendiri. Hukuman yang dikenakan mengikut undang-undang ini adalah berat, ada kemungkinan hukuman ini tidak dilaksanakan. Seorang padri perempuan yang dijumpai masuk ke kedai arak akan dikenakan hukuman bunuh. Hukuman yang sama juga dikenakan ke atas isteri yang boros dan orang yang melakukan kesalahan yang lebih berat. Satu sistem keadilan termasuk mahkamah majistret, mahkamah hakim dan mahkamah ulang bicara telahpun wujud pada zaman itu. Seseorang itu boleh membuat rayuan terakhir kepada raja.
Di Rom kanak-kanak diajar ‘Undang-Undang Dua Belas’. Dengan itu jelaslah bahawa Rom juga menyalurkan ilmu undang-undangnya melalui pendidikan dari peringkat kanak-kanak lagi.
Ilmu Astrologi dan Ilmu Astronomi
Pada zaman kegemilangan Babylon di Mesopotomia, ilmu bintang telah berkembang melalui ilmu astrologi/nujum. Mereka juga mencipta lambang 12 bintang. Kalender yang dicipta oleh orang Sumeria mengandungi 12 bulan dan tiap-tiap bulan pula mengandungi 30 hari. Hari pula dibahagikan kepada siang dan malam yang tiap-tiap satunya mengandungi 12 jam. Planet-planet yang ditemui dinamakan menurut nama tuhan-tuhan mereka.Mereka menaruh kepercayaan penuh kepada pengaruh bintang terhadap kehidupan manusia. Pusat-pusat pemerhatian bintang ditubuhkan di seluruh negeri.
Ekspedisi-ekspedisi Iskandar melalui Asia telah membuka bidang-bidang baru kepada orang Greek dan telah membangunkan minat terhadap penyelidikan saintifik termasuklah bidang astronomi. Orang Greek mempelajari ilmu astronomi melalui perjumpaan orang Babylon; mereka belajar mengira sukatan dunia dan setengahnya pula mengemukakan teori-teori peredaran dunia mengelilingi matahari.
Di Mesir , ilmu Astronomi turut berkembang. Mereka berjaya mencipta kalender 365 hari setahun dengan berdasarkan bulan dan matahari. Mereka jugalah yang mengasaskan 24 jam sehari. Mereka mencipta jam yang menggunakan bayangan matahari dan air. Orang Mesir menggunakan ilmu astronomi untuk memastikan masa banjir Sungai Nil.
Di Rom mata pelajaran astronomi diajar di sekolah-sekolah.
Di China pada zaman Dinasti Han telah dicipta sistem membahagikan hari kepada siang dan malam dengan seragam. Tiap-tiap hari bermula dengan tengah malam. Orang Han mencipta jam matahari untuk mendapatkan masa yang lebih tepat. Ahli-ahli sainsnya mengkaji matahari, bulan dan bintang untuk mendapatkan kalender yang tepat. Kalender China telah digunakan untuk lebih kurang 2000 tahun. Ahli astronomi dan matematik China yang bernama Chang Heng telah mencicpta alat seismograf yang berfungsi mengukur gegaran gempa bumi.
Ilmu Perubatan
Dalam ilmu perubatan, Mesopotamia dikatakan jauh lebih maju dari orang-orang sezaman dengan mereka. Sekurang-kurangnya 550 jenis ubat telah digunakan pada masa itu. Doktor-doktornya menggunakan alat-alat yang diperbuat daripada gangsa. Kain atau kulit digunakan untuk menuam.Mereka telah mempunyai pengetahuan tentang pembedahan dan anatomi (kajibina tubuh).
Mesirjuga terkenal dengan ilmu perubatan. Kajian-kajian mengenai perubatan (termasuk menghasilkan ubat, mengawet mayat dan bagaimana tubuh manusia berfungsi) telah dijalankan.Dari segi latihan, mereka dilatih oleh doktor yang sedia ada dalam keluarga mereka. Besar kemungkinan telah wujud sekolah perubatan di Mesir. Bukti menunjukkan sekurang-kurangnya terdapat sebuah sekolah untuk bidan. Kebanyakan doktor Mesir berkhidmat untuk masyarakat. Mereka bekerja di kuil. Ada di kalangan mereka menjadi doktor bedah dalam tentera. Doktor yang berjaya akan dilantik sebagai doktor penasihat dalam Majlis Raja-raja. Doktor Mesir diajar untuk memerhati tanda-tanda penyakit, bertanya dan menyiasat. Mereka banyak menggunakan pemerhatian dan mencium bau,dan rasa. Mereka disuruh membuat nota secara terperinci terhadap penyelidikan rawatan yang dibuat bagi kegunaan akan datang. Pembedahan telahpun dijalankan pada masa itu. Pakar bedah membersihkan peralatan bedah menggunakan api sebelum digunakan dan memastikan persekitaran pesakit sentiasa bersih. Ubat pelali yang digunakan kemungkinan jenis opium. Kuil menjadi tumpuan orang bagi mendapatkan rawatan dari sami/doktor. Sebuah buku mengenai pembedahan telah dihasilkan. Kandungannya ialah tentang cara-cara merawat kecederaan badan.
Greek juga terkenal sebagai pengembang ilmu perubatan. Teori sains dan perubatan mereka telah diterima di Eropah Barat. Kemajuan dalam bidang perubatan dan pembedahan dapat dilihat pada abad ke-13. Dengan memotong binatang dan membedah mayat-mayat, doktor-doktor dapat mengetahui fungsi-fungsi saraf dan otak yang sebelum ini mereka tidak mengetahui. Mereka juga dapat menentukan bagaimana darah mengalir ke seluruh tubuh. Antara tokoh perubatan Greek yang masyhur ialah Hippocrates dan Herophillus. Hippocrates berpendapat bahawa penyakit adalah disebabkan faktor-faktor semula jadi. Beliau telah menulis peraturan yang harus diikuti oleh doktor-doktor. Peraturan ini dikenali sebagai Sumpah Hippocrates. Atas kejayaan beliau, Hippocrates diberi gelaran Bapa Perubatan. Herophilus pula telah berjaya menemui saraf optik dalam tubuh manusia. Di Rom juga ilmu perubatan diajar di sekolah-sekolah.
Ilmu Matematik
Orang Sumeria di Mesopotamia dikatakan bertanggungjawab memulakan disiplin matematik. Semasa Mesopotamia di bawah tamadun Sumeria, bidang-bidang algebra dan geometri dimulakan. Melalui kemahiran matematik mereka telah melahirkan/mengasaskan dua sistem kiraan iaitu sistem decimal (berdasarkan unit 10 atau perpuluhan ) dan berdasarkan unit 60. Melalui sistem unit 60 mereka mengira bulatan dan masa. Mereka merupakan orang yang pertama mencipta satu pusingan jam mengandungi 60 minit, satu minit mengandungi 60 saat. Mereka lah yang mencipta satu bulatan mengandungi 360 darjah yang digunakan hingga ke hari ini, begitu juga dengan Khatulistiwa yang dibahagikan kepada 360 darjah. Mereka juga mencipta kira bahagi, kira darab, kuasa dua dan kuasa tiga. Mereka juga mahir dalam mengira keluasan sesuatu kawasan dan isipadu.
Mesir purba telah mengasaskan unsur-unsur penting dalam matematik dan geometri. Mereka telah mencipta sistem timbangan dan ukuran. Melalui matematik, mereka dapat dapat mengira dengan tepat segi tiga, trapezium dan bulatan. Mereka telah mempunyai pengetahuan tentang kira bahagi dan kira tambah. Melalui ilmu matematik ini, mereka dapat menyediakan senarai cukai.Namun mereka tidak memperkembangkan ilmu ini yang mengakibatkan ketidakselarasan antara bidang sains dan kesusasteraan. Walau bagaimanapun, penciptaan tersebut menjadi bahan kajian oleh penyelidik-penyelidik Greek kemudiannya dan mengembangkan ilmu ini ke Eropah.
Mereka menggunakan ilmu matematik untuk tujuan pembinaan seperti pembinaan piramid. Sebab itulah kita dapati ukuran piramid dibuat bukan secara sembarangan.
Greek juga terkenal dengan ilmu matematik. Ahli-ahli falsafah mereka adalah di antara yang mengembangkan ilmu ini. Greek telah menyaksikan perkembangan bidang matematik. Antara tokoh terkenal dalam bidang ini ialah Thales, Pythagoras, Archimedes, Democritus dan Hipparchus. Thales telah mengasaskan kepentingan geometri. Beliau telah menunjukkan bahawa bulatan dibahagikan kepada dua bahagian yang sama oleh diameternya. Beliau juga mendalami bidang astronomi dengan memberi anggaran saiz matahari dan mengatakan bahawa bulan mendapat cahayanya dari matahari. Pythagoras merupakan pengembang prinsip-prinsip geometri dan mengasaskan Teorem Pithagoras. Beliau berpendapat bahawa dunia adalah bulat. Archimedes pula merupakan orang yang bertanggungjawab mecita Hukum Archimedes. Beliau telah menjalankan kajian penting dalam geometri. Beliau menemui cara mengira luas dan isi padu bentuk-bentuk sfera, silinder dan kon.. Cara yang digunakan seakan-akan sama dengan kalkulus iaitu satu cara pengiraan yang digunakan dengan meluas dalam bidang sains dan matematik hari ini. Hipparchus memperkenalkan peraturan sinus dan kosinus yang digunakan dalam trigonometri.
Sekolah-sekolah di Rom turut mengajar mata pelajaran matematik dan geometri.
India juga tidak ketinggalan dalam bidang matematik. Semasa diperintah oleh Dinasti Gupta (320-500M),sistem nombor iaitu 0 hingga 9 telah dicipta.
Ilmu Falsafah
Greek memang terkenal sebagai pengembang ilmu falsafah di samping ilmu penulisan sejarah, sains, matematik,dan perubatan. Dalam bidang falsafah, falsafah Greek wujud lebih awal dari falsafah Islam. Zaman keemasan Greek telah menyaksikan kebangkitan ahli falsafah yang dipanggil ‘sophist’/sofis(orang bijak pandai). Mereka mengembara dari kota ke kota mengajar falsafah, matematik, bahasa dan astronomi kepada murid yang sanggup membayar. Ahli-ahli sofis ini menggerakkan orang bijak pada zamannya dan mengkaji masalah-masalah hidup dengan lebih rasional. Mereka mengajar manusia supaya jangan menerima sahaja tetapi hendaklah mengkritik dan menyoal tentang idea-idea dan institusi sosial atau politik dan menyelidik serta menganalisis tabiat manusia. Socrates yang hidup pada zaman Pericles merupakan seorang ahli falsafah Greek yang terkenal di dunia. Karya-karya falsafah dan kerajaan seperti ‘Republic’ oleh Plato dan ‘Politics’ oleh Aristitle masih dikaji hingga ke hari ini. Pericles merupakan pemerintah Greek yang terkenal dengan usaha-usahanya memajukan bidang falsafah..
Rom juga memberi perhatian terhadap ilmu falsafah. Ini terbukti dengan adanya ajaran Stoisisme Zeno yang diasaskan oleh ahli falsafah Yunani yang bernama Zeno ( Zeno sebenarnya berasal dari keturunan Phonesia. Beliau mengajar di Stoa atau Porch di Athens dan pengikutnya dipanggil orang Stoik.)
Di China pula, falsafah tamadun awal China dipengaruhi pertukaran musim (Yin dan Yang). China juga tidak ketinggalan dengan kemunculan ahli-ahli falsafah. Di antara yang terkenal ialah Confucius dan Lao Tzu telah memperkembangkan faham Confucianisme dan Taoisme pada zaman Dinasti Han. Confucianisme telah dijadikan agama rasmi Empayar Han. Karya-karya ahli falsafah Confucius menjadi bahan kajian utama di sekolah-sekolah pada zaman Han. Ia juga menjadi asas kepada Peperiksaan Perkhidmatan Awam untuk memilih pegawai-pegawai baru. Pengaruh Cocnfucius meluas hingga menghasilkan sekumpulan bijak pandai yang sangat berpengaruh dalam bidang pentadbiran.
Di India, Buddha dianggap sebagai ahli falsafah. Ajarannya berkembang pesat semasa pemerintahan Asoka dan telah meluas hingga ke China.
Ilmu Kejuruteraan
Greek telah membuktikan wujudnya ilmu ini dalam tamadunnya dengan kemunculan tokoh seperti Archimedes yang telah memperkenalkan alat-alat seperti skru, takal dan tuil.
Rom juga terkenal dalam bidang pembinaan dan kejuruteraan. Ini dalam dilihat melalui peninggalan bandar lama dengan bangunan-bangunan seperti istana, gimnasium, perpustakaan, kuil dan dewan. Begitu juga dengan saluran air (aqueduct), jambatan, terowong dan jalan raya.
Pertembungan antara Rom dan Greek telah menyebabkan asimilasi ilmu. Banyak bangunan besar dibina oleh Rom berpandukan ilmu yang diperolehi dari Greek.
Mesir juga mempunyai ilmu Kejuruteraan yang boleh dilihat melalui pembinaan piramid. Pembinaan kuil di India, Mesir, Greek, Rom dan Mesopotamia ada kaitan dengan perkembangan ilmu kejuruteraan. Begitu juga dengan pembinaan roda untuk pertanian di Mesopotamia dan penciptaan pedati (kenderaan beroda) bagi memudahkan binatang menarik bajak pada zaman Dinasti Han di China..Petani zaman Dinasti Han juga mencipta roda air yang berfungsi untuk menghancurkan bijirin.
Ilmu Pertukangan
Alam Melayu dan Arab banyak menyaksikan perkembangan ilmu ini. Ilmi ini dikembangkan dari jenerasi ke jenerasi oleh bapa kepada anaknya Pembinaan kapal laut oleh orang Mesir awal dengan menggunakan kayu bermutu tinggi bagi tujuan perdagangan dan peperangan menunjukkan bahawa orang Mesir purba telah mengembangkan ilmu pertukangan.Pembinaan kapal telah meningkat ke satu taraf yang bermutu dan pada abad ke-6 SM, pelaut-pelautnya telah meredah Laut Hitam, Laut Merah dan Teluk Parsi malah telah mencuba belayar ke Lautan Hindi dan lebih jauh dari Selat Gibraltar.
Kebangkitan dan perkembangan intelektualisme dalam tamadun awal telah membawa kepada kelahiran aliran-aliran intelektual berbentuk humanisme, nasionalisme, rasionalisme, individualisme dan absolutisme dalam tamadun-tamadun tertentu.
Pada penghujung Zaman Pertengahan di Eropah, timbul usaha-usaha untuk membebaskan ilmu pengetahuan dari kongkongan agama Kristian yang menjurus kepada penafian kehidupan keduniaan. Cerdik pandai masa itu mula mengkaji semula ilmu-ilmu lama Greek, Mesir dan Rom. Gerakan itu dinamakan Humanisme. Pada kira-kira tahun1500M, unsur-unsur faham Humanisme ini telah menular dalam pengajaran dan fahaman gereja. Pendapat-pendapat Quintilian tentang pendidikan telah diperbaharui dan dikaji semula. Menurut Quintilian,’Tiap-tiap manusia dilahirkan bersama dengan bakat tertentu. Oleh itu, tujuan pendidikan haruslah mengembangkan bakat yang dibawa dengan kelahirannya itu’. Di antara pendidik golongan gereja yang mewakili aliran Humanisme ini ialah Vittorino da Feltre dan Johnners Ludovicus Vives.
Rasionalisme adalah daripada perkataan Perancis, ‘rational’ yang diambil dari bahasa Latin, ‘ratio’ (pertimbangan fikiran atau perhitungan akal). Menurut faham ini, akal fikiran sahajalah yang menjadi punca untuk mendapatkan berbagai ilmu pengetahuan dan akal fikiran sahajalah yang dapat mengemukakan sesuatu kebenaran. Menurut faham ini, kesanggupan akal manusia tidaklah terhad, segala-galanya dapat diketahui oleh manusia.
Tema 7 : Penjelajahan dan Penerokaan
Kawasan Kajian: Mesopotamia, Mesir. Arab, Graeco-Roman, India, China Melayu, Barat.
7.1: Konsep
  1. Jelaskan pengertian penjelajahan dan penerokaan berasaskan kepada aktiviti-aktiviti yang berlaku dalam tamadun awal berkait dengan penjelajahan dan penerokaan tersebut
  2. Jelaskan maksud tujuan-tujuan penjelajahan dan penerokaan yang berlaku pada zaman tamadun awal seperti tujuan peningkatan ilmu, penyebaran agama dan kegiatan perdagangan.
  3. Berikan latar belakang tokoh-tokoh yang menjelajah dan meneroka iaiatu I Ching, Marco Polo, Christopher Columbus, Ferdinand Magellan, Vasco da Gama, Cheng Ho dan jelaskan tujuan penjelajahan dan penerokaan mereka.
  1. Tunjukkan tarikh berlakunya penjelajahan dan penerokaan tersebut.
Sifat ingin tahu adalah salah satu daya penggerak yang terbesar dalam kehidupan manusia. Dalam tempoh lebih kurang 100,000 tahun yang lalu, manusia telah berulang kali menanyakan soalan ‘bagaimana’ dan ‘mengapa’? Pada sepanjang zaman, sifat ingin tahu tentang dunia sekeliling telah mendorong manusia untuk menjelajah. Bentuk penjelajahan telah berubah mengikut masa. Manusia awal keluar mencari kawasan perburuan yang lebih baik dan tempat tinggal yang selamat. Petani awal mencari lembah subur tempat terdapatnya bekalan air yang boleh diharap. Persaingan untuk mendapatkan makanan memaksa nenek moyang kita mengembara ke pelbagai arah bagi meneruskan penghidupan baru. Pedagang mengembara ke tempat baru untuk mencari pelanggan baru bagi barang-barang mereka dan untuk mencari bahan dagangan baru untuk dijual di tempat sendiri. Empayar yang luas dan berkuasa pada zaman tamadun awal seperti yang dilakukan oleh orang Mino, orang Mesir, orang Phoenik, orang greek dan orang Rom dibina menerusi perdagangan dan penaklukan.Apabila pembelajaran dan pengetahuan mula disanjung dalam tamadun purba Mesopotamia, China, Mesir dan Yunani, suatu penjelajahan baru pun wujud iaitu mencari pengetahuan semata-mata untuk pengetahuan.
Pengembara akan mengembara untuk mencari jawapan kepada soalan-soalan yang menarik minat mereka. Apakah yang terdapat di sebalik gunung ganang itu? Dari manakah punca sungai ini? Di manakah sungai itu bertemu dengan laut? Hanya melalui pengembaraan sahajalah dapat menjawab soalan-soalan tersebut.Golonan penjelajah ini dikenali sebagai penjelajah amatur yang ingin melihat tempat baru. Mereka ini termasuklah Ibn Batuta,, Hsuan-tsang dan Richard Burton. Yang lain seperti Alexander Humboldt dan Charles Darwin mengetuai ekspedisi sains dengan tujuan mempelajari sebanyak mungkin tentang tempat baru yang diterokai.
Agama memainkan peranan penting dalam penjelajahan dunia baru . Seawal abad ke-5 M, paderi dari Iceland telah mula mengembara untuk mengkristiankan orang Wales, Cornwall dan Perancis. Walau bagaimanapun, ekspedisi yang terkemudian banyak mengakibatkan keganasan dan kemusnahan walaupun ekspedisi itu kononnya atas nama agama.Dengan itu dapatlah dikatakan bahawa penjelajahan ialah pergi ke satu-satu tempat untuk tujuan-tujuan tertentu seperti ekonomi, peningkatan ilmu, penyebaran agama dan memenuhi kehendak ingin tahu tempat-tempat baru, dilakukan sama ada melalui jalan darat atau laut dengan merempuh berbagai kesukaran . Penerokaan pula merujuk kepada pembukaan sesatu kawasan baru dengan tujuan untuk mencari sumber ekonomi atau membuat petempatan baru seperti yang berlaku kepada orang-orang Yunani. Terdapat beberapa orang tokoh penjelajah dan peneroka yang masyhur seperti Christopher Columbus, Ferdinand Magellan, Vasco da Gama, Marco Polo, Cheng Ho dan I Ching.
Christopher Columbus
Christopher Columbus atau Cristobal Colon (1451-1506) adalah antara penjelajah yang terkenal tetapi penemuannya yang terbesar iaitu benua Amerika adalah secara tidak sengaja. Beliau dilahirkan pada tahun 1451 di Genoa, Itali dan mula turun ke laut sejak kecil lagi. Beliau menetap di Lisbon pada tahun1479 dan berkhidmat dengan kerajaan Portugis selama 10 tahun. Beliau telah berkahwin dengan anak perempuan seorang bangsawan Portugis. Dari Lisbon beliau melakukan banyak pengembaraan laut dan memperoleh kemahiran yang cemerlang sebagai ahli pelayaran.
Cita-cita Columbus adalah untuk belayar ke Timur Jauh. Alasannya selalu diringkaskan dalamungkapan, "Emas, Tuhan dan Cathay". ‘Emas’ yang dimaksudkan ialah kekayaan yang diperoleh dengan membawa balik rempah ratus dan sutera dari China dan Jepun. ‘Tuhan’ merujuk kepada keinginan Columbus untuk menyebarkan agama Kristian di negara bukan Kristian dan menjajah tanah baru dengan nama Tuhan. Ini merupakan motif biasa di kalangan orang Eropah ketika itu. ‘Cathay’ adalah nama purba bagi China. Columbus begitu tertarik dengan Timur Jauh dan ingin mengetuai ekspedisi ke sana.
Pada abad ke-15 kebanyakan orang berpendapat bahawa dunia ini rata. Bagi Columbus pula, dunia ini bulat. Beliau berhasrat untuk membuktikan pendapatnya dengan belayar ke arah barat merentasi Atlantik untuk pergi ke Timur seperti yang disarankan oleh peta Ptolemy dan bukan mengikut jalan biasa (dari Eropah ke selatan menyusuri pantai Afrika yang telah dilakukan oleh orang Portugis dalam mencari jalan ke Timur Jauh).
Columbus mengambil masa bertahun-tahun bagi mengumpulkan wanguntuk membiayai ekspedisinya kerana ramai tidak yakin dengan kejayaan usahanya. Beliau gagal mendapat pertolongan Raja Portugis tetapi akhirnya pada tahun 1492 Permaisuri Isabella dan Raja Ferdinand dari Sepanyol memberikan wang yang diperlukannya.
Columbus meninggalkan Sepanyol pada bulan Ogos 1492 bersama-sama tiga buah kapal. Pada 6 September mereka belayar dari Pulau Canary ke laut lepas. Pada masa itu jarang kapal belayar jauh dari daratan sehingga pantai tidak kelihatan. Selepas belayar beberapa hari tapi pantai masih tidak kelihatan, anak-anak kapalnya ingin berpatah balik tapi Columbus memujuk mereka supaya meneruskan pelayaran. Pada 12 Oktober mereka menemui tanah daratan ( Pulau Watling di Bahamas) berhampiran dengan pantai Amerika.Columbus menyangka beliau telah sampai ke Timur Jauh dan telah hampir dengan kekayaan India dan China Columbus menamakan penduduk di pulau itu sebagai ‘Indian’ dan pulau itu dinamakan ‘Indies’( setengah-setengah ahli sejarah menyatakan beliau menamakannya San Salvador). Penduduknya berminat untuk berdagang tapi Columbus tidak menemui bukti kekayaan Timur. Walau bagaimanapun Columbus tetap yakin bahawa sasarannya telah hampir. Melalui panduan penduduk tempatan, beliau mengetuai rombongan itu untuk terus mencari Cathay dan kekayaannya. Beliau melawat Cuba yang ketika itu diberi nama La Espanola ( sekarang Hispanola).Selepas itu iaitu pada bulan Disember beliau kembali ke Sepanyol untuk melaporkan pelayarannya. Belaiu disambut sebagai wira dan dilantik sebagai gabenor pulau-pulau baru yang beliau temukan. Namun beliau tidak sesuai dengan tanggungjawab ini. Hal ini jelas apabila dalam eksepedisi-eksepedisi terkemudian beliau telah melayan peneroka-peneroka bangsa Sepanyol dengan kejam dan juga memaksa puak Indian menyerahkan emas mereka dan menghantar ramai orang Indian sebagai hamba ke Sepanyol.
Columbus melancarkan 3 pelayaran lagi pada tahun-tahun 1493-1496, 1498-1500 dan 1502-1504. Beliau melawati dan menamai sebilangan besar pulau di Caribbean serta juga pantai-pantai Amerika Selatan dan Tengah. Namun beliau gagal menemui timbunan emas yang diharap-harapkan dan beliau tidak pernah memahami sepenuhnya bahawa penemuannya itu bukanlah Timur Jauh. Dalam pelayaran ketiganya pada tahun 1498, beliau ditangkap, dirantai dan dihantar pulang ke Sepanyol. Dalam pelayaran keempatnya pada tahun 1502 Ratu Isabella menugaskannya mencari selat yang mungkin menghubungkan Laut Caribbean dengan Lautan Pasifik. Ekspedisi itu gagal kerana kapal-kapal beliau rosak akibat cacing marin dan Columbus terpaksa diselamatkan dari Jamaica. Beliau kembali ke sepanyol dengan kecewa.
Ferdinand Magellan
Ferdinand Magellan (1480-1521) merupakan penjelajah pertama yang mengelilingi dunia. Beliau merupakan seorang ahli aristokra Portugis dan ahli pelayaran berpengalaman yang pernah mengiringi Alfonso de Albuquerque ke Asia Tenggara pada tahun 1511. Beliau telah membuat beberapa pelayaran untuk mencari jalan perdagangan bagi kerajaan Portugis tetapi apabila berselisih faham dengan raja Portugis, beliau belayar bagi pihak Sepanyol pula. Kerajaan Sepanyol ingin mencari jalan perdagangan ke timur dan menuntut sebahagian Pulau Maluku (Pulau Rempah) mengikut Persetiaan Tordesillas (perjanjian antara Portugis dan Sepanyol pada tahun 1494 untuk mengelak pergaduhan antara kedua-duanya dalam usaha mencari tanah jajahan). Magellan percaya beliau boleh sampai ke Pulau Maluku dengan belayar ke arah barat, mengelilingi hujung bahagian selatan Amerika, tanpa mengikut jalan laut Portugis ke timur yang mengelilingi Afrika. Raja Sepanyol bersetuju untuk membiayai pelayarannya.
Pada bulan September 1519 Magellan meninggalkan Sepanyol bersama-sama 260 orang dan 5 buah kapal.Kapal ini membawa banyak barang dagangan tetapi tidak membawa barang makanan yang mencukupi kerana Magellan tidak pandai menganggar jarak pelayaran. Kapal ini menyeberangi Lautan Atlantik dan berhenti seketika di Pulau Canary. Kemudian mereka belayar ke Brazil dan menyusur turun pantai timur Amerika Selatan.
Magellan menghadapi banyak masalah seperti makanan yang tidak mencukupi, cuaca buruk, dan pemberontakan orang-orangnya. Beliau meneruskan lagi pelayarannya melalui satu selat yang sempat (kemudian dinamakan Selat Magellan) di selatan Amerika Selatan . Dari situlah mereka menemui jalan ke Pasifik. Mereka telah berjaya membuktikan bahawa ada jalan ke Timur melalui Amerika Selatan.
Setelah mengambil bekalan makanan di Pulau Marshall, mereka meneruskan peyaran ke Filipina. Di situ Magellan terlibat dalam satu pergaduhan dengan ketua tempatan. Beliau dan 40 orangnya telah terbunuh. Anggota ekspedisi yang terselamat meneruskan pelayaran di bawah arahan Kaptan Juan Sebastian del Cano.Dengan anak kapal seramai 115 orang mereka telah sampai ke Pulau Maluku pada tahun 1521. Di situ mereka membeli rempah ratus yang memang menjadi matlamat utama mereka. Akhirnya hanya sebuah kapal sahaja dari 5 buah kapal yang melakukan pelayaran selamat sampai ke Sepanyol melalui Lautan Hindi dan mengelilingi tanjung di selatan Afrika pada tahun 1522 dengan membawa hanya 18 orang anak kapal setelah mengelilingi dunia selama 3 tahun..
Marco Polo
Marco Polo berasal dari Venice, Itali. Beliau menyertai bapanya, Noccolo Polo dan bapa saudaranya Maffeo Polo ke China pada tahun 1271 ketika berusia 17 tahun. Ekspedisi keluarga Polo ini berkait rapat dengan keadaan yang berlaku masa itu. Pada awal abad ke-13, puak Mongol bersatu di bawah pimpinan Genghis Khan (1167-1227). Mereka cuba menceroboh China dan utara Asia. Menjelang tahun 1241 Genghis Khan menubuhkan empayar yang merentang hingga ke sempadan Eropah ( dari China hingga ke Timur Tengah dan sampai ke Poland dan Hungry). Beberapa orang duta beberapa buah negara Eropah yang terdiri daripada paderi-paderi diutus ke Karakorum, ibu kota Monggolia ntuk berbincang dengan ketua Mongol dengan harapan puak Mongol dapat dipujuk untuk menyertai Eropah Kristian dalam peperangan menentang Empayar Islam di bawah kuasa Turki. Namun usaha mereka gagal untuk menjalin hubungan diplomatik dengan Mongol. Jalan laluan mereka inilah digunakan oleh saudagar-saudagar seperti dua adik beradik dari Venice, Maffeo dan Niccolo Polo. Dalam perjalanan mereka, mereka telah bertemu dengan utusan dari Mongol yang menjemput mereka ke China. Mereka sampai ke Beijing ( masa itu dikenali sebagai Khanbalik) menjelang tahun 1265.Mereka dilayan dengan baik oleh Maharaja China masa itu iaitu Kublai Khan ( cucu Genghis Khan). Tahun 1269 mereka kembali ke Venice dengan membawa surat persahatan dari Kublai khan untuk Paus. . Mereka menjadi penghubung hubungan diplomatik antara Kublai Khan dengan Eropah.
Pada tahun 1271 Marco Polo menyertai bapa dan bapa saudaranya ke China. Inilah salah satu pelayaran penjelajahan yang teragung pada sepanjang zaman yang memakan masa selama 24 tahun. Marco Polo membawa cerita tentang kekayaan, keindahan dan perkara-perkara ganjil pada penglihatannya sepanjang penjelajahannya itu tetapi tidak dipercayai orang. Marco Polo menemui banyak perkara di China yang belum diketahui oleh orang Eropah. Umpamanya, orang China telah mencipta serbuk letupan yang digunakan untuk membuat bunga api, membuat buku bercetak dengan menggunakan blok kayu berukir, mereka membuat wang kertas ( idea yang tidak masuk akal bagi orang Eropah). Marco Polo juga melaporkan tentang batu hitam misteri yang dikorek dan dibakar seperti kayu api ( batu arang). Marco Polo juga mencatatkan perkara pelik yang dilihatnya seperti mata air yang mengeluarkan minyak yang panas, kambing biri-biri besar yang mempunyai tanduk bergulung. Catatannya juga menyentuh tentang pertanian, pertukangan di tempat yang berlainan, penduduk, agama dan adat resam ( termasuklah tentang sutera, halia sebagai bahan rempah yang pedas, kunyit sebagai perasa makanan dan pencelup asli, tanah yang digunakan untuk membuat tembikar). Hanya beberapa abad kemudian barulah barangan ini sampai ke Barat.
Kublai Khan tertarik dengan Marco Polo lalu mengambilnya menjadi wakil istana. Marco membuat misi diplomasi ke Tanah Melayu, Sumatera, Tibet dan Ceylon bagi pihak Kublai Khan. Beliau juga melawat India dan Burma dan membuat catatan tentang negara-negara tersebut. Ketika beliau berada di Sumatera Marco Polo telah membuat beberapa catatan. Beliau sampai di Pasai pada tahun 1292. Pasai pada masa itu diperintah oleh raja Pasai yang ke-12 iaitu Sultan Abdul Jalil al-Malikul Saleh (1276-1300). Selain singgah di Pasai, beliau juga melawat Perlak. Beliau mencatatkan bahawa ‘penduduk bandarnya mengamalkan ajaran Muhammad, sedangkan mereka yang hidup di kawasan bukit (hillside) masih hidup sebagai haiwan (liar, gemar makan daging manusia dan pelbagai jenis daging lain, halal atau haram)’. Kemudian beliau mengunjungi Basman yang penduduknya dianggap tidak mengenal undang-undang kecuali undang-undang rimba dan mereka mengaku berada di bawah pemerintahan Kublai Khan, tetapi tidak pernah menghantar ufti kepadanya oleh kerana mereka tinggal jauh dan tidak mungkin orang Mongol akan datang ke negeri mereka. Di bandar Samara pula, Marco Polo sempat tinggal selama enam bulan untuk menanti putaran angin. Di sana beliau menikmati sejenis minuman ‘tuak’ yang dibuat dari pokok anau. Kononnya selama di Samara itu dia dan rombongannya ditempatkan dalam sebuah kem dan dikawal ketat supaya mereka terselamat daripada gangguan penduduk yang gemar makan daging manusia. Selepas itu beliau melawat bandar Dagroin (Pedir sekarang) yang menurutnya pernah dilihatnya upacara ‘cannibalistic’ (makan daging sesama manusia) di bandar itu. Kemudiannya dia tiba di Lambri, sebuah bandar pelabuhan yang katanya mempunyai rakyat yang amat aneh iaitu mereka mempunyai ekor. Akhirnya beliau mengunjungi bandar Fansur, sebuah bandar yang terkenal dengan kapur barusnya yang bermutu tinggi.
Sebagai seorang Kristian yang hidup pada Zaman Pertengahan dan lebih-lebih lagi pada zaman-zaman akhir Perang Salib (1097-1292), pandangannya yang begitu buruk terhadap penduduk Sumatera tersebut tidaklah menghairankan sangat. Rupa-rupanya dari catatan-catatan Marco Polo lah yang telah membuka mata bagi orang-orang Barat untuk menjelajah Nusantara.
Keluarga Polo berkhidmat untuk Kublai Khan selama 17 tahun. Pada tahun 1292 mereka kembali ke Venice melalui Parsi dengan menaiki jong China. Dari Hormus mereka mengikut jalan darat ke Trebizond dan kemudian belayar ke Venice melalui Konstantinople. Perjalanan pulang ini memakan masaselama 3 tahun dan semasa sampai di Venice mereka telah mengembara selama 24 tahun. Marco telah berumur 39 tahun ketika itu.Bila berlaku peperangan antara Venice dan Genoa, Marco Polo ditawan semasa mempertahankan bandarnya. Semasa dipenjara, Marco Polo menceritakan pengalamannya kepada Rustichello yang kemudian menerbitkan buku bertajuk ‘The Travels or Marco Polo’.Buku ini banyak mempengaruhi penjelajah kemudian seperti Christopher Columbus.
Pada tahun 1368 orang China memberontak melawan pemerintah Mongol dan melantik maharaja sendiri dan menghalang kemasukan pelawat Eropah. Jauh di bahagian Barat orang Mongol telah memeluk Islam dan tidak menyambut baik kedatangan orang Kristian. Dengan itu jalan darat ke Timur terhalang semula.
Meskipun wujud laporan Marco Polo, namun tindakan tidak diambil sehinggalah abad ke-15 apabila orang Portugis mula gigih berusaha untuk mencari punca kekayaan di Timur yang menjadi legenda terutamanya rempah.
Vasco da Gama
Vasco da Gama ( 1460-1524) adalah seorang kapten tentera laut Portugis . Beliau ditugaskan oleh raja Portugis untuk menyiasat sama ada wujud laluan ke India dengan mengelilingi hujung selatan Afrika yang ditemuiBartholomeu Dias pada tahun 1487. Sebenarnya berikutan sampainya Pedro da Covinha di India pada tahun 1487dengan menyeberangi Laut Mediterranean dan melayari Laut Merah orang Portugis menanam tekad untuk mencari jalan ke timur (selepas membaca laporan da Cavinha yang menceritakan bagaimana beberapa buah negara kecil yang ditemuinya telah menjadi kaya hasil perdagangan mereka negara-negara tersebut dengan dunia Arab).
Vasco da Gama bertolak dari Lisbon dengan 4 buah kapal dan 170 orang anak kapal. Beliau belayar ke Malindi di pantai timur Afrika . Melalui pertolongan beberapa orang Arab sebagai pemandu, mereka sampai ke pelabuhan Kalikat di pantai barat daya India pada bulan Mei 1498. Malangnya pedagang Islam tidak tertarik dengan barang dagangan da Gama dan tidak suka orang Eropah Kristian campur tangan dalam perdagangan mereka. Vasco da Gama hanya dapat membeli sedikit rempah dan barangan lain untuk dijadikan sebagai bukti yang beliau telah menemui jalan ke timur. Selepas 3 bulan berada di India, beliau kembali ke Portugal dengan 55 orang anak kapal dan disambut sebagai wira. Perjalanan pulangnya ke Portugas mengambil masa 3 bulan lebih lama dari pelayaran semasa pergi. Vasco da Gama melancarkan satu lagi ekspedisi perdagangan ke India pada tahun 1502 . Pada tahun 1524 beliau kembali ke India sebagai wizurai untuk memerintah koloni Portugal yang baru tetapi malangnya beliau meninggal dunia sejurus sampai ke situ.
ChengHo
Cheng Ho atau Zheng Ho (1371-1435) merupakan seorang penjelajah China yang sangat masyhur. Kemasyhurannya sering dikaitkan dengan armadanya yang dianggap terbesar yang pernah dilancarkan atas nama penjelajahan. Beliau mengetuai 27,000 orang anak kapal dan 317 buah kapal (sebenarnya dipanggil jong )dan ekspedisi beliau mengandungi sehingga 63 buah kapal yang belayar
bersama-sama. Ketujuh-tujuh pelayaran beliau mengambil masa kira-kira 2 tahun setiap satu. Penjelajahannya dilakukan antara tahun 1405 hingga tahun 1433. Armada ini belayar ke sebahagian besar Asia Tenggara seperti Jawa, Sumatera, Siam, Tanah Melayu, dan Borneo. Eksepedisi lain telah ke India, Kepulauan Maldives, Teluk Pars, negara Arabi dan pantai timur Afrika (1415). Ada kemungkinan mereka juga telah mengelilingi Tanjung Harapan pada kira-kira 70 tahun sebelum orang Eropah melakukannya. Ini dikaitkan dengan adanya satu peta China pada tahun 1420 dengan jelas menunjukkan sebahagian pantai barat Afrika. Tujuan mereka ialah untuk berdagang, mengutip cukai daripada koloni China dan mengumpul maklumat.Beberapa buah kapal telah dihantar untuk meninjau eksepedisi di Lautan Pasifik dan ada kemungkinan mereka sampai di pantai utara Australia.
Selepas kemangkatan Maharaja Cheng Tsu, kemasyhuran Cheng Ho mulai merosot. Beliau dibenarkan membuat satu sahaja lagi pelayaran iaitu pada tahun 1433 iaitu sebelum China membuat dasar tutup pintu kepada dunia luar. Seratus tahun kemudian orang Eropah telah tiba ke sebahagian besar dunia yang sebelum ini pernah dijelajahi Cheng Ho. Sekiranya pencapaian Cheng Ho telah diteruskan, maka sejarah penjelajahan mungkin amat berbeza sekali.
I Ching
Beliau merupakan seorang lagi penjelajah China yang masyhur pada abad ke-7 M. Beliau merupakan seorang sami Buddha.Antara tempat-tempat yang pernah dilawatinya ialah Tanah Melayu dan India. Semasa melawat Tanah Melayu iaitu ketika singgah di Kedah pada tahun 671 beliau mendapati kerajaan Kedah Tua merupakan sebuah kerajaan yang masyhur dan makmur. Dalam catatannya semasa singgal ke Kedah sekambalinya dari India menyebut bahawa Kedah masa itu dijajah Srivijaya. I Ching juga telah melawat Srivijaya sebanyak dua kali untuk mempelajari bahasa Sanskrit dan menterjemahkan kitab suci agama Buddha.
7.2 Asal usul
Susur galurkan sejarah penjelajahan dan penerokaan yang berlaku dalam tamadun awal.
Tamadun Mesopotamia
Mesopotamia merupakan tamadun awal yang terkenal dengan penggunaan roda sebagai alat pengangkutan. Melalui sistem pengangkutan yang ada di tamadun ini mereka menjalin hubungan perdagangan dengan kawasan-kawasan jiran.Selama beribu-ribu tahun saudagar dan pengembara mengharungi jalan perdagangan yang merentasi Asia. Sebab itulah banyak barang dari negara luar boleh ada di Mesopotamia, begitu juga barang-barang dari Mesopotamia dijual ke negara-negaraluar.
Tamadun Mesir
Tamadun Mesir Purba yang berkembang kira-kira 5000 tahun dahulu di lembah Sungai Nil yang subur telah menjalin hubungan dengan kerajaan dan penduduk lain di Timur Tengah. Namun begitu, ekspedisi ke bahagian Afrika yang lain di selatan nampaknya amat jarang sekali. Ekspedisi yang pernah dilakukan dicatat secara terperinci dalam inskripsi di dinding sebuah kuil di barat Thebes. Satu contoh yang masyhur ialah ekspedisi besar yang dilancarkan ketika Mesir di bawah pemerintahan Ratu Hatshepsut (ratu ini memerintah antara tahun 1501 SM – 1479 SM) pada tahun 1492 SM ke ‘Tanah Punt’ yang dipercayai terletak di kawasan Somalia moden. Ekspedisi ini bermatlamatkan perdagangan. Catatan mengisahkan tentang banyak barang dagangan seperti dupa, eboni, gading, emas, perak dan monyet hidup dibawa balik oleh kapal-kapal ekspedisi. Ekspedisi itu mungkin telah menggunakan jalan darat dari Thebes untuk menaiki kapal-kapal di Laut Mereah. Kapal-kapal itu kemudian belayar kira-kira 2000 km dari Laut Merah ke Punt
Phonecia pernah menjadi wilayah Empayar Mesir pada masa-masa yang berbeza. Pada kira-kira tahun 600 SM, Firaun Necho II mengasaskan armada Phonecia untuk mencari jalan dari Laut Merah ke Mediterranean.Ekspedisi berani Firaun Necho mengelilingi Afrika adalah didorong oleh keinginan baginda untuk mencari jalan perdagangan yang boleh menghubungkan Laut Merah dengan Delta Nil. Mereka nampaknya berjaya mencapai tujuan ini dengan belayar mengelilingi Tanjung Harapan. Mereka melaporkan kedudukan matahari yang berada di sebelah kanan sambil mereka belayar dari timur ke barat mengelilingi hujung selatan Afrika . Malangnya ramai dari penduduk di sebelah utara yang tidak pernah mengalami keadaan ini tidak percaya dengan laporan tersebut. Orang Phonecia merupakan pelaut yang pakar pada zaman itu. Menjelang abad ke-7 SM, mereka telah belayar melepasi Selat Gibraltar ke Madeira dan Kepulauan Canary. Di situlah mereka telah berdagang bahan pencelup. Pada tahun 470 SM, Jeneral Hanno dari Carthage mengetui satu angkatan armada besar menuju arah ini dan meneruskan pelayaran di sepanjang pantai barat Afrika. Dalam tempoh seribu tahun, penjelajahan orang Mesir berkembang dengan perlahan dan tumpuan terutamanya pada patai Afrika atas tujuan perdagangan. Juga dikatakan bahawa ekspedisi itu tidak diulang oleh sesiapa pun selama 2000 tahun selepas itu.
Pada kira-kira pada tahun 2300 SM, seorang pegawai bernama Harkhuf telah dihantar untuk membawa ekspedisi ke Yam, Nubia. Tatkala melepasi Riam Pertama di Sungai Nil, beliau pun melintasi sempadan terjauh dalam dunia yang diketahui orang Mesir Purba. Catatan perjalanan beliau dapat dilihat pada inskripsi di makam beliau di Pulau Elephantine, Sungai Nil. Sejarah Mesir juga mencatatkan bahawa ketika Mesir di bawah pemerintahan Kerajaan Pertengahan iaitu di permulaan abad ke-20 SM, Amenemhet III telah menghantar kapal-kapal jauh ke luar negari untuk mencari barang dagangan. Mereka membuat perhubungan dengan Crete, Syam, Babylon dan kawasan-kawasan selatan. Tidak hairanlah orang Mesir dengan mudah memperolehi bahan-bahan yang digunakan untuk mengawet mumia seperti myrrh dan kemenyan dari luar negeri kerana telah wujud penjelajahan waktu itu.
Tamadun Graeco-Roman
Orang-orang Greek melakukan penjelajahan dan penerokaan kerana tanah Greek tidak subur untuk menampung penduduk yang kian bertambah. Bagi mengelakkan daripada berlakunya pembahagian tanah milik mereka, pemerintahnya telah menghantar penduduknya ke negara lain terutama ke kawasan selatan Greek. Inilah punca penerokaan secara besar-besaran yang telah merobah bentuk dunia Mediterranean dalam beberapa generasi.
Tanah jajahan Greek dibuka untuk perdagangan dan sebagai tempat pertemuan perniagaan antara kota-kota. Kawasan-kawasan itu terletak di pesisiran laut Mediterranean dan Laut hitam. Berita tentangnya dibawa pulang oleh pengembara yang menjelajah secara perseorangan sebagai pedagang atau perompak laut. Mereka menemui lombong-lombong emas di Tartessus.
Ekoran dari penjelajahan dan penerokaan orang-orang Greek itu, petempatan-petempatan Greek ditubuhkan di Pulau Sicily, Pulau Cyprus, Corsica dan pesisiran Laut Mediterranean, Laut Aegeann dan Laut Hitam. Mereka seterusnya telah menyebarkan kebudayaan dan pemikiran Greek. Antara faktor-faktor pemilihan sesatu tanah jajahan itu ialah pelabuhan yang baik, terdapat air untuk minuman dan tanah yang subur.
Menjelang kira-kira tahun 750 SM, bangsa-bangsa Yunani dan Phoenicia telah menjelajah sebahagian besar kawasan Mediterranean dan mewujudkan koloni perdagangan. Orang Phoenicia adalah pembuat kapal dan pedagang yang amat arif di Mediterranean.Orang Rom telah mempelajari cara membuat kapal berpandukan rangka kapal orang Phoenicia. Menjelang tahun 702 SM orang Phoenicia telah menubuhkan koloni di seluruh Mediterranean. Tamadun Yunani Purba merupakan yang pertama di Eropah yang cuba menganalisis dunia dari sudut sains. Antara tahun 310-306 SM penjelajah Yunani yang bernama Pytheas telah menyusuri pantai –-Atlantik ( Portugal) dan dikatakan telah mengelilingi Britain sebelum belayar pulang. Pelayaran Pytheas bukanlah atas dorongan perdagangan tetapi atas minat sains yang sebenar. Ahli geografi dan astronomi pula menggunakan pencerapan serta maklumat daripada penjelajah untuk membuat peta kawasan Mediterranean dan peta dunia. Ptolemy (seorang ahli astronomi Mesir-Yunani ) telah menghasilkan peta dunia yang terbaik sehingga abad ke-15 hasil dari maklumat yang diperolehi dari ahli geografi yang diperolehi penjelajah.
Iskandar Zulkarnain Agung (356-323 SM) yang berasal dari Makedonia pernah menjadi penguasa Greek yang diwarisi dari ayahnya, Philip II merupakan seorang penjelajah dan peneroka yang hebat sekali. Baginda telah menjelajah dan menawan wilayah Parsi, Mesir, Mesopotamia. Dalam proses penjelajahannya, baginda telah mengumpulkan maklumat tentang geografi kawasan yang jatuh ke tangan baginda. Tenteranya diiringi sekumpulan juruukur, ahli geografi, ahli matematik dan ahli astronomi. Ahli geografinya memetakan wilayah taklukan yang merentang dari Sungai Indus ke timur Mediterranean. Orang Rom terus mengembangkan pengetahuan dunia yang diasaskan oleh orang Yunani. Namun tujuan mereka agak berbeza. Pada dasarnya, pembuat peta dan juruukur Rom berperanan untuk mewujudkan dan mengekalkan Empayar Rom.
Semasa Rom sebuk meluaskan penjajahannya, Empayar Rom merangkumi kesemua kawasan yang bersempadan dengan Mediterranean dan menuju ke timur hingga Mesopotamia dan meliputi keseluruhan barat Eropah hingga ke utara (Britain). Dengan itu, penjajahan Rom menjadikan bangsanya menjelajah jauh sekali ke negara-negara lain.
Orang Rom juga mengetahui tentang India melalui kempen penjajahan Iskandar Zulkarnain dan mereka juga mengetahu serba sedikit tentang Timur Jauh ekoran barang dagangan yang tiba dari China ke dunia Rom melalui Jalan Sutera. Namun orang Rom jarang mengembara melepasi sempadan mereka. Mereka banyak mengembara di dalam kawasan empayar mereka. Orang Yunani Purba dan Rom telah menerbitkan buku serta panduan pelancongan untuk pelancong. Salah sebuah buku yang masyhur ialah ‘Hellados Periegesis" ( Panduan Melawat Yunani) yang ditulis pada abad ke-2 M oleh penulis Yunani yang bernama Pausanias.
Bagi melicinkan perjalanan, orang Rom telah membina jalan-jalan bagi menghubungkan antara bandar-bandar di dalam empayarnya. Orang Rom memang terkenal sebagai pembina jalan raya dan jalan raya yang dibina itu sangat lurus dengan jarak yang begitu jauh. Jalan-jalan lurus ini bertujuan mempercepatkan penghantaran bekalan dan utusan serta askar jika berlaku kekacauan.
Bagi mempercepatkan perjalanan melalui laut, orang Rom telah mempelajari cara-cara membuat kapal berdasarkan rangka kapal orang Phonecia. Dengan itu penjelajahan melalui jalan laut di sekitar Laut Mediterranean itu membawa kepada kegiatan menjajah, telah memunculkan Rom sebagai perampas perdagangan di seluruh Laut Mediterranean dan menjadi kuasa besar di situ.
Menjelang abad ke- 5 M, Empayar Rom mula merosot akibat serangan tentera gasar dari Eropah Timur ( German). Menjelang tahun 476 M Empayar Rom runtuh. Walau bagaimanapun, maharaja Kristian Rom yang pertama iaitu Constantine 1 ( 306-337 M) telah mengasaskan Constantinople ( Istanbul, Turki). Constantinople menjadi pusat Empayar Byzantine Kristian (Rom) yang wujud hingga abad ke-15.Melalui penjelajahnya yang juga mubaligh, agama Kristian disebarkan ke kawasan-kawasan yang dijelajahi. Penjelajahan dan pejajahan Rom ke bumi Arab ( Arab Utara dan Selatan) juga menampakkan motif perdagangan dan penyebaran agama Kristian.
Tamadun China
Tamadun China bermula pada kira-kira tahun 1700 SM, namun China mengambil masa kira-kira 1000 tahun untuk menjalin hubungan tetap dengan tamadun Asia Barat dan Asia Selatan. Pada tahun 138 SM Chang Chien telah diutus ke Asia Tengah oleh Maharaja Han Wu Ti untuk cuba membuat perjanjian dengan penduduk di sempadan barat China bagi menentang puak Hun yang menceroboh. Dalam tempoh 12 tahun beliau mengembara , 10 tahun dihabiskan sebagai tawanan Hun. Selepas berjaya melepaskan diri, beliau cuba kembali ke China melalui Tibet tetapi ditawan semula. Walau bagaimanapun akhirnya beliau berjaya kembali ke China dengan 2 orang sahaja daripada 100 orang yang mengikutnya dahulu. Misi beliau gagal tetapi beliau berjaya membawa balik berita tentang peluang perdagangan dengan Asia Barat. Hasilnya, tidak lama kemudian ( kira-kira pada tahun 105 SM) jalan perdagangan baru dibuka untuk membawa barangan seperti rempah ratus, batu permata, mutiara, sutera, kulit penyu melintasi Gurun Gobi dan gunung ganang tinggi di Asia Tengah ke Timur Tengah dan Eropah. Mereka mengembara melalui Asia ke Antioch dan kemudian menaiki kepal ke Rom. Terdapat beberapa batang jalan yang secara amanya dikenali sebagai ‘ Jalan Sutera’ iaitu laluan perdagangan antara China dan Barat .
Ramai pengembara China yang awal ke Asia Tengah dan Selatan adalah penganut agama Buddha yang sedang mencari pengetahuan agama di dalam dan di sekitar India Utara iaitu tempat asalnya agama Buddha. Pengembara yang termasyhur ialah Hsuan- tsang (596-664M). Beliau mengembara selama 16 tahun bermula pada tahun 629 SM tanpa menghiraukan larangan Maharaja atas tujuan medalami bidang agama. Beliau merentasi Asia Tengah melalui Gurun Gobi, melalui jalan yang berbahaya dan gaung yang gelap ke Bactria, mendaki Hindu Kush dan mendaki ke timur untuk ke Kashmir dan India. Beliau belajar selama 2 tahun di India, melawat perpustakaan di biara yang terdapat di Lembah Sungai Ganges. Beliau melawat Allahabad dan di situ beliau ditangkap lanun tapi dapat melepaskan diri. Dalam perjalanan pulang ke China, beliau terpaska meredah pelbagai bahaya dan selepas meninggalkan China selama 16 tahun, akhirnya beliau tiba di Chang-an dengan membawa 700 buah buku agama, patung dan peninggalan Buddha. Ekspedisinya dianggap sangat penting hinggakan hukuman ke atasnya telah ditarik balik malah beliau dihujani penghormatan termasuk dari Maharaja.. Ini agak luar biasa kerana pengembaraan di luar sempadan China tidak digalakkan manakala bangsa asing tidak dibenarkan masuk. Atas sebab itu kemajuan tamadun China langsung tidak diketahui dunia Barat sehinggalah pengembaraan Marco Polo pada abad ke-13.
Saudagar China telah sampai ke Zanzibar ( salah sebuah pelabuhan perdagangan yang kaya di pantai Afrika Timur, tempat pedagang Arab menetap dan menyebarkan agama Islam) dan Madagascar menjelang tahun 1180-an ( mereka sebenarnya telahpun melawat Timur Tengah melalui jalan laut sejak tahun 360 M lagi). Sebenarnya orang China hanya dibenarkan keluar dari negara China dalam tahun-tahun tertentu sahaja dalam sejarah China. Salah satu zaman yang membenarkan ialah pada masa China di bawah pemerintahan Maharaja Cheng Tsu pada awal Dinasti Ming (1368-1644). Baginda menugaskan seorang pembesar Islam yang bernama Laksamana Cheng Ho (1371-1435) untuk mengetuai seangkatan armada besar yang telah melancarkan satu siri tujuh pelayaran penjelajahan yang bermula pada tahun 1405 hingga tahun 1433. Mereka sampai di Afrika tahun 1415
Pada awal abad ke-13 puak Mongol bersatu di bawah Genghis Khan (1167-1227). Mereka menceroboh China dari Utara Asia. Menjelang tahun 1241 Genghis Khan berjaya mewujudkan empayarnya merentang hingga ke sempadan Eropah.Pada masa ini mereka enggan melayan lawatan diplomatik dari wakil-wakil Eropah hinggalah kedatangan keluarga Polo. Marco Polo diambil sebagai wakil China ke Tanah Melayu, Sumatera, Ceylon dan Tibet. Pada tahun 1368 pemberontakan orang China terhadap pemerintah Mongol berlaku. Kejatuhan kerajaan Mongol di China membuka lembaran baru dalam sejarah China apabila China menjalankan dasar menutup pintunya kepada pelawat-pelawat Eropah.
Tamadun Barat
Barat atau Eropah selepas kejatuhan Rom pada menjelang abad ke-5 M menyaksikan peranan gereja dalam usaha mengembangkan agama Kristian. Pada ketika itu sebilangan pengembara yang agung adalah mubaligh Kristian yang mengembara untuk menyebarkan Gospel kepada penduduk di sebahagian besar Empayar Rom Lama. Walau pun Ireland tidak pernah dijajah Rom namun telah menjadi negara Krisitian selepas kira-kira tahun 440 M. Ramai mubaligh mengembara dari Ireland untuk menyebarkan agama Kristian kepada penduduk benua Eropah. Malah St Brendan pernah sampai ke Amerika.
Orang Eropah mula menunjukkan minat terhadap Afrika pada Zaman Pertengahan. Mereka mula menggemari benda mewah dari Timur seperti rempah ratus, sutera, gula, mutiara dan batu berharga. Namun pada masa itu jalan perdagangan darat dikuasai oleh orang Turki yang ketika itu sedang berperang dengan orang Eropah. Keadaan ini menjadikan barangan ini sangat sukar diperolehi dan mahal harganya sedangkan orang Eropah ingin mendapatkannya dengan harga yang lebih murah. Mereka bertekad untuk mencari jalan laut yang mengelilingi Afrika untuk membolehkan mereka berdagang secara terus dengan India, China dan Pulau Rempah (Pulau Maluku) di Lautan Pasifik tanpa bertembung dengan orang Turki.
Sebenarnya Eropah menyaksikan banyak penjelajahan dan penerokaan terutamanya untuk mencari jalan ke Timur Jauh bagi mendapatkan rempah ratus. Salah sebuah negara Eropah yang giat melakukan penjelajahan dan penerokaan ialah Portugal. Pada awal abad ke-15 orang Portugis memulakan suatu siri pelayaran ke selatan pantai barat Afrika untuk mencari jalan laut ke Timur Jauh. Salah seorang yang sangat berminat dalam penerokaan ini ialah Putera Henry (1394-1460). Beliau dikenali sebagai ‘Henry Pelayar’ walaupun sepanjang hayatnya beliau tidak pernah belayar! Beliau terkenal sebagai penjelajah yang duduk diam di rumah sahaja. Beliau tertarik dengan kekayaan di timur dan mendapat inspirasi daripada cerita tentang paderi raja agama Kristian iaitu Prestor John yang dipercayai tinggal di suatu tempat di Afrika. Henry membina sebuah sekolah untuk melatih jurumudi dan ahli pelayaran di samping membina limbungan kapal. Beliau mengambil cendikiawan, ahli geografi, ahli astronomi dan pelaut. Beliau mendorong orangnya mengetuai ekspedisi . Selama 12 tahun beliau telah menghantar sebanyak 14 ekspedisi tetapi apabila sampai di Tanjung Bojadur, ekspedisinya berpatah balik kerana dihantui oleh kepercayaan bahawa di Khatulistiwa , suatu kawasan yang dikenali sebagai ‘Laut Hijau Yang Gelap’, matahari berada sangat hampir dengan bumi sehingga kulit manusia terbakar hitam, laut menggelegak dan terdapat kolam berpusar dan kabus hijau yang tebal, tempat tinggal raksaksa yang menunggu untuk membaham mereka. Salah satu ekspedisi yang dihantar Henry ialah yang diketuai oleh Gil Eannes. Pada tahun 1434, Gil Eannes menjadi ahli pelayaran yang pertama berani belayar ke selatan iaitu ke Tanjung Bojadur. Lima puluh tahun kemudian iaitu pada bulan Ogos 1487 Maharaja John II menghantar satu ekspedisi yang terdiri daripada 3 buah kapal diketuai oleh Bartolomeu Dias atas tujuan membuka jalan laut di hujung Afrika Selatan. Maharaja John II percaya bahawa jalan ke Timur akan menjadi mudah jika Lautan Hindi dapat diterokai.
Pada tahun 1487 juga Pedro da Covilha bersama-sama Alfonso de Paiva membuat satu misi rahsia. Covilha diarahkan mencari maklumat sebanyak mungkin tentang jalan ke India sementara Paiva pula diarahkan mencari kerajaan Prestor John di Afrika. Mereka menyeberangi Laut Mediterranean dan belayar ke selatan Laut Merah. Paiva telah hilang, sementara Covilha sampai ke India dan kemudiannya menetap di Habsyah (Abyssinia/Ethiopia) Covilha telah melaporkan pelayarannya ke India kepada kerajaan Portugal.
Vasco da Gama (1460-1524) pula dihantar oleh Raja Manuel, raja Portugal untuk memastikan sama ada jalan ke India dengan mengelilingi Afrika seperti yang dilaporkan sebelum ini benar-benar wujud. Pada tahun 1497 Vasco da Gama telah menyusuri bahagian atas pantai timur Afrika dan akhirnya menemui jalan laut ke India yang selama ini cuba dicari-cari oleh pengembara Eropah.. Angkatannya meredah Lautan Hindi selama 23 hari dan setelah 10 bulan belayar barulah beliau sampai di Calicut, India. Dalam perjalanan mereka ke Timur, orang Portugis telah bertemu dengan peluang perdagangan yang lumayan di Afrika Barat terutama sekali emas, gading dam hamba. Perdagangan hamba berkembang pesat antara abad ke-16 hingga 19. Orang Portugis kemudiannya melancarkan ekspedisi tentera laut secara agresif . Mereka menubuhkan kubu di Ceylon pada tahun 1505 dan menawan Goa pada tahun 1510. Namun mereka masih belum menemui sumber rempah ratus. Dengan itu mereka pun terus belayar ke arah timur. Pada tahun 1511 satu ekspedisi yang terdiri daripada 3 buah kapal di bawah pimpinan Antonio de Abreu telah belayar dari Melaka (masa itu Portugis telah pun menawan Melaka). Pada tahun 1512 mereka telah sampai ke Pulau Banda. Ini membuka jalan ke Kepulauan Maluku yang merupakan satu-satunya sumber buah pala dan bunga cengkih di dunia pada masa itu. Akhirnya orang Portugis berjaya sampai di Kepulauan rempah yang selama ini menjadi legenda itu. Selepas itu .mereka menuju ke utara iaitu ke China dan menjelang tahun 1540-an menjadi orang Eropah pertama sampai di Jepun.
Sepanyol juga tidak ketinggalan dalam usaha mencari jalan ke Timur. Melalui Christopher Columbus, Sepanyol cuba mencari jalan ke Timur Jauh melalui arah Barat iaitu arah yang bertentangan dengan jalan sebelum ini (menyusuri pantai Afrika) tetapi gagal menemui negara China. Sebaliknya, diluar tujuan sebenar, atau tanpa sengaja dia menemui benua Amerika!.Pada tahun 1511 pula Sepanyol membiayai pelayaran Magellan untuk mencari jalan perdagangan ke timur dan menuntut Pulau Maluku. Dia hanya sampai di Filipina setelah menyusuri Amerika Selatan. Kematiannya di Filipina menyebebkan rakannya yang bernama Sebastian del Cano mengambilalih mengetuai pelayaran kembali ke Sepanyol.
Seperti orang Sepanyol, orang Inggeris dan Perancis juga ingin mencari kekayaan di Timur dengan cara belayar ke arah Barat. Mereka tidak mengikut jalan orang Sepanyol mengelilingi Amerika Selatan, sebaliknya mereka mencari jalan baru mengelilingi Amerika Utara. Mereka berkeyakinan menemui selat yang boleh dilalui oleh kapal mereka. Jalan ini dikenali sebagai Laluan Barat Laut.Satu ekspedisi yang diketuai oleh Martin Frobisher bersama 3 buah kapal bertolak dari London pada tahun 1576 tetapi gagal menemui Laluan Barat Laut. Beberapa ekspedisi lain yang dihantar seperti yang diketuai oleh John Davis ( antara tahun 1585 hingga 1587),Henry Hudson (1610), William Baffin dan Robert Bylot (1616) semuanya gagal menemui Laluan Barat Laut. Sejak itu hingga berabad-abad lamanya orang Inggeris masih gagal menemui Laluan Barat Laut hinggalah pada abad ke-20 nanti.
 Seorang lagi ahli pelayaran Inggeris yang terkenal ialah Francis Drake (1545-1596). Dia dianggap sebagai penjelajah kedua yang mengelilingi dunia. Penjelajahannya dilakukan 50 tahun selepas pelayaran Magellan.. Orang Sepanyol menganggapnya sebagai lanun kerana beliau banyak kali menyerang petempatan orang Sepanyol di Caribbean dan Amerika Tengah. Pelayarannya berlangsung antara tahun 1577 hingga 1580.Pada tahun 1577 beliau dihantar oleh Ratu Elizabeth I ke Selat Magellan (menjelajah laut-laut selatan) atas tujuan untuk mengaut kekayaan dan rempah dengan membawa lima buah kapal. Setelah mengelilingi dunia selama 3 tahun, akhirnya beliau pulang ke England dengan sebuah kapal sahaja.
Perancis turut cuba mencari laluan terus ke Timur. Pada tahun 1534 Raja Francois I mengarahkan Jacques Cartier mencari jalan barat ke Pasifik dan mendapatkan kawasn baru bagi Perancis tapi usaha-usahanya gagal. Usaha itu diteruskan oleh orang-orang Perancis yang lain yang akhirnya menemukan mereka dengan Amerika dan membina empayar Perancis di Amerika.
Orang Viking yang berasal dari Norway, Sweden dan Denmark yang sering dikenali sebagai penyerang itu juga merupakan penjelajah dan pedagang. Mereka mula belayar ke Barat pada abad ke-9 untuk mencari kawasan baru. Menjelang tahun 860 ada di kalangan mereka telah sampai ke Iceland dan menetap di situ. Dalam perjalanan yang kerap ke Barat, mereka telah menjadi orang Eropah pertama yang menemui Amerika. Menjelang abad ke-11 terdapat petempatan Viking merentasi utara Eropah dari Rusia ke Ireland. Ekspedisi perdagangan membawa mereka jauh hingga ke Laut Mediterranean dan menghilir Sungai Volga ke Laut Kaspia.
Tamadun Arab
Penjelajahan orang Arab lebih bermotifkan perdagangan. Zaman sebelum kedatangan Islam lagi iaitu zaman jahiliah telah ada bukti-bukti yang menunjukkan bahawa mereka telah menjelajah sampai ke India, Asia Tenggara dan China (jalan laut). Ketika Yaman terkenal sebagai pusat perdagangan utama di semenanjung Tanah Arab, pelabuhan di Yaman telah menjadi pusat persinggahan kapal-kapal dari Timur dan tempat memulakan pelayaran ke Timur. Orang-orang Arab bukan sahaja terkenal sebagai pelayar bahkan pengembara padang pasir melalui sistem kafilah. Mereka telah memonopoli perdagangan Timur dan menjadikan saudagar-saudagar Venice dan Genoa sebagai orang tengah mereka dalam memasarkan barang-barang ke Eropah. Hal ini berterusan sehingglah mereka memeluk agama Islam. Inilah antara sebab orang-orang Eropah ingin sangat mencari jalan ke timur iaitu ingin memecahkan monopoli perdagangan orang Arab.
Tamadun Melayu
Alam Melayu tidak banyak menyaksikan penjelajah dan peneroka tetapi sering dijelajah dan diteroka. Namun begitu ketika Srivijaya muncul sebagai pusat agama Buddha di Nusantara, Srivijaya telah menghantar penuntut-penuntutnya ke Nalanda, India Selatan bagi menyambung pengajian agama Buddha di situ. Dengan itu mereka juga dianggap sebagai penjelajah atas motif menuntut ilmu. Berkaitan dengan menuntut ilmu ini, kerajaan Srivijaya telah membina sebuah kuil di Nagapatnam, India Selatan pada tahun 1005M. Selain dari itu Srivijaya juga menghantar banyak rombongannya ke China untuk mengeratkan perhubungan diplimatik dan perdagangannya dengan China. Dengan itu dapat didkatakan bahawa penjelajahan orang Srivijaya lebih kepada motif perdagangan dan menimba ilmu.
Tamadun India
Penjelajahan orang India dalam tamadun awal kurang didedahkan oleh ahli-ahli sejarah. Namun tidak dapat dinafikan bahawa memang wujud penjelajahan orang-orang India terutamanya atas motif perdagangan dan agama. Orang-orang India telah menjelajah ke bahagian timut tengah dan Asia Tenggara sebelum penjelajahan orang-orang Barat lagi atas tujuan perdagangan. Ini terbukti dengan adanya kapal-kapal orang India di pelabuhan Yaman. Mereka juga menjelajah ke Asia Tenggara untuk memperluaskan perdagangan dan menyebarkan agama Hindu sejak sebelum abad pertama Masihi lagi. Penjelajahan atas tujuan perdagangan ini kemudiannya telah mewujudkan penjajahan. Ini dapat dibuktikan dengan penjajahan Raja Rajendra I (Raja Chola dari India Selatan) ke atas kerajaan-kerajaan Srivijaya di Semenanjung Tanah Melayu (seperti Kedah dan Ligor) dan di Sumatera (seperti Palembang) pada sekitar tahun 1025M.
7.3. Pencapaian dan Sumbangan
1.                    Jelaskan bagaimana ilmu pelayaran dan geografi berkembang akibat daripada aktiviti penjelajahan dan       penerokaan
2.                    Susur galurkan asal usul dan perkembangan dalam ilmu pelayaran dan geografi
Penjelajahan dan penerokaan telah mengembangkan ilmu pelayaran dan geografi. Zaman Hellenistik (percampuran budaya Yunani dan bukan Yunani khususnya Parsi) dalam sejarah Greek telah menggalakkan penyelidikan sains. Ekspedisi-ekspedisi Iskandar Zulkarnain merentasi Asia telah membuka bidang-bidang pengetahuan baru kepada orang Greek dan telah membangunkan minat terhadap penyelidikan saintifik.Semasa Iskandar Zulkarnain membuat penjelajahan ke Asia, tenteranya diiringi oleh sekumpulan juruukur, ahli geografi, ahli matematik dan ahli astronomi. Pakar-pakar tersebut telah memetakan wilayah taklukan yang merentang dari Sungai Indus ke timur Mediterranean. Peta Eropah yang dibuat pada lebih 1500 tahun selepas penjelajahan Iskandar telah menggunakan maklumat tentang Asia yang diperolehi dari Iskandar. Orang Rom mengembangkan pengetahuan mereka tentang dunia melalui orang Yunani dan pengetahuan tentang India melalui penjelajahan Iskandar Zulkarnain. Ahli kaji bintang telah membuat penyelidikan melalui perjumpaan-perjumpaan zaman dahulu di Babylon; mereka belajar mengira sukatan dunia. Ada di kalangan mereka mengemukakan teori-teori peredaran dunia mengelilingi matahari. Ahli geografi yang terkenal iaitu Erotosthenes (275 – 200 SM) adalah orang yang mula-mula mengajar tentang lautan di dunia dan memulakan lukisan peta dengan menggunakan garis bujur dan garis lintang. Ptolemy, seorang ahli astronomi Mesir-Yunani yang bertugas di Perpustakaan Iskandariah, Mesir dari tahun 127 hingga 150M telah mengumpulkan pelbagai ilmu Yunani tentang Geografi bagi menghasilkan peta dunia yang terbaik sehingga abad ke-15. Selepas pelayaran Kapten Cook (1780) ke Hawaii barulah peta dunia yang lebih sempurna dihasilkan ( pada abad ke-18).
Penjelajahan dan penerokaan juga telah mengembangkan ilmu pelayaran. Orang Rom belajar membuat kapal berdasarkan bangkai kapal orang Phoenicia. Orang Phoenicia adalah pembuat kapal dan pedagang yang terpakar di Mediterranean dan telah menubuhkan koloni di seluruh kawasan Mediterranean pada abad ke-8.SM. Pada abad ke-15, Putera Henry (1394-1460)yang terkenal dengan jolokan ‘Henry Pelayar’ ( Henry the Navigator) telah menubuhkan sebuah sekolah pelayaran yang masyhur di Sagres, Portugal. Di akademi tersebut beliau mengumpulkan kemahiran ahli pelayaran, ahli geografi, pembuat peta, ahli astronomi dan pembina bot. Beliau menganjurkan beberapa ekspedisi Portugis ke timur walaupun beliau sendiri tidak pernah menyertai pelayaran-pelayaran yang dianjurkannya itu. Ekoran usaha beliau, sekolah-sekolah pelayaran telah ditubuhkan di tempat-tempatlain di Eropah.Berkait dengan penjelajahan dan penerokaan melalui laut, pelbagai jenis alat pandu arah digunakan dengan luasnya pada abad ke-15 seperti kompas, alat bahagi, jam pasir, carta bintang dan jadual. Sesiku laut pula digunakan untuk mengukur sudut matahari bagi mengira latitud kapal.
Tema 8: Kesenian
8.1 Konsep
Berikan pengertian kesenian dari pelbagai sudut.
Kesenian dalam tamadun awal dunia ini lebih merujuk kepada segala keindahan dan kehalusan. Keindahan dan kehalusan ini dapat kita lihat melalui aspek-aspek kesusasteraan, muzik, seni bina, seni ukir, kaligrafi, seni lukis dan teater. Setiap tamadun memperlihatkan keunikan kesenian masing-masing ada setengah-setengah daripadanya masih dapat dilihat hingga ke hari ini.
8.2 Pencapaian dan sumbangan
  1. Senaraikan bidang-bidang kesenian yang wujud dalam tamadun awal dengan meujuk kepada contoh-contoh benar yang terdapat dalam tamadun awal.
  2. Susur galurkan asal usul dan sejarah perkembangan bidang-bidang kesenian secara kronologi seperti kesusasteraan, muzik, seni bina, seni ukir, kaligrafi, seni lukis dan teater.
Tamadun Mesopotamia
Kesusasteraan
Sebahagian besar dari kesusasteraan Sumeria zaman dahulu kala masih wujud hingga ke hari ini. Antara yang terkenal ialah Legenda Etana dan Legenda Adapa. Di samping itu terdapat Epik Gilgamesh. Epik yang merupakan puisi yang panjang ini menyentuh tentang agama, keperwiraan, falsafah dan ccorak hidup orang Sumeria. Dikatakan bahawa epik yang pertama di dunia dihasilkan pada zaman Sumeria. Ia telah mengasaskan penghasilan epik.
Seni Ukir dan pahat
Mutu kesenian ini menampakkan mutu yang lebih baik pada zaman-zaman sebelum zaman Sargon. Walau bagaimanapun seni ini tidak dapat menandingi seni yang terdapat di Mesir.Kemahiran seni ukir tidak begitu nyata dalam tamadun Mesopotamia. Antara sebabnya ialah tidak terdapat bahan binaan iaitu batu. Walau bagaimanapun, pengukir-pengukir Sumeria mempunyai kemahiran seni ukir yang tinggi. Mereka membuat ukiran-ukiran yang cantik dan halus seperti kerbau, rusa jantan dan helang dari tembaga. Seni Ukir yang terkenal sekali di sini ialah ukiran Patung Raja Gudea. Ukiran juga dapat dilihat melalui tembikar dan cop mohor yang dibuat daripada tanah liat.
Kaligrafi
Orang-orang Sumeria merupakan masyarakat yang terawal sekali di dunia membentuk sistem tulisan. Tulisan merupakan gambar-gambar atau simbol-simbol yang diguriskan di atas kepingan tanah liat. Ia dikenali sebagai cuneiform atau tulisan pepaku atau tulisan berbaji. Tulisan .berbaji ini kemudiannya berkembang ke peringkat fonetik (berdasarkan bunyi perkataan) semasa orang Sumeria mencapai kemajuan. Terdapat lebih daripada 560 tanda untuk menggambarkan perkataan. Tulisan itu digunakan untuk merekodkan sesuatu ( di atas kepingan tanah liat).
Seni bina
Seni bina tamadun Mesopotamia dapat dilihat melalui tiang batu dan arca. Seni bina mereka seperti lengkungan, bumbung yang melengkung dan kubah yang kemudian dituru oleh orang Rom. Apabila Mesopotamia diperintah oleh puak Chaldea yang menjadikan Babylon sebagai pusat pemerintahan ( yang bermula pada tahun 625 SM) sebagai dinasti yang akhir sekali memerintah zaman keagunganMesopotamia, salah seorang pemerintahnya yang bernama Nebuchadnezzar telah mengindahkan kota Babylon. Baginda mencantikkan Babylon melalui seni bina iaitu dengan membina banyak bangunan yang indah-indah yang dibuat dari tanah liat (tanah liat merupakan satu-satunya bahan tempatan yang diperolehi di Mesopotamia pada masaitu) seperti kuil, pintu gerbang, jambatan dan istana. Bagi mencantikkannya lagi, baginda hiasi dengan taman-taman bunga yang indah. Inilah yang dinamakan Taman Tergantung Babylon yang menjadi satu daripada tujuh benda ajaib di dunia.
Tamadun Mesir
Kesusasteraan
Kesusasteraan Mesir terdiri daripada cerita, puisi, lagu dan nasihat. Kebanyakan daripada kesusasteraan yang dihasilkan pada Zaman Kerajaan Tua / Peuba (3500-2700 SM) adalah berbentuk keagamaan dan falsafah. Contohnya, legenda Osiris dan Isis yang mempunyai banyak versi itu mengisahkan tentang tuhan-tuhan mereka. Begitu juga dengan nasihat-nasihat Ptahhotep (seorang cendikiawan Mesir purba) telah direkodkan ke dalam buku. Buku ini digunakan di sekolah-sekolah beberapa tahun selepasnya dan tidak syak lagi banyaklah keturunan orang Mesir yang dididik mengikut pengajarannya. Nasihat-nasihatnya amatlah mudah diamalkan. Dia mengesyorkan seseorang itu menghormati orangyang lebih tinggi darjatnya agar tidak disiksa oleh mereka dan juga orang yang lebih rendah darjatnya agar tidak dimurkai tuhan. Orang kaya baru diberi amaran supaya jangan sombong dan mengikut pendapatnya orang yang bijak sekali ialah orang yang kurang bercakap. Ptahotep juga memberi nasihat mengenai tingkahlaku dan mengenai cara-cara menjaga isteri. Katanya, "seseorang isteri perlu diberi makanan, pakaian dan minyak wangi. Janganlah hendaknya seseoang suami itu bengis kerana seseorang isteri lebih mudah menurut jika dipujuk. Kesusasteraan klasik bermula pada Zaman Kerajaan Pertengahan. Nasihat-nasihat yang berguna dikumpulkan dalam sebuah buku. Antara yang terkenal ialah ‘Hymn To The Sun’ dan ‘Book of The Dead’.
Seni Ukir
Seni ukir Mesir dapat dilihat melalui kuil-kuil, piramid, sphinx dan tiang-tiang.Seni ukir yang terdapat pada patung-patung Firaun ini tidak banyak perbezaannya buat berabad-abad lamanya. Tiang-tiang yang dibina ketika Mesir diperintah oleh raja perempuan yang bernama Hatshepsut telah diukir dengan catatan peristiwa-peristiwa penting yang berlaku pada zamnnya. Antara perisitiwa penting itu ialah pembinaan semula rumah-rumah berhala.
Seni Bina
Juru bina yang mula-mula sekali merangka bangunan batu ialah Imhotep, penasihat utama kepada Firaun Zoser. Semasa rajanya masih hidup, beliau telah membina sebuah tugu yang berbentuk piramid di Sakkara. Piramid yang dipanggil Step Piramid ini masih ada hingga ke hari ini. Pembinaan piramid seperti ini diteruskan oleh raja-raja Mesir seterusnya. Setiap raja semasa hidupnya membina tugu-tugu besar atau piramid yang masih kekal hingga ke hari ini. Kebanyakan piramid dibina antara tahun 3000 hingga 2000 SM. Apa yang menakjubkan di sini ialah betapa berat dan susahnya kerja membina tugu-tugu besar begini bagi orang-orang zaman itu. Piramid besar yang dibina di Gizeh untuk Firaun Khufu meliputi kawasan seluas 13 ekar. Ia dibina menggunakan lebih daripada sejuta kepingan batu kapur yang beratnya 2 tan sekeping. Di dalam tugu ini terdapat lorong-lorong yang menyambungkan bilik-bilik mayat yang ada di dalamnya. Jelas sekali betapa mutlaknya kuasa raja-raja Mesir dan rajinnya rakyat kelas bawahan. Dianggarkan seramai 100,000 orang yang terdiri daripada hamba abdi dan dan pekerja yang dikerah paksa, terpaksa bekerja untuk selama 20 tahun bagi menyiapkan tugu itu. Antara tugu-tugu termasyhur yang masih kekal hingga ke hari ini ialah The Great Sphinx of Giza. Ia berupa sejenis makhluk yang mempunyai badan seekor singa dan berkepala yang menyerupai muka Firaun Khfre. Firaun Khfre telah membina 3 buah piramid di Gizeh. Sphinx-sphinx ini didirikan berhampiran dengan tugu-tugu besar. Banyak patung Firaun yang memerintah pada zaman dinasti pertama dibina di Mesir ini.
Selain dari tugu, seni bina Mesir juga dapat dilihat melalui pembinaan kuil-kuil. Raja Pepi 1 telah membina beberapa buah rumah berhala unutk ‘tuhan-tuhan’ mereka. Batu granait digunakan dalam pembinaan rumah berhala ini. Usahanya diteruskan oleh firaun-firaun yang memerintah selepasnya terutamanya Raja Hatshepsut..Kuil-kuil yang dibina itu menggunakan kemahiran yang tinggi.
Semasa Mesir diperintah oleh raja perempuan yang bernama Hatshepsut, baginda memerintahkan supaya didirikan dua batang tiang peringatan semasa perayaan menyambut ulangtahun pemerintahnnya yang ke-15. Tiang-tiang itu hampir 100 kaki dan berat setiap batang ialah 350 tan. Tiang-tiang ini didirikan di hujung rumah berhala Amon yang mula dibina semasa pemerintahan ayahnya. Pembinaan tiang ini dibuat hampir 6 bulan. Tiang-tiang itu disalut dengan sejenis pancalogam. Selain dari itu banyak didirikan patung-patung firaun dan istana.
Seni Lukis
Lukisan yang dihasilkan pada zaman Mesir purba mempunyai warna yang terang. Ia biasanya menggambarkan kehidupan seharian masyarakat Mesir purba. Lukisan dapat dilihat di dinding piramid.
Muzik
Antara alat-alat muzik yang utama ialah seruling, sastrum, kecapi dan alat muzik yang bertali. Kuil juga mempunyai koir masing-masing. Istana raja pula mempunyai orkestra.
Kaligrafi
Orang Mesir mula memajukan sistem tulisan semasa zaman pra-dinasti lagi. Pendeta Mesir telah menggunakan tulisan apabila hendak merekodkan upacara keagamaan dan harta kuil. Tulisan awal Mesir adalah dalam bentuk gambar iaitu gambar digunakan untuk mewakili objek. Jenis tulisan ini dipanggil tulisan hieroglifik (hieroglyphic). Pada peringkat kedua perkembangan tulisan, gambar yang mewakili bunyi perkataan digunakan. Peringkat akhir perkembangan tulisan menyaksikan penciptaan huruf yang mengandungi 24 tanda. Huruf yang dicipta tidak mengandungi huruf vokal. Dakwat yang digunakan untuk menulis dibuat dengan mencampurkan air, abu dan gam sayur-sayuran. Rumput buluh halus digunakan sebagai pen. Tulisan dibuat atas tembikar, tulang dan kayu. Kemudian orang Mesir menggunakan papirus sebagai kertas.
Tamadun Graeco-Roman
Greek
Kesusasteraan
Pengasas kesusasteraan Yunani yang terkenal ialah Homer. Beliau telah menulis epik-epik Illiad dan Odyssey. Illiad adalah kisah-kisah peperangan di antara Yunani dan Troy manakala Odyssey pula mengisahkan pengembaraan Odysseus selepas peperangan dengan orang-orang Troy tamat. Pendek kata, epik-epik tersebut bertemakan kekuatan fizikal. Hipponax dan Xerophones telah memperkenalkan puisi lirik. Tema puisi lirik ialah kegembiraan dan kesedihan. Pindar (518-438 SM) merupakah salah seorang penulis puisi lirik yang masyhur. Sappho (abad ke-6 SM) pula adalah seorang ahli puisi wanita yang masyhur. Dia menulis puisi-puisi romantik. Thucydides adalah tokoh sastera Greek yang memperkenalkan bentuk prosa.
Drama diperkenalkan pada abad ke-5 SM.Drama-drama awal lebih kepada bentuk agama dan kepercayaan. Penulis-penulis drama Yunani yang masyhur ialah Aeschylus (525-456 SM) yang dianggap sebagai pengasas drama Greek, Sophocles (496-406 SM) dan Euripides (480-406 SM). Di antara drama-drama yang terkenal ialah ‘The Persians’, ‘Prometheus Bound’, ‘Antigone’, ‘The Trojan Women’ dan ‘Oedipus’. Drama-drama ini adalah berbentuk komedi dan tragedi. Secara keseluruhannya drama-drama Greek mempersembahkan lakonan memuja. Walau bagaimanapun, ada juga di kalangan dramatis yang bersifat kritis. Sebagai contoh, Euripides telah menunjukkan kesangsiannya terhadap tuhan. Aristophanes pula mempersendakan ahli-ahli politik dalam lakonannya. Drama yang berani mengkritik para pegawai kerajaan yang menerima rasuah (dibuat secara komidi) ialah ‘The Knights’ dan yang mempersendakan ahli falsafah (seperti Socrates dan Pericles) ialah ‘The Clouds’.
Teater
Bidang ini berkembang pesat di negara kota Greek pada abad ke-5 SM. Ia diadakan pada masa Pesta Dlonysus atau Dewa Wain. Pelakon-pelakon teater terdiri dari kaum lelaki sahaja. Teater mendapat sambutan yang baik daripada rakyat. Pada peringkat awal seorang akan membacakan cerita dan seorang lagi akan berlakon. Keadaan ini kemudian berubah dengan pelakon menguasai lakonan, cerita dan cuma terdapat muzik latar mengiringi lakonan mereka.
Seni Bina
Tamadun Greek juga memperlihatkan ketingggian dalam bidang seni bina. Bidang ini dapat dilihat melalui bangunan-bangunan yang dirikan seperti kuil-kuil. Kemajuan dalam bidang ini jelas sekali pada zaman Pericles di Athens. Di bawah arahan juru binanya yang bernama Ictinus dengan bantuan Callicrates, Pathenon atau ‘Temple of the Virgin’ dibina di atas Acropolis. Kuil ini dibina ‘untuk Dewi Athena’. Bangunan ini dibuat dari batu marmar Attica yang diambil dari Gunung Pentelicus. Dari runtuhannya masih kelihatan rupa dan bentuknya yang menarik. Di dalamnya terdapat sebuah patung Virgin Athena yang besar dan tersergam. Selain dari Pantheon, terdapat banyak kuil lain di bina di Greek seperti Kuil Arthemis dan Kuil Apollo yang melambangkan kebolehan juru binanya. Di Greek terdapat 3 jenis seni bina bangunan yang popular iaitu Doric, Ionic dan Corinthian. Keindahan seni bina Greek dapat juga dillihat melalui patung yang menjadi tiang bangunan serambi Kuil Erechtheum.
 Seni Ukir
Orang crete adalah pakar dalam memotong permata, mengukir gading dan seni tembikar.Mereka telah meninggalkan contoh-contoh hasil kerja tangan dari logam-logam dan patung-patung kecil yang sangat indah perbuatannya, dibuat dari gading dan emas. Keindahan seni ukir Greek juga dapat dilihat melalui ukiran-ukiran pada patung-patung ketuhanan. Sebagai contoh, patung Athena yang dibuat daripada gangsa dan emas diukir dengan begitu halus. Contoh patung lain yang diukir ialah patung Seus, patung Olympia, patung pembaling cakera, Colossus dan Venus de Milo. Patung-patungnya mempunyai mimik muka perasaan manusia. Antara pengukir-pengukir yang terkenal ialah Phedias, Scopas dan Praxiteles. Selain dari bertanggungjawab mengukir patung Dewi Athena, Phedias juga mengukir gambar timbul yang cantik untuk Kuil Parthenon.
Seni Lukis
Sejarah peradaban awal Greek bermula di Pulau Crete (setakat tahun 2000 SM dan mencapai puncaknya pada tahun 1600 SM dan berterusan hingga selama kira-kira 4 abad lagi selepas itu) .Ia dikenali sebagai tamadun Mycenae. Kemajuan orang-orang Crete dalam bidang seni lukis sangat tinggi dari segi kehalusan dan daya. Istana-istana mereka dihiasi dengan lukisan-lukisan dinding (gambaran tentang orang perempuan dan binatang-binatang dengan berlatarbelakangkan pemandangan di desa. Selain dari itu, terdapat juga lukisan-lukisan menggambarkan pembawa-pembawa cawan yang bersopan santun, budak-budak perempuan yang menari dan perlawanan berlaga lembu dengan disaksikan oleh orang-orang bangsawan memakai pakaian-apakaian yang mengikut fesyen. Dengan itu dapat dikatakan di sini bahawa lukisan-lukisan orang Greek menggambarkan peristiwa-peristiwa yang tragik dan dramatik. Lukisan dibuat di atas kepingan kayu pada zaman Pericles. Ia juga dilukis di atas bekas-bekas.Pelukis Greek yang terkenal ialah Apollodorus.
Kaligrafi
Tulisan awal masyarakat Minos di Greek merupakan tulisan bergambar hieroglyphic (2000-1650 SM) dan tulisan bergaris yang disebut Linear A ( tahun 1700 SM). Terdapat juga jenistulisan Linear B (tahun 1450 SM) yang ditulis di atas papan tanah liat (contohnya, papan tanah liat dijumpai di Knossos, Create) dan di Mycenae, Pylos dan Thebes. Dikatakan juga bahawa orang Yunani telah mengambil tulisan orang Phoenicia yang telah diubah suai dengan menambah huruf-huruf vokal.
Tamadun Rom
Kesusasteraan
Rom telah menghidupkan kembali kesusasteraan Greek yang banyak mempengaruhi kehidupan orang Rom. Di samping mengekalkan kesusasteran Greek, orang Rom juga mencipta sastera mereka sendiri. Namun Rom tidak mempunyai ramai penulis agung. Pada zaman Pax Romana (zaman keamanan), sarjana-sarjana Rom mengkaji dan menulis semula karya-karya agung lama. Di antara tokoh Rom yang terkenal dalam bidang ini ialah Phiny dengan karya yang berjodol ‘Natural History’. Seneca adalah contoh penulis prosa yang terkenal. Cicero pula telah menjadikan bahasa Latin sebagai bahasa yang penting dalam kesusasteraan melalui tulisan-tulisannya. Bidang ini mencapai puncak pada zaman pemerintahan Augustus dengan dua orang penyair terkenal iaitu Horace ( penulis lirik) dan Virgil. Virgil telah menghasilkan ‘Aeneid’.
Seni bina
Seni bina Rom menggambarkan gabungan antara orang Rom, Etruscan dan Yunani. Gabungan ini dipanggil Graeco-Roman.Orang Rom meniru bentuk arca dari orang Etruscan dan dari situ mereka mencipta bidang-bidang baru lain yang tidak ada di Greek. Sebenarnya Rom banyak mewarisi seni bina Greek. Walaupun rekaan orang Rom tidaklah sehalus ciptaan orang Greek namun keluasan binaan Rom menampakkan sesuatu yang mengkagumkan. Mereka telah mencipta sendiri konkrit yang dibuat dari batu dan batu bata bagi menjimatkan belanja dan ciptaan ini kemudian ditiru oleh negara Eropah lain..
Bangunan-bangunan Rom mempunyai ciri-ciri seperti lengkungan, basilika dan dom. Seni bina rom banyak dipengaruhi seni bina Greek dan Asia. Seni bina Rom dapat dilihat melalui binaan pintu gerbang, bumbung yang melengkung, arked (peneduh), kubah, tiang , bangunan bundar, saluran-saluran air yang besar (akuadak) , tempat mandi awam, arca, jalan raya, jambatan, pembentung, hospital, rumah dan gereja.
Antara bangunan yang masyhur ialah Colosseum (tahun 80 M). Colosseum merupakan sebuah teater atau gelanggang yang besar untuk pelbagai jenis permainan yang boleh memuatkan seramai 50,000 orang. Colosseum dibina dengan gabungan tiga ciri utama zaman Greek iaitu ‘doric’, ‘ionic’ dan ‘corinthian’. Pantheon pula merupakan kuil berbentuk kubah dengan ukuran 142 kaki diameter. Yang istimewa tentang Pantheon ini ialah domnya tidak disokong oleh tiang. Selain dari itu terdapat juga Circus Maximum yang merupakan stadium berbentuk elips yang menganjurkan pertandingan kereta kuda beroda dua. Stadium ini boleh memuatkan seramai 150000 orang. . Rom juga terkenal dengan binaan jalan raya yang dibina sepanjang 12,000 batu dengan 372 jalan utama yang menghubungkan Rom dengan negara-negara di bawah empayarnya. Rom membina saluran air (akuadak) yang ada yang sampai 80 km panjangnya. Contoh akuadak yang terkenal ialah Aqua Claudia. Rom juga terkenal dengan binaan kolam mandi. Antara yang terkanal ialah Caracalla seluas 11 hekatar yang boleh memuatkan seramai 1500 orang.
Augustus telah membina sebuah istana di Bukit Palatine dan sebuah kuil untuk Apollo berdekatan dengannya. Kuil ini dicirikan oleh jajaran tiang. Seni bina Rom mencapai puncak pada zaman Trajan dan Hadrian.
Seni Ukir
Seni ukir Rom boleh dilihat melalui seni binanya yang banyak dipengaruhi oleh corak Greek.
Kaligrafi
Rom menggunakan tulisan Latin. Orang Rom juga telah mengambil tulisan orang Phoenicia (orang Phoenicia telah mencipta sistem abjad yang mempunyai 22 simbol) yang telah diubah suai oleh orang-orang Greek dengan menambah huruf-huruf vokal yang kemudian telah diubah suai lagi oleh orang-orang Rom. Tulisan ini kemudian telah tersebar ke Barat.
Tamadun China
Kesusasteraan
Sun –tsu (awal kurun ke-4 SM) telah mengarang buku ‘ The Art of The War yang menyentuh tentang strategi peperangan. Banyak kajian dan karya telah dihasilkan pada zaman Dinasti Han. Tokoh penting yang hidup pada zaman Dinasti Han ialah Ssu Ma Chien yang juga dikenali sebagai Bapa Sejarah China.
Puisi juga mendapa tempat di negara China. Pada zaman Dinasti Tang (618-907 M) penyair-penyair agungnya mendapat sanjungan yang tinggi di negara China jika dibandingkan pada zaman-zaman yang lain. Antara penyair yang terkenal ialah Tu Fu dan Li Po. Nada puisi ialah kesayuan dan kegembiraan.
Pada zaman Dinasti Yuan bidang novel berkembang dengan pesat dan setengah-setengah novel telah mencapai kepada tahap mutu yang tinggi walaupun pada mulanya tidak dianggap sebagai kesusasteraan dalam erti kata yang sebenar.
Seni bina
Dalam bidang ini China terkenal dengan pembinaan Tembok Besar yang dibina semasa Dinasti Chin. Semasa Dinasti Chou lagi, beberapa buah negeri di bahagian utara negeri China telah membina tembok-tembok yang panjang untuk mempertahankan negeri China daripada serangan musuh. Maharaja Shih Huang Ti telah mengukuh dan mencantumkan semua tembok tersebut menjadi satu tembok besar yang bersambungan di atas bukit dan lembah.Pembinaannya adalah dalam jangka masa antara tahun 228 SM hingga 210 SM. Tembok Besar China yang panjangnya kira-kira 2410 km dan setinggi 40-50 kaki merupakan satu daripada 7 keajaiban dunia. Di sepanjang tembok itu dibina 20,000 menara-pengawa di samping 10,000 menara-pengawal kecil. Pada setiap menara ditempatkan sepasukan tentera seramai 100 orang. Seni bina yang lain dapat dilihat melalui pembinaan istana, kuil-kuil dan bangunan-bangunan berbentuk pagoda.
Seni Ukir, seni pahat dan seni halus
Ukiran-ukiran dapat dilihat pada patung-patung yang dibuat daripada batu jed, gangsa, batu, tanah liat dan kayu. Ukiran juga dibuat di kubur dan di dinding gua. Pengukir Shang menggunakan batu marmar, batu jed dan batu kapur untuk mengukir patung-patung kecil. Dinasti Han juga terkenal dengan pengukir-pengukirnya yang mahir.
Dalam bidang pembuatan seramik atau tembikar, masyarakat Shang telah memajukan teknik-teknik membuat seramik.Buatannya halus dan dicat dengan warna hitam dan merah. Gangsa juga digunakan untuk membuat bekas air dan makanan. Ia dihiasi dengan ukiran-ukiran geometrik dan haiwan.
Pada zaman Dinasti Tang (abad ke-8) seni pahat (sculpture) turut berkembang seiring dengan perkembangan seni lukis.Dalam hal ini agama Buddha banyak memainkan peranan. Kegiatan agama telah menghasilkan banyak patung di kuil-kuil. Patung-patung yang masyhur ialah ‘Lung-men’, Buddha batu yang dikelilingi oleh patung-patung Bodhisattvas, samai-sami dan penjaga-penjaga. Kemudian dengan secara beransur-ansur orang-orang China menggantikan patung-patung keagamaan itu dengan membuat patung-patung berbentuik kuda dengan ukiran-ukirannya sekali. Patung-patung kuda dengan penunggangnya menggambarkan sifat kepahlawanan China.
Seni Lukis
Lukisan dilukis pada kain sutera, tembikar dan sampang. Ia biasanya terdiri daripada potret manusia, gambar-gambar yang berlatarbelakangkan cerita-cerita metos dan peristiwa-peristiwa yang benar-benar berlaku. Seni lukis yang mula-mula sekali dihasilkan adalah dari orang-orang Buddha yang kemudian berkembang ke arah keduniaan. Pada zaman Dinasti Tang muncul pelukis teragung iaitu Wu Tao Yuan yang juga merupakan seorang sami Buddha. Dengan beberapa garis, dia telah dapat meletakkan satu lukisan yang bermutu tinggi di kanvas lukisannya. Seni lukis mencapai kemajuan sebenar pada zaman Sung. Dua orang pelukis terkenal zaman ini ialah Kuo His dan Mi Fei. Pada zaman Dinasti Han, banyak lukisan potret dihasilkan. Tembok dihiasi dengan catan fresco menggambarkan tokoh terkemuka seperti ahli falsafah, raja-raja, negarawan. Kedatangan agama Buddha memberi motif baru dalam seni lukis. Corak lukisan lebih kepada gambar pemandangan seperti sungai, gunung ganang. Batu-batu dan salji.
Muzik
Alat muzik tradisional China ialah seruling buluh kerana buluh banyak di negara China.Kedatangan orang Mongol membawa satu lagi alat muzik iaitu ‘hu-Chin’ atau kecapi Mongol yang dmainkan secara menggesek (seperti menggesek biola).Dinasti Yuan telah memberi satu sumbangan kepada perkembangan muzik China iaitu sumbangan irama lagu yang baru dengan gabungan lagu dan kecapi.
Nyanyian China seolah-olah mendapat ilham dari bangsawan Eropah apabila pada tahun 720 seorang daripada maharaja Dinasti Tang telah mengasaskan Kolej Pear Garden di perkarangan istananya. Beratus-ratus pelajar muda diberi latihan. Kolej ini meletakkan asas dalam latihan wayang bangsawan orang China. Lagu memainkan peranan penting dalam keseluruhan bangsawan. Diolog diucapkan berasingan dari persembahan.
Drama
Pembentukan dan kebangkitan drama China berlaku pada zaman Dinasti Yuan.Banyak drama dihasilkan dan ada di antaranya masih dipentaskan pada zaman China moden. Kemungkinan drama pada zaman Dinasti Yuan (Mongol) ini berkembang kerana mengisi masa lapang yang banyak memandangkan Mongol tidak memberi peluang kepada orang China mengisi jawatan kerajaan.
Telah menjadi kebiasaan bahawa drama China disertakan dengan muzik. Terdapat juga drama komidi yang berunsur sindiran atau teguran terhadap maharaja. Watak dalam drama China melaungkan riwayat hidupnya, pemikirannya dan pekerjaannya pada babak pertama. Dari segi dasar, cara ini sama seperti korus orang Greek.
Teater
Bidang ini hanyak berkembang di kalangan kaum bangsawan kerana mereka merupakan golongan intelek.
Kaligrafi
Sistem tulisan Shang adalah sistem tulisan Cina yang terawal di negara China. Mereka juga menggunakan tulisan bergambar yang melambangkan sesuatu objek. Orang China juga menggunakan tulisan simbol untuk menggambarkan idea abstrak atau kompleks. Terdapat 3000 simbol pada zaman Dinasti Shang. Tulisan berbentuki simbol dikenali sebagai ‘ideogram’atau ‘ideografik’. Tulisan ideografik ini menjadi asas kepada tulisan Cina sekarang.. Pada zaman Dinasti Shang jurutulis menggunakan berus atau kayu runcing untuk menulis. Tulisan diguris di atas kepingan buluh, kulit siput, tulang,kulit kura-kura, batu jed, gangsa, kayu, tembikar dan sutera. Kepingan-kepingan buluh yang telah ditulis itu diikat untuk menjadi sebuah buku. Tulisan penting kerana ia boleh menjadi alat untuk memelihara perpaduan negara.
 Tamadun India
Kesusasteraan
Perkembangan kesusasteraan tamadun India kebanyakannya diwarisi daripada Empayar Gupta. Raja-raja Gupta menjai penaung dan berminat dalam seni. Mereka menjemput ke istana mereka kumpulan penyair. Kaum bangsawan dan kalangan istana begitu berminat terhadap kesusasteraan.Nama sasterawan yang paling agung dan terkenal ialah Kalidasa dengan karyanya yang berjodol Sakuntala. Dia mempunyai daya pemikiran menggambarkan setiap emosi manusia yang tersembunyi. Dengan daya imaginasi dan penguasaan bahasa, minat terhadap kesusasteraan.Nama sasterawan yang paling agung dan terkenal ialah Kalidasa dengan karyanya yang berjodol Sakuntala. Dia mempunyai daya pemikiran menggambarkan setiap emosi manusia yang tersembunyi. Dengan daya imaginasi dan penguasaan bahasa Sanskrit telah meletakkan dirinya bersama penyair India yang lain dan dia melebihi penyair lain di mana-mana sahaja. Sakuntala mengandungi puisi klasik dan drama tentang sosial masyarakat Hindu.
Orang Aryan dan bahasa Sanskrit turut memainkan peranan penting dalam perkembangan kesusasteraan India. Orang Arya telah menghasilkan Rig-Veda yang merupakan kumpulan sajak agama dan tradisi lisan. Karya ini telah ditulis pada tahun 1000 SM.
India juga terkenal dengan dua buah epik iaitu Mahabharata dan Ramayana. Kedua-dua epik ini menceritakan kehidupan dalam tamadun awal India.Mahabharata mengandungi syair yang menceritakan tentang permusuhan Pandawa dan Kaurava. Ia ditulis oleh Vyasa. Ramayana pula menceritakan tentang pengembaraan Rama mencari isterinya Sita yang telah ditawan oleh Ravana. Ia ditulis oleh Valmiki.
Di Selatan India, orang Dravidia menghasilkan corak kesusasteraan yang berbeza dengan orang Aryan di utara India. Mereka menghasilkan sastera berbentuk epik, prosa lirik dan sajak yang berunsur falsafah. Tulisan mereka menulis menggunakan bahasa Tamil. Karya-karya mereka yang terkenal ialah Ettuttokai, Pattuppattu, Tolkappiyam dan Tirukkural.
Bangunan-bangunan yang dibina di bandar Mohenjo Daro begitu kukuh menggunakan batu bata yang mempunyai saiz yang sama. Bentuknya hampir seragam dan boleh dikatakan setiap rumah mempunyai bilik mandi. Tempat mandi awam juga dibina. Di bandar ini juga terdapat tali air. Bangunan-bangunan yang didirikan itu menjadikan bandar Mohenjo Daro sebagai bandar terancang.
Asoka juga terkenal dengan pembinaan kuil-kuil Buddha. Beliau juga membina tiang-tiang batu yang di atasnya dicatat perintah-perintahnya dengan menggunakan bahasa Prakrit. Antara tiang batu yang termasyhur ialah tiang yang mempunyai ukiran 4 ekor singa yang menyokong Roda Undang-undang agama Buddha. Ia dijumpai di Sarnath. Patung yang terkenal yang dihasilkan pada zaman tamadun awal ini ialah patung Dewa Siva. Zaman tamadun awal India ini juga menghasilkan barang-barang kemas yang halus buatannya, tembikar dan barang keperluan rumah yang bermutu tinggi, membuktikan pencapaian tinggi dalam bidang kesenian dan kraftangan. Bukti-bukti menunjukkan bahawa tukang-tukang kraftangan telah menggunakan bahan yang dibawa dari kawasan yang jauh. Misalnya, bitumen dari Baluchistan, perak dari Afghanistan dan plumbum dari Rajasthan.
Pada zaman Dinasti Maurya iaitu semasa pemerintahan Asoka, tukang-tukang ukir yang mahir telah mengukir patung-patung dan membuat ukiran pada pintu-pintu gerbang gua. Di dalam gua-gua juga terdapat ukiran yang menggambarkan kehidupan Gautama Buddha. Asoka juga telah membuat ukiran yang berupa perintah-perintahnya pada tiang-tiang batu.
Seni Lukis
Lukisan didinding telah dijumpai di Ajanta yang dikatakan tiada tolok bandingnya pada zaman silam. Pendekata, seni Hindu adalah paling tinggi mutunya pada kurun ke-5 M.
Seni Bina
Tamadun Indus telah membina rumah-rumah yang menyerupai rumah-rumah moden yang lengkap dengan bilik makan, bilik mandi dan halaman.
Pada zaman Dinasti Maurya di bawah pemerintahan Asoka seni bina telah mencapai zaman kegemilangan. Seni bina zaman Asoka ini dipengaruhi oleh agama Buddha kerana Asoka sangat kuat berusaha mengembangkan agama Buddha. Pintu-pintu gerbang gua banyak dibina. Kuil-kuil dibina di dalam gua. Pada zaman ini juga dibina beribu-ribu stupa yang dibuat dari batu dan berbentuk kubah. Ia dibina ditempat suci. Ia bukanlah kuil Buddha tetapi merupakan tempat menyimpan bahan-bahan peninggalan Buddha
Seni Ukir
Masyarakat Indus telah menggunakan tanah liat dalam membentuk patung-patung dan ala-alat perhiasan.
Kaligrafi
Tulisan tamadun Indus adalah berbentuk piktograf. Ia dikesan pada cap-cap yang ditemui. Kewujudan tulisan itu membuktikan bahawa masyarakat Indus telah maju dalam bidang intelektual.
Tamadun Barat
Eropah pada zaman pertengahan awal atau dikenali juga sebagai zaman gelap (500-1000M) merupakan satu era yang tidak menampakkan perkembangan tamadun kerana masa itu Eropah mengalami zaman kucar kacir dan pencerobohan (diserang oleh orang gasar dari Asia Tengah), hidup tanpa pelajaran, sistem kerajaan yang tidak teratur, kebuntuan ekonomi dan tiada sistem perbandaran. Kesusasteraan Latin tidak mengalami apa-apa perkembangan. Tiada pembacaan atau penghasilan karya-karya baru. Pada zaman Pertengahan Lanjutan (1000-1500M) masyarakat Eropah mula bangkit dari zaman kegelapan. Mereka mula menyedari kepincangan mereka dari pelbagai aspek. Pada zaman ini mula berlaku pembaharuan dalam bidang kesenian. Wujud satu seni baru iaitu ‘Gothic’ dan ‘Romanesque’. Gereja dan istana dibina berdasarkan bentuk ini. Corak Gothic ini banyak terdapat di England, Jerman dan Itali dan sedikit di Rom.
Perkembangan kesenian di Eropah menampakkan kemajuannya pada zaman Renaisans/Rennaisanse (Rennaisanse merupakan zaman yang berlaku antara zaman pertengahan dengan zaman moden.Renaisans adalah suatu gerakan intelektual yang berkembang di selatan Eropah iaitu di Itali dari abad ke-14 hingga abad ke-16. Ia juga dianggap sebagai ‘kelahiran semula’ yang bermaksud bahawa masyarakat Eropah ingin kembali ke zaman kegemilangan Greek dan Rom. Renaisans kemudian berkembang ke utara Eropah iaitu ke negeri-negeri England, Belanda, Jerman dan Perancis ). Pada zaman inilah timbul minat dan kecenderungan baru untuk memulihkan semula bidang kesenian dan ilmu pengetahuan tamadun purba Yunani dan Rom. Pada zaman ini orang Eropah mula menghasilkan kesenian dan kesusasteraan baru.
Seni bina , seni ukir dan seni lukis
Pada kurun ke-13 Perancis telah menampakkan perkembangan dalam bidang seni bina apabila bangunan-bangunan yang besar-besar yang dibina pada kurun ke-11 telah digantikan dengan pembinaan dewan yang indah dan hebat. Begitu juga dengan penghasilan lukisan kaca dan ukiran serambi yang rumit. Gereja yang besar-besar juga dibina seperti di Chartres, Bourges, Rheims dan Amiens.
Penghasilan karya oleh golongan humanis pada zaman Renaisans telah berjaya memulihkan semula kesenian Yunani dan Rom. Seni bina pada zaman pertengahan lebih mementingkan ciri-ciri agama dan kerohanian. Pelukis-pelukis pada awal kurun ke-15 mula melukis dan mengukir mengikut pemikiran mereka secara bebas. Hasil-hasil lukisan mereka adalah berbentuk benda-benda hidup. Tumpuan mereka adalah kepada bentuk badan manusia. Pada zaman Renaisans, bandar Florence menjadi pusat seni bina yang pertama. Pakar seni bina yang pertama di Florence ialah Fillipo Brunelleschi. Beliau berjaya membina bangunan yang mempunyai ciri-ciri zaman Renaisans yang pertama di Rom. Brunelleschi dianggap sebagai pengasas pembinaan bangunan zaman Renaisans. Bangunan tersebut dikenali sebagai ‘Innocent Hospital’. Pengukir-pengukir Florence yang mengikut jejak langkah beliau ialah Lorenzo Ghiberti dan Donatello. Pada kurun ke-16 Rom telah muncul sebagai pusat kesenian dan pembinaan.
Dalam bidang seni lukis, muncul pelukis-pelukis terkenal seperti Leonardo da Vinci (1452-1519) dengan lukisannya yang sangat terkenal iaitu Mona Lisa. Beliau juga menghasilkan lukisan lain yang juga terkenal seperti The Madona And The Child, St. John dan Madona and The St. Anne. Di samping melukis potret, beliau juga banyak menghasilkan lukisan pemandangan atau keindahan alam. Beliau telah memperkenalkan tulisan cermin yang masyhur yang mengandungi huruf-huruf songsang. Selain itu terdapat Raphael (1483-1520) dan
Michaelangelo (1475-1564). Michaelangelo lebih menumpukan kepada pengkajian keindahan tubuh badan manusia. Ukiran-ukiran beliau bersaiz besar. Antara penghasilan beliau yang terkenal ialah ukiran patung David. Beliau juga telah mengukir patung Nabi Musa, Night, Dawn dan Day . Patung-patung ini menjadi tugu peringatan Medici. Beliau juga telah menghiasi Gereja Sistine dengan lukisan dinding seperti pemandangan yang terdapat dalam kitab Injil. Beliau telah menyiapkan lukisan pada gereja besar St. Peter di Rom ketika berumur 71 tahun. Para pelukis dan pengukir ini telah menyebabkan munculnya era baru dalam bidang lukisan dan seni bina dalam sejarah Eropah.
Kesusasteraan
Zaman Renaisans telah memunculkan ramai penulis yang menghasilkan tulisan yang bermutu. Petrach telah menghasilkan banyak jenis karya. Karyanya yang paling masyhur ialah Swan Book yang merupakan syair percintaan. Beliau banyak menghasilkan karya dalam bahasa Latin dan Itali. Beliau juga mengkaji karya dan tulisan-tulisan Yunani dan Rom dan menterjemahkannya. Beliau telah berjaya mengembalikan kegemilangan karya-karya Yunani dan Rom. Boccaccio pula menghasilkan Decameron yang merupakan karya yang pertama ditulis dalam bahasa Itali yang kemudian telah diterjemahkan ke bahasa lain. Penyair Itali yang paling terkenal ialah Dante Aligheri dengan karya yang berjodol The Divine Comedy. Melalui karya ini beliau mempersendakan syurga dan neraka. Nicollo Michiavelli menghasilkan The Prince . Ia merupakan karya mengenai perhubungan pemimpin dan rakyat. Seorang tokoh humanis dari Belanda bernama Desiderius Erasmus melalui karyanya berjodol Praise of Folly telah mengkritik pihak gereja yang mengamalkan rasuah.
England juga telah menghasilkan beberapa orang pengarang dan penyajak terkenal seperti Geoffery Chaucer, Thomas More dan William Shakespeare. Chaucer telah menghasilkan Canterbury Tales yang cuba menyingkap perangai dan tabiat masyarakat England. Thomas More dalam karyanya yang berjodol Utopia telah mengkritik kuasa mutlak raja. Shakesspeare pula bukan sahaja berbakat dalam penulisan drama bahkan juga merupakan seorang penyair. Banyak karyanya diterjemahkan ke bahasa lain.
Perancis tidak ketinggalan dalam penghasilan sastera yang ditulis dengan menggunakan bahasa sendiri. Lagu separuh epik menyentuh tentang jasa Raja Arthur, Charlemange dan hero-hero lain zaman silam. Penciptaan puisi lirik yang indah yang bertemakan cinta keperwiraan, kemuliaan hubungan manusia sesama manusia, kemudian dilagukan dari istana ke istana. Karya seperti ini kemudian merebak ke Sepanyol dan Jerman.
Di Jerman, puisi lirik mereka lebih kepada pemujaan kepada hero mereka seperti Tristan, Parsival, dan watak dari sastera rakyat Jerman iaitu Siegfried. Terdapat juga sajak lucah dan berunsur satire yang cuba menyindir pegawai gereja dan gereja. Terdapat juga puisi lirik berunsur cinta.
Muzik dan drama
Bidang muzik turut mengalami perkembangan pada zaman Renaisans. Istana Burgundy memainkan peranan penting dalam sejarah muzik. Pada akhir kurun ke-15, pencipta-pencipta muzik Flemish memainkan peranan yang penting. Penggubah-penggubah muzik zaman Renaisans telah menggabungkan semua irama muzik. Ini menyebabkan bidang muzik menjadi bertambah rumit. Pemain-pemain muzik mula menggunakan biola dan piano.
Pementasan drama menjadi penting semasa zaman Renaisans. Pihak-pihak yang berkuasa dan mempunyai sumber kewangan telah mementaskan drama. Temanya mengenai kisah kehidupan seharian. Kemajuan dalam bidang drama telah mendorong kewujudan panggung wayang. Panggung pertama yang dibina di England ialah panggung Globe.
 Tamadun Arab
Kesusasteraan
Masyarakat Arab sebelum kedatangan Islam amat menyanjung penyair-penyair berbakat. Penyair dipandang tinggi dan terhormat. Biasanya apabila pada sesatu kabilah itu muncul seorang penyair, maka datanglah utusan dari kabilah-kabilah lain mengucapkan selamat kepada kabilah itu. Diadakan pestadan jamuan besar-besaran dengan menyembelih binatang-binatang ternak dengan diiringi oleh tarian dan nyanyian wanita-wanita kabilahnya.. Antara penyair yang terkenal pada masa itu ialah Hassan bin Thabit, Hatim al-Tai, Al-A’sya, Muhalhil bin rabiah, Zuheir bin Abi Salma, Tarfah bin Al-Abd, Al-Qatami, Al-Hutaiah dan lain-lain lagi. Kedudukan yang terhormat tersebut terjadi kerana mereka jugalah menjadi juru cakap kabilahnya. Peranan penyair itu ialah meninggikan kabilahnya sambil merendahkan kabilah lain. Mereka juga merupakan jurnalis dan sejarawan. Tema syair Arab zaman jahiliah ini berkisar kepada kisah-kisah kaum mereka atau keadaan sekitar. Bahasa yang digunakan dalam syair-syair tersebut ialah bahasa Arab Quraisy.
Bagi meningkatkan mutu syair, diadakan pertandingan menggubah syair pada musim haji terutama di pasar Ukkaz. Mereka mengambil kesempatan pada musim haji kerana pada masa itulah Mekah menjadi tumpuan orang mengerjakan haji. Syair-syair yang menang digantung di Kaabah dan ditulis dengan warna emas untuk tatapan masyarakat.
Seni bina, seni ukir.
Di Yaman terdapat peninggalan yang menampakkan bahawa kerajaan selatan Semenanjung Tanah Arab itu mempunyai kemahiran seni bina. Sehingga ke hari ini masih kelihatan peninggalan empangan Maarib yang dibina di antara dua buah gunung untuk menampung air bagi kegunaan pertanian dan mengelakkan banjir. Ia mula dibina pada tahun 750 SM. Empangan ini dibuat dari batu yang sungguh kukuh. Ternyata ia dibina dan dibuat perancangan oleh arkitek yang mahir. Selain dari empangan tersebut, terdapat juga binaan kuil-kuil agama untuk ‘tuhan bulan’. Tiang-tiangnya yang tegak kukuh masih berdiri hingga ke hari ini. Kerajaan Saba’ di Yaman ini juga telah mendirikan benteng-benteng pertahanan yang kukuh, istana-istana yang besar lagi indah (seperti istana Ghumdan, istana Salihin dan istana Bainun), bangunan-bangunan yang indah dan tinggi yang tiada taranya pada zaman dahulu serta membuat barang-barang ukiran yang cantik.
Di utara Semenanjung Tanah Arab iaitu di bandar Batra’di Anbat, banyak rumah berhala yang dahulunya diletakkan patung tuhan-tuhan yang disembah oleh penduduk Anbat dibina dan tiang-tiangnya masih kelihatan hingga ke hari ini. Bandar Tadmur yang juga terletak di utara Arab pula merupakan bandar yang dikatakan dibina atas perancangan yang rapi oleh sekumpulan arkitek. Batu-batu granet yang besar telah dibawa dari ulu Sungai Nil di Mesir. Di jalan raya bandar itu tegak lebih kurang 750 buah tiang dari batu putih yang kemerah-merahan. Tinggi tiap-tiap satunya ialah 55 kaki. Di permulaan jalan bandar itu dibina pintu gerbang yang dibina di sebelah suatu rangka patung tuhan mereka yang terbesar iaitu patung ‘Syams’. Patung Syams ini dan beberapa tiang lagi masih ada hingga ke hari ini.
Tamadun Melayu
Seni bina, seni lukis, seni ukir
Seni bina di alam Melayu menampakkan pengaruh Hindu dan Buddha yang begitu kuat. Antara yang terkenal ialah Candi Borobudur di Jawa Tengah. Candi ini dibina berasaskan ajaran Buddha oleh raja-raja Sailendra antara tahun 778 – 850M. Candi ini dibina daripada batu gunung berapi berwarna kelabu dan memagari sebuah bukit kecil. Bentuknya seperti piramid bertangga dan terdiri daripada 8 tingkat. Kemuncaknya tediri daripada menara batu yang besar (stupa). Setiap tingkat mempunyai menara batu kecil. Dinding Borobudur dihiasi dengan pelbagai lukisan timbul tentang ajaran Buddha.
Selain dari Candi Borobodur, terdapat banyak lagi candi di Jawa Tengah seperti Candi Gunung Wukir, Candi Badut, kelompok Candi Dieng, kelompok Candi Gedung Songo, Candi Kalasan, Candi Sari, Candi Mendut, kelompok Candi Sewu, Candi Plaoson dan Candi Laro Jonggrang. Di Jawa Timur terdapat Candi Kidal, Candi Jago, Candi Singasari, Candi Jawi, Candi Jabung, kelompok Candi Panataran, Candi Muara Takus dan Candi-candi Gunung Tua.
Satu lagi seni bina terkenal di Alam Melayu ini ialah Angkor Watt di Kemboja. Ia dibina oleh raja Angkor iaitu Suryavarman II (1113 – 1150 M). tujuan ia dibina ialah untuk menyembah dewa Visynu serta melambangkan kekuatan keajaan Suryavarman II. Ia juga merupakan makam Suryavarman II. Kawasan Angkor Wat berbentuk segi empat tepat dengan 15550 meter panjang dan 1400 meter lebar. Terdapat beberapa menara yang melambangkan puncak Gunung Meru (gunung dewa-dewa). Angkor wat mempunyai lukisan timbul yang menceritakan dua epik Hindu iaitu Mahabharata dan Ramayana.
Di Lembah Bujang, Kedah terdapat banyak binaan candi untuk memuja Gautama Buddha serta dewa-dewi Hindu. Struktur binaannya seperti kuil-kuil di India Selatan. Reka bentuk candi-candi itu mempunyai tradisi seni bina tempatan. Antara candi-candi yang termasyhur ialah Candi Bukit Batu Pahat dan Candi Pendiat. Candi Pendiat berbentuk 4 segi bujur, mempunyai dewan dan tempat penyembahan.
Selain dari itu, terdapat juga bangunan-bangunan gapura di Jawa yang berbeza sifatnya tetapi terkenal dengan sebutan candi juga. Di antara gapura-gapura tersebut ialah Candi Jedong,CandiPlumbangan dan Candi Bujang Ratu.
Seni pahat dan seni ukir dapat dilihat melalui perhiasan rumah, barang-barang perak dan tembaga ( arca, lampu, talam) , barang-barang perhiasan wanita ,kepala perahu dan patung-patung. Patung-patung dibuat sebagai lambang ketuhanan Hindu. Patung-patung seperti ini banyak terdapat di Funan dan di Jawa. Ukiran-ukiran juga dipat dilihat pada dinding-dinding candi dalam bentuk makhluk-makhluk ajaib, daun dan bunga. Seni lukis pula dapat dilihat di dinding-dinding gua, wau dan batik.
Wayang, Muzik, nyanyian.
Bidang ini juga banyak dipengaruhi oleh unsur Hindu terutamanya di Jawa. Permainan wayang telah wujud pada zaman pra-sejarah lagi. Permainan wayang merupakan kegiatan ritual, namun ia diselitkan dengan unsur-unsur drama, nyanyian dan sebagainya. Pada asalnya permainan wayang ini disampaikan dalam bahasa Jawa Kuno tetapi kemudiannya bercampur dengan bahasa Sanskrit (bahasa Kawi). Isi cerita juga mengalami perubahan. Asalnya berkisar pada cerita mitos nenek moyang, kemudian mencedok cerita-cerita yang bersumberkan epik Mahabharata dan Ramayana yang dianggarkan bermula pada zaman pemerintahan Rakai Pekatan (782-856) dari kerajaan Mataram di Jawa Tengah. Pada abad ke-11 M wayang tersebut telah menjadi drama yang menggetarkan kalbu apabila ia diselitkan dengan permainan gamelan dan nyanyian.
Kesusasteraan
Di kalangan masyarakat Melayu tradisional, kesusasteraan rakyat (kesusasteraan lisan) tersebar dengan meluas. Kesusasteraan lisan terawal ialah cerita asal usul (nama tempat, tumbuh-tumbuhan dan binatang), cerita binatang (berwatakkan binatang seperti Sang Kancil), cerita-cerita jenaka ( Pak Pandir, Pak Kadok, Lebai Malang, Si Luncai dan Pak Belalang), cerita penglipurlara ( Hikayat Malim Deman, Hikayat Anggun Cik Tunggal), dan cerita-cerita moral ( Bawang Putih Bawang Merah, Batu Belah Batu Bertangkup, Si Tenggang).
Selain dari bentuk prosa, masyarakat Melayu juga mempunyai kesusasteraan lisan yang berbentuk puisi seperti pantun, teka-teki, gurindam dan seloka. Kesusasteraan Melayu mempunyai tujuan untuk berhibur di samping diselitkan unsur-unsur sindiran, nasihat dan cetusan rasa sedih atau gembira.
Kesusasteraan di alam Melayu ini juga tidak dapat lari dari pengaruh asing terutama Hindu. Dua buah epik Hindu iaitu Mahabharata dan Ramayana telah disadur dari bahasa Sanskrit dan dijadikan hikayat Melayu. Hikayat-hikayat Melayu itu diberi nama Hikayat Seri Rama, Hikayat Pendawa Jaya dan Hikayat Sang Boma. Pengaruh kedua-dua epik Hindu itu juga kelihatan dalam kesusasteraan Jawa kuno seperti Nagarakertagama , Kanjarakarma, Sutasoma dan Arjunawiwaha. Beberapa buah cerita jenaka Melayu yang juga dipengaruhi oleh kitab-kitab Hindu ialah Jataka, Pancatantra dan Sukasapati.
Kaligrafi
Huruf yang digunakan oleh orang-orang Melayu pada zaman purba ialah huruf yang tertua iaitu menyerupai seperti bentuk huruf-huruf Rencong atau Rencang, Kawi dan Lampung. Kajian menunjukkan bahawa huruf-huruf tersebut ada kaitan dengan huruf-huruf orang-orang Kemboja pada zaman purba. Huruf Kawi iaitu huruf Jawa kuno telah wujud dalam kurun ke-8 M. Huruf ini asalnya adalah dari huruf Vangki (Wenggi) iaitu huruf orang-orang Pallava yang berasal dari Coromandel, India. Huruf ini lenyap pada tahun 1400 M.
Huruf Rencong iaitu huruf Melayu tua banyak digunakan di Sumatera Selatan (Bangkahulu dan hulu Palembang) dan Minangkabau. Huruf ini kekal hingga kurun ke-18 iaitu sebelum Belanda menjajah Indonesia.
Dengan menggunakan huruf-huruf Kawi dan Rencong, orang-orang Melayu kuno menulisnya di atas kulit-kulit kayu, daun-daun lontar, kepingan-kepingan logam dan pada batu-batu (batu bersurat). Pada tahun 1892 telah dijumpai tulisan kuno itu pada sebatang tiang batu di Kota Kapur ( Bangka Barat) .
Apabila pengaruh Hindu bertapak di alam Melayu, tulisan Hindu iaitu tulisan Palava disebarkan melalui bahasa Sanskrit. Penyebaran tulisan dan bahasa Hindu ini sebenarnya terhad di kalangan golongan istana sahaja. Bahasa Sanskrit menjadi bahasa pentadbiran dan ilmu pengetahuan.

***TAMAT***

1 comment:

Unknown said...

Ada yang tak tepat baca lagi di link bawah ini daripada Srikandi

http://riwayatmelayu.blogspot.com